Saturday, May 23, 2009

Dr Mansor ada harapan cerah menang besar - Mat Sabu

Wan Nordin, Sabri Said, Azamin dan Izwan Sat May 23, 09 3:40:15 pm MYT
PENANTI, 23 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu menjangkakan calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dr Mansor Othman akan menang besar mengalahkan tiga calon bebas lain bagi pilihan raya kecil Dun Penanti.
"Saya jangkakan Pakatan Rakyat akan menang, calon bebas mungkin akan hilang deposit dengan keadaan ini apabila sokongan kepada PR amat baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyatakan pandangan terhadap peluang calon Pakatan Rakyat Dr Mansor bagi pilihan raya kecil Dun Penanti yang telahpun selesai proses penamaan calonya pagi tadi.
Mohammad Sabu turut meluangkan masa pagi tadi bagi menyertai perarakan calon yang berlansung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penanti dekat sini.
Mengulas mengenai keenganan Umno/BN meletakkan calon di Penanti beliau menyatakan, Umno takut akan kebangkitan rakyat menolak idealisme parti itu.
Sambil menyatakan hari penamaan calon hanya didominasi penyokong Pakatan Rakyat, beliau menyifatkan ia sebagai 'satu hari yang suram'.
Namun beliau yakin kemenangan akan bersama dengan calon Pakatan Rakyat yang hanya akan menjadikan calon bebas hilang deposit.
Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dun Penanti yang bermula sejak jam 8.00 pagi agak suram berikutan calon Pakatan Rakyat hanya ditentang tiga calon bebas.
Meskipun kehadiran penyokong Pakatan Rakyat dalam jumlah yang ramai, namun suasana tidak pun menggambarkan satu pertempuran hebat bakal berlaku sepertimana penamaan calon beberapa prk yang lalu.
Hanya kedengaran laungan reformasi dan takbir di satu sudut, di sebelah kiri hadapan bangunan IKBN Penanti, sementara sudut kanan yang disediakan bagi pihak bertentangan Pakatan Rakyat tiada kedengaran.
Suruhanjaya Pilihan Raya SPR akhirnya mengesahkan bahawa PRK Dun Penanti Penanti akan ditandingi oleh 4 calon.
Calon Pakatan Rakyat daripada KeADILan, Dr Mansor Othman akan menentang calon-calon Bebas iaitu, Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan Kamarul Ramizu Idris.
Semua calon kini boleh berkempen sehingga jam 12 tengah malam, 30 Mei nanti.
Sementara itu, calon-calon Bebas akan menggunakan simbol 'Kunci' untuk Aminah, Nai (Wau) dan Kamarul (Payung) sepanjang pilihan raya ini./wann

No comments: