Monday, June 9, 2008

Potongan elaun bersifat 'kosmetik', pujuk hati rakyat

Azamin Amin Tue Jun 10, 08 12:07:00 pm MYT
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Pemotongan elaun keraian menteri kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam dilihat bersifat kosmetik dan sekadar memujuk hati rakyat yang semakin resah serta kecewa dengan tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel baru-baru ini.
Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata pemotongan itu tidak langsung memberi kesan besar dalam menangani masalah rakyat yang semakin dibebani dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.
"Secara kosmetiknya ianya menjadi tauladan dan kita mengalu-alukan. Namun tindakan memotong hanya beberapa kerat elaun keraian menteri ini tidak memberi kesan besar kepada perbelanjaan negara dan membantu nasib rakyat jelata.
"Kita tidak tahu berapa gaji dan elaun keraian mereka, malah 10 peratus hanyalah bahagian kecil sahaja. Ini sekadar nak memujuk hati seolah-olah mereka sangat memahami penderitaan rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily bagi meminta respon segera berhubung isu terbabit.
Ketika ini, elaun keraian bulanan bagi Perdana Menteri ialah RM18,865, Timbalan Perdana Menteri (RM15,015), menteri (RM12,320) dan timbalan menteri (RM6,000).
Hatta memberitahu bahawa kerajaan perlu merangka secara sistematik dan lebih terperinci langkah-langkah drastik yang membolehkan negara dapat menguruskan perbelanjaan yang tidak menekan hidup rakyat.
Antaranya mengelakkan berlakunya gejala rasuah di peringkat tertinggi dan yang melibatkan projek-projek kerajaan yang menyebabkan peningkatan kos pembangunan negara yang akhirnya mengakibatkan rakyat yang menanggungkan kesannya.
"Kerajaan mesti memperkemaskinikan penguatkuasaan agensi Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana banyak wang rakyat hilang akibat rasuah," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Kerajaan katanya perlu menganalisa kembali projek mega dan koridor yang tidak banyak membantu rakyat dalam jangka masa terdekat ini malah penggunaan duit rakyat secara boros dan membazir selama ini perlu didedahkan dan dikenakan tindakan
"Akibat ketidakcekapan kerajaan menguruskan wang rakyat dan membazir sekian lama, kini kita mendapat balasannya (kesan naik harga minyak) sekarang," katanya yang juga merupakan Penyelaras Protes yang akan mengadakan perhimpunan besar-besaran rakyat pada 12 Julai ini bagi membantah kenaikan harga minyak.-az/mks.

Kenaikan harga minyak tidak dibincang dengan MT Umno' - Khir Toyo

Azamin Amin Tue Jun 10, 08 12:05:08 pm MYT
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno bagi melihat dari perspektif kepentingan rakyat banyak.
Malah kenaikan harga petrol sebanyak RM 0.78 seliter diakui sememangnya amat tinggi dan sukar untuk rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana menerimanya.
Demikian luahan pendapat Ahli Majlis Tertinggi Umno Dato' Seri Khir Toyo yang juga turut terkejut dengan kenaikan mendadak harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan,
"Saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula kenaikan drastik ini. Mungkin jika ia dapat dikurangkan separuh daripada kenaikan hari ini pun ia cukup bermakna kepada rakyat dan industri kecil dan sederhana," katanya dalam blognya.
Selain itu beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menurunkan tarif elektrik bagi mengimbang kenaikan kos akibat harga petrol malah memberi subsidi kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Janganlah terlalu dipentingkan keuntungan beratus juta syarikat berkaitan kerajaan (Government Link Company - GLC) sehingga rakyat di bawah menderita. Apa penting diumumkan keuntungan besar syarikat ini tetapi rakyat tidak merasai apa-apa?" katanya.
Selain itu Khir juga menyarankan Petronas dan semua GLC negara mengumumkan keuntungan kepada kabinet sebelum kabinet memutuskan jumlah bonus yang perlu di berikan kepada mereka.
Jika GLC ingin memberikan bonus kepada kakitangan, mereka perlu membuat sumbangan kepada Kerajaan Negeri di samping menyelesaikan pinjaman mengikut jadual, katanya.
"Jika dilaksanakan di peringkat Persekutuan, Petronas yang pasti memperolehi keuntungan hasil dari kenaikan harga minyak mentah dunia dapat menyumbang kepada pendapatan negara secara langsung.
"Wang ini bolehlah digunakan untuk mengurangkaan bebanan rakyat atau pun program basmi kemiskinan tegar sebelum 2010," katanya. _

Rakyat makin fakir akibat tindakan kerajaan

Nurul Nuha Tue Jun 10, 08 8:41:31 am MYT
KUALA LUMPUR,10 Jun (Hrkh) - Kerajaan sebagai pembuat dasar boleh membatukan diri, tetapi rakyatlah yang menderita akibat bebanan kenaikan harga minyak, tegas ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub dalam satu sidang media di parlimen semalam.
"Saya tidak boleh bayangkan betapa 'fakirnya' kakitangan bawahan yang tinggal di Kuala Lumpur ekoran bencana inflasi ini sedangkan kerajaan masih enggan menaikkan gaji kakitangan hingga ke tahap gaji minimum," katanya.
Isu utamanya, sambung beliau lagi,adalah kesan berantai dan tekanan inflasi yang mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung peningkatan kos hidup yang memeritkan.
"Hakikatnya, kerajaan tidak berupaya memberi satu alasan bagi menyekat kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berlaku secara mendadak," jelas beliau.
Salehuddin turut menegaskan bahawa tiada sebarang pendekatan yang ampuh diambil kerajaan dalam mengatasi masalah ini.
"Rakyat marhaen melihat arahan menteri menegur pengusaha-pengusaha bas menaikkan harga tambang sebagai arahan tidak logi," tambahnya lagi.
Beliau yang ditemui dalam sesi penyerahan memorandum kepada Tan Sri Yang Di-Pertua Dewan Rakyat menggesa agar diadakan perundingan untuk mencari penyelesaian konkrit antara wakil-wakil yang terlibat.
"Rundingan dan persepakatan yang dicapai diharap dapat memberi kepuasan kepada rakyat dan kerajaan dengan situasi menang-menang,"katanya.
Sebagai mewakili ahli-ahli Parlimen PAS, beliau juga memohon Yang Di-Pertua Dewan Rakyat untuk memanggil satu persidangan tergempar Dewan Rakyat.
"Persidangan itu dibuat bagi membolehkan satu isu besar yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara boleh dirunding sewajarnya," tegas Salehuddin mengakhiri sidang media tersebut. - mks._

Saturday, June 7, 2008

Lebih 1,000 sertai kempen 'vigil' GMI di Kamunting

Anis Nazri Sun Jun 08, 08 11:44:32 am MYT
KAMUNTING, 8 Jun (Hrkh) - Siri Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA menemui kemuncak malam tadi dengan kempen 'vigil' yang diadakan dengan suasana aman, tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Lebih seribu orang, dengan lilin di tangan masing-masing, mendengar beberapa ucapan yang disampaikan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengarah kempen, yang juga isteri tahanan, Norlaila Othman; dan isteri tahanan, Sharmila Sanjeev Kumar.
Sebelum itu, mereka berarak kira-kira satu kilometer dari Masjid Jamek Kamunting ke kem dalam keadaan hujan renyai-renyai, selepas waktu Maghrib.
Namun, suasana itu tidak melunturkan semangat mereka yang menyertai perhimpunan tersebut biarpun bertukar lilin beberapa kali, sambil diawasi Unit Amal Malaysia.
Perhimpunan ini melakarkan sejarah tersendiri apabila pihak keselamatan turut memberikan kerjasama dengan sebaiknya, walaupun kelihatan agak 'tertekan' dengan perhimpunan tersebut.
Perbincangan pihak keselamatan dengan Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Dato' Ngeh Ko Ham, menjadikan perhimpunan itu satu perhimpunan aman yang tidak mengganggu keselamatan negara.
Kira-kira jam 9.30 malam, mereka diminta untuk bersurai, walaupun tergambar di wajah masing-masing riak 'tidak puas' dengan perhimpunan tersebut.
Bagaimanapun, sebagai rakyat yang patuh dan mencintai keamanan, seperti yang diucapkan Syed Ibrahim, mereka beransur dan berarak kembali ke masjid.
Namun, mereka masih meluahkan rasa hati mereka dengan menyanyi dan melaungkan slogan-slogan seperti 'Mansuhkan ISA, 'Tutup Kemta' dan sebagainya.
Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah Adun Teja, Chang Lih Kang; Drs. Khalil Idham Lim Abdullah (Titi Serong), Mohd Anuar Sidin (Changkat Jong), Yee Seu Kai (Pokok Assam), Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau), juga ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S. Jeyakumar.
Selain Adun-adun Perak, turut hadir Setiausaha Muslimat PAS, Aiman Athirah, aktivis S. Arutchelvan, blogger 'Zorro', blogger Haris dan aktivis-aktivis hak asasi manusia lain.

Wednesday, June 4, 2008

Pakatan Rakyat komited turunkan harga minyak - Anwar

Azamin Amin Thu Jun 05, 08 11:46:05 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim membantah keras sikap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terus mengabaikan tanggung jawab dan membebankan rakyat berikutan kenaikan harga bahan bakar yang diumumkan semalam.
"Saya ulangi pendirian saya dan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak dan meletakkan asas ekonomi manusiawi," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily sebentar tadi.
Beliau menyatakan kenaikan tersebut menyebabkan kehidupan rakyat semakin rumit yang akan merebak kepada kenaikan taraf elektrik, kos pengangkutan dan harga barang keperluan yang lain.
"Persoalannya keuntungan Petronas yang jenuh melimpah tertiris dan bocor ke mana? Tidak ada pertanggungjawaban waima kepada Parlimen sekalipun.
"Yang arif mengenai kedudukan kewangan Petronas hanya Perdana Menteri dan yang terserlah adalah projek mega dan koridor (ekonomi)!" katanya yaang membidas pembaziran wang rakyat oleh kerajaan.
Beliau menyatakan bahawa rakyat bukan sahaja dinafikan maklumat malah limpahan dan habuan dari khazanah utama negara tidak dirasakan tetapi manfaatnya hanyalah buat keluarga dan kroni yang sekonyong-konyong dianugerah kontrak dan projek.
"Inilah yang kami sering ungkapkan sebagai pengurusan ekonomi yang lembab dan tidak bertanggungjawab. Amalan hidup pimpinan negara terus boros, pembaziran dan rasuah terus berleluasa.
"Setelah gagal mengurus ekonomi dan menjamin keselesaan hidup rakyat, pimpinan Umno-BN seharusnya berundur!" katanya. - tajdid

Naik Minyak:Rakyat mesti protes sedarkan kerajaan!

Azamin Amin Foto Nasir Sudin Thu Jun 05, 08 11:44:18 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Rakyat mesti melahirkan suara protes dan menunjukkan bantahan yang besar kepada kerajaan supaya menimbang semula kenaikan bahan bakar yang diumumkan semalam kerana ia secara jelas mencetuskan suasana gawat dan menambahkan lagi beban kos sara hidup penduduk negara ini.
Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata bantahan itu perlu dibuat segera memandang keputusan kenaikan harga minyak adalah sesuatu yang mengejutkan ramai pihak malah tidak menyangka kerajaan bersikap 'kering hati' dalam membuat keputuasan tanpa mengambil kira kesulitan yang bakal dihadapi rakyat.
Atas keputusan semalam katanya, beliau selaku penyelaras Gabungan Protes Kenaikan Harga Minyak (Protes), akan berbincang bersama jawatankuasa pagi ini untuk mengambil tindakan dan langkah seterusnya bagi menyedarkan dan meminta kerajaan untuk menurunkan semula harga minyak.
"Jika kerajaan boleh buat keputusan melalui kuasanya tanpa mengambil kira nasib rakyat maka rakyat juga boleh menunjukkan kuasa melalui suara protes mereka. Keputusan naik dan turun ini berada di tangan kerajaan maka rakyat mestilah menunjukkan bantahan yang di buat secara menyeluruh di seluruh negara.
"Jika Perdana Menteri merayu supaya rakyat untuk tidak berdemonstrasi maka rakyat juga boleh berdemonstrasi untuk 'merayu' supaya kerajaan menurunkan harga minyak," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Tambahnya, keputusan kerajaan untuk mengikut harga pasaran minyak dunia telah dilaksanakan oleh kebanyakan negara namun bezanya kadar gaji penduduk negara-negara itu melebihi penduduk di Malaysia yang secara tidak langsung tidak membebankan kos hidup.
"Memang kerajaan ikut sistem negara luar yang tidak memberi subsidi seperti Singapura tetapi penduduknya mendapat gaji berlipat kali ganda dan taraf hidup mereka lebih stabil berbanding rakyat kita yang semakin lama semakin teruk keadaannya," katanya
Selain itu kesan kenaikan minyak ini juga turut dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan tidak memiliki kenderaan kerana ianya akan membabitkan kenaikan kos pengangkutan awam dan harga barangan keperluan harian pula.
"Golongan yang miskin dan tidak ada kena mengena dengan kenaikan ini turut terjejas kerana sudah pasti harga barang dan keperluan lain juga turut naik seiring kenaikan bahan bakar ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Beliau turut menganggap bahawa rebet atau pulangan wang melalui cukai jalan yang diberikan kerajaan hanya sebagai 'pemujuk' sementara kepada rakyat dan ianya tidak bersifat keuntungan atau kemudahan jangka panjang.
"Bayar RM150 atau RM625 sekali setahun sahaja tetapi menderita setiap hari, apa gunanya? Ini semua sekadar nak mengaburi mata dan memujuk rakyat semata-mata," katanya.
Semalam Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan harga minyak diesel dinaikkan kepada RM2.58 berbanding M1.58 seliter sebelumnya.
Kenaikan sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 63.3 peratus bagi diesel berkuatkuasa tengah malam semalam.
Sejak 2004, harga petrol naik sebanyak 97.1 peratus manakala harga diesel pula naik setinggi 231 peratus. - mks.

Ekoran harga minyak naik, PM buat negara 'huru-hara'

M Khaleel Kas Thu Jun 05, 08 9:01:45 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Pengumuman kenaikan harga minyak oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya semalam telah menyebabkan keadaan huru-hara di kalangan rakyat terutamanya penguna jalan raya semalam.
Selepas pemgumuman tersebut, wartawan Harakahdaily yang membuaut tinjauan sekitar Kuala Lumpur mendapati semua stesen-stesen minyak di ibu kota menjadi sesak dan hampir tidak terkawal.
Misalnya, stesen minyak Caltex di Jalan Pahang Barat telah menyebabkan kesesakan di Bulatan Pahang dan stesen minyak Petronas di Jalan Tun Razak telah menyebabkan kenderaan hiruk pikuk di sepanjang jalan berkenaan.
Seorang petugas di stesen Caltex di Jalan Pahang yang hanya tidak mahu dikenali berkata, keadaan agak sukar sebab pengguna seolah-olah 'histeria'.
"Seawal jam 5 petang kenderaan mula berpusu. Ramai yang serbu sehingga ada beberapa pelanggaran kecil dan situasi di hadapan Hospital Tawakal sesak teruk,"jelasnya.
Sementara itu, seorang penunggang motosikal yang ditemui malam tadi, Birang Abdullah, 58, berkata ada pengusaha stesen yang menutup pam minyak mereka.
"Ini dah stesen keempat saya masuk. Sebelum ini beberapa stesen mereka tutup dan hanya dibuka satu atau dua pam sahaja.
"Bila kita soal mereka kata minyak dah habis. Mana boleh begitu,takkan baru jam 6 petang dah habis. Mesti mereka berkomplot nak jual dengan harga baru lepas tengah malam tadi,"marahnya setelah gagal untuk mengisi minyak di beberapa stesen minyak sebelum itu.
Selain itu, beliau juga agak kesal kerana ada pengusaha yang menolak untuk mengisi minyak apabila beliau membawa tong minyak tambahan.
"Mana ada undang-undang kata kita tak boleh isi tong tambahan, saya bukan nak seludup hanya nak isi tong tambahan untuk motosikal saya yang satu lagi di rumah,"ulasnya sambil menunjukkan sebuah tong kosong sebesar tong minyak pelincir 4 liter.
Sementara itu,di jalan-jalan lain, apabila warga kota turut mengambil peluang yang ada sehingga tengah malam tadi untuk mengisi petrol untuk kenderaan mereka.
Kesemua stesen minyak yang terletak di sekitar bandar raya "ditawan" dalam masa beberapa minit sahaja selepas kenaikan bahan api itu diumumkan Abdullah.
Tinjauan juga mendapati Jalan Kuching, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Tun Razak, Jalan Bangsar, Jalan Sultan Ismail, Cheras dan Ampang antara jalan yang paling teruk dengan kesesakan lalulintas.
Di Jalan Kuching misalnya kenderaan bergerak terlalu perlahan dalam jarak empat kilometer. Seorang pengurus stesen minyak Shell di Batu 5, Gombak, Abdul Selamat, 45, berkata beliau terkejut dengan ratusan kenderaan yang menyerbu stesen minyak itu.
"Ini adalah kali pertama keadaan seumpama ini berlaku sejak 1998. Sehingga kami terpaksa meminta lori tangki petrol datang isi simpanan petrol.
Ada juga pemilik kenderaan yang tidak sabar dan potong barisan," katanya ketika ditemui di sini.
Kesesakan lalulintas ini menyebabkan polis trafik terpaksa ditugaskan bagi mengawal keadaan di beberapa jalan yang sesak teruk.
Ada juga kenderaan yang kehabisan petrol, akibat terperangkap terlalu lama dalam kesesakan lalulintas dan ada juga yang berlanggar sesama sendiri untuk berebut mengisi petrol.
Sementara itu sebuah stesen minyak di Taman Melawati terpaksa ditutup selepas kehabisan petrol.
Di PULAU PINANG, Bernama melaporkan sejam selepas Perdana Menteri mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel, hampir kesemua stesen minyak di negeri ini diserbu pengguna yang mahu mengisi tangki minyak kenderaan mereka sebelum pukul 12 malam ini.
Tinjauan di beberapa stesen minyak mendapati kenderaan beratur panjang sehingga menimbulkan kesesakan lalulintas yang teruk antaranya di Jalan Perak, Jalan Datuk Keramat, Jalan Argyll dan Jalan Anson.
Petugas di stesen minyak juga dilihat sibuk melayan pelanggan manakala pemandu yang tidak tahu mengenai kenaikan harga petrol dan diesel berkuatkuasa esok kelihatan terpinga-pinga melihat kesesakan di stesen berkenaan.
Seorang pesara polis, Harun Ismail, 56, menyifatkan kenaikan harga petrol secara mengejut itu amat melampau dan membebankan rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah.
Harun, yang mengetahui mengenai kenaikan harga itu melalui berita TV petang ini, bergegas ke stesen berhampiran untuk mengisi tangki keretanya.
"Saya baru tengok berita petang ini. Kalau tanya semua pengguna pun mereka akan kata kenaikan ini sangat melampau.
Pengumuman dibuat tiba-tiba sahaja dan ini membebankan orang ramai terutamanya pesara macam saya," katanya.
Seorang kakitangan penjara, Suhaimi Ismail, 27, yang kebetulan berada di stesen minyak Jalan Perak terkejut melihat deretan kenderaan menunggu giliran.
Kakitangan MAS Kargo, Rahmat Abdul Majid,35, pula kesal dengan pengumuman itu kerana baru sahaja dimaklumkan bahawa kenaikan itu mungkin pada bulan depan atau Ogos ini.
"Ini melampau. Kata nak naik bulan Julai atau Ogos tetapi tiba-tiba sahaja umum esok akan naik harga.
Kerajaan perlu pantau balik keadaan ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim ketika dihubungi mahu kerajaan mencari jalan yang lebih efektif untuk mengurangkan beban rakyat terutamanya sewaktu harga barangan makanan semakin meningkat.
"Saya dukacita dengan berita kenaikan harga petrol dan diesel secara mendadak ini. Sepatutnya, setiap kenaikan harus dibuat secara beransur-ansur dan bukan drastik begini," katanya.
Ketika ditanya bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang kepada penduduk di sini, beliau berkata: "Kalau harga beras naik, kita boleh lagi bagi bantuan beras kepada orang miskin seperti yang telah kita lakukan baru baru ini tetapi sekarang harga minyak pula naik. Tak Kan kita kena bagi minyak pula".
Presiden Persatuan Teksi Orang India Pulau Pinang, P.Raman berkata, kenaikan harga petrol dan diesel akan memberi kesan kepada sektor pengangkutan.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan anggota persatuan itu dalam masa terdekat ini untuk menentukan sama ada tambang teksi akan dinaikkan atau tidak.
Pengerusi Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Wilayah Utara, Dato' O.K.Lee berkata, kenaikan harga petrol dan diesel serta kenaikan tarif elektrik sebanyak 18 peratus untuk pengguna domestik dan 26 peratus untuk industri akan memberikan kesan yang amat besar terutamanya pengusaha industri kecil dan sederhana (SMI) di negara ini.
Katanya, pengusaha berkenaan mungkin akan menaikkan harga produk dan beban kenaikan kos itu akan ditanggung rakyat yang menggunakan produk berkenaan atau terpaksa "menutup kedai" jika harga tidak dinaikkan.
Beliau bimbang Malaysia akan kehilangan kompetitif dari segi tarikan pelaburan berikutan kenaikan itu.
Katanya dengan kenaikan harga minyak, Petronas akan menjadi semakin kaya dan jika mereka menaikkan pula harga gas kepada pengeluar elektrik seperti Tenaga Nasional (TNB) dan pengeluar tenaga persendirian (IPP), mereka dijangka mempunyai keuntungan yang berlipat kali ganda.
"Saya cadangkan Petronas membiayai pengwujudan lebih banyak sistem tenaga pengangkutan seperti pengangkutan transit ringan (LRT) di negara ini bagi mengurangkan kos pengangkutan yang perlu ditanggung rakyat," katanya. - mks.