Monday, August 13, 2007

Pembahagian kerusi di kalangan BA hampir selesai

Oleh Wajdi Mayusoh
Tue Aug 14, 07 02:13:17 PM
KOTA BHARU, 14 Ogos (Hrkh) – Petanda pilihan raya umum ke-12 semakin hampir dapat dilihat apabila Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mulai menjelajah ke seluruh negara bagi meraih sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Tidak kurang juga di kalangan pakatan Barisan Alternatif (BA). Perbincangan pembahagian kerusi di kalangan parti BA telah hampir selesai di kebanyakan negeri.

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, sebahagian besar perundingan di kalangan parti BA setakat ini berjalan lancar dan berjaya menyelesaikan pembahagian kerusi.

“Di Pahang misalnya hampir 100 peratus selesai, di Kelantan tidak ada masalah begitu juga di Terengganu, Wilayah Persekutuan, Kedah, Perak dan lain-lain negeri berjalan lancar,” katanya pada satu program di sini.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, pada pilihan raya umum kali ini PAS mensasarkan 40 kerusi parlimen untuk dimenangi di seluruh negara.

Menurut beliau sekiranya matlamat 40 kerusi menjadi kenyataan, PAS dapat memberi lebih banyak sumbangan kepada usaha pembaikan negara.

Bagaimanapun katanya, matlamat mencapai 40 kerusi parlimen bukan sesuatu yang mudah, dan PAS akan mengemukakan calon yang berwibawa dan boleh diterima masyarakat bagi mencapai matlamat tersebut.

Diminta mengulas mengenai keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan kaedah celup jari dalam dakwat pada pada pilihan raya ke 12 katanya, perkara itu sudah lama ditunggu parti pembangkang.

“Ini memandangkan Majlis Fatwa Kebangsaan telah membenarkan penggunaan kaedah mencelup jari dengan dakwat terhadap semua pengundi. Kaedah ini diharap dapat mengelakkan berlakunya penipuan dalam proses pengundian.

“Pengundian berkali-kali oleh seseorang pemilih boleh merosakkan undi orang lain serta menghilangkan suara orang ramai. Malah bagi saya tidak menggunakan dakwat itu menjadi satu dosa sebab memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menipu,” ujarnya.

Kata beliau sebarang penipuan melalui pengundian berulang kali boleh menyebabkan keruntuhan kepada sistem demokrasi di negara ini.

Semalam Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dilaporkan berkata, SPR memutuskan untuk menggunakan tanda dakwat pada jari pemilih pada pilihan raya umum akan datang. - mj

No comments: