Wednesday, January 16, 2008

Dr Hatta, pemimpin PAS bersama sembilan individu diikat jamin.

Azamin Amin Foto Nasir Sudin
KUALA LUMPUR, 17 Jan (Hrkh) - Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli hari ini telah dikenakan ikat jamin sejumlah RM1,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan bagi pendakwaan melanggar perintah larangan berhimpun di bangunan Parlimen pada 11 Disember tahun lalu bersama sembilan individu yang lain.

Turut sama dikenakan ikat jamin sama ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Ustaz Nasruddin Tantawi,Timbalan Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah Salleh, AJK PAS Dr Lo' Lo' Ghazali dan Pengerusi protem Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Nasir Hashim.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Akta Polis seksyen 27 yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Jenayah 3 pada jam 10.58 pagi tadi dan mereka diwakili oleh peguam Hanipa Maidin, Muhammad Faiz Fadzil,Syed Zakaria Syed Zainal Abdin dan Latheefa Koya.
Sebelum ini Mahkamah Kuala Lumpur telah menetapkan perbicaraan kes 17 orang aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang ditahan bagaimanapun hanya 10 sahaja didakwa manakala sebahagiannya telah digugurkan pendakwaan antaranya seperti Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan dan Abdul Razak (kes kereta beliau yang terbakar di pekarangan balai polis).
Sementara itu dilaporkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tian Chua yang turut didakwa telah dikenakan ikat jamin sebelum ini berjumlah RM3,000 dan kesnya bakal didengar pada 16 dan 17 April depan.
Kesemua mereka ditangkap di hadapan pintu masuk Parlimen ketika cuba menghadiri program penyerahan memorandum bantahan Bersih terhadap pindaan rang undang-undang bagi melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) khususnya Pengerusi SPR dari 65 ke 66 tahun.
Dalam pada itu Arutchelvan menyatakan bahawa beliau sedang dalam pertimbangan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak berkuasa kerana telah melakukan tindakan salah tangkapan (unlawful detention) terhadap dirinya sebagaimana yang telah berlaku ke atasa Pengarah Pilhan Raya PAS Dato' Musrafa Ali dan lain-lain lagi.
"I'm looking into it. Penahanan saya tidak sah dan tidak berlaku sebarang perhimpunan sebagaimana yang didakwa ketika saya ditangkap,"katanya.
"Arahan penangkapan ini semata-mata untuk mewujudkan rasa takut di kalangan aktivis dan rakyat supaya tidak sekali-kali menyatakan bantahan dan protes terhadap kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan," katanya sewaktu ditemui di luar pejabat pembayaran ikat jamin di Mahkamah Jalan Duta pagi tadi.
Dilaporkan di Mahkamah yang sama turut berlangsungnya prosiding perbicaraan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi isu Pita Video perbualan Dato' VK Lingam yang menyaksikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hadir sebagi saksi manakala sebelah petangnya perbicaraan kes Arsenik yang melibatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim. - mks. -->

No comments: