Sunday, May 20, 2007

PAS sasar tawan tiga negeri dalam pilihan raya umum

Basiron Abadul Wahab Sun May 20, 07 12:43:46 PM
JERANTUT 20 Mei (Hrkh) – Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Dato Mustapha Ali berkata, PAS mensasarkan kemenangan di tiga buah negeri dan menjadi pembangkang yang kuat di beberapa negeri lain dalam pilihan raya umum akan datang.
Berucap merasmikan Konvensyen PAS Pahang kali ke–5 di Kompleks Imam Syafie, di Temin, Jerantut malam tadi beliau berkata, PAS yakin akan terus mentadbir Kelantan dengan majoriti kerusi yang lebih berbesar berbanding satu kerusi sekarang.
PAS juga katanya meletakkan sasaran untuk kembali memerintah Terengganu dan menawan Kedah manakala di Pahang PAS meletakkan sasaran kedua iaitu menjadi pembangkang yang kuat di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang.
Katanya, walaupun Umno/BN mensasarkan untuk terus memerintah 100 tahun lagi sebagaimana dinyatakan oleh presiden Umno Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi Allah swt menyebutkan Dia (Allah) akan mengilirkan hari-hari kemenangan itu dan Umno tentunaya tidak akan memerintah sehingga ke hari kiamat.
Menyorot perkembangan PAS sekarang, katanya, PAS jauh lebih maju berbanding 30 tahun lalu dengan peningkatan sokongan dan prasarana di semua negeri dan kawasan termasuklah di Pahang.
Beliau berkata, pilihan raya umum kali pertama pada tahun 1959 adalah yang terbersih berbanding pilihan raya selepas itu, dan dalam pilihan raya itu, Umno dan PAS bertarung dengan kekuatan masing-masing.
“Pada masa itu Umno bertarung dengan kekuatan sendiri, Umno pada masa itu tidak menggunakan wang dan jentera kerajaan. Keadaan hari ini sudah jauh berbeza menyebabkan kita melawan Umno/BN di atas padang yang tidak sama rata.
“Bagaimanapun PAS boleh juga menang sebagaimana berlaku di Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum 1999,” katanya.
Umno/BN hari ini menggunakan kekuatan duit, media dan jentera kerajaan untuk terus berkuasa dan ini dapat dilihat dalam pilihan kecil Ijok 28 April lalu apabila parti itu menggunakan sepenuh kekuatan untuk menang.
Kekuatan PAS
PAS mempunyai kekuatan yang tidak dimiliki oleh Umno/BN iaitu kekuatan iman, ukhuwah dan semangat juang yang tinggi di kalangan ahlinya dan kekuatan ini perlu dipertingkatkan kepada tahap maksimum.
Katanya, PAS berhadapan dengan ‘demokrasi tempang’ yang menyaksikan lawan menggunakan kekuatan kebendaan, sogokan dan sebagainya yang hanya boleh diatasi dengan kekuatan iman, ukhuwah yang dimiliki oleh ahli PAS.
“Kita tahu kelemahan Orang Melayu, mereka tidak tahan dengan pujukan dan sogokan kebendaan seperti yang dibuktikan dalam pilihan raya kecil Ijok baru-baru ini,” ujarnya.
Hubungan dengan KeADILan
Mustapha berkata, PAS akan terus mengukuhkan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat serta parti-parti pembangkang lain dalam menghadapi BN pada pilihan umum akan datang.
Katanya, pihak PAS Pusat tidak menghalang negeri mengadakan hubungan baik dengan NGO serta parti politik termasuk DAP seperti yang berlaku di Pahang.
“PAS pusat tidak menghalang hubungan sedia terjadi di antara PAS negeri dengan parti lain termasuk DAP,” Katanya.
Sebelum itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapanya aluan-alaunya menyebutkan PAS negeri telah menyelesai masalah pembahagian kerusi dengan KeADILan serta mempunyai persefahaman yang baik dengan DAP.
Katanya PAS dan KeADILan kini sedang membuntuk jawatankuasa teknikal di peringkat Majlis Tindakan Pilihan raya (MTD).
PAS negeri, katanya berusaha untuk menghantar wakilnya ke Dun Pahang seperti sebelumnya dimana PAS mempunyai enam kerusi di Dun Pahang. Kerusi tersebut ialah Tahan, Jengka, Semantan, Guai, Penur dan Kuala Pahang.
Konvensyen PAS Pahang ke-5 diadakan selama dua hari (19 & 20 Mei) yang dirasmikan oleh Dato Mustapha Ali, manakala penutupnya disempurnakan oleh Ustaz Nasruddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS Pusat.
Ia dihadiri lebih 500 perwakilan daripada 14 kawasan serta wakil Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat. - mns

No comments: