Wednesday, February 21, 2007

Jangan ada pihak pandang remeh isu murtad - Ustaz Hadi

Ekmal Yusof Thu Feb 22, 07 04:54:00 AM
TITI GANTUNG, 22 Feb (Hrkh) – Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Abdul Hadi Awang mengingatkan mana-mana pihak, khususnya pemimpin negara untuk tidak memandang remeh isu keruntuhan akidah di kalangan rakyat.
Menurut beliau gejala murtad bukannya perkara kecil, tetapi ia melibatkan maruah umat Islam, kerana itu ia merupakan persoalan pokok bukannya masalah remeh temeh.
“Jangan ada orang yang memandang remeh persoalan murtad kerana perkara ini bukannya boleh `dimain-mainkan”, ujar beliau.
Menurut beliau, gejala murtad mesti dibanteras dengan pengutkuasaan undang-undang dengan membentuk undang-undang murtad kerana Islam perlu dijaga dan dilindunngi agar penganutnya tidak sesuka hati bertindak menukar agama.
“Masuk Islam bukan macam masuk rumah, boleh keluar masuk, kerana itu Islam meletakkan hukuman pancung kepada mereka yang murtad kerana mereka telah mempermainkan Islam,” jelas beliau.
Ustaz Hadi Awang, berkata demikian ketika berucap melancarkan Bulan Penerangan Peringkat negeri Perak di Markaz PAS Kawaasan Parit baru-baru ini.
Menurut beliau, gejala murtad yang melanda negara ini bukanlah perkara baru, malah ianya sudah lama berlaku tanpa ada tindakan daripada pihak berwajib menerusi satu peraturan untuk mencegah ianya berlaku.
“Satu ketika dahulu kita dikejutkan dengan berita anak seorang imam dari Johor, Aishah Bukhari memeluk agama Kristian, begitu juga dengan seorang gadis dari Kampar, Hartina Kamaruddin turut dimurtadkan, tetapi undang-undang murtad tidak juga dibentuk bagi menghalang kejadian sempama itu”.
Tegasnya Undang-undang murtad, bukan bermakna Islam menghalang kebebasan beragama, tetapi ia bertujuan untuk menjaga agama, kerana seseorang itu tidak boleh dipaksa memeluk mana-mana agama tetapi apabila mereka memeluk agama Islam, mereka ditegah keluar agama Islam.
Sehubungan itu beliau meminta kerajaan menggubal undang-undang murtad secepat mungkin bagi menghalang merebaknya gejala murtad di negara ini. -jj/ mr

No comments: