Wednesday, November 12, 2008

Ceramah RM8,000 sejam: Tempoh dua minggu dedahkan bukti

Azamin Amin
Thu | Nov 13, 08 | 10:32:10 am MYT
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Hrkh)- Tempoh dua minggu diberikan kepada orang awam atau pihak yang mendakwa dikenakan bayaran dalam siri ceramah angkasawan negara tersebut untuk tampil mengemukakan maklumat dan mendedahkan bukti kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) bagi membantu siasatan.

Timbalan Menterinya, Fadillah Yusof berkata selepas tempoh dua minggu tersebut berakhir, pihaknya akan menganalisa bukti-bukti yang diperolehi untuk melihat sama ada tuduhan ke atas Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor mengenakan caj siri ceramah sehingga RM8,000 sejam berasas atau sebaliknya.

"Hingga hari ini pihak kami masih belum terima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung dakwaan ke atasnya (Sheikh Muszaphar)," katanya kepada mStar Online semalam.

"Saya beri mereka (orang ramai) tempoh selama dua minggu untuk kemukakan bukti-bukti untuk menyokong dakwaan tersebut." katanya kepada mStar Online semalam.

Setakat ini katanya kementerian menyifatkan tuduhan itu sebagai tohmahan semata-mata, kerana tiada bukti-bukti yang boleh menyokong dakwaan tersebut namun menjelaskan bahawa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato' Maximus Ongkili akan membuat kenyataan rasmi berhubung isu tersebut setelah laporan kes itu siap sepenuhnya.

Menurut laman web itu lagi, Fadillah dipetik sebagai berkata orang ramai boleh mengemukakan aduan secara formal dengan menyertakan maklumat dalam bentuk seperti baucer bayaran, resit serta menyatakan berapa jumlah yang dibayar, tempat dan siapa ejennya kepada kementerian untuk siasatan selanjutnya.

No comments: