Wednesday, June 20, 2007

Syabas! Demonstrasi berjaya 'kejutkan' kabinet untuk perangi jenayah

Azamin Amin Thu Jun 21, 07 12:24:32 PM
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Hrkh) - Tindakan 200 rakyat Johor mengadakan demostrasi di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman sebagai tanda tidak puas hati berikutan kegagalan polis menyelesaikan tiga kes samun dan rogol di negeri itu dipuji dan disambut baik.
Dengan tindakan demostrasi orang ramai tersebut, mampu 'mengejutkan' Kabinet Malaysia supaya bertindak lebih proaktif dalam memerangi jenayah yang semakin meningkat dalam negara.
AJK PAS Pusat, Ustaz Mujahid Rawa berkata kejadian yang berlaku merupakan tindak balas ataupun 'reflect' kepada jenayah yang berlaku di seluruh negara.
Beliau diminta mengulas kenyataan Kabinet memutuskan untuk mengerahkan tambahan 400 anggota polis ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor secepat mungkin bagi menangani masalah jenayah di negeri itu yang disifatkan serius sejak kebelakangan ini.
"Kabinet mesti melakukan tindakan komprehensif dan pelan drastik untuk semua negeri bukannya hanya 'isolated' ataupun kes terpilih sahaja," kata Mujahid ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Ini menunjukkan kelemahan kabinet yang sering bertindak bila berlaku kejadian yang kronik dan ada tekanan daripada rakyat bukannya atas inisiatif sendiri nak membanteras jenayah," katanya lagi.
Tindakan lambat kerajaan bukan sekadar berlegar kepada masalah jenayah dalam negara tetapi dilihat dalam semua aspek dalam kehidupana masyarakat dan pentadbiran negara seperti bertindak agresif apabila berlaku kejadian bangunan kerajaan bocor dan jalan raya rosak.
"Sepatutnya dari masa ke semasa, sentiasa ada perancangan tersusun daripada Kerajaan untuk memerangi jenayah termasuk soal ekonomi serta sosial," katanya lagi.
Bukan sahaja Johor, malah negeri lain seperti Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Sarawak turut mengalami peningkatan kadar jenayah yang mendadak, katanya.
Sarawak mencatatkan kadar jenayah kekerasan dan gangsterisme meningkat dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dan perkara ini telah dinyatakan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner II Tun Hisan Tun Hamzah April lalu.
Manakala pada bulan yang sama Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohd. Johari Baharom menyatakan kadar indeks jenayah membabitkan kes samun, penagihan dadah, perjudian dan gejala sosial di Wilayah Persekutuan mencatatkan peningkatan 40 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Katanya, tindakan demostrasi itu kerana penduduk Johor semakin gusar dengan keselamatan yang semakin mengancam berikutan kes jenayah yang banyak tidak dapat diselesaikan malah kejadian jenayah menjadi hingga dilaporkan satu kejadian rogol berlaku selang beberapa jam antara satu kes rogol yang lain.
Beliau juga turut kesal ada dakwaan yang mengatakan isu demonstrasi tersebut melibatkan perkauman memandangkan majoriti yang hadir membantah di hadapan rumah Menteri Besar Johor itu kebanyakannya penduduk dari keturunan Cina.
"Isu jenayah bukan perkauman, dan kejadian jenayah malah mangsa jenayah sendiri tidak mengenal bangsa atau latar belakang agama.
"Pihak-pihak yang berkenaan mesti terbuka dan melihat perkara ini sebagai isu nasional memandangkan keselamatan nyawa, harta dan maruah rakyat merupakan perkara sejagat bukan hanya tertumpu kepada kaum tertentu sahaja," katanya lagi.
Di samping itu, kabinet dan Polis Diraja Malaysia harus memandang serius masalah anggotanya yang tidak cukup sehingga dakwanya nisbah antara seorang anggota polis dengan penduduk di negara ini ialah sekitar 1: 2000 rakyat dan PDRM mestilah menggiatkan lagi usaha-usaha untuk merekrut anggota baru bagi menangani masalah yang meruncing ini.
Selain itu, PDRM juga disaran agar sentiasa memulihkan segera imejnya yang semakin tercalar dari masa ke masa sehinggakan menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan terhadap kewibawaan polis menjaga keselamatan negara dan orang awam dan ini terbukti apabila penduduk Johor terpakasa mengadakan demostrasi kerana kemungkinan kes-kes atau aduan mereka tidak dilayan 'sebaiknya' oleh PDRM.
Beliau yang tidak menyalahkan sepenuhnya kepada PDRM berikutan kadar jenayah yang meningkat tetapi memandang berat serta mengajak semua pihak sama ada daripada pihak parti pembangkang seperti PAS, Badan-badan bukan kerajaan dan rakyat mengembleng tenaga dan berkerjasama dalam menangani masalah jenayah yang kronik ini tanpa mengambil mengira latar belakang agama, bangsa dan ideologi politik masing-masing. - mks.

No comments: