Wednesday, July 25, 2007

Jika tolak gaji minima, MTUC piket serentak seluruh negara!

Azamin Amin Thu Jul 26, 07 01:14:14 PM
KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan piket pekerja serentak di seluruh negara sekali lagi berikutan tiada respon positif kerajaan terhadap tuntutan gaji minima swasta selama ini.
Presidennya Syed Shahir Syed Mohamud berkata perkara tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Am (General Council) MTUC pada 19 Julai lalu berikutan kenyataan-kenyataan pihak kerajaan yang dilihat menolak tuntutan tersebut.
MTUC memberi tempoh tiga minggu dari tarikh berkenaan untuk kerajaan memberi reaksi berhubung tuntutan Gaji Minimum RM900 dan Elaun Kos Sara Hidup RM300 bagi pekerja-pekerja di sektor swasta.
"Kali ini piket yang akan dilakukan lebih serius dan bakal melibatkan jumlah penyertaan yang lebih besar daripada golongan pekerja," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
"Dan jika kerajaan tidak memberi reaksi positif, dua minggu selepas piket itu kita akan adakan satu himpunan raksaksa para pekerja di Kuala Lumpur pula," katanya.
Tindakan ini katanya supaya memastikan kerajaan memandang serius terhadap nasib golongan pekerja bawahan ini dan tidak meremehkan tuntutan MTUC itu dengan menggunakan pelbagai alasan yang tidak tepat seperti ekonomi yang terjejas, pelaburan yang kurang, pekerja asing dan menyebabkan kos syarikat meningkat merupakan hujah mengaburi rakyat khususnya pekerja swasta ini.
Negara-negara seperti China, India dan Indonesia umpamanya melaksanakan dan mempunyai penyelarasan gaji minima para pekerjanya dan terbukti ianya tidak menjejaskan pelaburan negara masing-masing dan secara tidak langsung menyanggah kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato' Abdul Rahman Bakar yang mengatakan akan memberi kesan kepada pelaburan negara.
"Dan jangan jadikan alasan pekerja asing dan pembantu rumah untuk menafikan hak lebih 4 juta para pekerja yang terhimpit nasib dan kehidupan mereka berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.
Beliau berkata, alasan-alasan remeh ini juga menggambarkan kerajaan membelakangi kebajikan dan keperluan rakyat biasa yang rata-rata berpendapatan rendah.
“Tidak ada ertinya kita berbangga bahawa negara mencapai kemerdekaan sedangkan sebahagian besar rakyat masih berpendapatan rendah ditambah dengan kenaikan harga barang keperluan, tambang dan sebagainya,” katanya.
MTUC juga telah menghantar memorandum tuntutan gaji minimum kepada Perdana Menteri untuk dijadikan syarat dalam Akta Kerja 1955
Dalam hal berkaitan sebelum ini Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim menyelar kenyataan kerajaan yang memberi alasan tidak mahu melaksanakan gaji minimum.
"Dengan meningkatkan kuasa membeli kaum pekerja dan memberi insentif pelaksanaan gaji minima tidak akan membebankan syarikat malah memberi manfaat kepada produktiviti syarikat tersebut," jelasnya dalam kenyataan kepada Harakah.
Dalam pada itu beliau meminta Kementerian Sumber Manusia melakukan lebih banyak penyelidikan dalam melihat kebaikan yang diperolehi menerusi pelaksanaan gaji minima ini menyenaraikan kes di negara-negara maju berkaitan gaji minimum ini supaya dapat dirujuk.
Dalam Kesatuan Eropah (EU), 18 daripada 27 negaranya, misalnya Norway, Sweden, Finland, Denmark, Switzerland, Jerman, Austria, dan Cyprus tidak mempunyai undang-undang gaji minima tetapi bergantung kepada kumpulan-kumpulan majikan dan kesatuan sekerja untuk menetapkan gaji minima menerusi collective bargaining.
Bagi Kanada, perlembagaannya memberi kuasa kepada wilayah-wilayahnya untuk menggubal akta gaji minima mereka sendiri. Kadar terendah dalam Januari 2007 bagi tiga wilayah ialah C$7.00 sejam manakala kadar tertinggi ialah C$8.50 sejam.
Di Amerika Syarikat, mereka mempunyai Akta Gaji Minima 2007 yang menetapkan USD5.85 sejam 60 hari bermula dari tarikh 24 Julai 2007, kepada USD6.55 sejam bagi tempoh 12 bulan selepas 24 Julai 2008, dan akhirnya USD7.25 sejam selepas 24 Julai 2009. Akta tersebut juga membenarkan potongan kadar cukai sehingga USD5 billion bagi perniagaan kecil.
Bagi Australia, tambah Khalid, Suruhanjaya Gaji Adil (Australian Fair Pay Commission) ditubuhkan di bawah Pindaan Akta Perhubungan Tempat Bekerja 2005 yang dbertanggungjawab untuk menetapkan kadar gaji minima bagi pekerja di negara berkenaan. Pada 1 Disember 2006, Australia mengenakan kadar minima AUD$13.47 sejam atau AUD$511.86 seminggu. - mks.

No comments: