Wednesday, September 10, 2008

Sikap 'double-standard' Umno tangani isu Ahmad Ismail dibidas

Basiron Abdul Wahab
Thu | Sep 11, 08 | 01:37:52 pm MYT
KUANTAN, 11 Sept (Hrkh)Dewan Pemuda PAS Pahang menyifatkan tindakan displin yang dikenakan Umno terhadap ketua Umno Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail mengesahkan parti itu mengamalkan undang-undang berbeza terhadap rakyat.
Ketuanya Suhaimi Md Saad berkata, jika pembangkang bercakap senada dengan Ahmad, sudah tentu kerajaan akan mendakwa dibawah Akta Hasutan atau ISA dan sebagainya tetapi kerana Ahmad ahli Umno, kerajaan Umno hanya mengenakan tindakan displin parti sahaja.
"Perkara ini sudah diperhatikan rakyat jelata seluruhnya kerana kesalahan Ahmad bukan kesalahan kecil bahkan boleh dikena tindakan dibawah pencegahan seperti Keselamatan Dalam Negeri (ISA) walaupun PAS tidak menyetujuinya," ujar beliau.
Suhaimi mempertikaikan tindakan displin yang lemah dikenakan terhadap Ahmad ini kerana sepatutnya bukan Ahmad seorang yang dikenakan tindakan itu tetapi termasuk juga individu yang menurut, mengoyak dan memijak gambar Dr Koh Tsu Kun itu kerana mereka juga membuat provokasi perkauman.
Tambahnya, tindakan juga sepatutnya dikenakan kepada stesyen televisyen kerana menyiarkan video kejadian itu yang jelas telah mengapi-apikan isu berkenaan.
Bagi PAS, apa yang berlaku membuktikan rapuhnya semangat setiakawan dalam Barisan Nasional ?BN.
"Dulu dia orang tuduh Pakatan Rakyat adalah pakatan longgar tetapi kini BN yang tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain," sindirnya.
Semalam, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan Ahmad Ismail digantung keahliannya dan dilucutkan hak-haknya dalam parti Umno selama tiga tahun.
Keputusan itu dibuat selepas MT mengadakan mesyuarat khas selama tiga jam di ibupejabat Umno di Kuala Lumpur.
MT yang mempunyai 48 anggota dan merupakan badan pembuat keputusan tertinggi Umno, mula bermesyuarat jam 2.30 petang.
Mesyuarat khas itu diadakan ekoran kontroversi yang dicetuskan oleh ketua Umno Bukit Bendera itu, yang didakwa membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina dan mengoyak gambar pemimpin parti Gerakan, Dr Koh Tsu Kon.
Ahmad didakwa telah menimbulkan kemarahan masyarakat Cina apabila berkata bahawa kaum itu "menumpang" di negara dan meminta mereka supaya tidak menjadi seperti orang Yahudi di Amerika yang mahu menguasai ekonomi dan kuasa politik.
Menurut Suhaimi, menggantung keahlian Ahmad tidak akan menyelesaikan masalah kerana ia membolehkan beliau terus menyerang pemimpin Gerakan yang dimusuhinya selepas ini dengan lebih bebas kerana tidak terikat lagi dengan displin Umno walaupun dia adalah Umno.

No comments: