Tuesday, May 26, 2009

Mufti Perak dicabar letak jawatan, bertanding pilihan raya

Johari Jaafar Wed May 27, 09 9:54:16 am MYT
IPOH, 27 Mei (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPNP) melahirkan rasa sedih dan kesal di atas kenyataan Mutfi Negeri Perak, Dato' Seri Dr Harussani Zakaria, di dalam temubual beliau di dalam majalah Milenia Muslim (MM) keluaran Mei 2009 THN 7 Keluaran 82 yang cuba membangkitkan api perkauman di negeri ini.

Dalam temubual tersebut, Dato' Seri Mufti Perak jelas cuba membangkitkan api perkauman di antara kaum di Perak bahkan di Malaysia amnya. Rata-rata kenyataannya bersifat ?racist? dan tidak memikirkan perasaan rakan-rakan non-muslim.
Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak, Dr. Rahja Ahmad Al-Hiss dalam kenyataan medianya semalam.
Pemuda PAS Negeri Perak katanya, mempertegaskan bahawa Perlembagaan Malaysia telah jelas menerangkan bahawa Islam adalah agama rasmi dan agama lain bebas untuk diamalkan, begitu juga hak kaum-kaum lain untuk hidup saksama di negara tercinta ini.
Sehubungan itu Pemuda PAS Perak kesal dengan tindak-tanduk Dato' Seri Mufti yang kelihatan selesa menjadi boneka dan talian hayat Umno Perak sering mengeluarkan kenyataan yang memihak Umno/BN.
"Sifat kepura-puraan Dato' Seri Mufti Perak sangat dangkal dan menyedihkan rakyat dan umat Islam Perak dan Malaysia amnya.
"Pemuda PAS Perak mencabar Dato' Seri Mufti Perak untuk meletakkan jawatannya dan secara 'gentlemen ilmu' bertanding di mana-mana kerusi pilihan raya di Perak mewakili Umno/BN jika benar-benar mahu melihat Islam tertegak di Perak.
"Hentikan kenyataan-kenyataan berlapik yang membela Umno/BN," tegasnya. - mks.

Monday, May 25, 2009

Nasruddin Tantawi dipilih Ketua Pemuda PAS, lima tanding Naib Presiden

Wan Nordin Wan Yaacob Tue May 26, 09 1:46:43 pm MYT
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Tiga jawatan utama Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini menyaksikan masing-masing calon menang tanpa bertanding.
Dengan ini, Ustaz Nasruddin Tantawi dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS yang sah manakala jawatan timbalannya disandang oleh Azman Safawi dan Naib Ketua Pemudanya ialah Sabki Yusof.
Selain itu, calon-calon yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden PAS ialah seramai lima orang iaitu Dato' Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Tuan Ibrahim Tuan Man, Dr Mujahid Rawa dan Nik Amar Nik Abdullah.
Lain-lain keputusan rasmi menyusul kemudian. - azm_

Haron Din syor PAS ubah sistem pemilihan elak ditembusi "musuh"

Oleh G. MANIMARAN
KUALA LUMPUR: 26 Mei ( mStar Online ) PAS yang melihat kedudukannya semkin bertapak dalam arena politik negara ini disaran agar mengubah sistem pemilihan bagi mengelak situasi "memenangkan musuh Islam."
Antara cadangan yang diutarakan ialah menerapkan kaedah pemilihan kepimpinan PAS berdasarkan pelantikan kepimpinan sebagaimana kitab feqah.
Ia antara syor dikemukakan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din dalam satu kertas kerja dibentangkan pada seminar sempena sambutan 25 tahun kepimpinan ulama PAS dekat sini Sabtu lalu.
Kertas kerja itu bertajuk Memperkukuh Kepimpinan Ulama". Seminar itu diadakan secara tertutup.
Dalam kertas kerja itu yang diperoleh kemudian, beliau menekankan "pemimpin tertinggi mestilah daripada kalangan ulama."
"Dalam konteks ini perlu difikirkan manakah portfolio penting yang mesti dipegang oleh ulama," katanya.
Sehubungan itu jelas beliau, pengesahan atau kelulusan jawatan pemimpin juga harus dilakukan oleh ulama.
"Ini jelas melalui perbincangan syarat Ahlul Halli Wal Aqdi dan syarat Ahlul-Ikhtiar," katanya lagi.
PAS mengadakan pemilihan hujung minggu depan dan baru-baru ini wujud polemik peranan dan kedudukan pemimpin kalangan ulama dalam PAS.
Dalam konteks PAS, jelas beliau, perlu dibuat pembaharuan berhubung aspek calon-calon pemilihan PAS dan pengesahan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS yang dilantik dalam muktamar.
"Calon-calon pemilihan ini perlu disemak kelayakannya oleh Majlis Syura sebagaimana semakan calon pilihan raya.
"Calon-calon yang dilantik dalam muktamar hanya sah secara rasmi selepas mendapat kelulusan rasmi daripada Majlis Syura," jelas beliau.
Beliau menambah, perlu diletakkan syarat mereka yang bertanding dalam pemilihan PAS berpandukan pada portfolio ditandingi.
"Kelayakan ini bukan direka oleh ulama atau Majlis Syura tetapi ia mestilah diadaptasikan daripada syarat kelayakan digariskan dalam kitab feqah supaya syarat kelayakan ini tidak dituduh bias kepada mana-mana pihak," katanya lagi.
Mengenai asas kepada pandangan itu, beliau berkata, sesiapa sahaja di kalangan ahli PAS layak bertanding di peringkat tertinggi sebagaimana digariskan oleh Perlembagaan.
"Ini menjadikan musuh dalam yang dirancang oleh musuh luaran berpeluang menduduki tampuk kepimpinan tertinggi parti.
"Keahlian PAS boleh menerima sesiapa sahaja yang Islam dan mereka adalah penentu kepada kepimpinan PAS itu sendiri.
"Ini akan membuka peluang besar kepada Umno atau musuh luar negara untuk meramaikan ahli PAS bagi tujuan mempengaruhi pemilihan PAS atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam.
"Sehingga kini kita tidak mempunyai mekanisme khusus bagi dijadikan perisai menghadapi musuh kerana strategi ini dilakukan oleh Amerika Syarikat dalam organisasi Islam di peringkat dunia," katanya lagi.

Sunday, May 24, 2009

Mogok lapar di Perak - Ustaz Ahmad Awang beri penjelasan

Mohd Rashidi Hassan Mon May 25, 09 2:05:12 pm MYT
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang menegaskan keputusan Badan Perhubungan PAS Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan munajat sewaktu berhadapan dengan kemelut politik di negeri Perak adalah selaras dengan Islam.
Dalam kenyataannya sebentar tadi, Ustaz Ahmad berkata, hikmah berpuasa juga bertepatan dengan sunnah apabila umat Islam digalakkan berpuasa sunat tiga hari setiap awal bulan hijrah iaitu 1 Jamadil Akhir (esok).
Katanya, keputusan PAS selaras dengan hasrat parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang mahu menganjurkan mogok lapar tiga hari mulai esok sebagai membantah kezaliman Barisan Nasional terhadap rakyat di negeri itu.
"Saya sudah bertanya kepada rakan-rakan bukan Islam daripada DAP dan KeADILan, mereka mengatakan mogok lapar yang dianjurkan tidak dibuat sehingga menyeksa diri.
"Lagi pun mereka menyediakan khidmat doktor yang akan sentiasa memantau keadaan," katanya.
Sekaligus Ustaz Ahmad menolak kenyataan Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria yang mengatakan umat Islam haram melakukan mogok lapar.
"Jangan kita terperangkap dengan mainan media, kita orang Islam, sudah tentu kita faham beza antara mogok lapar dengan berpuasa sunat.
"Oleh itu kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasaruddin Hassan dalam sebuah akhbar harian hari ini yang menolak mogok lapar, saya fikir tidak sesuai," tegasnya.
Ustaz Ahmad memberitahu, beliau sudah mengarahkan PAS Kawasan-kawasan seluruh Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan pada Khamis (hari ketiga berpuasa) malamnya diadakan solat hajat dan munajat.
Tegasnya, matlamat utama berpuasa sunat dan munajat diadakan ialah untuk memohon kepada Allah agar digerakkan hati pihak yang berkuasa bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.
"Kita tidak mahu terlalu hampa dengan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan, kita masih ada peluang di Mahkamah Persekutuan, apa yang kita mahu, sebagai orang Islam, kita mesti sentiasa dekat kepada Allah dan memohon pertolongan dari-Nya," tegas beliau.
Sehubungan itu beliau mempelawa umat Islam yang berpuasa di Perak untuk menyerai majlis berbuka puasa yang akan diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak selama tiga hari berturut-turut mulai esok. - mks._

Saturday, May 23, 2009

Dr Mansor ada harapan cerah menang besar - Mat Sabu

Wan Nordin, Sabri Said, Azamin dan Izwan Sat May 23, 09 3:40:15 pm MYT
PENANTI, 23 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu menjangkakan calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dr Mansor Othman akan menang besar mengalahkan tiga calon bebas lain bagi pilihan raya kecil Dun Penanti.
"Saya jangkakan Pakatan Rakyat akan menang, calon bebas mungkin akan hilang deposit dengan keadaan ini apabila sokongan kepada PR amat baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyatakan pandangan terhadap peluang calon Pakatan Rakyat Dr Mansor bagi pilihan raya kecil Dun Penanti yang telahpun selesai proses penamaan calonya pagi tadi.
Mohammad Sabu turut meluangkan masa pagi tadi bagi menyertai perarakan calon yang berlansung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penanti dekat sini.
Mengulas mengenai keenganan Umno/BN meletakkan calon di Penanti beliau menyatakan, Umno takut akan kebangkitan rakyat menolak idealisme parti itu.
Sambil menyatakan hari penamaan calon hanya didominasi penyokong Pakatan Rakyat, beliau menyifatkan ia sebagai 'satu hari yang suram'.
Namun beliau yakin kemenangan akan bersama dengan calon Pakatan Rakyat yang hanya akan menjadikan calon bebas hilang deposit.
Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dun Penanti yang bermula sejak jam 8.00 pagi agak suram berikutan calon Pakatan Rakyat hanya ditentang tiga calon bebas.
Meskipun kehadiran penyokong Pakatan Rakyat dalam jumlah yang ramai, namun suasana tidak pun menggambarkan satu pertempuran hebat bakal berlaku sepertimana penamaan calon beberapa prk yang lalu.
Hanya kedengaran laungan reformasi dan takbir di satu sudut, di sebelah kiri hadapan bangunan IKBN Penanti, sementara sudut kanan yang disediakan bagi pihak bertentangan Pakatan Rakyat tiada kedengaran.
Suruhanjaya Pilihan Raya SPR akhirnya mengesahkan bahawa PRK Dun Penanti Penanti akan ditandingi oleh 4 calon.
Calon Pakatan Rakyat daripada KeADILan, Dr Mansor Othman akan menentang calon-calon Bebas iaitu, Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan Kamarul Ramizu Idris.
Semua calon kini boleh berkempen sehingga jam 12 tengah malam, 30 Mei nanti.
Sementara itu, calon-calon Bebas akan menggunakan simbol 'Kunci' untuk Aminah, Nai (Wau) dan Kamarul (Payung) sepanjang pilihan raya ini./wann

Penanti: SPR umum pertandingan 4 penjuru!

Wan Nordin, Azamin Amin, Sabri Said & Izwan Sat May 23, 09 3:39:50 pm MYT
TerkiniKUALA LUMPUR, 23 Mei (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya mengesahkan bahawa Pilihan raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti akan ditandingi oleh 4 calon.
Calon Pakatan Rakyat daripada KeADILan, Dr Mansor Othman akan menentang calon-calon Bebas iaitu, Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan Kamarul Ramizu Idris.
Semua calon kini boleh berkempen sehingga jam 12 tengah malam, 30 Mei nanti.
Sementara itu, calon-calon Bebas akan menggunakan simbol 'Kunci' untuk Aminah, Nai (Wau) dan Kamarul (Payung) sepanjang pilihan raya ini.
Berita perkembangan dan liputan Penamaan Calon Dun Penanti sejak pagi tadi
Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti baru selesai sebentar tadi. Berikut adalah laporan lintas langsung daripada wartawan Wan Nordin, Azamin Amin, Sabri Said dan Izwan Abdul Halim yang memaklumkan setiap perkembangan yang berlaku di Dewan Semarak Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Jalan Berapit, Bukit Mertajam,Penanti sejak pagi tadi.
11.55 pagi: Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya,Roslan Yahaya, mengesahkan calon Bebas,Mohd Saberi Othman dibatalkan pencalonannya.
11.15 pagi: Tempoh bantahan telah tamat pada jam 11 pagi tadi dan Pegawai SPR, Roslan Yahaya akan membuat pengumuman tidak lama lagi.
10.00 pagi: Masa pencalonan telah ditutup dan masa bantahan bermula selama sejam sehingga jam 11 pagi nanti. Jika tiada bantahan, maka PRK Dun Penanti akan menyaksikan pertandingan 5 penjuru antara 4 calon bebas dengan calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman.
9.55 pagi: Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Momammad Nizar Jamaluddin tiba di kawasan pencalonan. Para penyokong yang terdiri daripada lebih 4,000 orang bersorak menyambut kehadirannya.
Ada yang berteriak 'Bubar Dun' dan 'Bubar Perak'. Nizar yang melambai tangan dan bersalaman bersama para penyokong meminta semua bersabar dan berkata, perjuangan masih belum berakhir dan kini pihaknya sedang membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah semalam.
9.50 pagi: Sehingga kini seramai 5 calon termasuk calon-calon Bebas iaitu, Aminah Abdullah; Nai Khan Ari; Khairul Romizu Idris; Mohd Saberi Othman dan calon Pakatan Rakyat daripada KeADILan, Dr Mansor Othman telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk bertanding dalam PRK ini.
Tempoh pencalonan akan berakhir jam 10 pagi nanti dan dijangka bilangan yang bertanding adalah seramai 5 orang termasuk calon daripada Pakatan Rakyat.
9.25 pagi: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan pemimpin veteran DAP tiba di kawasan pencalonan untuk memberikan sokongan.
9.15 pagi: Bebas pemimpin Gerakan,Nai Khan Ari menyerahkan borang pencalonan sebagai calon Bebas.
9.10 pagi: Seorang calon bebas, Khairul Romizu Idris yang juga bekas calon bebas PRK Parlimen Bukit Gantang tiba di Pusat Penamaan Calon IKBN sebentar tadi. Dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang beliau tewas dan telah hilang wang pertaruhan.
9.05 pagi: Calon Bebas, Mohd Saberi Othman memasuki IKBN untuk serahkan borang pencalonan.
9.02 pagi pagi: Calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman masuk ke dewan untuk serah borang sebagai calon Pakatan Rakyat.
9.00 pagi: Calon Bebas, Aminah ABdullah masuki dewan untuk serah borang pencalonan.
8.55 pagi: Calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman dilihat memasuki kawasan perkarangan Dewan IKBN dengan diiringi para pemimpin Pakatan Rakyat yang diketuai Dato' Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mat Akin.
8.50 pagi: Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu tiba di luar Dewan IKBN.
8.45 pagi: Perarakan calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman telah bermula seawal jam 8.30 pagi tadi dengan diiringi selebih 4,000 penyokong daripada KeADILan, PAS dan DAP.
Para penyokong Pakatan Rakyat kelihatan masih terus memenuhi ruangan kawasan yang diperuntukkan untuk Pakatan Rakyat.
Dr Mansor telah memasuki tempat penamaan calon iaitu Dewan Semarak, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penati jam 8.40 pagi tadi.
Turut kelihatan pemimpim Pakatan Rakyat di kawasan penamaan calon adalah, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, AJK PAS Pusat, Haji Anuar Tahir dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.
Pihak polis telah membuat beberapa sekatan terutamanya untuk penyokong Pakatan Rakyat apabila sekatan sejauh 300 meter sehingga menyebabkan para penyokong terpaksa berjalan kaki agak jauh untuk ke kawasan perhimpunan. Tetapi bagi calon bebas, sekatan dibuat berdekatan dengan kawasan dewan pencalonan.
8.20 pagi: Calon Bebas, Nai Ari Khan tiba di pusat penamaan calon.
8.00 pagi: Suasana terkawal dan lengang. Pihak polis ditempatkan bagi mengawal keadaan sekitar IKBN.
7.45 pagi: Calon Parti Keadilan Rakyat, Dr Mansor Othman tiba di pusat penamaan calon. Beliau masih menunggu kehadiran penyokong parti lain dari jarak 300 meter dari kawasan penamaan.
7.40 pagi: Calon Bebas, Aminah Abdullah tiba di pusat penamaan calon di Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam bersama suami dan tiga anaknya. - mks.
(Sila 'refresh' untuk perkembangan terkini) _ -->


-->

Wednesday, May 20, 2009

Perbicaraan masih diteruskan, giliran Peguam Nizar berhujah

Wan Nordin Wan Yaacob Thu May 21, 09 02:25:57 pm MYT
PUTRAJAYA, 21 Mei (Hrkh) - Setelah Mahkamah berehat kira-kira 15 minit, kini giliran peguam Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengemukakan hujah setelah pihak peguam Dato' Dr Zambry Abdul Kadir melakukan yang sama pagi tadi sehingga tengah hari tadi.
Perbicaraan bermula jam 9.45 pagi, apabila peguam Zambry, Dato' Cecil Abraham memulakan hujah berhubung status Menteri Besar Perak.
Dijangkakan, tiada sebarang keputusan akan dibuat pada hari ini, memandangkan mahkamah perlu mendengar terlebih dahulu hujah kedua-dua belah pihak.
Setakat ini, kira-kira 150 penyokong Nizar dan Pakatan Rakyat sudah mula memenuhi luar pekarangan kamar Mahkamah Rayuan 3 berbanding pagi tadi.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dibuat oleh peguam kedua-dua belah pihak biarpun diasak dan diaju soalan oleh puluhan wartawan yang mengikuti secara dekat perbicaraan ini.
Lebih menarik, para wartawan dan jurugambar mengekori sahaja mana-mana VVIP (orang kenamaan) yang keluar masuk ke kamar Mahkamah tersebut hatta menuju ke tandas sekalipun , menjadikan suasana begitu 'gamat' dengan aksi-aksi spontan mereka.
Baru-baru ini keputusan mahkamah tinggi itu ditangguhkan berikutan Mahkamah Rayuan melalui Hakim Dato' Ramly Ali membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan pengisytiharan itu oleh Dato' Dr Zambry Abdul Kadir.
Isnin lalu, Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar telah menghantar surat melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan memohon panel lima hakim untuk mendengar kes tersebut
Alasan permohonan itu ialah membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.
Sungguhpun kawalan keselamatan di pekarangan Mahkamah tidak terlalu ketat namun bagi oarang ramai yang ingin mengikuti perbicaraan ini akan dilakukan pemerikasaan yang rapi oleh anggota polis.
Kelihatan puluhan wartawan luar dan dalam negara memenuhi kawasan sekitar kamar Mahakmah Rayuan 3, sejak awal pagi tadi, bagi membuat laporan dan liputan mutakhir kes ini.
Jam 9.00 pagi tadi, Peguam Sulaiman Abdullah dan Hanipa Maidin yang mewakili Nizar memasuki kamar mahkamah dengan diikuti pula oleh Peguam Umno Dato' Hafarizam. Turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Ghani Patail dan peguam Tun Majid. - azm _