Tuesday, January 8, 2008

Tarikh pilihan raya, Khairy pindah beban BN kepada Pengerusi SPR

Wan Nordin Wan Yaacob Wed Jan 09, 08 12:40:44 am MYT
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) menyifatkan kenyataan pesimis Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang cuba memindahkan beban politik BN kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataannya berkata, Umno-BN memperalatkan Pengerusi SPR ini untuk kepentingan politik mereka.
Celupar
Begitupun kerana terlalu celupar kenyataan dangkal Rashid telah memakan Umno-BN sendiri, katanya.
"Dengan perkembangan terkini, apa sahaja kecelaruan politik yang berlaku, Umno-BN akan memindahkannya sebagai kesalahan Rashid," katanya.
"Bagi Pemuda PAS, hak mutlak Perdana Menteri untuk menentukan tarikh pilihan raya memang tidak dinafikan. Dan terlalu dangkal bagi Pengerusi SPR yang cuba mendakwa kononnya tahu tarikh pilihan raya.
"Mungkin SPR cuba memberikan gambaran betapa 'akrabnya' beliau dengan Perdana Menteri dan mungkin pada masa ini menjadi kroni nombor satu Perdana Menteri mengatasi Khairy sendiri," katanya.
Kebobrokan Pengerusi SPR gugat Khairy, BN
Tetapi ternyata kebobrokan Pengerusi SPR ini akhirnya bukan hanya menggugat pengaruh Khairy di Putrajaya, tetapi juga hampir melumpuhkan Umno-BN seluruhnya.
Khairy secara terbuka mendakwa keceluparan Rashid telah membuatkan Umno-BN terjerat apabila meletusnya isu-isu panas dalam politik negara kebelakangan ini.
Menurut Salahuddin, dengan masalah yuran sekolah yang dipaksa ke atas ibu bapa, bencana banjir, skandal seks Menteri Kesihatan, kenaikan harga minyak masak, tepung, tambang bas sekolah dan tol serta kemungkinan kenaikan harga petrol dalam masa terdekat ini membuatkan pemimpin BN panas punggung.
Apatah lagi apabila berlaku pergolakan politik Umno secara terbuka di Perlis dan Terengganu, selain perbalahan antara parti komponen BN, ujarnya.
Bagi Khairy, semua diambil kesempatan oleh pembangkang kerana 'tarikh pilihan raya' yang diunjurkan oleh Abdul Rashid, kata Salahuddin.
Rashid dapat 'signal' dari PM
Pemuda PAS percaya Rashid membuat kenyataan ini kerana telah diberikan 'signal' oleh bapa mertua Khairy yang juga Pengerusi BN, tetapi kenyataan liar Rashid telah membuatkan rakyat bertekad untuk menggunakan pilihan raya ini untuk mengajar Umno/BN sehingga Khairy berasa tidak senang dengan keadaan yang ada.
"Hakikatnya satu sahaja iaitu Umno-BN benar-benar tersepit kali ini. Tarikh pilihan raya sudah hampir telah dicanang oleh Pengerusi SPR yang telah diketahui oleh rakyat sebagai jurucakap Umno-BN. Rakyat percaya kepada Rashid dalam hal ini. Tetapi Umno-BN nampaknya tidak berani membubarkan Parlimen kerana suasana tidak begitu selamat," katanya.
Menurut Salahuddin, Khairy menyalahkan pembangkang kerana mempolitikkan isu-isu yang berlaku ini untuk pilihan raya selain puncanya kerana keceluparan Rashid.
"Pembangkang bila-bila masa pun akan memanfaatkan keadaan ini. Ia bukan soal kesempatan yang diambil oleh pembangkang. Tetapi masalah kelemahan Kerajaan BN dalam membela kepentingan rakyat, kerosakan moral pemimpin BN dan juga pergeseran sesama pemimpin BN yang memang berlaku," katanya.
Bila pemimpin BN 'berlakon' untuk menangani isu ini, memang rakyat akan menuduhnya sebagai taktik pilihan raya walaupun Khairy cuba menggambarkan sebaliknya.
Akhbar harian semalam melaporkan, Naib Ketua Pemuda Umno berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya boleh ditentukan dan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Justeru, katanya, tindakan Abdul Rashid baru-baru ini yang mengeluarkan kenyataan berbentuk spekulasi mendakwa sudah mengetahui tarikh sebenar pilihan raya adalah tidak wajar.
"Soalan (bila tarikh pilihan raya) tiada siapa yang boleh keluarkan kenyataan termasuk pemimpin-pemimpin politik kerana itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri.
"Jadi, saya pun tidak faham kenapa Pengerusi SPR (Ab. Rashid) boleh keluarkan kenyataan seperti itu, ia bukan kuasa dia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Keluarga Bahagia Masyarakat Ceria di Kepala Batas 7 Januari lalu.

No comments: