Sunday, August 3, 2008

Permatang Pauh uji Abdullah dan Umno yang tidak demokratik

Tarmizi Mohd Jam Mon Aug 04, 08 11:05:18 am MYT
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Hrkh) - Pilihan raya kecil Permatang Pauh dijangka akan menguji sekali lagi mantera pentadbiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diuar-uarkan media massa arus perdana dan jentera propaganda sebagai bebas, terbuka, telus dan bertanggungjawab.
Bagaimanapun, penulis blog, Dato' A Kadir Jasin yakin media massa arus perdana yang dimiliki kerajaan, Umno dan parti-parti komponen BN mustahil akan berkecuali, bebas, terbuka, telus dan bertanggungjawab. Begitu juga dengan jentera propaganda yang lain.
Katanya, sejarah pilihan raya Permatang Pauh sejak pemecatan Anwar daripada Umno pada tahun 1998 tidak memihak kepada BN. Hatta pada tahun bertuah Umno iaitu 2004 apabila BN menang besar, Dr Wan Azizah Wan Ismail masih berjaya mengekalkan kerusi itu. Anwar pula merampasnya daripada PAS pada tahun 1982.
Kadir menyifatkan, suka atau tidak suka, Umno terpaksa mengakui hakikat bahawa Permatang Pauh adalah "the Anwar country" ? wilayah Anwar.
"Selepas badai politik 8 Mac yang menghanyutkan BN di lima buah negeri dan wilayah ? termasuk negeri tumpah darah Abdullah - pilihan raya kecil Permatang Pauh, sebagai pilihan raya kecil pertama selepas itu, akan menguji semua pihak yang terbabit," ujarnya dalam tulisan terbaru beliau pada blog The Scribe A Kadir Jasin.
Bagi beliau, pilihan raya kecil Permatang Pauh ini akan mempengaruhi pemilihan Majlis Tertinggi Umno Disember ini dan memberikan impak kepada kedudukan Abdullah sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.
Kadir berkata, Umno terpaksa berdepan dengan musuh utamanya (Anwar) atas landasan demokrasi dan parti itu sendiri nampaknya semakin hari semakin tidak demokratik, semakin feudalistik dan semakin ketandusan kepemimpinan berwibawa.
Terdapat enam hujah dikemukakan oleh Kadir untuk menunjukkan betapa Umno kini sudah tidak demokratik:
1. Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden besar kemungkinan tidak akan ditandingi;
2. Kuasa wang dan projek sudah membeli sokongan kepemimpinan cawangan dan bahagian yang beberapa bulan lalu beria-ia menuntut perubahan;
3. Ancaman dan tekanan akan dikenakan ke atas saki baki pembesar Umno yang masih bebas daripada jangkitan "koro".
4. Kerana Abdullah telah merendahkan palang maka ramailah yang akan cuba melepasinya;
5. Ramai akan bertanding tiga jawatan naib presiden dengan harapan kalau kalah sekali pun Abdullah akan melantik mereka ke Majlis Tertinggi (macam dia melantik orang luar, bekas Ahli Parlimen dan pesalah politik wang menjadi Menteri dan Timbalan Menteri); dan
6. Pemimpin terpaksa membelitkan kata-kata seperti Muhyiddin Mohd Yassin yang memberikan harapan palsu (false hope) kepada ahli dengan membayangkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden tetapi kekal bertanding Naib Presiden semata-mata untuk selamat.
Kadir juga percaya, Abdullah tidak mungkin memperjudikan masa depan dirinya dan Umno dengan meletakkan Ezam Mohd Noor sebagai calon BN menentang Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dalam masa terdekat ini.
Beliau lebih yakin Abdullah akan meletakkan anak tempatan sebagai calon BN sekalipun tindakan itu boleh dianggap "ditelan mati ayah, diluah mati emak" akibat percakaran dalam kepimpinan Umno Permatang pauh yang tidak lagi menjadi rahsia. - tmj/mks. _

No comments: