Wednesday, August 8, 2007

Jangan pura-pura rujuk Majlis Fatwa - Dato' Kamarudin

Intan Abdullah Thu Aug 09, 07 12:46:18 PM
KUALA LUMPUR, 9 Ogos(Hrkh) - PAS mendesak kerajaan untuk merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu para mufti secara konsisten dalam pelbagai hal yang lain.
Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaafar berkata, PAS menyambut baik respon yang diberikan oleh pihak kerajaan selepas Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan untuk membenarkan penggunaan dakwat khas yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan telah meluluskan cadangan tersebut bagi menanda jari pengundi dalam pilihan raya umum akan datang kerana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Namun begitu, Kamarudin ketika bercakap kepada Harakahdaily mengingatkan kerajaan supaya mereka menjadikan Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai rujukan dalam memutuskan pelbagai tindakan dan peraturan terutamanya hal yang melibatkan hukum.
"Kerajaan seolah-olah tidak konsisten bahkan seperti bersikap berpura-pura merujuk kepada badan yang berautoriti tersebut dalam memutuskan sebarang isu, bahkan kemudian tidak mematuhi fatwa yang dikeluarkan oleh mereka," ujarnya sambil merujuk kepada fatwa mufti dalam kes 'jom heboh' anjuran Media Prima atau TV3.
Ujarnya, kerajaan yang kononnya mendaulatkan agenda Islam Hadhari ini sepatutnya menjadikan mufti sebagai rujukan utama dalam memutuskan sebarang tindakan terutamanya dalam menetapkan hukum penganjuran program hiburan, isu murtad, kedudukan agama Islam, isu mahkamah syariah dan sivil serta pelbagai isu yang berkaitan.
Beliau kesal kerana sejak kebelakangan ini, kerajaan semakin giat menganjurkan pelbagai program hiburan yang berselindung di sebalik perayaan sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-50, yang sedikitpun tidak prihatin dan sensitif akan hukum penganjuran aktiviti seumpama itu.
"Jangan ingkari atau permainkan keputusan dan fatwa yang telah ditetapkan setelah meminta mereka keluarkan sesuatu hukum," tegas beliau.
PAS ujarnya, akan memberikan bantuan kepakaran kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dalam usaha mengangkat syariat Islam sebagai landasan kehidupan bernegara.
Semalam, Pengerusinya Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata keputusan membenarkan penggunaan dakwat bagi celup jari dalam pilihan raya dibuat berdasarkan penjelasan dan hasil kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kimia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), demikian menurut laporan Bernama.
Katanya, kajian mendapati bahan dakwat yang tidak dapat dipadamkan itu tidak mengandungi unsur najis, tidak menyekat air atau telap air sampai ke kulit dan tidak mengandungi kemudaratan yang jelas untuk dipakai di jari atau kuku. - mks.

No comments: