Wednesday, July 25, 2007

Raja Petra memang jangka akan disiasat polis

Harakahdaily Wed Jul 25, 07 04:41:32 PM
KUALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Raja Petra Kamarudin yang menguruskan laman web Malaysia-today menerima panggilan polis dari Balai Dang Wangi jam 8 pagi tadi untuk disoal siasat pada jam 11 pagi kata isteri beliau, Marina Abdullah.
"Saya tidak risau, hal ini memang sudah saya jangkakan, ini bukan kali pertama dia disoalsiasat," katanya kepada wartawan Anis Nazri dilokasi.
Menurut Marina, Raja Petra sempat membawa bersamanya salasilah keturunan keluarganya dan senaskhah kitab terjemahan al-Quran sebagai persediaan untuk disoal siasat polis.
"Dia akan membuktikan dia tidak sesekali bertujuan menghina YDP Agong kerana beliau sendiri datangnya dari keturunan berdarah raja, khususnya dari Selangor.
"Jika beliau dituduh sebagai menghina Islam, Petra akan bertanya pihak polis, pada ayat mana kesalahan yang dilakukan," tegasnya.
Sebelum ini katanya, Raja Petra pernah ditahan di bawah ISA dan dibebaskan dengan pelbagai syarat yang ketat, antaranya tidak dibenarkan keluar negara tanpa keizinan pihak berkuasa.
Kediaman mereka juga pernah beberapa kali di geledah polis dan beberapa peralatan komputer pernah dirampas pihak berkuasa.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua yang berada dilokasi, membidas polis yang jelas membuktikan mereka adalah alat politik Barisan Nasional.
Katanya, baru dua hari pemimpin BN membuat laporan terhadap Raja Petra, polis terus membuat siasatan.
"Ini jelas sikap tidak adil, berapa banyak laporan yang kami buat terhadap pemimpin BN, termasuk dengan bukti-bukti sekali, pihak polis hanya mendiamkan diri sahaja," bidas beliau.
Turut sama di Balai Polis Dang Wangi ialah Abdul Rahman Othman, berpuluh-puluh aktivis pembangkang dan para wartawan yang menanti sejak pagi tadi.
Sehingga kini Raja Petra masih disoal siasat dan sumber-sumber mengatakan kemungkinan jam 6.30 beliau dijangka dibebaskan. Berita lanjut menyusul.- mr

No comments: