Wednesday, August 6, 2008

Perbicaraan Anwar: Sekatan jalan raya dan siapsiaga FRU di mahkamah

Tarmizi Mohd Jam Thu Aug 07, 08 10:19:47 am MYT
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Hrkh)- Hari ini sekali lagi sekatan polis di jalan-jalan utama masuk ke Kuala Lumpur telah mengundang kesesakan lalulintas, sejak pagi lagi ekoran kebimbangan pihak polis berlakunya tunjuk perasaan di sekitar Kuala Lumpur.
Jam 10 pagi ini, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan dibicara di Mahkamah Seksyen, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, atas tuduhan meliwat. Polis mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Sejak jam 7.30 pagi lagi, didapati unit polis trafik mengawal lalu lintas sekitar jalan menuju ke mahkamah. Adalah dipercayai, para penyokong Anwar akan berkumpul dan memberikan sokongan padu kepada beliau di perkarangan mahkamah tersebut pagi ini.
Pasukan FRU yang sudah tiba sejak awal pagi, mula mengambil tempat berkawal di perkarangan mahkamah. Sementara, wartawan dalam dan luar negeri sudah berkumpul di luar mahkamah untuk melaporkan perkembangan terkini berkenaan perbicaraan ini.
Sementara itu, banyak pihak yang kecewa dan tidak berpuashati dengan langkah pihak polis itu, yang dianggap mengganggu gerakerja harian mereka akibat tergendala di sekatan jalan raya atau terperangkap dalam kesesakan.
"Esok saya akan menghadapi pertuduhan fitnah yang saya tidak lakukan, tuduhan yang digunakan untuk aibkan sama seperti pada tahun 98 dan 99," tegas Anwar pada sidang akhbar kira-kira pukul 3.15 petang semalam di ibu pejabat parti itu.
Anwar yang dituduh melakukan liwat, dijangka didakwa di bawah Seksyen 377A ataupun Seksyen 377C Kanun Keseksaan, berkaitan dengan perbuatan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 377A, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dirotan manakala Seksyen 377C pula membawa hukuman tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman dirotan.
Mengikut Seksyen 377A dan 377C, ikat jamin tidak dibenar. Bagaimanapun di bawah Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah, mahkamah boleh membenarkan ikat jamin. Anwar akan dibela oleh sepasukan sembilan peguam termasuk R. Sivarasa, Sankara Nair, Saiful Izham Ramli dan Sulaiman Abdullah. - tmj _

No comments: