Monday, November 27, 2006

Kerajaan Hadhari Minta ribut untuk Monsoon Cup

Posted on Monday, November 27 @ 11:53:50 MYT by webmaster
Oleh Pok Mat
Pada Jumaat awal bulan November, saya telah pergi bersembahyang Jumaat di sebuat masjid di tepi pantai Dun Tepoh. Secara umumnya, Isi khutbah pada hari tu adalah berkaitan dengan Monsoon Cup atau kapal layar. Saya tertanya-tanya pada diri saya, inilah yang dikatakan khutbah had-hari yang banyak membincangkan perkara dunia di dalam masjid secara sedar atau tidak sedar. Sedangkan perkara yang lebih besar pada masa itu ialah isu murtad, isu aqidah.Selepas je solat Jumaat, diumumkan untuk solat hajat minta angin kuat sempena monsun cup nanti. Terkejut besar saya, kerana minta bala dengan Allah. Maka bersolatlah mereka-mereka yang seangkatan monsun cup minta angin kuat bagi memudahkan kapal bergerak laju nanti, dan tak payahlah nanti guna enjin masa pertandingan nanti Inilah situasi masyarakat yang telah di beri faham tentang Islam had-hari yang dikatakan oleh Dr Mashitah sebagai pelengkap kepada Islam yang dibawa oleh Nabi SAW. Sepatutnya kita pakat solat hajat minta selamat aqidah dia minta mudah nak buat maksiat. Kita boleh lihat sekarang ni, kerajaan menghabiskan wang berjuta-juta untuk monsun cup sedangkan masa yang sama rakyat Terengganu ramai lagi yang perlu dibela. Wahai orang-orang UMNO.. insaflah dan bertaubatlah kamu sebelum bala menimpa. Akhbar Berita Harian hari ini 27 November mendedahkan keriauan penduduk terutama nelayan dan penguasaha bot penambang kerana pasir mendap dan menjejaskan rezeki mereka. Ikuti petikan berita tersebut. Pasir mendap jejas rezeki penduduk KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri diminta menyelesaikan masalah pemendapan pasir yang berlaku di muara Sungai Terengganu dan di beberapa alur sungai di Pulau Duyong, di sini sehingga menyebabkan pendapatan penduduk, termasuk nelayan dan pengusaha bot penambang terjejas. Penduduk, termasuk pengusaha bot penambang dan nelayan mendakwa punca utama mendapan pasir di muara sungai Terengganu dan di beberapa alur sungai berlaku disebabkan kerja pembinaan jeti untuk Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata penduduk terutama nelayan dan pengusaha bot penambang tidak membantah penganjuran Piala Monsun. Sebaliknya, katanya, mereka bimbang muara Sungai Terengganu dan beberapa alur sungai di sekeliling Pulau Duyong akan menjadi cetek dan tidak boleh dilalui bot sehingga menjejaskan pendapatan mereka. "Kita tidak menolak muara sungai dan beberapa alur yang sebelum ini dilalui bot nelayan dan bot penambang cetek disebabkan kerja-kerja pembinaan jeti Piala Monsun. "Kita bersimpati dengan masalah nelayan serta pengusaha bot penambang dan kita minta kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah air sungai yang semakin cetek disebabkan berlaku mendapan pasir," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Asas Homestay di Kampung Teluk Ketapang, di sini, semalam.Note: Turut dimuatkan petikan Berita Harian 27 Nov 2006Pasir mendap jejas rezeki penduduk"
Husam minta PM ambilkira pandangan timbalannya

Tue Nov 28, 06 05:35:55 AM Oleh Abu Bakar Rahman
KUALA LUMPUR, 28 Nov (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa menggesa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima dengan dada terbuka isyarat halus timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak mengenai aliran pelaburan masuk dari Singapura ke negara ini yang lebih besar dengan begitu ketara.
Ketika menyampaikan ucaptamanya pada persidangan serantau London Business School bertema "Mengembang di Asia: Cabaran-cabaran dan Peluang-peluang Baru" di sini semalam, Najib berkata, aliran pelaburan masuk dari Singapura adalah ketara lebih besar.
Beliau mengambil contoh kejayaan syarikat pegangan pelaburan Singapura, Temasek yang memasuki Malaysia dengan ketara dalam sejak beberapa tahun lalu.
"Bagaimanapun, sebaliknya, kita difahamkan bahawa usaha untuk mengenal pasti pemilikan-pemilikan yang sesuai di Singapura adalah lebih sukar bagi syarikat-syarikat Malaysia disebabkan oleh struktur ekonomi Singapura," katanya.
Sehubungan itu, Najib menggesa pihak berkuasa di Singapura supaya mengamalkan tahap sikap timbal balas yang lebih besar dalam mempermudah lebih banyak pemilikan Malaysia di dalam aset-aset di pulau itu.
Menurut beliau, pengaliran pelaburan duahala yang samarata dan seimbang adalah mempunyai kepentingan dan faedah bersama kepada kedua-dua negara.
Mengulas apa yang dibangkitkan oleh Timbalan Perdaan Menteri itu, Husam yang juga Exco kerajaan Kelantan menyatakan dalam blognya, http://cetusan-hati.blogspot.com/, "akhirnya kita mengakui Singapura sudah terkedepan menguasai kepentingan kita dan kita sendiri dengan mudahnya mengizinkan mereka berbuat demikian.
"Hari ini, kita merayu untuk mereka membuka ruang kepada kita untuk melakukan hal yang sama di negara mereka".
Beliau juga membangkitkan bahawa lebih empat bulan lalu Timbalan Perdana Menteri pernah menyatakan kerajaan akan mendapatkan butiran lanjut berhubung aktiviti pembelian kepentingan syarikat-syarikat besar tempatan oleh entiti asing terutamanya dari Singapura yang dilihat semakin rancak sejak dua tahun kebelakangan ini.
"Hingga kini, kita tidak dimaklumkan perkembangan usaha Najib mendapatkan butiran berkenaan. Ada butirannya atau tidak? Butirannya sudah terkumpul atau belum? Kalau belum terkumpul, di mana sangkutnya?" tanya beliau.
Bagaimanapun, apabila Najib berkata, aliran pelaburan masuk dari Singapura ke negara ini lebih besar dengan begitu ketara, Husam bertanya: "Bolehkah ia dianggap bahawa Timbalan Perdana Menteri telahpun mempunyai butiran tersebut?"
Jika Malaysia awal-awal lagi mempertimbangkan isu ini, katanya lagi, negara boleh mengambil pilihan menukarkan kepentingannya dengan kepentingan Singapura dan tidak hanya menjual kepentingan negara ini untuk mengaut keuntungan segera sama seperti sesetengah usahawan bumiputera yang selalu ditegur oleh kerajaan.
"Swap atau pertukaran kepentingan, akan membolehkan kita juga menguasai aset Singapura. Tetapi ini tidak berlaku. Kita ambil cash. Hari ini kita merungut.
"Alangkah elok, jika Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, mengambil kira pandangan Timbalannya sebelum ini, dalam isu yang penting ini. Nampaknya ia tidak berlaku. Penasihat-penasihat lain lebih berpengaruh, barangkali," kata Husam.

Sunday, November 26, 2006

Wednesday, November 22, 2006

Bukan ucapan dasar tetapi sekadar angan-angan Presiden Umno
Thu Nov 23, 06 12:39:54 PM Oleh Harakahdaily

Mangsa pertama polemik antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Zaharin Mohd Yasin yang dipecat daripada Umno, berpendapat Abdullah tidak menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Umno sebaliknya ia sekadar ucapan biasa di seminar pembangunan.
Katanya, 12 gagasan yang dicatatkan Abdullah tidak disentuh, malahan ucapan tersebut dianggap sebagai penerangan laporan Presiden Umno dan angan-angan beliau.
Berikut disiarkan wawancara Zaharin yang disiarkan dalam Harakah bilangan 1324 yang sedang berada di pasaran:
Mukriz Mahathir dilaporkan berkata tidak ada perkara baru dalam ucapan dasar Presiden Umno baru-baru ini, saudara pula bagaimana?
Bukan sahaja tidak ada perkara baru, ia bukan ucapan dasar yang memerlukan sokongan dan kelulusan Perhimpunan Agung Umno, ia ucapan biasa dan sesuai diucapkan dalam Parlimen atau Seminar Pembangunan.
Ucapan dasar mesti mengandungi hala tuju parti dalam berbagai isu kepentingan negara dan bukannya gagasan yang diulang, setelah dijadikan manifesto pilihan raya umum, semua orang sudah tahu apa yang akan dibuat oleh Umno dan BN jika menang.
Apa yang hendak diketahui, oleh ahli Umno dan rakyat adalah soal beberapa dasar Presiden Umno sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebagai contohnya, dasar pensyarikatan Malaysia dan dasar pengswastaan? Adakah hapuskan dan diganti dengan dasar PFI (Inisiatif Pembiayaan Swasta)?
Adakah wawasan 2020 sudah ditukar ke Misi Nasional? Bagaimana dasar luar, masih kekal tidak akan mengiktiraf Israel dan pendirian Malaysia terhadap kuasa besar Amerika yang masih berada di Iraq.
Semua ini tidak disentuh. Gagasan 12 perkara, bukan dasar Umno dalam satu-satu subjek, ia hanya menerangkan laporan Presiden Umno dalam angan-angannya.
Kalangan Pemuda Umno termasuk ketuanya, Hishamuddin Hussein, memberi reaksi keras terhadap kenyataan Mukhriz itu.
Pertama Dato' Mukhriz Mahathir hadir dalam perhimpunan sebagai perwakilan terpilih mewakili Umno Kubang Pasu.
Dia anak bekas Presiden, dia mengikuti perkembangan bapanya 22 tahun dulu. Yang terpenting dia tahu bukan sekadar tulisan, lisan malah misi sebenarnya bapanya.
Mungkin Mukhriz bermaksud ucapan Presiden Umno itu, pernah diucapkan bapanya atau dilaksanakan. Soalnya kenapa semua orang melatah kepada kenyataan itu?
Bila dia diserang dari semua arah dan dari kalangan pemuda Umno dan Presiden Umno, ia maka membuktikan dengan fakta bahawa ucapan Abdullah hanya betul-betul sebagai retorik sahaja.
Cuba baca semula para 9 ucapan Dasar itu,"Saya berpegang bahawa negara yang bercakap kepada bangsanya harus mempunyai saluran membolehkan kebimbangan rakyat dapat diluahkan.
Kritikan konstruktif digalakan. Percanggahan pendapat dilihat secara objektif dan tidak semestinya dianggap sebagai tentangan terhadap kerajaan." Soalnya benarkah dari segi realitinya?
Ramai yang kurang yakin bahawa masalah Abdullah hanya bermula dengan isu AP, jambatan bengkok, Proton, penguasaan Tingkat 4 JPM seperti dibangkitkan Dr Mahathir. Isu pokok ialah kepimpinannya yang begitu lemah dan boleh memudaratkan negara.
Saya tidak nampak isu-isu ini sebagai isu puncak, kritikan Tun kepada Abdullah, sebaliknya ada 'isu sembunyi' yang menjadikan penyebab Tun mengkritik dan terus mengkritik PM.
Perpatah China mengatakan 'Emas tidak akan takut kepada api' yang bermaksud kalau emas dibakar, dia akan tetap menjadi emas semula.
Berbagai cara dilakukan Abdullah untuk menghapuskan entiti Tun, namun jasanya tetap dihargai.
Isu sebenarnya ialah, dasar yang dibuat pada zaman Tun, adalah perancangan yang perlu diteruskan oleh pengantinya untuk beberapa tahun, setengah darinya sudah diubah dan tidak dipakai terus, ini menjadi kemarahan dan kritikan.
Untuk tempoh 16 bulan setelah pengisytiharan perletakan jawatan Tun sebagai PM, tentulah Tun sudah memberi panduan dan tunjuk ajar ke semua dasar yang perlu diteruskan oleh penganti.
Sudah pasti dalam bimbingan itu Abdullah mengatakan, 'Yes Sir (panggilan Menteri kepada PM), saya akan teruskan' tetapi semuanya bertukar bila menjadi PM, 'No Sir dasar-dasar Tun itu'.
Mahathir kini berehat selepas serangan jantung tempoh hari. Apakah jangkaan saudara terhadap langkah Mahathir seterusnya, mungkinkah beliau akan mempertingkatkan lagi kritikannya, atau mengendurkannya, dan bagaimana pula tindakbalas daripada Umno?
Tun Dr Mahathir akan berterusan mengkritik Abdullah selagi beliau tidak mengaku secara terbuka untuk berterima kasih kepada Tun kerana melantiknya sebagai TPM dan seterusnya PM.
Setengah pihak melihat ianya berlawanan dengan sikap Tun bila mula memilih seorang TPM, sebaik sahaja dilantik sebagai PM oleh Dato' Hussein Onn yang bersara, dengan menyerahkan kepada perwakilan Umno untuk memilih samada Dato' Musa Hitam atau Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.
Sepatutnya dengan kuasa Presiden Umno, beliau boleh membenarkan jawatan Timbalan Presiden Umno dipertandingkan pada tahun 2000 dan jangan campur tangan langsung.
Sebaliknya beliau sendiri membuat kenyataan, jawatan itu tidak dipertandingkan.
Orang Umno yang punya minda feudal akan terus mempertahankan 'tuannya', walau pun tuannya membawa ke lubang gaung. Dia hanya akan sedar dan melawan tuannya, bila dia di dalam gaung tetapi tuannya di atas gaung. Semua sudah terlambat.
Ramai orang masih tertanya-tanya apa motif sebenar Mahathir mengkritik dan menyerang kepimpinan Abdullah. Beliau tidak mungkin mahukan jawatan PM balik atau mahu meletakkan orang lain sebagai PM?
Tun tidak punya apa-apa motif pun kecuali untuk menyelamat diri dia dan nama agung dan hebat yang diberi oleh rakyat dan setengah masyarakat dunia.
Dengan mengkritik Abdullah, dia mempunyai kepercayaan bahawa jika esok berlaku sesuatu kepada Umno dan Melayu dan negara dia tidak akan disalahkan. Dia akan dapat pujian kali kedua jika dia betul. Tetapi sebenarnya, Tun patut dipersalahkan kerana melantik Abdullah sebagai TPM dan PM 'secara Putera Mahkota'
Selepas dipecat daripada Umno, boleh kami tahu kegiatan politik Saudara sekarang?
Saya tunggu tiga tahun untuk merayu semula. Tetapi jika Abdullah masih presiden, saya tidak bersedia merayu dan kekal sebagai seorang Warga negara dan penyokong Umno dari luar.
Sebelum saya sertai Umno, saya mesti pastikan Abdullah tidak memegang jawatan presiden atau PM, jika ada sesiapa ahli Umno bertanding jawatan presiden, saya akan memberikan sokongan dan berkempen untuknya.
Tetapi saya lebih yakin dengan cara demokrasi pilihan raya. Jika pada PRU akan datang BN dan Umno tidak dapat pertahankan jumlah kerusi kemenangan PRU 2004, kalau tidak kalah pun, jika ia mengurangkan majoriti BN di Parlimen dan Dun dan jika Abdullah bermaruah dia mesti meletakan jawatan kecuali dia 'gila' dengan jawatannya.
Saya sudah mula berceramah di atas pentas PAS dengan dimulakan di Kawasan Pokok Sena ada 17 November 2006 dan kemudian di Selangor, tumpuan saya, ialah menerangkan sikap ciri-ciri kemunafikan pemerintahan Abdullah.
Sekiranya Umno/BN tewas dalam PRU yang akan datang, dia bukan memberikan kepuasan kepada saya.
Saya bertindak Brutus kepada Umno bukan saya tak sayang kepada Umno tapi sayang lagi kepada Melayu. Apa akan jadi dengan Melayu, jika Umno dan negara dipimpin oleh seorang yang pada awalnya menjadikan Islam landas perjuangannya tetapi sekarang memperalatkan Islam untuk kepentingannya.Terima kasih. - mr
23/11: ISA selari Islam Hadhari, bukti sesat: Dr Badrul
Posted by: Raja Petra
Oleh Zulkifli Mohamed

Kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa penahan tanpa bicara di bawah ISA dan Islam Hadhari adalah selari, membuktikan bahawa Islam Hadhari itu sesat kerana menyimpang dari ajaran Islam sebenar.“Kenyataan Abdullah itu sebagai bukti kukuh bahawa Islam Hadhari adalah sesat dan menyimpang daripada ajaran Islam sebenar yang dibawa Rasullullah SAW,“Islam mementingkan prinsip keadilan, seseorang itu tidak akan dihukum bersalah selagi dia tidak dibuktikan bersalah di mahkamah yang adil,” jelas bekas tahanan ISA Ustaz Dr Badrul Amin Baharom.“Penahanan orang tanpa bicara adalah satu kezaliman. ISA melanggar prinsip keadilan sejagat seperti yang digariskan dalam al-Quran dan hadis,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Today.Beliau mengulas kenyataan Abdullah pada sidang akhbar selepas menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpinan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) baru-baru ini.Menurut Badrul, Islam Hadhari adalah ‘agama baru yang sesat’ ciptaan Abdullah untuk mengelirukan umat Islam, kerana ajaran Islam Hadhari itu tidak disebut dalam al-Quran dan hadis. “Islam Hadhari tidak ada kena mengena dengan Islam yang dibawa Nabi.”Badrul, bekas mangsa kezaliman ISA dari 10 April 2001 sehingga 12 Jun 2003, kerana dituduh memiliki pelancar roket dan molotov coktail bersama rakan reformis, berkata :“Sehingga sekarang mereka tidak dapat membuktikan dan mendakwa saya dan rakan-rakan lain di mahkamah.” Pada sidang media itu juga, Abdulah dipetik berkata mangsa ISA ditahan kerana terdapat bukti dan dilepaskan apabila sudah menjadi baik. “Alasan Abdullah adalah sebesar-besar dusta dan pembohongan semata-mata.”“ISA hanya melahirkan manusia berdendam dan semakin marah menentang ISA, buktinya saya sendiri, saya semakin kuat menentang ISA berbanding sebelum saya ditahan di bawah akta zalim itu,” tegasnya.“Saya nasihatkan Abdullah cukuplah mengelirukan rakyat, kononnya mereka yang ditahan di bawah ISA adalah untuk mendidik mereka menjadi baik.”

Tuesday, November 21, 2006

ISA: Kenyataan Abdullah bertentangan dengan Islam
Wed Nov 22, 06 07:51:17 AM Oleh Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selaras dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkannya sebenarnya adalah bertentangan dengan konsep Islam Hadhari itu sendiri.
Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berkata Abdullah gagal memahami konsep yang diperkenalkannya kerana dalam Islam Hadhari itu menggalakkan amalan keadilan dan kesaksamaan, tetapi tindakan Abdullah adalah bertentangan dengan konsep tersebut.
"Dilihat pada sudut keadilan ini kita lihat Abdullah sendiri tidak memahami konsep Islam Hadhari ini. Untuk menunjukkan keadilan, seseorang itu diadili di mahkamah terbuka, dituduh mesti diberi peluang menjawab tuduhan.
"Dalam kes ISA ini bagaimana wujud keadilan kerana yang dituduh tidak diberi diberi peluang perbicaraan. Jadi kenyataannya itu tidak benar dan beliau tidak berlaku adil dan sudah pasti tidak selaras dengan hadhari yang diperkenalkannya itu,"katanya.
Abdullah ketika ditanya wartawan mengenai ISA sewaktu sidang media selepas Persidangan Agung Umno baru-baru ini menyatakan undang-undang ISA adalah selaras dengan konsep Islam Hadhari .
Katanya lagi, penahanan tanpa bicara mempunyai sebab dan tangkapan dibuat berdasarkan bukti serta terdapat tahanan yang dibebaskan selepas 'kita sudah jadikan mereka orang baik'.
Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri menyatakan, walaupun mereka tidak didakwa, terdapat isu keselamatan yang diketahui pihak berkuasa , tetapi tidak boleh dibincang dan diadili di mahkamah.
ISA instrumen politik
Sementara itu, Syed Ibrahim menegaskan, mahkamah yang membuktikan sama ada tuduhan tersebut sahih atau direka.
"Kita tidak pernah lihat dalam kes ISA seperti tuduhan dalam kes reformasi yang menyatakan mereka yang dituduh ini ada menyimpan bom.
"Jadi apabila mereka dibebas tidak pernah dibuktikan bahawa apa tuduhan ke atas mereka adalah benar.Nama mereka telah dicemari dengan bukti yang tidak benar. Ini merupakan satu kepalsuan sebab Abdullah menyatakan terdapat bukti dan 'mereka sudah menjadi jadi baik'. Hakikatnya ia tidak dibuktikan,"katanya.
Tambahnya lagi, tindakan Abdullah terhadap mangsa ISA itu sebenarnya untuk mengurangkan tekanan dari pihak luar. Apabila tekanan tersebut berkurangan, barulah mangsa ISA ini dibebaskan.
Katanya kerajaan mengambil kesempatan menggunakan undang-undang ini kerana mempunyai instrumen politik.
"Polisi Amerika yang menekan negara mengatakan terdapat pengganas di negara ini. Jadi untuk mengurangkan tekanan, mereka yang tidak bersalah ini ditangkap.
"Setelah mereka ditangkap, bagaimana nasib keluarga mangsa ini. Kita tidak dengar pun yang kerajaan membantu mereka. Jadi ISA ini merupakan satu polisi dan dasar yang tidak selaras dengan Islam,"tegasnya.
Katanya lagi, kezaliman kerajaan ini tidak meggambarkan kerajaan bersifat telus dan adil dalam menjaga dan memberi keselamatan untuk rakyat.
"Sepatutnya keselamatan rakyat menjamin keselamatan negara dan keselamatan negara menjamin keselamatan rakyat tetapi wujudnya ISA ini langsung tidak menjamin keselamatan rakyat," katanya.
Abdullah ditipu SB
Sementara itu, bekas tahanan ISA, Saari Sungip bertanggapan kenyataan Andullah itu merupakan kata-kata 'orang yang mempunyai kuasa'.
"Dia ada kuasa dia boleh cakap macam tu. Tetapi sewaktu saya, Ezam dan Badrul Amin ditahan, dia yang menandatangan penahanan kami itu. Selepas saya dibebaskan pada 6 September 2002, Mahkamah Persekutuan memutuskan penahanan kami tidak sah, berniat jahat dan bermotif politik. Jadi apa maksud di sebalik kata-katanya itu.
"Jika Islam Hadhari itu adil, 60 hari selepas penahanan dan selepas mempunyai cukup bukti bebaskan kami. Tetapi apabila tidak sah siasatan 60 hari Abdullah telah ditipu Polis Cawangan Khas (SB) disebabkan bukti yang pincang," tegas Saari.
Jelas Saari walaupun beliau telah menemui Lembaga Penasihat sebanyak dua kali pada 2002 dan Lembaga Penasihat mengesyorkan beliau dan dua lagi rakannya dibebaskan, kerajaan tetap tidak berbuat demikian.
"Laporan siasatan (folio) terhadap tahanan reformasi telah diserahkan kepada hakim mahkamah sivil sewaktu kes saman kami kepada kerajaan. Tuduhan ke atas kami untuk mengguling kerajaan dengan mengumpul bahan letupan seperti molotov koktail, dan grenade launcher. Sepatutnya siasatan itu mestilah dari awal hingga akhir,"katanya.
Jelasnya, Abdullah seharusnya mengetahui peruntukan seksyen 8 adalah di bawah kuasa menteri, seksyen 73 di bawah kuasa SB, serta seksyen 16 berkaitan pendedahan maklumat.
Kata Saari lagi, hakim sewaktu itu, Tun Ahmad Zaidin Abdullah mengatakan bahawa seksyen 16 hanya berkuatkuasa dan tertakluk pada seksyen 8 bukan seksyen 73.
"Tapi Abdullah mengatakan berpuas hati berdasarkan seksyen 73 dan dia hanya bergantung kepada SB. Jadi, SB yang sudah bermaharajalela,"katanya. - mks.

Monday, November 20, 2006



Halang roboh rumah: 20 penduduk Kg Berembang ditahan polis
Mon Nov 20, 06 05:30:27 PM Oleh Anis Nazri



KUALA LUMPUR, 20 Nov (Hrkh) - Lebih 20 penduduk Kampung Berembang, Ampang dekat sini, termasuk dua pelajar sekolah berusia 14 dan 16 tahun, dipercayai ditahan polis hari ini kerana menghalang rumah mereka daripada dirobohkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Bagaimanapun pihak polis enggan mengulas dan mengesahkan penahanan mereka. Mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Ulu Klang. Menurut sumber, antara penduduk ditahan ialah Adli Abd Rahman, Mamat Rajis, Fiqtriey Al-Hakimi, Ramacantiran, Ramalinggam, Thevarajan dan Letchumi Devi Doraisamy.
Turut ditahan semasa tindakan meroboh itu dua aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Chang Li Kang dan S Arutchelven.
Sebanyak 56 rumah dirobohkan penguat kuasa MPAJ setelah rundingan penduduk terbabit tidak berjaya biarpun nasib mereka mendapat perhatian Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Dato' Siva Subramaniam yang turut berada di kawasan berkenaan.
Sebanyak dua jentolak digunakan untuk memusnahkan rumah-rumah mereka manakala empat trak pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan satu trak meriam air (water cannon) turut kelihatan di tempat kejadian.
Sebelum ini pihak penduduk telah memohon supaya kerja-kerja meroboh ditangguhkan sehingga 30 April tahun depan. Akhirnya MPAJ terus memusnahkan tempat kediaman mereka pada jam tiga petang tadi.