Tuesday, July 29, 2008

Isu muzakarah: Pemimpin akar umbi PAS mahukan penjelasan

Basiron Abdul Wahab Tue Jul 29, 08 3:47:18 pm MYT
TEMERLOH, 29 Julai (Hrkh) ? Para pemimpin PAS di peringkat akar umbi menggesa PAS Pusat segera menangani sebarang perbezaan pendapat ekoran isu Muzakarah PAS-Umno.
Yang Dipertua PAS kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf berkata, serangan berterusan media arus perdana terhadap PAS dalam isu berkenaan sedikit sebanyak mengelirukan pemikiran ahli PAS di peringkat pertengahan dan bawahan.
Katanya, bahagian penerangan dan gerak saraf parti perlu diberi suatu penjelasan rasmi dari PAS Pusat mengenai perkara itu supaya unit berkenaan dapat memberi penjelasan dan membalas serangan lawan dengan berkesan.
sebagai pemimpin PAS peringkat kawasan, beliau menerima banyak panggilan daripada ahli bertanyakan perkara tersebut dan sukar bagi beliau untuk memberi jawapan yang tepat mengenainya ekoran kekurangan maklumat.
"Elok jika PAS Pusat segera menangani isu berkenaan, kelewetan akan menyebabkan ahli tertanya?tanya dan ternanti-nanti untuk mendapat maklumat yang tepat sedangkan media lawan terus menyerang dari segenap sudut," ujarnya.
Beliau yang juga ketua Dewan Ulama PAS Pahang berkata, pemimpin tertinggi parti telah mengambil pendekatan yang betul dengan merahsiakan isu berkenaan sebagai suatu rahsia parti, tetapi Umno yang dilanda krisis telah mengambil peluang membocorkannya kepada umum demi kepentingan politik mereka.
Justeru, PAS perlulah bertindak proaktif melawan balik strategi lawan dengan lebih berkesan.
Yang Dipertua PAS Paya Besar, Ustaz Yusuf Embong menggesa pemimpin PAS Pusat mengambil serius isu yang dibangkitkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar dalam kenyataan permohonan maafnya seperti disiarkan Harakahdaily.
Kenyataan Mahfuz itu, katanya mendedahkan beberapa kelemahan dalam pentadbiran parti yang perlu ditangani segera.
Yusuf mengesyorkan mesyuarat khas membincangkan isu pertemuan PAS-Umno dilaksanakan segera agar suatu keputusan yang padu dapat dibuat dan diambil tindakan segera.
Mahfuz dalam surat terbukanya kepada ahli, penyokonbg dan pengundi PAS antara lain memohon maaf atas kenyataannya sebelum ini yang menafikan wujud pertemuan PAS-Umno.
"Kenyataan yang saya buat sebelum ini bukanlah atas sifat peribadi saya, tetapi dibuat atas kapasiti sebagai Ketua Penerangan PAS berdasarkan keputusan parti yang mengarahkan saya berbuat demikian.
"Saya tidak menyalahkan pimpinan PAS yang mengarahkan saya berbuat demikian, tetapi ia adalah kesalahan beberapa individu yang gagal memberikan maklumat sebenar kepada pimpinan PAS.
"Tindakan mereka merahsiakan perkara-perkara tertentu berkaitan pertemuan dengan Umno telah menyebabkan pimpinan PAS mengambil pendirian bahawa tiada pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno.
"Saya berharap individu terbabit dapat tampil ke hadapan membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan penyokong PAS tentang pertemuan berkenaan termasuk butir-butir perbincangan seperti yang didedahkan oleh Presiden Umno baru-baru ini," kenyataan Mahfuz dipetik.
Yusuf menambah, walaupun permohonan maaf Mahfuz memberi sedikit gambaran kepada situasi sebenar yang berlaku, namun ia tetap mengundang perlbagai persolan di kalangan ahli bawahan.
Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Cameron Highlands, Ustaz Ahmad Ludin juga mahu pimpinan PAS Pusat segera membuat keputusan rasmi berkaitan isu berkenaan seterusnya segera mengadakan suatu taklimat khas kepada para pimpinan PAS Kawasan.
"Kami di pedalaman ini kurang mendapat akses internet, maklumat kami bergantung kepada maklumat lisan yang amat terbatas daripada pihak atasan yang sentiasa ditunggu-tunggu sedangkan media arus perdana terus menyerang setiap hari.
"Adalah baik sekiranya PAS Pusat segera bertindak sebelum lawan menyerang dengan lebih hebat lagi,? ujarnya.- tajdid_

No comments: