Tuesday, May 15, 2007

Kenaikan kadar kes jenayah, masyarakat perlu pendidikan pencegahan

Wan Nordin Wan Yaacob Wed May 16, 07 01:00:54 PM
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Kenaikan kadar kes jenayah di negara ini dari tahun ke tahun sejak kebelakangan ini amat membimbangkan, malah senario ini membimbangkan semua pihak tidak kira yang tua atau muda.

Hakikatnya, kes-kes jenayah kecil dan besar yang berlaku seperti yang dilaporkan akhbar memberi tekanan kepada rakyat mahupun pelancong soal keselamatan mereka yang kian terancam.
Dari kes kecurian kecil hinggalah kepada rompakan besar, ragut, rogol bunuh, pencabulan, pembunuhan berprofil tinggi dan skandal-skandal jenayah terancang, semuanya meningkat dari tahun ke tahun.
Peranan pihak berkuasa polis dab keselamtan sangat ditagih, tetapi ada juga laporan yang mendedahkan jenayah kini turut dilakukan oleh golongan ini (pihak berkuasa keselamatan) yang akhirnya menatijahkan rasa tidak yakin rakyat kepada pihak terbabit dalam menjaga aspek keselamatan negara.
Isu kenaikan kadar jenayah ini turut dibincang di Dewan Negara hari ini bilamana Che Puan Seri Kelana Diraja Datin Dr Nik Azizah Nik Yahya meminta Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) mendedahkan statistik kadar jenayah dari tahun 2004 hingga 2007.
Dalam satu jawapan ringkas Timbalan Menteri KKDN, Dato' Johari Baharom mendedahkan bahawa pada tahun 2004 jumlah kes jenayah ialah, 156, 455 kes, meningkat pada tahun 2005 sejumlah 157,459 kes dan pada tahun 2006 kes jenayah yang dilaporkan ialah sejumlah 198,622.
Sementara bagi tahun 2007 dengan kiraan bermula dari Januari hingga Mac sahaja, jumlah kes jenaya bagi tiga bulan ialah sebanyak 52,517 kes, kata Johari lagi.
Bingkas bangun bagi menyatakan soalan tambahan kepada jawapan Johari itu wakil PAS, Senator Mumtaz Mat Nawi mencadangkan agar pihak polis di samping menjalankan tugas mencegah jenayah, badan ini dituntut untuk memberi pendidikan kepada masyarakat tentang pencegahan jenayah.
Menurut Mumtaz, program pendidikan mengenai kesedaran pentingnya pencegahan jenayah di kalangan rakyat perlu digarab bagi mengurangkan kes jenayah yang meningkat dari semasa ke semasa.
Cadangan beliau disokong Johari dan Timbalan Menteri KKDN itu menambah, pihak polis melalui 'Rakan Cop' berusaha menarik lebih ramai rakyat untuk menjadi mata dan telinga polis dalam melaporkan sebarang kes jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing.

No comments: