Wednesday, August 22, 2007

Hina Negaraku: BN jangan jadikan alat politik murahan - Mahfuz

Azamin Amin Thu Aug 23, 07 12:28:56 PM
KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Hrkh) - PAS memandang serius isu penghinaan lagu Negaraku yang dilakukan oleh seorang pelajar sehingga ia menjadi topik yang diperbincangkan oleh tokoh-tokoh politik di negara ini.
Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar berkata pada prinsipnya, PAS bukan sahaja mengutuk perbuatan biadap tersebut, bahkan PAS mahu mereka yang bertanggungjawab itu dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
"Namun begitu, PAS amat kesal apabila Kerajaan BN gagal bertindak tegas, sebaliknya menjadikan isu ini satu polimik politik bacul untuk menangguk sokongan rakyat secara murahan," katanya melalui satu kenyataan medianya kepada Harakahdaily.
"Walaupun cerita tentang penghinaan ke atas lagu Negaraku, termasuk terdapatnya unsur-unsur menghina Islam dan Melayu di dalamnya sudah lama berlaku, tetapi Umno masih berpolimik dengan sekutunya, MCA sama ada perlu diambil tindakan atau tidak," katanya.
Perkara ini katanya sudah jelas dan tidak memerlukan sebarang polimik malah jelas perbuatan menghina lagu Negaraku samalah dengan menderhaka kepada negara.
"Tetapi nampaknya Umno sengaja menjadikan ia isu politik untuk menarik sokongan orang Melayu menjelang 31 Ogos ini, dan MCA pula cuba meraih simpati orang Cina," katanya
"Akibat permainan politik murahan ini, nasib lagu Negaraku sudah terumbang-ambing.
Bagi PAS, isu ini mestilah diselesaikan dengan membawa orang yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dan biar mahkamah yang memutuskan, bukannya pemimpin politik.
Katanya lagi, jika kerajaan BN boleh bertindak menggunakan ISA ke atas musuh-musuh politiknya yang belum tentu bersalah, mengapa kerajaan BN tidak bertindak mendakwa seorang yang sudah jelas kesalahannya.
Apapun keadaannya kata bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, sama ada MCA bersetuju atau tidak, kita tidak boleh bertolak ansur di atas perbuatan sebiadap ini terhadap negara, tetapi tindakannya mestilah mengikut undang-undang, bukannya sentimen politik.
PAS berpandangan di sebalik kejadian yang memalukan ini, ia didapati berpunca daripada kegagalan dasar Umno dalam memartabatkan Islam, katanya.
Para remaja katanya telah melihat bagaimana para pemimpin Umno sendiri sering kali menghina agama Islam, termasuk tindakan beberapa menteri Umno yang menandatangi bantahan terhadap cadangan 'moral policing', selain sokongan kepada IFC yang mendesak umat Islam dibenarkan murtad.
"Keadaan ini telah menimbulkan keberanian remaja tersebut untuk turut menghina Islam dan lagu Negaraku," kata Mahfuz dalam kenyataannya itu. - mns

No comments: