Thursday, May 31, 2007

Salahuddin bersyukur terus diberi mandat terajui Pemuda

Intan Abdullah Thu May 31, 07 02:31:52 PM
KOTA BHARU, 31 Mei(Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub bersyukur ke hadrat Allah kerana perwakilan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke-48 yang berlangsung hari ini memberikan mandat kepada beliau untuk menerajui pemuda untuk penggal yang ketiga bagi sesi 2007-2009. -->
Salahudin berkata, kemenangan tanpa bertanding beliau, bersama Timbalan Ketua, Ustaz Nasarudin Hassan merupakan salah satu bentuk 'exercise' kepada amalan demokrasi yang dijalankan dalam sebuah parti yang berteraskan Islam ini.
Katanya, perwakilan muktamar pada kali ini telahpun meletakkan kepercayaan sekali lagi kepada beliau untuk terus menerajui tampuk kepimpinan pemuda.
"Tidak timbul isu, saya perlu pegang jawatan ini untuk dua sesi sahaja kerana jika dilihat kepada sejarah kepimpinan pemuda sebelum ini, Dato' Mustafa Ali pernah memegang jawatan Ketua Pemuda selama tujuh penggal yang kemudiannya diikuti oleh Ustaz Abu Bakar Chik yang menerajui pemuda selama lima penggal," kata beliau dalam sesi temuramah pagi ini.
Beliau turut menepis cakap-cakap yang menyatakan beliau perlu melepaskan jawatan tersebut memandangkan mantan Ketua Pemuda sebelum ini, Mahfuz Omar hanya mengekalkan jawatan tersebut hanya untuk tempoh dua penggal.
Sama ada menang secara bertanding atau tidak katanya, adalah antara dua kaedah yang diguna pakai oleh PAS dalam membuat keputusan dalam konteks pemilihan pimpinan.
PAS katanya, mengamalkan demokrasi yakni menjalankan pemilihan secara terbuka serta mengguna pakai kaedah kesepakatan bagi memastikan jamaah terus mantap dan terus relevan kepada semua masyarakat.
Salahuddin juga berkata amalan demokrasi yang sama juga ditunjukkan semasa pemilihan Kongres Angkatan Muda KeADILan yang berlangsung pada 25 Mei yang lalu di Seremban.
Katanya, jika amalan ini akan disuburkan dalam PAS ia akan dapat memberi penyelesaian kepada segala permasalahan yang timbul.- mr

No comments: