Tuesday, July 1, 2008

Kesan kenaikan harga minyak, jangan abaikan pesara - Nasharudin

Nyza Ayob Wed Jul 02, 08 11:07:14 am MYT
KUALA LUMPUR, 2 Julai(Hrkh) - Ustaz Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) menyarankan agar kerajaan tidak mengabaikan golongan pesara kerajaan tatkala golongan ini turut merasai beban kenaikan harga minyak ketika ini.
Beliau berkata demikian sewaktu membahaskan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke -9 di Dewan Rakyat semalam.
Katanya, kesan kenaikan kos hidup begitu membebankan seluruh rakyat termasuk golongan yang bergantung semata-mata pada pencen.
Katanya tuntutan yang dibuat Persatuan Pesara Kerajaan baru-baru ini wajar diberi perhatian oleh kerajaan memandangkan jasa golongan kepada negara.
Jelas Nasharudin, antara tuntutan pesara ini ialah agar kadar pencen tidak lagi dibayar berdasarkan separuh daripada gaji pokok terakhir tetapi dinaikkan sebagaimana amalan di negara lain.
Tambahnya, di negara seperti Sri Lanka dan Singapura, pencen pesara kerajaan dibayar rerdasarkan seratus peratus gaji pokok terakhir sebelum bersara.
"Jika tidak dinaikkan pada kadar 100 atau 90 peratus, sekurang-kurangnya antara 60 ke 75 peratus buat peringkat permulaan,"katanya.
Sementara itu,dalam ucapannya juga Nasharudin mengharapkan kerajaan lebih serius dalam membangunkan kewangan Islam.
Katanya, beberapa badan dan agensi kewangan dan pelaburan milik kerajaan termasuk yang memperjuangkan ekonomi bumiputera sebenarnya masih menjalankan kaedah ekonomi konvensional.
"Saya juga yakin ramai yang akan mengalukan sekiranya KWSP setakat Mac 2008 telah mengumpulkan caruman sejumlah 320.32 bilion dikendali dan diurus mengikut sistem kewangan Islam.
"Bagaimana kita mahu berjaya dalam meningkatkan perjuangan ekonomi bumiputera tetapi kita membelakangkan kehendak dan tuntutan syariat,"katanya.
Dalam ucapannya, Nasharudin turut menyentuh mengenai kadar kemiskinan rakyat tetap meningkat walaupun kerajaan mengatakan ianya telah berkurangan.
"Perdana Menteri mensasarkan di penghujung Rancangan Malaysia ke -Sembilan nanti pada 2010 kemiskinan tegar dapat dihapuskan.
"Kita mendoakan agar kemiskiann tegar ini dapat dihapuskan walaupun ia hampir pasti tidak dapat dilakukan. Cuma, apakah langkah-langkah yang sedang dan bakal diambil dan apakah langkah-langkah tersebut realistik untuk menghadapi kebarangkalian bagi menghapuskan kemiskinan tegar," katanya.
Nasharudin kecewa kerana masih terdapat sekolah-sekolah di kawasan luar bandar yang agak dhaif yang perlu diberi perhatian kerajaan./wann _

No comments: