Saturday, June 9, 2007

Pemuda berjanji sediakan calon terbaik untuk PRU-12

Intan Abdullah Sat Jun 09, 07 04:37:39 PM
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Hrkh) - Pimpinan Pemuda akan mempersembahkan prestasi gerak kerja yang terbaik bagi menyediakan barisan calon muda untuk mengisi kuota calon pilihan raya umum ke-12 akan datang, kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub.
Jelasnya, Pemuda menyerahkan kepada pimpinan untuk menilai pemuda yang akan dipilih sebagai calon nanti kerana apa yang penting bagi beliau ialah amalan dan prinsip pemuda ialah bekerja dengan kuat serta komited dalam setiap tugasan yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka.
"Berdasarkan sejarah pilihan raya yang telah disertai PAS sebelum ini, saya berani menyatakan bahawa pimpinan muda ini selalunya diberi keutamaan dan sering mendapat tempat di dalam parti," tambah beliau dengan penuh keyakinan dalam sidang media selepas mengumumkan senarai penuh jawatankuasa kerja Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2007/2009 termasuk AJK lantikan.
Pemuda katanya lagi, bukan bermaksud untuk melobi pimpinan tertinggi parti apatah lagi untuk meminta kuota tertentu untuk memilih mereka (Pemuda) bagi diketengahkan sebagai calon nanti.
Walau apapun kata Salahuddin, Pemuda akan bersiap sedia untuk menjalankan gerak kerja pilihan raya dan beliau yakin setelah melihat gelombang kebangkitan pemuda yang berjaya mengadakan program Himpunan 15 ribu Pemuda di Kelantan pada Disember lalu.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah, Timbalan dan Naib Ketua yang baru Ustaz Nasruddin Hasan @ Tantawi serta Ustaz Azman Shapawi Abd Rani. - mns

No comments: