Wednesday, May 9, 2007

Abdullah perlu letak jawatan atau pecat Mahathir!

Azamin Amin Thu May 10, 07 10:44:27 AM
KUALA LUMPUR, 10 Mei (Hrkh) - Selain daripada mandat rakyat, Tun Dr Mahathir Mohammad juga bertanggunjawab meletakkan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada kedudukan sekarang, sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Justeru, Abdullah kini berhadapan dengan krisis kepercayaan dan kewibawaan apabila orang yang menyerahkan kuasa kepadanya iaitu Tun Mahathir sendiri sudah tidak percaya dengan kepimpinan beliau, malah memberi mesej jelas untuk rakyat 'menghukum' kepimpinan Abdullah dan barisan kabinetnya pada pilihan raya umum akan datang.
Mengulas lanjut, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,Mahfuz Omar berkata selain Tun, dua bekas Menteri Kewangan iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah juga turut mengkritik beliau dan ini secara tidak langsung menjejaskan tanggapan dunia terhadap negara ini lebih-lebih lagi dari sudut ekonomi.
"Kritikan kedua-dua tokoh ini turut menjejaskan keyakinan pelabur-pelabur dalam dan luar negara terhadap kemampuan Abdullah dalam memulihkan ekonomi negara yang kini kian meruncing," katanya ketika menghubungi Harakahdaliy sebentar tadi.
"Akibat daripada ekonomi yang semakin teruk, yang mendapat bahana dan kesannya adalah rakyat secara keseluruhannya," katanya lagi.
Jelasnya lagi, dua perkara yang perlu dilakukan Abdullah dengan segera iaitu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan demi menyelamatkan negara yang kian parah ini atau memecat Tun Dr Mahathir sekiranya terbukti ucapan dan kritikan beliau selama ini hanyalah bersifat pengacau dan tiada asasnya.
"Dengan cara itu, Abdullah boleh menyatakan bahawa jawatan beliau sudah tiada kaitannya dengan Tun," katanya.
"Atau memberi mandat sekali lagi kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya dengan segera untuk membuktikan bahawa beliau masih layak lagi menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya," gesa beliau.
Selain itu, rakyat juga perlu menilai ucapan dan kritikan Tun itu sebagai isyarat untuk mereka menterjemahkan pilihan pimpinan sebenar yang boleh membawa masa depan negara dengan lebih terjamin iaitu menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilhan raya umum ke-12.
Tun Mahathir hargai peranan pembangkang
"Pandangan Tun terhadap pembangkang sudah lagi tidak prejudis dan ekstrim lagi malah PAS dianggap sebagai pilihan untuk 'mengajar' BN yang semakin merosakkan dan untuk menyelamatkan negara daripada menjadi lebih teruk," katanya.
Sikap Tun ini katanya secara tidak langsung mendidik dan menyedarkan rakyat tentang kepentingan politik untuk negara tetapi bukannya untuk mengekalkan kuasa dan menambahkan kekayaan diri sendiri.
Justeru, rakyat perlu menilai hujah Mahathir berhubung pilihan raya kecil Ijok yang lalu betapa pentingnya mengundi secara bijaksana dan bukan membabi buta terhadap parti tertentu sahaja, jika tidak negara 'musnah' dan rakyat jua akhirnya dipersalahkan.
Sebelum itu Tun menyampaikan syarahan bertajuk, "Cabaran Kepimpinan Melayu Di Era Globalisasi: Memperkasakan Bangsa dan Kedaulatan Negara" di satu majlis anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di sebuah hotel di Kelantan.
Hadir sama pada program tahunan anjuran MTRK itu, pemimpin-pemimpin veteran Umno termasuk Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Hussien Ahmad, Tan Sri Abdullah Ahmad dan Dato’ Mustapha Yaakob.
"Terpulang kepada mereka untuk memberi kemenangan kepada PAS dan tidak memberi kemenangan kepada BN," kata Tun ketika ditemui pemberita.
Menurutnya rakyat Kelantan bertanggungjawab terhadap nasib mereka sendiri untuk menentukan masa depannya.
"Atau kalau mereka hendak pilih pemimpin yang pandai berjanji hendak beri RM3 bilion kepada mereka itu terpulang. Sedangkan kita mahu dipimpin oleh pemimpin yang baik,"katanya.
Lebih banyak pembangkang lebih bagus
Tahun lalu,Tun telah pun mengiktiraf peranan pembangkang sewaktu berucap pada 'Forum Krisis dan Risiko: Pendekatan Hadhari, Penjelasan dan Relevannya kepada Cabaran-Cabaran Global Kontemporari'.
Beliau secara panjang lebar mengulas dan menghargai peranan pembangkang sewaktu menyampaikan ucapan bertajuk, 'Krisis Kepimpinan dan Teknik-Teknik Komunikasi Strategik' pada forum 13 April itu yang dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Tun dilaporkan berkata peranan parti pembangkang dalam sistem demokrasi sangat penting kerana mereka dapat bertindak bagi `memeriksa' kerajaan dalam tindakan-tindakannya.
Pembangkang katanya boleh menjadi `cermin' kepada kerajaan bagi menilai sama ada tindakan kerajaan itu memberi manfaat atau keburukan kepada rakyat dan negara.
"Kalau parti pembangkang itu banyak, lagi bagus kerana ia dapat memberi kesan yang lebih baik kepada kerajaan bagi menilai keputusan dan tindakan yang dibuatnya," kata beliau yang dipetik daripada laporan akhbar.
Dr Mahathir dilaporkan berkata, pembangkang juga akan memastikan kerajaan tidak menyalahgunakan kuasa, memperalatkan penyokongnya serta memastikan kerajaan tidak 'menjual' negara ini kepada pihak luar. - mks.

No comments: