Tuesday, May 29, 2007

Tindak tanduk Khairy rosakkan negara - AMK Padang Besar

Bashir Ishak Wed May 30, 07 11:09:16 AM
PADANG BESAR, 30 Mei (Hrkh) - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bahagian Padang Besar menegaskan bahawa menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin tidak patut dibaling dengan terung busuk dan tomato jika beliau datang ke tempat penyokong KeADILan. -->
Cadangan membaling Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda Umno dikeluarkan oleh seorang perwakilan di Kongres Parti Keadilan Rakyat di Seremban hujung minggu lalu.
Sebaliknya mereka menyeru agar rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran segera bangun membantah keras terhadap tindak tanduk Kairy yang dianggap menjadi perosak negara.
Beliau disifatkan sebagai agen Singapura yang sedang rancak melelong harta negara kepada negara jiran tersebut.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Penerangan AMK Padang Besar, mereka berharap agar rakyat disedarkan tentang peranan yang dimainkan oleh Khairy.
AMK Padang Besar juga mahu kakitangan kerajaan yang akan menikmati kenaikan gaji bermula Julai ini tidak akan termakan budi dengan sogokan seperti ini.
"Rakyat pada masa sama sedang terbeban dengan kenaikan harga barangan (yang bermula dengan kenaikan harga petrol tahun 2006) dan penjajahan Singapura yang semakin melebar ke atas negara kita.
"Persoalan yang dibangkitkan ialah, benarkah Singapura melalui Kumpulan Temasek sedang dalam usaha memiliki beberapa saham mewah entiti korporat Malaysia?" kata mereka.
Ini terbukti sebelum ini Kumpulan Temasek juga pernah menguasai Kumpulan Pantai yang memiliki kontrak penswastaan di seluruh hospital kerajaan.
Khairy juga perlu menjawab persoalan adakah ECM-Libra yang pernah dikuasai olehnya itu menjadi proksi kepada Kumpulan Temasek dengan amanah untuk membeli saham-saham syarikat negara kita bagi pihak Kumpulan Temasek?
"Benarkah Synergy Drive, CIMB Group, AmInvestment, Tabung Haji, Felda, Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional adalah di antara syarikat Malaysia yang sedang menjadi sasaran ECM-Libra dengan tajaan modal oleh Kumpulan Temasek?" soal mereka.
AMK Padang Besar mendapati bantahan pelbagai pihak terhadap persoalan yang melibatkan maruah negara ini gagal mendapat apa-apa reaksi daripada Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Sesungguhnya kemelut ini adalah sejuta kali lebih penting daripada perasmian restoran nasi kandar Perth yang dimiliki oleh Ibrahim Badawi oleh Abdullah yang khabarnya sudah bungkus selepas lima bulan beroperasi," katanya.
AMK Padang Besar menggesa agar Khairy dan bapa mertuanya serta kerajaan Barisan Nasional yang turut terlibat sama dihadapkan ke mahkamah rakyat oleh rakyat.
"Contohilah kebangkitan rakyat Thailand yang membantah pemilikan Shin Corp oleh Kumpulan Temasik sehingga Thaksin sekarang terpaksa hidup dalam buangan di luar Thailand.
"Pilihan raya umum yang akan datang adalah medan pengadilan rakyat yang terbaik," seru mereka lagi. - mns

No comments: