Tuesday, November 14, 2006

Presiden PAS Lawat Dr Mahathir di IJN

Presiden PAS lawat Dr Mahathir di IJN Dilulus terbit oleh Webmaster pada Tuesday, November 14 @ 07:02:30 MYT

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama beberapa pemimpin tertinggi lain, menziarahi Tun Dr Mahathir Mohamad di Institut Jantung Negara (IJN) jam 11 pagi tadi.Ketibaan beliau bersama Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali dan AJK PAS, Haji Mahfuz Omar disambut pihak pengurusan IJN serta Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Dato' Ibrahim Ali.
Ustaz Hadi meluangkan masa hampir setengah jam berbual dan beramah mesra dengan Tun di Wad Bunga Raya A5. Sewaktu beliau tiba, turut kelihatan menziarahi Tun ialah Menteri Pelancongan, Dato' Seri Tengku Adnan Mansor dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Abdul Aziz Shamsuddin.
"Alhamdullilah, beliau kelihatan semakin baik, berbual mesra dan ceria," kata Ustaz Hadi ketika ditanya wartawan Harakahdaily mengenai kesihatan Tun.
"Kami hanya berbual hal-hal kesihatan sahaja," katanya.
Ustaz Hadi turut mendoakan agar Tun pulih dan sihat seperti sediakala dan mengharapkan agar Tun dapat menyumbangkan buah fikirannya kepada negara.
"Walaupun beliau sudah bersara, buah fikiran beliau sebagai seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri perlu dihormati," katanya.
"Walaupun PAS sebagai pembangkang, PAS tetap menghormati pandangan beliau yang perlu diambil kira oleh rakyat dan negara," katanya.
Beliau bersama pimpinan PAS keluar dari wad IJN kira-kira jam 11.30 pagi dengan dikerumuni oleh pihak media yang sememangnya sudah 'berkampung' di IJN semenjak Tun dimasukkan pada 9 November lalu kerana menghadapi serangan jantung ringan. - lanh

No comments: