Wednesday, May 23, 2007

Samy Vellu cerminan sikap pemimpin BN

Azamin Amin Wed May 23, 07 11:31:32 AM
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Hrkh)- Menteri Kerja Raya Dato' Seri S.Samy Vellu adalah 'lambang' dan contoh sikap sebahagian besar pemimpin Barisan Nasional (BN) yang selama ini yang tidak bertanggunjawab terhadap sebarang masalah yang di hadapi malah acap kali mencari 'kambing hitam' untuk dipersalahkan. -->
Malah ada juga dikalangan pemimpin BN dikenali umum sebagai menteri yang penuh alasan, bersikap angkuh, sering menghina serta merendahkan tahap pemikiran dan tidak mempedulikan nasib rakyat termasuk menyalahkan pihak pembangkang dalam masalah-masalah dan kepincangan yang berlaku dalam kerajaan.
Maka, sudah tiba masanya untuk Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bertindak tegas dengan memecat atau mengambil tindakan displin terhadap pemimpin khususnya menteri yang memalukan negara dan rakyat khususnya.
Jika sekadar menegur, natijahnya pemimpin akan terus melakukan kesilapan yang sama tanpa segan silu dan dengan besar hati menyalahkan orang lain malah akan menggugat kredibiliti Perdana Menteri kerana dilihat sebagai lemah dalam mentadbir kerajaan dan barisan kabinetnya.
Mengulas lanjut Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkata selain Samy Vellu sebahagian besar menteri kabinet di bawah kepimpinan Abdullah sudah tidak efisien lagi dalam membawa hala tuju kementerian masing-masing dengan wawasan baru dan tidak layak lagi untuk menerajui dan menduduki jawatan tersebut.
"Sebenarnya sudah lama kita sarankan supaya barisan kabinet yang ada ditukar kepada yang baru dan berwibawa kerana masih ramai lagi dalam negara yang mempunyai kelayakan yang tinggi serta mempunyai idea yang bernas dalam membangunkan negara," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Dalam isu ini, beliau mempersoalkan keberkesanan kabinet yang bersidang setiap Rabu bersama Perdana Menteri yang dilihat tidak membawa sebarang perubahan atau peningkatan pada setiap masalah yang dihadapi terutama dari segi aspek pembangunan negara.
"Maknanya jika sampai Abdullah menegur di dalam media menandakan arahan beliau selaku PM selama ini tidak dipatuhi dan adakalanya seperti dipermain-mainkan," katanya lagi.
Dalam masa yang sama membuktikan bahawa pemilihan sebahagian besar barisan kabinet oleh Abdullah setelah pilihan raya 2004 adalah suatu kesilapan yang besar dan tidak memberi manfaat kepada negara malah merugikan rakyat jelata, katanya.
Rakyat semakin jelak dan muak, jelasnya dengan sikap para pemimpin BN yang tidak mempunyai akauntabiliti dan sudah pasti mereka akan menerima 'hukuman' daripada rakyat apabila tiba masanya pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu juga Mazlan menyelar sikap Abdullah yang cuba menutup kelemahan dan menyembunyi kepincangan kerajaan daripada pengetahuan rakyat.
Akhbar melaporkan Abdullah dipetik sebagai berkata:“Usah bertengkar sesama sendiri, malu! Kalau hendak bincang (untuk) buat sama-sama tidak apa. (Jangan) bertengkar sampai rakyat tahu, buat apa.
“Kalau ada benda yang tak kena dan perlu buat sama-sama cakap perlahan-lahan, hendak masuk surat khabar buat apa? Sudah la orang tak seronok dengan apa yang berlaku, yang hendak bertanggungjawab dan siapa bertanggungjawab pun jadi isu umum,” katanya.
Mazlan berkata menjadi tanggungjawab kerajaan menjelaskan dan mendedahkan kepada rakyat kerana secara umumnya setiap pembangunan dan prasarana negara melibatkan wang pembayar cukai.
"Wang berjuta untuk belanja menaik taraf parlimen ataupun bangunan kerajaan lain adalah wang rakyat malah akibat kecuaian dan penyelegaraan yang lemah itu juga akan membabitkan 'poket' rakyat," katanya.-Az

No comments: