Sunday, November 16, 2008

Kerajaan enggan ambil kaedah Islam selesai jenayah
Intan Abdullah
Mon | Nov 17, 08 | 12:33:42 pm MYT
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Hrkh) - Kerajaan masih enggan mengambil kaedah Islam bagi menyelesaikan masalah jenayah yang kian meningkat mutakhir ini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Wira Chong Chee Heung kepada soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) pada sesi soal jawab lisan sidang parlimen pagi ini.

"Kita tidak boleh buat sekali gus ala Kelantan kerana negara kita Malaysia ini majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama," katanya kepada sidang dewan.

Siti zailah dalam soalan asalnya, meminta penjelasan kerajaan bagi mempertimbangkan cadangan untuk menggunakan undang-undang yang terkandung dalam agama Islam bagi menyelesaikan peningkatan masalah jenayah saban tahun.

"Ini adalah memandangkan Malaysia merupakan negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi persekutuan," ujarnya tegas.

Ia merupakan soalan tambahan yang dikemukakan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) yang meminta penjelasan mengenai langkah yang diambil kerajaan bagi mencegah kadar peningkatan indeks jenayah pada masa hadapan. - mns_

Angkasawan akui terima sumbangan, nafi minta bayaran

Azamin Amin
Mon | Nov 17, 08 | 9:02:04 am MYT
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Hrkh) - Angkasawan pertama, Dato' Dr Sheikh Muszaphar Shukor mengaku menerima sumbangan apabila beliau memberikan ceramah namun menafikan meminta bayaran bagi sesi berkenaan.
"Saya telah berjumpa dengan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Fadilah Yusof dan memberikan penjelasan terperinci. Dan beliau berpuas hati dengan penjelasan saya.
"Dan saya harap kami dapat menyelesaikan insiden malang ini kerana kesan negatifnya akan menjejaskan kewibawaan saya untuk terus memberikan ceramah di seluruh negara," katanya yang dipetik daripada agensi berita ketika ditemui Ahad lalu dan memberitahu beliau biasanya memberi ceramah di sekolah-sekolah secara percuma.

Sebelum ini, Menterinya, Dato' Dr. Maximus Ongkili dipetik sebagai berkata jika terbukti dakwaan itu benar, angkasawan terbabit akan dikenakan penalti jika melanggari kontrak dengan Mosti.

Mereka juga dilarang untuk menerima apa-apa ganjaran selain daripada ganjaran yang diberikan oleh kementerian, kata Maximus Ongkili.

Sebelum ini akhbar Harakah dan laman web Harakahdaily.net mendedahkan dakwaan bahawa beliau mengenakan bayaran sejumlah RM8,000.00 untuk satu jam berceramah dan boleh memperolehi kira-kira RM1.2 juta hasil bayaran yang ditetapkan jika diambil secara purata sejumlah 150 badan korporat yang menganjurkan ceramahnya.

Sehingga kini, Sheikh Muszaphar dilaporkan telah menyampaikan ceramah lebih 200 buah sekolah dan ratusan ceramah motivasi bagi jemputan kerajaan, korporat dan swasta.

Menurut satu sumber rapat, bagi ceramah yang dianjurkan oleh sekolah-sekolah, Sheikh Muszaphar tidak mengenakan sebarang bayaran sebaliknya meminta pihak sekolah membeli atau 'mewajibkan' para pelajar membeli buku yang bertajuk 'Reaching For The Stars' sekurang-kurangnya 300 buah yang setiap satunya berharga RM20.00, menjadikan jumlah keseluruhan RM6,000.00

Buku tersebut hasil karya adik beliau, arwah Sheikh Mustapha Shukor yang menulis tentang Sheikh Muszaphar sebelum meninggal dunia akibat kemalangan yang berlaku di salah sebuah restoran di ibu kota.

Ramai yang telah membuat aduan dan dakwaan bahawa angkasawan terbabit tidak sepatutnya meraih keuntungan di sebalik kejayaannya yang ditaja melalui wang rakyat Malaysia sejumlah RM95 juta apatah lagi beliau merupakan seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan dan Mosti.

Satu sumber yang mengendali satu projek pengajian Universiti tempatan yang memerlukan kehadiran dan ceramah angkasawan tersebut turut mengakui membayar sejumlah RM3,000 kepada Sheikh Muszaphar untuk program yang berlangsung selama setengah hari yang turut membabitkan kanak-kanak sekolah rendah.

Sementara itu Harakah turut dihujani puluhan email yang secara purata kesal dengan tindakan angkasawan itu malah ada antaranya yang terpaksa membatalkan jemputan kerana harga bayaran yang dikenakan.

"Kami (juga agensi kerajaan) juga ingin menjemput beliau untuk berkongsi pengalaman dalam satu slot 'person that inspires' untuk 'diplomatic training course' telah dimaklumkan oleh pengurus beliau bayaran yang dikenakan adalah RM3000.00 untuk satu jam.Akhirnya pihak pengurusan mengambil keputusan untuk membatalkan. Saya sokong pendedahan selanjutnya," kata seorang pembaca dikenali sebagai noba6076.

Menurut email daripada Malek Sepang juga mengakui mendapat maklumat angkasawan mengenakan bayaran kepada penganjur dalam lingkungan RM5,000 namun merahsiakan pendedahan terperincinya malah kesal angkasawan negara membuat untung di atas duit titik peluh rakyat yang kepingin melihat dan mengenal ruang angkasa Allah swt.

Terdahulu Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli meminta pihak Mosti memberi penjelasan berhubung isu ceramah angkasawan terbabit kerana ianya akan menjejaskan nama baik kementerian dan negara jika dakwaan itu terbukti benar.

"Beliau adalah duta kecil negara dan utusan Mosti yang mesti memberi peranan yang baik demi membawa manfaat serta kebaikan kepada negara bukannya mencari kekayaan atau pendapatan sampingan sebagai pegawai kerajaan," kata Dr Hatta yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Krai.-az _

Wednesday, November 12, 2008

Ceramah RM8,000 sejam: Tempoh dua minggu dedahkan bukti

Azamin Amin
Thu | Nov 13, 08 | 10:32:10 am MYT
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Hrkh)- Tempoh dua minggu diberikan kepada orang awam atau pihak yang mendakwa dikenakan bayaran dalam siri ceramah angkasawan negara tersebut untuk tampil mengemukakan maklumat dan mendedahkan bukti kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) bagi membantu siasatan.

Timbalan Menterinya, Fadillah Yusof berkata selepas tempoh dua minggu tersebut berakhir, pihaknya akan menganalisa bukti-bukti yang diperolehi untuk melihat sama ada tuduhan ke atas Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor mengenakan caj siri ceramah sehingga RM8,000 sejam berasas atau sebaliknya.

"Hingga hari ini pihak kami masih belum terima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung dakwaan ke atasnya (Sheikh Muszaphar)," katanya kepada mStar Online semalam.

"Saya beri mereka (orang ramai) tempoh selama dua minggu untuk kemukakan bukti-bukti untuk menyokong dakwaan tersebut." katanya kepada mStar Online semalam.

Setakat ini katanya kementerian menyifatkan tuduhan itu sebagai tohmahan semata-mata, kerana tiada bukti-bukti yang boleh menyokong dakwaan tersebut namun menjelaskan bahawa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato' Maximus Ongkili akan membuat kenyataan rasmi berhubung isu tersebut setelah laporan kes itu siap sepenuhnya.

Menurut laman web itu lagi, Fadillah dipetik sebagai berkata orang ramai boleh mengemukakan aduan secara formal dengan menyertakan maklumat dalam bentuk seperti baucer bayaran, resit serta menyatakan berapa jumlah yang dibayar, tempat dan siapa ejennya kepada kementerian untuk siasatan selanjutnya.

Pulau Pinang : Tidak boleh guna tiket kelas pertama, hotel mewah

Harakahdaily
Thu | Nov 13, 08 | 11:28:46 am MYT
BUKIT MERTAJAM, 13 Nov (Hrkh) - Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat mengambil langkah yang drastik dalam mesyuarat exco semalam, apabila bertindak menarik balik segala kemudahan yang dinikmati pegawai-pegawai tinggi sebagai salah satu langkah berjimat cermat.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin berkata, semua pegawai tertinggi kerajaan, termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng, hanya akan menggunakan penerbangan kelas ekonomi atau tambang murah dalam melakukan segala urusan kerajaan.

Katanya, tiada penerbangan kelas pertama atau kelas perniagaan dibenarkan, tiada penginapan di hotel empat atau lima bintang dan segala majlis tidak akan dianjurkan di hotel mewah.

Dengan penarikan balik segala kemudahan ini katanya, Ketua Menteri, anggota exco dan pegawai tinggi negeri hanya akan menggunakan penerbangan ekonomi dan menginap di bajet hotel apabila menjalankan tugas di luar Pulau Pinang.

Sebelum arahan dikeluarkan secara rasmi dalam mesyuarat mingguan exco semalam, Lim Guan Eng telah pun mengamalkan kesederhanaan sewaktu beliau mula memimpin kerajaan negeri.

Langkah yang diambil beliau ini, diperluaskan kepada semua anggota exco dan pegawai tinggi kerajaan negeri, sebagai salah satu usaha mengelakkan pembaziran wang rakyat.

Guan Eng baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata, beliau tidak pernah rasa terganggu atau tidak selesa sewaktu menjalankan tugas di luar kawasan walaupun menaiki penerbangan kelas ekonomi dan menginap di hotel sederhana.

Katanya, beliau merasakan lebih selesa mengamalkan sikap berjimat cermat kerana tidak mahu dipertanggungjawabkan sebagai pemimpin yang membazirkan wang rakyat.

Mengulas lanjut isu berkenaan Fairus menjelaskan, "Jika perlu, mereka boleh menaiki Air Asia. Arahan ini membabitkan semua pegawai tertinggi kerajaan."

Mengenai majlis anjuran kerajaan negeri, Timbalan Ketua Menteri menjelaskan, ia boleh diadakan di Dewan Serbuna atau Kompleks Sukan yang bersesuaian.

"Arahan telah dikeluarkan, tidak dibenarkan sebarang penganjuran program kerajaan negeri di hotel.

"Tidak perlu beri hadiah (kepada pemimpin kerajaan), yang penting majlis yang dianjurkan mencapai objektif. Oleh itu kita harap semua ketua jabatan kerajaan akur dengan arahan ini," tegasnya. - mr_