Wednesday, May 30, 2007

2 calon tanding Timbalan Presiden, 5 Naib Presiden

Salmiah Harun & Azamin Amin Wed May 30, 07 04:46:06 PM
KOTA BHARU, 30 Mei (Hrkh) - Jawatan Naib Presiden PAS pada muktamar kali ini menyaksikan lima calon menawarkan diri, di mana dua daripadanya merupakan penyandang jawatan itu. -->
Mereka iaitu Dato' Husam Musa dan Haji Mohamad Sabu, manakala tiga muka baru pula ialah Ustaz Ahmad Awang (Ketua Penerangan PAS Pusat), Dr Mahfodz Mohamed (Pesuruhjaya Johor) dan Haji Mahfuz Omar (AJK PAS Pusat).
Pencalonan bagi jawatan itu pada peringkat awalnya seramai 16 dicalonkan, bagaimanapun 11 daripadanya menarik diri.
Jawatan Timbalan Presiden PAS bakal menyaksikan pertandingan di antara Ustaz Nasharuddin Mat Isa dengan Ustaz Harun Taib (Ketua Dewan Ulama PAS Pusat). Jawatan Presiden PAS pula tiada pertandingan.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Azizah Khatib Mat pula dicabar Ustazah Nuridah Salleh (Ketua Muslimat Wilayah Persekutuan); timbalannya, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali dicabar Wan Hasrina Wan Hassan (Ketua Muslimat Selangor).
Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof (Ketua Muslimat Kelantan) kekal sebagai Naib Ketua Dewan Muslimat apabila tiada pertandingan.
Salahuddin Ayub kekal sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat begitu juga dengan timbalannya, Ustaz Idris Ahmad, manakala bagi jawatan Naib Ketua Dewan Pemuda menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Mohd Sabki Yusof (Setiausaha Dewan Pemuda), Azman Shapawi (Terengganu) dan Mohd Zaki Ibrahim (Kelantan).
"Setakat ini keputusan muktamad akan diketahui selewat-lewatnya malam ini," kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar ketika ditemui selepas sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan JKR 10 di sini, hari ini.
Tambah beliau kemungkinan ada di kalangan calon akan menarik diri pada saat-saat akhir.
Dewan Ulama menyaksikan pertandingan semua jawatan tertinggi. Timbalan Ketua Dewan Ulama, Dato' Mohamed Daud akan bertanding jawatan ketua dan beliau akan dicabar Dr Mohamad Daud, bekas pensyarah.
Seramai 66 pencalonan untuk ahli jawatankuasa PAS Pusat antaranya, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Ismail Kamus, Ustaz Taib Azamuddin Taib, Mazlan Aliman, Ustaz Azizan Abdul Razak dan Saari Sungip. - mj/mks.

No comments: