Saturday, December 9, 2006

Peraturan berpakaian : Hormatilah budaya kami - Nik Aziz

Oleh Wajdi Mayusoh
KOTA BHARU, 8 Dis (Hrkh) – Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat meminta wanita bukan Islam menghormati budaya dan adat resam orang Kelantan dengan berpakaian sopan sesuai dengan masyarakat setempat. Menteri Besar berkata, peraturan menutup aurat hanya melibatkan wanita Islam sahaja dan tidak melibatkan wanita bukan Islam.
Ini kerana katanya, majoriti rakyat Kelantan adalah orang-orang beragama Islam dan tidak suka memakai pakaian yang menjolok mata, yang jelas bertentangan dengan nilai agama dan budaya.
Mengulas mengenai bantahan daripada segelintir wanita, beliau berkata peraturan menutup aurat bagi wanita Islam merupakan suruhan agama maka amat tidak wajar jika wanita Melayu Islam sendiri membantah.
“Menjadi tanggungjawab bagi sebuah kerajaan Islam untuk memastikan setiap peraturan dan undamg-undang Islam terlaksana termasuk dalam soal peraturan menutup aurat bagi wanita Islam,” ujar beliau.
“Dalam kawasan rumah mereka bebas untuk berpakaian, tapi bila keluar rumah dan terbabit dengan orang ramai, perlu ada peraturan tertentu termasuk soal cara berpakaian,” jelasnya kepada wartawan selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini kelmarin
“Lebih-lebih masalah rogol dan keruntuhan akhlak semakin banyak dan berkembang, bukannya semakin berkurang. Kerana itu Islam awal-awal lagi menetapkan peraturan berpakaian yang kita panggil menutup aurat sebagai langkah mencegah perkara tidak bermoral dalam masyarakat”.
“Peraturan ini peraturan Islam dan perintah Allah, bukannya peraturan yang dibuat PAS sepatutnya mendapat sokongan bukan bantahan,” ujarnya kesal.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Haji Takiyuddin Hassan berkata, berkaitan peraturan berpakaian menutup aurat bagi wanita Islam ia bukan perkara baru kerana telah dikuatkuasakan sejak tahun 1989 lagi.
Menurut Takiyuddin, kenyataan atau dakwaan yang mengatakan berpakaian seksi akan didenda RM500 itu tidak benar. Kerana RM500 itu kadar maksimum, bukan denda mandatori.
“Kompaun atau denda itu bergantung kepada keadaan seseorang ia bukan mandatori, malah tidak ada lagi setakat ini yang didenda sehingga RM500,” katanya.
“Bagi kaum bukan Islam kerajaan negeri tidak berhasrat menguatkuasakan peraturan kerana kita lebih kepada pendekatan mendidik dan meminta kerjasama mereka untuk menghormati sensitiviti masyarakat.”
Katanya setakat ini tidak ada wanita bukan Islam yang dikenakan tindakan kompaun. - mr

No comments: