Friday, May 18, 2007
Rakyat berhak tahu semua fakta mengenai tragedi 13 Mei
Sat May 19, 07 11:54:49 AM
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Hrkh) - Bagi mematangkan bangsa Malaysia yang kini berusia 50 tahun setelah merdeka, rakyat seharusnya diberi peluang untuk meneliti kesemua fakta berhubung tragedi 13 Mei yang dikemukakan pelbagai pihak, bersesuaian dengan perkembangan arus maklumat dunia.
Walaupun pelbagai versi mengenai tragedi berdarah itu diperkatakan dan dibukukan, pelbagai pihak perlu mengetahui versi-versi berkenaan dan membahaskan isu sejarah seumpama ini agar ia boleh dijadikan tauladan dan sempadan kepada rakyat bagi mengorak langkah membina bangsa bersatu, progresif, berbudaya ilmu dan bertoleransi.
"Biarpun topik rusuhan 13 Mei sering dikatakan sebagai isu sensitif tetapi ia tidak wajar ditutup daripada dibincangkan secara terbuka. Usaha menyemak semula fakta-fakta sejarah dan memberikan tafsiran baru berdasarkan kajian terkini perlu dilakukan ," tegas wakil Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), Fathi Aris Omar, di Chinese Assembly Hall, pagi tadi.
Beliau yang juga merupakan wartawan dan penulis bebas, bersama beberapa aktivis NGO mengadakan sidang media membantah rampasan buku buku 13 Mei, tulisan Dr Kua Kia Soong oleh pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), beberapa hari lalu.
Penulis kolum di Malaysiakini, Lee Ban Chen, berkata buku tulisan Pengarah Suaram itu mengandungi dua versi. Satu versi merupakan fakta kes daripada kerajaan, manakala satu lagi versi berdasarkan kajian dan analisis yang dilakukan Dr Kua terhadap dokumen yang diklasifikasikan semula di British dan juga negara-negara Commonwealth.
"Isu sebenar di sini bukanlah sama ada buku itu mengandungi nilai sensitif atau menggugat ketenteraman negara, tetapi isu mengenainya perlu diberi ruang untuk diperbincankan dan diperhalusi bagi tujuan menjelaskan kekaburan yang bersarang di pemikiran rakyat," tegas beliau.
Lee turut menggesa semua pihak yang prihatin, khususnya Suhakam supaya tampil proaktif untuk memastikan KKDN tidak memutuskan bahawa buku ini diharamkan, di samping mendesak kerajaan agar membatalkan akta-akta yang tidak mendatangkan faedah seperti ISA, dan Akta Hasutan.
Sementara itu, wakil Angkatan Muda KeADILan, Hasmi Hashim, berkata beliau akan membuat petisyen dengan mengambil tanda tangan beberapa pihak di kongres parti itu, di Negeri Sembilan, penghujung bulan ini.
Katanya, petisyen itu melibatkan dua perkara iaitu menyatakan bantahan terhadap rampasan yang dilakukan KDN ke atas buku berkenaan dan petisyen menyokong agar data mengenai 13 Mei dibukukan.
"Kita tidak mahu rakyat negara ini dibayangi fakta-fakta yang kurang tepat, tanpa meneliti fakta-fakta daripada pihak lain untuk pertimbangan mereka. Perbincangan mengenai isu ini perlu diadakan bagi menjernihkan kekeliruan di kalangan rakyat," kata beliau.
Dalam pada itu, beliau turut meminta agar PAS turut membincangkan isu ini dalam Muktamar Agung PAS yang akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan, awal Mei ini.
Pegawai KKDN merampas 10 nashkah buku bertajuk 'May 13 – Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969' tersebut dari kedai buku MPH di Kuala Lumpur, 16 Mei lalu.
Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran, Che Din Yusoh berkata, buku itu belum diharamkan tetapi dilarang untuk dijual.
Che Din berkata, bahagian itu akan mengkaji buku tersebut terlebih dahulu dan jika didapati ia mengancam ketenteraman dan keselamatan awam, pihaknya akan mengesyorkan ia diharamkan.
Buku itu merupakan kompilasi pelbagai laporan asing dan laporan sulit pada masa itu – yang telah diklasifikasikan baru-baru ini dan boleh didapati di Pejabat Rekod Awam di London.
Tindakan KDN itu dibuat mengikut AMCP yang memperuntukkan larangan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil pengeluaran yang memudaratkan kemoralan atau ketenteraman awam adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.
Pada akhir tahun lalu, Dr Kua membuat kajian selama tiga bulan untuk meneliti rekod dan dokumen di Pejabat Rekod Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah diklasifikasikan selepas luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan diklasifikasi sebagai rahsia. - mns
Wednesday, May 16, 2007
'Terima kasih' Samy dan BN, tol naik lagi!
KUALA LUMPUR, 17 Mei (Hrkh) - Tiada apa lagi yang mampu diucapkan melainkan 'terima kasih tidak terhingga' kepada Meneteri Kerja Raya Dato' Seri S. Samy Vellu dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) di atas berita buruk untuk rakyat iaitu Plus akan menaikkan kadar tol Janurai tahun depan.
Kadarnya ialah 10 peratus iaitu daripada 13.6 sen kepada 14.96 sen setiap satu kilometer dan sudah tentunya selepas kenaikan harga barang baru-baru ini seperti tepung gandum, ini menjadi satu lagi himpitan perit buat rakyat kerana kos kehidupan semakin bertambah meningkat.
Mengulas lanjut dan kecewa dengan situasi ini Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata walaupun selama ini Plus dan syarikat konsesi tol lain sudah mendapat keuntungan yang lebih meskipun tanpa kenaikan dan akan semakin bertambah di waktu musim perayaan, tanpa memberi sebarang pertimbangan rintihan dan kesusahan rakyat tetap menaikkan kadar tol kerana berpegang kepada perjanjian.
"Sungguhpun perjanjian tersebut dianggap berat sebelah dan menyusahkan rakayt, BN terutama Samy sanggup menandatangani perjanjian dengan syarikat konsesi tersebut," katanya.
"Bagi rakyat Samy dan BN sudah tidak bijaksana lagi tetapi bagi yang mengaut keuntungan, mereka inilah yang paling pandai," katanya sinis.
Jelas kata Dr Hatta, membuktikan dan menampakkan lagi sikap sebenar BN yang dilihat seperti kapitalis yang mengaut keuntungan melalui kesusahan orang ramai.
Beliau mengajak rakyat seluruhnya menentang sikap tamak yang menzalimi nasib mereka dan membantah pelbagai cara seperti menulis, menghantar memo bantahan, demostrasi dan paling bijaksana ialah menghukum kerajaan BN sewaktu pilhan raya akan datang.
"BN sudah tidak diyakini dapat membela nasib rakyat, Samy sudah tidak relevan lagi,jangan beri undi kepada mereka ini untuk dapat peluang menyusahkan kita sekali lagi.
"Jika perlu sekali lagi turun ke jalan raya untuk membantah, kita mesti turun dan rakyat mesti bersama-sama tunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kenaikan tol yang benar-benar menyusahkan hidup mereka," jelasnya.
Ditanya tentang siri demostrasi, beliau selaku penyelaras Protes menyatakan perkara tersebut masih dalam perancangan.
"Jika tidak atau rakyat senyap semata, maka kerajaan akan mengulangi lagi dan berterusan menekan rakyat," katanya lagi.
Secara umumnya pada 2005 dilaporkan Plus mendapat keuntungan sebelum cukai ialah RM1.67 bilion manakala bagi tahun 2006 sejumlah RM2.09 bilion dicatat sebagai keuntungan. - mks.
Pernikahan Raja Nazrin Shah: PAS Perak ucap tahniah
| Johari Jaafar Thu May 17, 07 12:55:24 PM | |
IPOH, 17 Mei (Hrkh) - Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mengucapkan tahniah kepada Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, yang melansungkan pernikahannya dengan Zara Salim Davidson, di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam. “Bagi pihak Pesuruhjaya PAS Negeri, ahli jawatankuasa, dewan-dewan dan ahli PAS di negeri ini mengucapkan tahniah kepada Raja Muda Perak yang melangsungkan pernikahannya semalam,” kata Setiausaha PAS Negeri Ir. Ahmad Nizar Jamaluddin Pernikahan di antara Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dengan Zara Salim Davidson, telah menamatkan penantian selama dua dekat rakyat negeri ini untuk mendapatkan seorang Raja Puan Besar Perak. Jawatan tersebut tidak diisi sejak kemangkatan Raja Muda Perak ketika itu, Raja Ahmad Siffuddin ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah, pada April 1987. Sebelum ini gelaran tersebut disandang oleh Raja Nur Izan Raja Abdul Rashid, selama tiga tahun dari tarikh Raja Ahmad Siffuddin dilantik Raja Muda Perak, pada 3 Februari 1984. Kemudian gelaran itu kembali kosong ekoran kemangkatan Raja Muda Perak, Raja Ahmad Siffuddin pada 12 April 1987. Oleh kerana Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah masih bujang, gelaran Raja Puan Besar Perak ridak diisi sehinggalah Raja Nazrin mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga. Pernikahan Raja Nazrin dengan Zara mengakhiri penantian 20 tahun, di mana Zara Salim akan dimasyhurkan sebaga Raja Puan Besar Perak dalam satu istiadat Jumaat ini. Majlis akad nikahnya telah disempurna oleh Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Haji Harussani Zakaria, di Istana Iskandariah. - mns |
Jangan bohong ekonomi baik jika harga barang asyik naik
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Dakwaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya, Khairy Jamaluddin bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan yang baik adalah satu pembohongan yang besar kerana mereka sendiri gagal mengawal harga barangan yang melambung tinggi mutakhir ini.
Hal ini secara tidak langsung mencerminkan kelemahan kerajaan yang tidak menjaga kebajikan rakyat sehingga membiarkan rakyat terpaksa menanggung beban kenaikan tersebut yang disumbangkan oleh kenaikan harga minyak terdahulu.
Pengerusi Lajnah Pengguna damn Alam Sekitar PAS Pusat, Mahfuz Omar menggambarkan satu keadaan yang akan menyebabkan berlakunya inflasi yang memberi kesan kepada krisis ekonomi yang lebih buruk.
"Saya melihat keadaan tersebut akan mengurangkan kuasa beli pengguna kerana duit tidak akan berpindah tangan yang secara tidak langsung ia akan menjejaskan ekonomi pada jangka masa panjang," katanya lagi.
Menurut beliau harga barangan bukan kawalan turut menjangkiti simptom kenaikan ini sedangkan ia masih belum diumumkan secara rasmi oleh pihak kerajaan.
"Saya bimbang kemungkinan akan berlaku kenaikan secara melambung selepas pengumuman secara rasmi dibuat," katanya ketika dihubungi oleh Harakahdaily
"Kecuali kerajaan BN memberi resepi 'rebus batu' dan 'goreng tahi kambing' yang tidak menggunakan bahan-bahan asas yang tidak mengalami kenaikan harga sebagai penyelesaian kepada masalah ini," guraunya lagi.
Beliau menempelak tindakan kerajaan yang dilihat lebih memihak kepada pengilang dan pengusaha industri tanpa mempedulikan implikasi kepada masyarakat pengguna sedangkan beliau berpendapat penggunalah yang menentukan pertumbuhan ekonomi negara.
Ini kerana, ujarnya kerajaan lebih melayan kehendak pengeluar dan pengusaha industri walaupun hakikatnya kuasa membeli terletak di tangan pengguna.
Dalam pada itu, apabila ditanya tentang tindakan yang akan diambil oleh pembangkang beliau berkata mereka hanya boleh mengaturkan tindakan dengan membuat bantahan tetapi pihak yang berkuasa menyelesaikan keadaan ini ialah kerajaan sendiri.
Mahfuz turut mencadangkan agar peniaga kecil dan persatuan pengguna melakukan bantahan secara lebih menyeluruh bagi memastikan sesuatu akan dilakukan oleh mereka.
Kerajaan katanya, tidak pernah mengendahkan bantahan serta tuntutan yang dibuat oleh pihak Barisan Alternatif bahkan mereka hanya takut kepada bantahan daripada masyarakat industri tidak peduli apa yang rakyat rasa kerajaan yang tidak punya rasa peduli kepada rakyat
Kenaikan harga barang semakin keterlaluan
Sementara itu Penasihat Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Dr Hamdan Adnan, merasakan kenaikan harga barang pada tahap yang keterlaluan.
"Kesan kepada pengguna adalah apabila kerajaan mengumumkan gaji kakitangan kerajaan akan dinaikkan, maka peniaga-peniaga berlumba-lumba menaikkan harga barangan secara tidak waras sedangkan gaji belum pun diperolehi, tapi harga sudah naik kerana tidak semua pengguna adalah kakitangan kerajaan," katanya yang juga bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(suhakam).
Menurut beliau, apa yang penting pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memantau hal ini, kerana barangan yang naik harga bukan sahaja barangan kawalan, bahkan barangan yang tidak berada dalam kategori itu.
Dr Hamdan turut mencadangkan agar kerajaan mengadakan pertemuan dengan dewan perniagaan melayu, cina ataupun kesatuan peniaga-peniaga supaya tidak keterlaluan dalam keghairahan menaikkan harga setelah khabar kakitangan awam akan dinaikkan gaji.
Di samping itu, Fomca menyarankan agar pengguna menggunakan kuasa mereka untuk menunjukkan kepada peniaga bahawa mereka sangat berkuasa dalam menentukan harga barangan di pasaran.
"Kalau berbelanja secara berhemah, insha Allah apa yang berlaku tidak mendatangkan kesan kepada pengguna," kata beliau semasa dihubungi pagi tadi.
Justeru katanya, peniaga diingatkan agar dapat mengawal kenaikan harga tersebut tanpa memperlihatkannya secara tidak waras dan drastik.
Dr Hamdan juga menyatakan bahawa pengguna pada kebiasaanya bersifat pendek ingatan, iaitu pada peringkat awal sahaja mereka mengambil sikap berjimat cermat seperti membawa bekalan makanan bagi mengurangkan perbelanjaan.
Untuk itu, mereka disarankan supaya mengamalkan sifat bestari dan lestari yakni mengamalkan gaya hidup yang tidak membebankan alam sekitar bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara.
Sungguhpun begitu, harapan beliau agar semua pihak harus turut sama berperanan untuk menetapkan harga yang waras di pasaran. - mr
Tuesday, May 15, 2007
Karaoke anjuran Umno di sekolah, sikap PPD dikesali
MERSING, 16 Mei (Hrkh) – PAS berasa kesal dengan sikap berdolak-dalik Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Mersing, berhubung pertandingan Karaoke anjuran Pemuda Umno Mersing yang akan diadakan di Sekolah Menengah Ungku Husin Endau, 19 dan 20 Mei ini.
“Kita melihat kenyataan beliau yang mendakwa kononnya beliau langsung tidak tahu menahu berkaitan program ini sebagai alasan untuk melepaskan diri semata-mata," kata Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, di sini.
Mazlan bersama pimpinan PAS Mersing bertemu dengan Haji Mohamad untuk mendapatkan penjelasan dengan isu penganjuran karaoke di sekolah.“PPD sewajarnya mengetahui sebarang kegiatan yang berlaku di sekolah-sekolah di bawah pentadbirannya, ini kerana sebarang kegiatan yang dijalankan di sekolah-sekolah perlu dimaklumkan kepada PPD, jadi mustahil beliau tidak mengetahui perkara ini,"tambahnya lagi.
Oleh sebab itu alasan kononnya beliau tidak mempunyai maklumat berhubung pertandingan karaoke yang akan diadakan di sekolah tersebut tidak boleh diterima sama sekali,katanya.
Mazlan berkata demikian ketika diminta mengulas pertandingan karaoke perdana anjuran Pemuda Umno Mersing, yang akan diadakan di Sekolah Menengah Ungku Husin Endau, 19 dan 20 Mei ini.
Terdahulu Mazlan bersama pimpinan PAS Mersing mengadakan pertemuan serta menyerahkan memorandum bantahan berhubung pertandingan karaoke ini kepada Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Mersing, Haji Mohamad Jantan, di pejabatnya, di sini.
Pertandingan karaoke ini diadakan sebagai daya penarik untuk mendaftarkan golongan anak muda Melayu sebagai pengundi, difahamkan terdapat 4.9 juta golongan ini masih tidak mendaftar sebagai pengundi.
Oleh kerana pemuda Umno sudah ketandusan idea serta tidak mempunyai kreativiti untuk mendekati golongan ini maka mereka terpaksa menggunakan saluran hiburan bagi menarik golongan muda ini.
Menurut Mazlan lagi, sekolah yang merupakan gedung ilmu tidak sewajarnya dicemari dengan kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral kerana sebarang unsur negatif yang dibawa ke sekolah sudah tentu akan mempengaruhi pelajar.
“Sekiranya ibu bapa atau masyarakat tidak sensitif dalam hal ini maka tiada siapa lagi dapat menghalang penganjuran program ini dan kita sangat bimbang program seumpama ini akan terus diadakan pada masa depan bahkan mungkin mereka akan mengadakan program-program mungkar lainnya kerana mereka beranggapan rakyat bersetuju dangan apa yang mereka buat,"katanya.
Sehubungan itu, Mazlan yang juga Naib Ketua Pemuda PAS, seterusnya berkata, PAS masih menggunakan pendekatan diplomasi dalam isu ini maka diharapkan pihak terbabit faham dan mengambil langkah untuk membatalkan program ini.
“Seandainya mereka gagal berbuat demikian maka jalan terakhir yang akan kita ambil untuk menghalang program ini ialah dengan mengajak seluruh rakyat mengadakan demonstrasi aman bagi membantah pertandingan karaoke ini,"katanya. - mks
Kenaikan kadar kes jenayah, masyarakat perlu pendidikan pencegahan
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Kenaikan kadar kes jenayah di negara ini dari tahun ke tahun sejak kebelakangan ini amat membimbangkan, malah senario ini membimbangkan semua pihak tidak kira yang tua atau muda.
Hakikatnya, kes-kes jenayah kecil dan besar yang berlaku seperti yang dilaporkan akhbar memberi tekanan kepada rakyat mahupun pelancong soal keselamatan mereka yang kian terancam.
Dari kes kecurian kecil hinggalah kepada rompakan besar, ragut, rogol bunuh, pencabulan, pembunuhan berprofil tinggi dan skandal-skandal jenayah terancang, semuanya meningkat dari tahun ke tahun.
Peranan pihak berkuasa polis dab keselamtan sangat ditagih, tetapi ada juga laporan yang mendedahkan jenayah kini turut dilakukan oleh golongan ini (pihak berkuasa keselamatan) yang akhirnya menatijahkan rasa tidak yakin rakyat kepada pihak terbabit dalam menjaga aspek keselamatan negara.
Isu kenaikan kadar jenayah ini turut dibincang di Dewan Negara hari ini bilamana Che Puan Seri Kelana Diraja Datin Dr Nik Azizah Nik Yahya meminta Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) mendedahkan statistik kadar jenayah dari tahun 2004 hingga 2007.
Dalam satu jawapan ringkas Timbalan Menteri KKDN, Dato' Johari Baharom mendedahkan bahawa pada tahun 2004 jumlah kes jenayah ialah, 156, 455 kes, meningkat pada tahun 2005 sejumlah 157,459 kes dan pada tahun 2006 kes jenayah yang dilaporkan ialah sejumlah 198,622.
Sementara bagi tahun 2007 dengan kiraan bermula dari Januari hingga Mac sahaja, jumlah kes jenaya bagi tiga bulan ialah sebanyak 52,517 kes, kata Johari lagi.
Bingkas bangun bagi menyatakan soalan tambahan kepada jawapan Johari itu wakil PAS, Senator Mumtaz Mat Nawi mencadangkan agar pihak polis di samping menjalankan tugas mencegah jenayah, badan ini dituntut untuk memberi pendidikan kepada masyarakat tentang pencegahan jenayah.
Menurut Mumtaz, program pendidikan mengenai kesedaran pentingnya pencegahan jenayah di kalangan rakyat perlu digarab bagi mengurangkan kes jenayah yang meningkat dari semasa ke semasa.
Cadangan beliau disokong Johari dan Timbalan Menteri KKDN itu menambah, pihak polis melalui 'Rakan Cop' berusaha menarik lebih ramai rakyat untuk menjadi mata dan telinga polis dalam melaporkan sebarang kes jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing.
Sunday, May 13, 2007
BN mula bimbang - PM, SPR dan polis buat pertemuan sulit di Pangkor
PERMATANG PAUH, 14 Mei (Hrkh) - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat
(KeADILan), Azmin Ali mendedahkan pertemuan sulit antara Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Pulau Pangkor baru-baru ini bermatlamat mencari jalan 'memperkemaskan strategi penipuan' dalam pilihan raya umum ke-12.Pertemuan itu dibuat setelah mendapati keputusan pilihan raya kecil khususnya di Ijok 28 April lalu tidak menyebelahi Barisan Nasional (BN) walaupun BN diistiharkan memenangi dengan kelebihan undi 1,850.
"Kebimbangan BN berikutan pertambahan undi yang terlalu sedikit ialah 210 dengan KeADILan. Tidak memadai dengan kos yang dilaburkan RM100 juta, " terangnya.
Perdana Menteri sedar jika pertemuan sulit di Pangkor tidak diadakan segera pasti tujuan untuk mengekalkan kekuasaan sia-sia kerana kemantapan Barisan Alternatif (BA) makin terserlah.
Tambahan lagi, Dato' Seri Abdullah tidak mampu berhadapan dengan kemaraan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang secara total berkempen sempena pilihan raya kecil di Ijok.
"Ramai yakin semangat Ijok menjadi pemangkin kepada kemenangan dalam pilihan raya umum nanti maka kita harus mengembelengkan tenaga, buah fikiran serta mengumpul fakta untuk diketengahkan kepada umum tentang penyelewengan Umno dan komponen BN, " tegas beliau.
Menyentuh mengenai persediaan KeADILam untuk hadapi pilihan raya kali ini beliau menambah, KeADILan akan memberi ruang seluas-luasnya kepada ahli Kongres KeADILan yang ke-3 hujung Mei ini untuk menumpukan perbahasan berkaitan kerja-kerja pilihan raya.
KeADILan juga telah berbincang dan menyerahkan dokumen kepada pasukan pemantau pilihan raya antarabangsa untuk datang meneliti fakta yang dikemukakan sebagai bukti proses penipuan BN.
"Pasukan pemantau antarabangsa akan datang dalam masa terdekat untuk meneliti dan seterusnya memantau semasa pilihan raya nanti. Semua dokumen mengenai fakta penipuan telah diserahkan untuk penelitian, " jelasnya yang juga bekas Adun Ulu Klang. - mks.