Tuesday, June 10, 2008

PM jangan cabar rakyat - Haron Din

Intan Abdullah Wed Jun 11, 08 1:05:47 pm MYT
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikkan harga minyak di pasaran pada ketika ini memperlihatkan seolah-olah mereka ingin mencabar kesabaran rakyat untuk berbuat sesuatu.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berkata sekarang ini kerajaan tidak prihatin dan tidak mempedulikan suara hati rakyat.
"Yang paling penting, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga rakyat menunjukkan bantahan barulah mereka hendak faham bahawa ianya tidak patut dibuat," tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Tambahnya, kerajaan sepatutnya mencari jalan yang lain untuk menghadapi situasi ini dengan mengelakkan kenaikan harga minyak yang turut mengundang kesan berantai yakni kenaikan harga-harga barangan keperluan lain.
"Kerajaan seperti membuat provokasi supaya rakyat bertindak dan bangkit, maka tidak hairanlah ada pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran.
"Walau bagaimanapun, saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada kerajaan agar mereka lebih bersimpati kepada penderitaan rakyat," katanya lagi.
Pada masa yang sama, Haron Din yang juga merupakan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu menyeru kerajaan agar menginsafi penderitaan yang terpaksa ditanggung rakyat.
"Jangan sesekali mengambil jalan mudah semata-mata untuk mengurangkan subsidi dengan menghukum rakyat dengan begitu berat kerana pada masa yang sama kerajaan turut mengaut keuntungan besar.
"Kita juga tertanya-tanya, ke manakah perginya keuntungan tersebut?" ujarnya.
Jelasnya, tugas utama kerajaan adalah menjaga kestabilan negara dan keselesaan rakyat yang membawa maksud kerajaan seboleh-bolehnya memberi suatu kehidupan yang selesa kepada rakyat tanpa membebankan mereka dengan masalah.
"Sekarang yang berlaku, kerajaan membebankan rakyat dengan bebanan yang ternyata amat berat di mana rakyat yang telah memilih kerajaan yang memerintah telah mendapat pulangan dalam bentuk terpaksa berbelanja yang di luar kemampuan mereka.
"Ertinya, keselesaan rakyat sudah menjadi bebanan, dan rakyat semakin hari semakin berat," ujarnya lagi.
Tegasnya, jika ini terus berlaku kesalahan ini tidak hanya boleh diletakkan kepada kerajaan sebaliknya rakyat yang telah mengundi mereka dalam pilihan raya lalu turut dipertanggungjawabkan.
"Pakatan Rakyat telah menyebutkan dalam pilihan raya umum lalu, bahawa sekiranya diberi peluang memerintah, harga minyak akan diturunkan dan sebaliknya bagi BN yang mahu menaikkan lagi harga minyak," katanya.
Oleh itu ujarnya, silapnya rakyat yang telah membuat pilihan untuk meneruskan perkhidmatan mereka yang akan menyusahkan kehidupan rakyat dan masa depan negara.
"Walau bagaimanapun, kerajaan BN tidak patut membalas rakyat yang tidak memberikan kemenangan yang besar dengan sedemikian gaya," ujarnya.
Hal ini disebabkan katanya, di negara-negara pengeluar minyak seperti Abu Dhabi, Arab Saudi dan Brunei harga minyak boleh didapati dengan murah dan rendah.
"Negara-negara pengeluar minyak ini biasanya membalas budi baik rakyat dengan mengekang harga minyak pada paras yang munasabah tetapi ianya berbeza di Malaysia, apabila kerajaan kita lebih mementingkan keuntungan dirinya dan negara, sehingga sanggup memaksa rakyat menanggung bebanan kos bahan bakar yang tinggi.
"Bebanan itu sebagai harga mereka memberi kepercayaan kepada Umno-BN," demikian ujarnya. - mks. _

No comments: