Tuesday, December 5, 2006

BPR perlu siasat akaun pengendalian Monsoon Cup

Azmi Yusof Wed Dec 06, 06 12:36:10 AM
MARANG, 6 Dis (Hrkh) - Badan Pencegah rasuah (BPR) diminta menyiasat perjalanan pengendalian beberapa projek kerajaan negeri termasuk Monsoon Cup memandangkan wujud unsur-unsur yang meragukan dalam pengurusan kewangan projek-projek terbabit.
Bercakap kepada Harakah di kediamannya dekat Rusila, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, walaupun penganjuran Monsoon Cup menelan belanja ratusan juta ringgit, penyata pendapatan dan perbelanjaan program itu tidak pernah diaudit.
"Ini diakui sendiri oleh Laporan Ketua Audit Negara dalam Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu Tahun 2005 pada muka surat 35," ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah membentuk dua akaun amanah iaitu Akaun Amanah Program Penganjuran Monsoon Cup negeri Terengganu dan Amanah Projek Pembangunan Pulau Duyong pada awal September 2005 bertujuan mengakaunkan pembiayaan program Monsoon Cup yang diadakan setiap tahun.
Akaun Amanah Projek Pembangunan Pulau Duyong pula, jelasnya adalah untuk mengakaunkan perbelanjaan bagi projek pembangunan di Pulau Duyong.
"Kedua-dua akaun ini dikawal oleh Pegawai Kewangan Negeri dan sumber utama akaun ini adalah melalui peruntukan kerajaan Persekutuan. Kedua-dua akaun amanah perlu dikemukakan untuk diaudit tidak lewat daripada 31 Mac setiap tahun," ujarnya.
Bagaimanapun, jelas beliau, sehingga kini kedua-dua akaun amanah itu tidak dikemukakan untuk diaudit malah tidak semua perbelanjaan berkaitan diakaunkan terutamanya perbelanjaan yang dibuat di peringkat jabatan dan agensi negeri. Ustaz Abdul Hadi turut mempertikaikan kewajaran pembinaan projek Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam yang memuatkan replika-replika masjid.
"Ini bukan tamadun Islam. Ini tamadun jahiliah yang menggunakan nama Islam yang juga menelan belanja yang begitu besar yang tidak memberi pulangan kepada rakyat negeri," katanya.
Kerajaan negeri, jelasnya perlu mengutamakan projek-projek yang memberi kesan langsung kepada rakyat yang kini dibebani dengan kenaikan harga minyak dan barang keperluan harian.
Beliau turut kesal kerana kerajaan negeri meneruskan trend berhutang untuk melaksanakan projek pembangunan. - mks.

No comments: