Monday, April 28, 2008

Nik Aziz tuntut Kerajaan Pusat minta maaf

Harakahdaily Tue Apr 29, 08 8:44:54 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 April - Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menuntut kerajaan Pusat meminta maaf kepada kerajaan dan rakyat Kelantan kerana kesalahan tidak menyalurkan bantuan tertentu kepada negeri itu sebagaimana mengikut amalan sistem demokrasi.
Bernama memetik Nik Aziz berkata, sejak 18 tahun yang lalu, Kelantan diperintah oleh PAS tidak menerima peruntukan untuk program perumahan kos rendah dan bantuan kelengkapan peralatan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sepatutnya disalurkan oleh kerajaan Pusat
"Terengganu sekarang minta kembali royalti minyak negeri itu. Kita juga ada hak untuk minta (peruntukan dan bantuan) kerana ia bayaran yang sepatutnya kami terima,
"Kenapa negeri lain dapat, kenapa Kelantan tidak dapat, sedangkan ini negara demokrasi," katanya kpada media selepas majlis angkat sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim semalam.
Beliau membuat desakan itu memandangkan kerajaan Pusat kini sudah sedar dengan kesilapan-kesilapan lampau dan sanggup membuat permohonan maaf.
Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata kerajaan pusat pimpinan Umno baru-baru ini memutuskan untuk membuat bayaran ex-gratia kepada bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abbas dan beberapa hakim lain yang dipecat berikutan krisis kehakiman pada 1988.
Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein yang juga Menteri Pelajaran meminta maaf kerana menjulang keris sewaktu Perhimpunan Agung Umno yang selama ini menjadi isu di kalangan rakyat Malaysia bukan Melayu. - mks.

No comments: