Monday, May 18, 2009

Najib tiada kekuatan untuk buat perubahan politik

Basiron Abdul Wahab Mon May 18, 09 3:35:16 pm MYT
BERA 18 Mei (Hrkh) - Ketua Penerangan Parti KeAdilan Rakyat Pahang, Ahmad Nizam Hamid mengatakan, Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Razak tidak mempunyai kekuatan politik untuk membuat perubahan politik.
Berucap pada majlis penerangan Pakatan Rakyat dekat sini beliau menegaskan apa yang dilakukan oleh perdana menteri hanyalah sekadar membuat slogan kosong yang tidak bermakna.
Menurutnya, slogan 'Satu Malaysia' tidak membawa apa-apa makna kerana pada ketika sama, amalan kerajaan Pusat masih tidak memperlihatkan suatu perubahan kepada konsep satu Malaysia. Kerajaan Pusat masih terus mengamalkan dasar mendiskriminsikan kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat melalui penubuhan agensi pusat bagi mengganggu pentadbiran kerajaan negeri atau menubuhkan ?kerajaan dalam kerajaan?.
Dasar lama diteruskan dan tidak ada tanda-tanda ia akan dihapuskan walaupun perdana menteri telah mengumumkan dasar 'Satu Malaysia'nya.
Ahmad Nizam yang juga Ketua KeADILan bahagian Temerloh dalam ucapan sama turut mendedahkan kepincangan urus tadbir kerajaan Barisan Nasional Pahang yang terbabit dalam skandal pembalakan.
Katanya, isu saman RM63 juta terhadap kerajaan negeri oleh syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn BHd (SGMSB) adalah sebahagian daripada rentetan kes saman membabitkan kerajaan negeri Pahang.
Beliau mendakwa, akan ada lagi saman terhadap kerajaan akan muncul selepas ini dalam jumlah yang jauh lebih besar.
Jelas beliau, isu saman SGMSB berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang baik berlandaskan undang-undang sedia ada. Ini kerana kes berkenaan berpunca daripada salahguna kuasa menteri besar Pahang terdahulu yang telah meluluskan tanah seluas 10,000 ekar kepada Umno Bahagian Pekan.
Katanya, pada tahun 1998, Menteri Besar Pahang serta sebahagian besar barisan anggota exconya adalah ahli Umno. Mereka hadir dan aktif dalam mesyuarat Exco yang meluluskan tanah kepada Umno. Ini merupakan suatu kesalahan tetapi gagal diambil tindakan oleh pihak berkuasa walaupun banyak laporan telah dibuat kepada Suruhan Jaya Pencegah Rasuah (SPRM) dan Polis.
Ahmad Nizam mendakwa, setelah memperolehi tanah berkenaan, Umno tidak menjelaskan bayaran premium berjumlah RM4.8 juta kepada kerajaan negeri menyebabkan kerajaan kehilangan hasil bagi tanah berkenaan sebaliknya tanah tersebut dijual kepada SGMSB dengan harga hanya RM50,000 sahaja.
Tambahnya, sehingga kehari ini Umno masih tidak membayar premium tanah berkenaan kepada kerajaan negeri tetapi pihak berkuasa tidak juga mengambil tindakan kepada Umno.
Beliau mempersoalkan keberkesanan agensi kerajaan menjalankan tugas dengan berkesan apabila membabitkan Umno.
"Bila membabit Umno agensi kerajaan gagal menjalankan penguakuasaan berbeza apabila rakyat biasa gagal membayar cukai kepada pihak berkuasa tempatan umpamanya, segera tindakan diambil," katanya. - mns_ -->

No comments: