Wednesday, November 22, 2006

Bukan ucapan dasar tetapi sekadar angan-angan Presiden Umno
Thu Nov 23, 06 12:39:54 PM Oleh Harakahdaily

Mangsa pertama polemik antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Zaharin Mohd Yasin yang dipecat daripada Umno, berpendapat Abdullah tidak menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Umno sebaliknya ia sekadar ucapan biasa di seminar pembangunan.
Katanya, 12 gagasan yang dicatatkan Abdullah tidak disentuh, malahan ucapan tersebut dianggap sebagai penerangan laporan Presiden Umno dan angan-angan beliau.
Berikut disiarkan wawancara Zaharin yang disiarkan dalam Harakah bilangan 1324 yang sedang berada di pasaran:
Mukriz Mahathir dilaporkan berkata tidak ada perkara baru dalam ucapan dasar Presiden Umno baru-baru ini, saudara pula bagaimana?
Bukan sahaja tidak ada perkara baru, ia bukan ucapan dasar yang memerlukan sokongan dan kelulusan Perhimpunan Agung Umno, ia ucapan biasa dan sesuai diucapkan dalam Parlimen atau Seminar Pembangunan.
Ucapan dasar mesti mengandungi hala tuju parti dalam berbagai isu kepentingan negara dan bukannya gagasan yang diulang, setelah dijadikan manifesto pilihan raya umum, semua orang sudah tahu apa yang akan dibuat oleh Umno dan BN jika menang.
Apa yang hendak diketahui, oleh ahli Umno dan rakyat adalah soal beberapa dasar Presiden Umno sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebagai contohnya, dasar pensyarikatan Malaysia dan dasar pengswastaan? Adakah hapuskan dan diganti dengan dasar PFI (Inisiatif Pembiayaan Swasta)?
Adakah wawasan 2020 sudah ditukar ke Misi Nasional? Bagaimana dasar luar, masih kekal tidak akan mengiktiraf Israel dan pendirian Malaysia terhadap kuasa besar Amerika yang masih berada di Iraq.
Semua ini tidak disentuh. Gagasan 12 perkara, bukan dasar Umno dalam satu-satu subjek, ia hanya menerangkan laporan Presiden Umno dalam angan-angannya.
Kalangan Pemuda Umno termasuk ketuanya, Hishamuddin Hussein, memberi reaksi keras terhadap kenyataan Mukhriz itu.
Pertama Dato' Mukhriz Mahathir hadir dalam perhimpunan sebagai perwakilan terpilih mewakili Umno Kubang Pasu.
Dia anak bekas Presiden, dia mengikuti perkembangan bapanya 22 tahun dulu. Yang terpenting dia tahu bukan sekadar tulisan, lisan malah misi sebenarnya bapanya.
Mungkin Mukhriz bermaksud ucapan Presiden Umno itu, pernah diucapkan bapanya atau dilaksanakan. Soalnya kenapa semua orang melatah kepada kenyataan itu?
Bila dia diserang dari semua arah dan dari kalangan pemuda Umno dan Presiden Umno, ia maka membuktikan dengan fakta bahawa ucapan Abdullah hanya betul-betul sebagai retorik sahaja.
Cuba baca semula para 9 ucapan Dasar itu,"Saya berpegang bahawa negara yang bercakap kepada bangsanya harus mempunyai saluran membolehkan kebimbangan rakyat dapat diluahkan.
Kritikan konstruktif digalakan. Percanggahan pendapat dilihat secara objektif dan tidak semestinya dianggap sebagai tentangan terhadap kerajaan." Soalnya benarkah dari segi realitinya?
Ramai yang kurang yakin bahawa masalah Abdullah hanya bermula dengan isu AP, jambatan bengkok, Proton, penguasaan Tingkat 4 JPM seperti dibangkitkan Dr Mahathir. Isu pokok ialah kepimpinannya yang begitu lemah dan boleh memudaratkan negara.
Saya tidak nampak isu-isu ini sebagai isu puncak, kritikan Tun kepada Abdullah, sebaliknya ada 'isu sembunyi' yang menjadikan penyebab Tun mengkritik dan terus mengkritik PM.
Perpatah China mengatakan 'Emas tidak akan takut kepada api' yang bermaksud kalau emas dibakar, dia akan tetap menjadi emas semula.
Berbagai cara dilakukan Abdullah untuk menghapuskan entiti Tun, namun jasanya tetap dihargai.
Isu sebenarnya ialah, dasar yang dibuat pada zaman Tun, adalah perancangan yang perlu diteruskan oleh pengantinya untuk beberapa tahun, setengah darinya sudah diubah dan tidak dipakai terus, ini menjadi kemarahan dan kritikan.
Untuk tempoh 16 bulan setelah pengisytiharan perletakan jawatan Tun sebagai PM, tentulah Tun sudah memberi panduan dan tunjuk ajar ke semua dasar yang perlu diteruskan oleh penganti.
Sudah pasti dalam bimbingan itu Abdullah mengatakan, 'Yes Sir (panggilan Menteri kepada PM), saya akan teruskan' tetapi semuanya bertukar bila menjadi PM, 'No Sir dasar-dasar Tun itu'.
Mahathir kini berehat selepas serangan jantung tempoh hari. Apakah jangkaan saudara terhadap langkah Mahathir seterusnya, mungkinkah beliau akan mempertingkatkan lagi kritikannya, atau mengendurkannya, dan bagaimana pula tindakbalas daripada Umno?
Tun Dr Mahathir akan berterusan mengkritik Abdullah selagi beliau tidak mengaku secara terbuka untuk berterima kasih kepada Tun kerana melantiknya sebagai TPM dan seterusnya PM.
Setengah pihak melihat ianya berlawanan dengan sikap Tun bila mula memilih seorang TPM, sebaik sahaja dilantik sebagai PM oleh Dato' Hussein Onn yang bersara, dengan menyerahkan kepada perwakilan Umno untuk memilih samada Dato' Musa Hitam atau Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.
Sepatutnya dengan kuasa Presiden Umno, beliau boleh membenarkan jawatan Timbalan Presiden Umno dipertandingkan pada tahun 2000 dan jangan campur tangan langsung.
Sebaliknya beliau sendiri membuat kenyataan, jawatan itu tidak dipertandingkan.
Orang Umno yang punya minda feudal akan terus mempertahankan 'tuannya', walau pun tuannya membawa ke lubang gaung. Dia hanya akan sedar dan melawan tuannya, bila dia di dalam gaung tetapi tuannya di atas gaung. Semua sudah terlambat.
Ramai orang masih tertanya-tanya apa motif sebenar Mahathir mengkritik dan menyerang kepimpinan Abdullah. Beliau tidak mungkin mahukan jawatan PM balik atau mahu meletakkan orang lain sebagai PM?
Tun tidak punya apa-apa motif pun kecuali untuk menyelamat diri dia dan nama agung dan hebat yang diberi oleh rakyat dan setengah masyarakat dunia.
Dengan mengkritik Abdullah, dia mempunyai kepercayaan bahawa jika esok berlaku sesuatu kepada Umno dan Melayu dan negara dia tidak akan disalahkan. Dia akan dapat pujian kali kedua jika dia betul. Tetapi sebenarnya, Tun patut dipersalahkan kerana melantik Abdullah sebagai TPM dan PM 'secara Putera Mahkota'
Selepas dipecat daripada Umno, boleh kami tahu kegiatan politik Saudara sekarang?
Saya tunggu tiga tahun untuk merayu semula. Tetapi jika Abdullah masih presiden, saya tidak bersedia merayu dan kekal sebagai seorang Warga negara dan penyokong Umno dari luar.
Sebelum saya sertai Umno, saya mesti pastikan Abdullah tidak memegang jawatan presiden atau PM, jika ada sesiapa ahli Umno bertanding jawatan presiden, saya akan memberikan sokongan dan berkempen untuknya.
Tetapi saya lebih yakin dengan cara demokrasi pilihan raya. Jika pada PRU akan datang BN dan Umno tidak dapat pertahankan jumlah kerusi kemenangan PRU 2004, kalau tidak kalah pun, jika ia mengurangkan majoriti BN di Parlimen dan Dun dan jika Abdullah bermaruah dia mesti meletakan jawatan kecuali dia 'gila' dengan jawatannya.
Saya sudah mula berceramah di atas pentas PAS dengan dimulakan di Kawasan Pokok Sena ada 17 November 2006 dan kemudian di Selangor, tumpuan saya, ialah menerangkan sikap ciri-ciri kemunafikan pemerintahan Abdullah.
Sekiranya Umno/BN tewas dalam PRU yang akan datang, dia bukan memberikan kepuasan kepada saya.
Saya bertindak Brutus kepada Umno bukan saya tak sayang kepada Umno tapi sayang lagi kepada Melayu. Apa akan jadi dengan Melayu, jika Umno dan negara dipimpin oleh seorang yang pada awalnya menjadikan Islam landas perjuangannya tetapi sekarang memperalatkan Islam untuk kepentingannya.Terima kasih. - mr

No comments: