Sunday, September 23, 2007

Presiden PAS kunjungi mangsa tembakan Batu Buruk

Awang Harun & Azamin Amin Foto Awang Harun
Sun Sep 23, 07 10:43:54 am MYT
MARANG, 23 Sept (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang meluangkan masa hampir 30 minit menziarahi mangsa tembakan peluru hidup,Suwandi Abdul Ghani, 38, dalam tragedi 8 September di Batu Buruk, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Beliau berada di rumah Suwandi bagi mendengar sendiri cerita sebenar pada malam kejadian itu.

Turut tercedera akibat tembakan polis ialah Muhamad Azman Aziz, 21, dari Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Suwandi yang cedera parah telah menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi mengeluarkan peluru ditubuhnya manakala Muhamad Azman yang terkena tembakan pada bahagian leher dan bahu menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Lebih menyedihkan, kedua-dua mangsa terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Difahamkan seorang anggota Polis berpangkat konstabel dari Jabatan Siasatan Jenayah, Wan Abdul Aziz Wan Omar mengaku telah melepaskan tembakan tersebut sebagaimana laporan Polis yang dibuatnya.

Manakala, empat anggota FRU yang sekadar cedera ringan iaitu Che Malek Jusoh, Chandran a/l Shammugam, Mohd Imran Ismail dan Azmi Husin menerima rawatan sebagai pesakit luar dalam kejadian tersebut.

Kejadian berdarah dan tembakan peluru hidup di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu 8 September lalu menimbulkan pelbagai persoalan yang wajar dijawab segera kepada rakyat jelata tentang kewibawaan serta intergriti Polis Diraja Malaysia dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam selama ini.

Justeru, selain amarah rakyat termasuk kecaman pelbagai pihak, parti politik dan NGO terhadap insiden yang berlaku, PAS telah memanjangkan bantahan dan kecaman terhadap PDRM di Bukit Aman minggu lalu.

Turut hadir menyampai memo bantahan di atas kejadian itu kepada seorang pegawai polis di luar pekarangan Bukit Aman ialah Naib Presiden PAS Mohamad Sabu; Ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub; Setiausaha Agung PAS Dato' Kamarudin Jaffar dan Bendahari PAS Dr Hatta Ramli dengan di saksikan lebih 50 hadirin yang terdiri daripada penyokong pelbagai parti politik.

Hadir sama ialah Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar dan Ketua Penerangan KeADILan TIan Chua.

Antara lain isi kandungan bantahan tersebut ialah mempersoalkan kewajaran polis menggunakan kekerasan dalam menyuraikan perhimpunan aman malah lebih buruk lagi menggunakan peluru hidup sehingga mengakibatkan dua tercedera parah.

"Kita menggesa satu Suruhanjaya Bebas Diraja bagi mengenal pasti dan menyiasat punca kejadian. Kita membantah sekeras-kerasnya tindakan kasar polis terhadap orang awam yang hadir untuk mendengar ceramah yang telah dibatalkan," kata Salahudin yang turut kecewa dengan dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap parti pembangkang yang selama ini sering kali dilabel tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini,Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang menganjur program pada malam kejadian berdarah itu berpendirian bahawa polis telah melakukan provokasi dan bertindak secara tidak profesional dengan menembak gas pemedih mata dan semburan air ke arah orang awam yang sedang berhimpun sedangkan ceramah pada malam itu telah pun dibatalkan.

Program Bersih yang dianjurkan pada malam itu bertujuan mengajak rakyat menuntut dan memahami hak mereka dalam sebuah negara demokrasi untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih, demikian menurut kenyataan media Bersih.

Dalam pada itu, Bersih juga turut menuntut antara lainnya ialah supaya pihak Polis tidak lagi diperalatkan oleh Umno/BN untuk kepentingan politik murahan mereka sehingga mengakibat insiden yang tidak diingini berlaku.

Malah Bersih menggesa Menteri Besar Terengganu, DatoĆ¢€™ Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian ini. - mks.

No comments: