Sunday, June 10, 2007

13 AJK profesional dalam DMPP

Saidah Hairan Sun Jun 10, 07 04:45:35 PM
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Mesyuarat pertama Dewan Muslimat PAS Pusat di bawah kepimpinan baru telah memutuskan melantik mantan Ketua, Ustazah Azizah Khatib Mat dan Timbalannya, Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali sebagai AJK tambahan bagi sesi 2007/2009.
Pelantikan itu disetujui sebulat suara oleh saf kepimpinan DMPP dan diumumkan oleh Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam sidang media kali pertama di Pejabat Agung PAS, jam 2 petang tadi.
Dalam sidang itu, Nuridah turut mengumumkan tujuh AJK tambahan lain iaitu Senator Wan Ubaidah Omar dilantik sebagai Bendahari; Salbiah Wahab (Wilayah Persekutuan) dilantik Ketua Penerangan; Hajah Kintan Osman (Melaka); Dr Wan Zalehah Mohd Salleh (Selangor); Dr Najihatus Solehah (Perak); Wan Fatimah Wan Teh (Kedah) dan Hamidah Daud (Terengganu).
Manakala Aiman Athirah Al Jundi yang dipilih oleh perwakilan untuk kekal dalam AJK DMPP turut dilantik sebagai Setiausaha DMPP.
Perwakilan Muktamar DMPP bagi kali ke-47 telah memilih Nuridah sebagai Ketua; Timbalan, Wan Hasrina Wan Hassan dan Naib Siti Zailah Mohd Yusoff.
Sepuluh AJK yang dipilih oleh perwakilan iaitu To' Puan Ustazah Fatimah Zainab Ibrahim (Terengganu); Rosiah Salleh (Wilayah Persekutuan); Munirah Athirah (Perak); Salamiah Mohd Noor (Pahang); Dr Halimah Abdullah (Selangor); Dr Siti Mariah Mahmud (Selangor); Mastura Mohamad (Selangor); Senator Mumtaz Mohd Nawi (Kelantan); Aiman Athirah Al Jundi dan Senator Wan Ubaidah Omar (Kelantan).
Fokus pilihan raya
Nuridah dalam sidang media itu menegaskan saf kepimpinan baru ini akan terus melaksanakan tugas gerak kerja pilihan raya ke negeri-negeri dengan dibahagikan kepada tiga kumpulan.
Beliau berkata, lawatan ke negeri itu akan dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan Ketua, Timbalan dan Naib.
Katanya, Pahang menjadi negeri pertama untuk dilawati pada 14 Jun ini bagi memberi motivasi kepada petugas pilihan raya khususnya golongan muslimat.
Apa yang menarik dalam saf kepimpinan DMPP sesi ini, 12 AJKnya mempunyai kelulusan akademik seperti Wan Hasrina (Ijazah Sains Matematik; Siti Zailah (Diploma Sains, ITM); Aiman Athirah (Sains Politik) dan hanya tiga pimpinan DMPP sahaja yang berkelulusan agama.
Dalam pada itu, Nuridah yang juga Ketua Muslimat Wilayah Persekutuan berkata, DMPP mencadangkan kepada Dewan Ulama supaya melantik dua orang muslimat sebagai AJK tambahan dalam Dewan Ulama PAS Pusat.
Katanya, Ulama perlu mengambil kira AJK mereka di kalangan muslimat kerana pengundi wanita mempunyai jumlah yang tinggi.
Berhubung perkahwinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Jeane Abdullah katanya, DMPP akan menghantar ucap tahniah kepada beliau dengan doa semoga mereka hidup bahagia hingga ke akhir hayat. - mns

No comments: