Monday, June 9, 2008

Rakyat makin fakir akibat tindakan kerajaan

Nurul Nuha Tue Jun 10, 08 8:41:31 am MYT
KUALA LUMPUR,10 Jun (Hrkh) - Kerajaan sebagai pembuat dasar boleh membatukan diri, tetapi rakyatlah yang menderita akibat bebanan kenaikan harga minyak, tegas ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub dalam satu sidang media di parlimen semalam.
"Saya tidak boleh bayangkan betapa 'fakirnya' kakitangan bawahan yang tinggal di Kuala Lumpur ekoran bencana inflasi ini sedangkan kerajaan masih enggan menaikkan gaji kakitangan hingga ke tahap gaji minimum," katanya.
Isu utamanya, sambung beliau lagi,adalah kesan berantai dan tekanan inflasi yang mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung peningkatan kos hidup yang memeritkan.
"Hakikatnya, kerajaan tidak berupaya memberi satu alasan bagi menyekat kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berlaku secara mendadak," jelas beliau.
Salehuddin turut menegaskan bahawa tiada sebarang pendekatan yang ampuh diambil kerajaan dalam mengatasi masalah ini.
"Rakyat marhaen melihat arahan menteri menegur pengusaha-pengusaha bas menaikkan harga tambang sebagai arahan tidak logi," tambahnya lagi.
Beliau yang ditemui dalam sesi penyerahan memorandum kepada Tan Sri Yang Di-Pertua Dewan Rakyat menggesa agar diadakan perundingan untuk mencari penyelesaian konkrit antara wakil-wakil yang terlibat.
"Rundingan dan persepakatan yang dicapai diharap dapat memberi kepuasan kepada rakyat dan kerajaan dengan situasi menang-menang,"katanya.
Sebagai mewakili ahli-ahli Parlimen PAS, beliau juga memohon Yang Di-Pertua Dewan Rakyat untuk memanggil satu persidangan tergempar Dewan Rakyat.
"Persidangan itu dibuat bagi membolehkan satu isu besar yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara boleh dirunding sewajarnya," tegas Salehuddin mengakhiri sidang media tersebut. - mks._

No comments: