Saturday, August 2, 2008

Pakatan Rakyat Pilih Ketua Pembangkang Baru Minggu Ini.

mSTAR Online : 03-08-2008 12:27:20 pm
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang di Parlimen, daripada kalangan parti komponen Pakatan Rakyat, akan diputuskan minggu ini.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat mengisi kekosongan yang wujud ekoran keputusan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melepaskan kedudukan sebagai Ahli Parlimen, dalam beberapa hari lagi.
“Tarikhnya belum kita putuskan lagi, tapi kemungkinan minggu depan (ini) dengan seberapa segera,” katanya ketika dihubungi.
Azmin yang sebelum ini disebut-sebut oleh beberapa pemimpin Pakatan Rakyat bakal menggantikan tempat Dr. Wan Azizah yang juga Presiden PKR bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi.
“Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi mengenainya. Apa yang penting ialah pemuafakatan sesama Pakatan Rakyat,” kata Ahli Parlimen Gombak ini.
Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di kerusi Permatang Pauh menggantikan isterinya, Dr. Wan Azizah merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat.
Difahamkan Anwar akan menghadiir mesyuarat itu.
Malah, sebelum ini disebut-sebut bahawa jika Anwar memenangi pilihan raya kecil itu beliau akan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang kelak.
Khamis lalu, Dr Wan Azizah mengumumkan letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil.
Azmin yang juga merupakan ketua whip Pakatan Rakyat beranggapan sekiranya dipilih menjadi ketua pembangkang, ia adalah satu tanggungjawab yang besar buatnya.
“Itu adalah satu tanggungjawab dan saya akan cuba buat yang terbaik untuk Pakatan Rakyat. Bagaimanapun baik kita serahkan kepada mesyuarat untuk tentukan,” katanya.

No comments: