Friday, June 13, 2008

Himpunan aman amaran awal rakyat pada PM

Saidah Hairan Sat Jun 14, 08 9:48:43 am MYT
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) - Himpunan aman rakyat Malaysia yang membantah kenaikan harga minyak merupakan amaran awal kepada Perdana Menteri dan Timbalannya supaya menurunkan harga petrol dan diesel sebelum mereka melakukan perhimpunan lebih besar
Perhimpunan aman pada awalnya dirancang petang semalam menuju ke Suria KLCC terpaksa dibatalkan disebabkan halangan daripada Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) di beberapa jalan utama menuju ke bangunan berkembar tersebut.
Perarakan yang bermula di Masjid Jamek Kampung Baru itu turut di halang oleh pihak Polis di Jalan Raja Muda dan mereka terpaksa melalui Jalan Raja Alang dan terus ke Jalan Raja Laut.
Lebih 3000 peserta yang berarak terpaksa berhenti di hadapan kompleks membeli belah Sogo kerana semua jalan disekat. Mereka melaungkan slogan 'Turun...turun...harga minyak, BN turun, Pak Lah turun, Najib turun'. Di tengah pancaran matahari, peserta duduk bersimpuh di jalan tar yang panas mendengar ucapan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan pimpinan PAS serta KeADILan.
Mohamad Sabu mengajukan persoalan kepada peserta perarakan, "Apakah kita mahu membayar makanan pagi RM10, tengahari RM10, petang RM10?"
Serentak kedengaran laungan "Tidak mahu" bergema di sepanjang Jalan Raja Laut.
Sehubungan itu Mohamad mengingatkan himpunan rakyat akan diteruskan sehingga pemerintah menurunkan harga minyak.
"Apakah mereka tidak ingat mereka dipilih oleh rakyat, mereka tidak insaf walaupun rakyat telah menolak mereka dalam pilihan raya umum lalu,"katanya di hadapan Sogo.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub memberi amaran kepada Perdana Menteri bahawa perarakan petang ini menunjukkan isyarat supaya Abdullah mesti berhenti.
Ini kerana katanya, rakyat menjadi mangsa di atas kezaliman pemerintahan beliau.
"Kita mesti meneruskan bantahan sampai mereka menurunkan harga minyak," tegasnya.
Ucapan pimpinan PAS Pusat dan KeADILan itu diselang selikan dengan laungan; "Turun-turun...harga minyak; Turun-turun BN; Turun-turun Pak Lah, Turun-turun Najib".
Sementara itu, AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi turut mengingatkan Perdana Menteri dan Timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa himpunan rakyat itu memberi mesej kepada Umno-BN agar jangan mempermainkan rakyat.
Katanya, jika pemerintah Umno-BN terus mempermainkan rakyat, mereka mempunyai kuasa untuk menurunkan Umno-BN.
"Amaran awal kita rejim Umno-BN kalau tidak turunkan minyak dan tol rakyat akan berhimpun lebih satu juta pada 5 Julai nanti," tegasnya.
Beliau melaungkan, pimpinan BN hidup kaya akibat meragut hasil kekayaan negara.
Sementara itu Ketua Angkatan Pemuda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin melaungkan, kerajaan Umno-BN sudah gila kerana telah menaikkan minyak sebanyak 78 sen.
"Ini orang gila punya kerajaan. Tidak tahu masalah rakyat. Kita akan kutip satu juta tandatangan sebelum 5 Julai ini," jelasnya.
Beliau menjelaskan, kutipan tandatangan itu merupakan protes rakyat yang terbesar tercatat dalam sejarah politik tanahair.
Ucapan beliau itu disambut laungan orang ramai; "Minyak naik, rakyat geram'.
Dalam pada itu, Timbalan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Thantawi berkata, rakyat menghadapi pimpinan negara yang menipu.
Ini kerana katanya, sebelum pilihan raya Najib mengeluarkan kenyataan minyak tidak akan dinaikkan tetapi selepas pilihan raya minyak telah dinaikkan.
Beliau menjelaskan maksud hadis, 'mana-mana maruah pimpinan yang menipu rakyat mereka diharamkan Allah daripada masuk ke dalam Syurga'.
Tambah beliau, "Mana-mana pimpinan yang menyusahkan kehidupan rakyat mereka akan disusahkan kelak di akhirat."
Ucapan di hadapan Sogo itu diakhiri dengan bacaan doa oleh AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Peserta dan pimpinan PAS dan KeADILan meneruskan perarakan sehingga ke hadapan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.
Ketika peserta demonstrasi berpusing balik ke Pejabat Agung PAS, semua kenderaan bas, kereta, motor yang berhenti di lampu isyarat membunyikan 'hon' tanda memberi sokongan.
Peserta perarakan yang berhimpun di pejabat Agung terpaksa bersurai kerana pihak polis berkawal di hadapan pejabat itu.
Bagaimana tidak ada sebarang tangkapan dan kekasaran yang berlaku di sepanjang perarakan petang ini. - mks. _

No comments: