Monday, April 23, 2007

Khalid hadiah istimewa buat penduduk Ijok - Presiden PAS

Wan Nordin Wan Yaacob Tue Apr 24, 07 11:14:03 AM
IJOK, 24 April (Hrkh) - Meskipun hujan membasahi bumi Ijok tatkala Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang turun berkempen di sana, namun kesediaan bekas Menteri Besar Terengganu itu menjengah masyarakat Ijok menarik perhatian sebilangan masyarakat di sana.
Dalam pada sambutan yang bersifat 'ad-hoc' dibuat bagi mengiringi kempen Tuan Guru Abdul Hadi, namun tetap terpancar seraut senyuman wajah Presiden PAS itu ketika mengunjungi beberapa Unit Peti Undi (UPU) sekitar Bukit Badong, Simpang Tiga Ijok dan Pekan Ijok semalam.
Dengan hanya ditemani beberapa saf pimpinan peringkat negeri, beliau dalah usia lebih separuh abad mengayuh langkahnya menjenguk penyokong di sana sambil memberi sepatah dua kata berupa nasihat dan pandangan.
Di waktu malam pula, Tuan Guru Abdul Hadi diprogramkan berceramah di Batu Lapan berhampiran Simpang Tiga Ijok, dengan regunya antaranya, Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamood; Pengerusi MTRK, Dato' Paduka Ibrahim Ali; ahli MT KeADILan, Ustaz Badrol Amin Bahron dan calon KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Dalam ceramah yang dihadiri kira-kira 800 penyokong itu Tuan Guru Abdul Hadi sempat memberi amanat dan pandangannya kepada pengundi terutamanya kepada penyokong PAS dan KeADILan supaya meletakkan pilihan raya kecil Dun Ijok ini sebagai permulaan kepada usaha mengubah lanskap politik negara yang kian hancur kerana rasuah.
"Tan Sri Khalid Ibrahim calon yang kita pilih ini, rakyat Ijok dah kenal dia, sepatutnya tak payah diperkenalkan tetapi kita terpaksa kenalkan juga.Pilihan raya adalah wadah memilih pemimpin dengan amanah bukan setakat dapat upah tampal poster, pilihlah pemimpin yang bertanggungjawab dari kubur hingga kiamat,"katanya.
Melihat kepada calon di Ijok Tuan Guru berkata, BA memilih Khalid Ibrahim seorang yang memiliki kelulusan pengajian tinggi, terbukti sifat amanahnya bila memimpin satu syarikat besar (Permodalan Nasional Berhad) sehingga memberi keuntungan besar.
Menurut Tuan Guru lagi, Khalid telah menunjukkan kebolehan, kemampuannya, kejujurannya, dan baginya, Khalid adalah calon yang BA hadiahkan kepada rakyat di Ijok ini.
"Terpulang kepada rakyat Ijok menilai hadiah yang kami beri ini, satu bunga yang cantik dan indah diberi supaya akan terima dengan baik, kalau yang baik ini tak diterima saya tak fahamlah apa yang nak dicakap,"katanya sambil disambut laungan takbir oleh penyokong yang hadir.
Mengakhiri ceramahnya itu Tuan Guru Abdul Hadi menasihati pengundi di Ijok agar membuat pilihan yang tepat kerana ianya akan menetukan masa depan negara yang kini hancur di tangan mereka yang diberi amanah tetapi tidak menjaga amanah itu dengan baik.
Hujan renyai yang mengiringi langkah Tuan Guru Abdul Hadi ke ceramah di satu lagi tempat berasingan tidak mematahkan semangat penyokong untuk terus khusyuk mendengar ceramah berikutnya yang disampaikan oleh Syed Shahir.

Perlu wujud undang-undang larang kerajaan tabur janji

Intan Abdullah Tue Apr 24, 07 12:05:35 PM
KUALA LUMPUR, 24 April (Hrkh) - Sebaik sahaja pilihan raya berlaku, maka kerajaan seharusnya ditahan daripada mengumumkan sebarang projek pembangunan, demikian kata pengkaji sistem pilihan raya, Wong Chin Huat.
Menurutnya, jentera kerajaan seharusnya menunjukkan 'keberkecualian pentadbiran' (administrative neutrality) kerana ia milik semua rakyat tanpa mengira fahaman politik dan parti.
Tegas beliau lagi, keadaan ini menunjukkan bahawa negara ini perlu kepada undang-undang yang melarang kerajaan daripada menabur janji-janji kosong dan hadiah selepas sesuatu kerusi itu dikosongkan.
Wong menjelaskan, dalam jangka masa pilihan raya, kerajaan yang ada adalah bersifat "caretaker government" atau kerajaan sementara kerana mandat yang ada sebelum ini telah pun tamat dan dalam pilihan raya kecil, kerajaan seharusnya mengelakkan diri daripada menggunakan sumber kerajaan pusat mahupun negeri untuk merayu undi bagi parti tertentu.
Justeru, ujar beliau apa yang perlu ialah mengubah undang-undang supaya perbuatan itu dihalang dan ditegah daripada terus disalahgunakan.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa proses penggubalan undang-undang ini boleh berlaku tanpa bergantung kepada semata-mata mendesak kerajaan negeri atau persekutuan BN kerana kerajaan negeri Kelantan boleh menjadikannya satu kenyataan.
"PAS dan Barisan Alternatif(BA) boleh menjadi pemimpin dalam reformasi pilihan raya dan biarkan Umno dan BN menjadi pengikut arus perubahan ini," ujarnya tegas.
Pada pandangan beliau, Kelantan perlu menegakkan dirinya sebagai serambi demokrasi dan ia adalah satu cabaran kepada Kelantan dalam menjadikan dirinya sebagai teladan kepada Barisan Nasional dan model kepada rakyat dalam mencerminkan wajah sebenar politik demokrasi.
Kerajaan Kelantan boleh menggubal undang-undang untuk menggariskan undang-undang untuk pilihan raya kecil dan umum bagi Dewan Undangan Negeri.
Sebaliknya, jika PAS berjaya melakukannya, ia akan membuktikan kelebihan politik Islam yang berbeza daripada politik BN. Semua pihak akan dapat melihat momentum perubahan itu datang daripada PAS dan BA.
Beliau juga menjelaskan bahawa norma demokrasi, dan bukan undang-undang sedia ada yang harus menjadi panduan kita. Ini kerana apa yang sah dari segi undang-undang tidak semestinya absah daripada segi demokratik.
Dengan menggubal undang-undang mengenai keberkecualian pentadbiran, PAS dan BA dapat menyeragamkan undang-undang dengan norma demokrasi.
Ketika menerangkan peri-pentingnya keberkecualian pentadbiran berhubung dengan senario yang sedang hebat diperkatakan ini, Wong berkata rakyat berhak mendapatkan segala peruntukan sepanjang tahun, Jika pembangunan sampai hanya apabila wakil rakyat meninggal dunia, maka pada hakikatnya rakyat telah dirampas haknya.
Bahkan, pada kebiasaannya mereka disogokkan dengan penyataan bahawa jika mereka menyokong pembangkang, nescaya mereka tidak akan dapat menikmati pembangunan di kawasan mereka, ulasnya lagi. - mks.

Sunday, April 22, 2007

Khairy pupuk budaya samseng dan berbohong? - AMK

Wan Nordin Wan Yaacob Sat Apr 21, 07 01:04:28 AM
KUALA LUMPUR, 21 April (Hrkh) - Angkatan Muda KeADILan Malaysia (AMK) mendakwa Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin berbohong dan memutarbelitkan fakta mengenai kekecohan yang berlaku semasa proses penamaan calon di Dun Ijok 19 April lalu (Isnin).
Khairy juga didakwa cuba memupuk budaya samseng di kalangan pemuda BN dengan menjadi provokator dalam beberapa insiden yang tidak diingini dilakukan oleh anggota mereka sendiri, kata Pemangku Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin kepada Harakahdaily dalam satu kenyataannya hari ini.
Berhubung insiden di Ijok, AMK adalah parti politik yang pertama membuat dua laporan polis sejurus selepas proses penamaan calon, masing-masing dilakukan oleh Zainurin bin Jiman pada jam 12.32 tengahari (repot no 900/07) dan Zulkanaine Bin Kassim pada jam 12.51 tengahari, (repot no 901/07) pada hari yang sama.
Dalam kes Zainurin beliau mendakwa telah ditumbuk di bahagian pipi sebelah kiri oleh salah seorang anggota pemuda BN sementara Zulkanaine pula dikatakan telah dibaling dengan kayu oleh sekumpulan pemuda BN, katanya.
AMK percaya kedua-dua laporan polis di atas akan disiasat di bawah Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan dengan sengaja) dan 336 (membahayakan nyawa dan keselamatan diri) Kanun Keseksaan, katanya yang juga seorang peguam.
AMK memberi amaran kepada Khairy dan konco-konconya untuk tidak bertindak di luar batas undang-undang kerana AMK tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka, katanya.
Sementara itu akhbar arus perdana melaporkan bahawa kekecohan dan insiden baling membaling kayu telah dimulakan oleh penyokong KeADILan.
Ketua Pemuda Umno, Dato' Hishamuddin Tun Hussien mendakwa bahawa perbuatan itu adalah satu perbuatan terdesak 'desperado' oleh pembangkang yang tidak mempunyai isu untuk dibangkitkan.
Bagaimanapun dalam visual yang dilaporkan oleh sebuah stesen televisyen semalam memperlihatkan bahawa kedua-dua pihak saling baling membaling.
Penasihat KeADILan yang mengulas insiden itu dan menyaksikan rakaman visual yang ditayang di televisyen semalam menyatakan bahawa tuduhan yang dilempar ke atas penyokong KeADILan itu tidak berasas.
Ini kerana katanya dalam visual itu nampak kedua-dua pihak saling baling membaling, tetapi katanya apa yang memeranjatkan botol yang digunakan untuk tujuan membaling itu adalah botol air mineral yang tertera lambang 'dacing'.
"Saya tak mahu tuduhlah tetapi kita dah buat laporan polis dah tentang perkara itu.Kita bawa bukti sekali tentang soal itu," katanya ketika menyampaikan amanat kepada pengundi di Ijok dalam satu majlis ramah mesra dekat sini semalam.
Anwar turut mengiringi calon KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk berkempen di Ijok, dan dijadualkan akan berada di Ijok beberapa hari lagi termasuk bersama Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berkempen.
Roy Rasul Sat Apr 21, 07 03:32:51 PM
KUALA LUMPUR, 21 April (Hrkh) – Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, sebagai parti pembangkang, PAS berhak untuk bersama-sama bersuara dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Ijok.
Katanya, walaupun PAS tidak bertanding tetapi sebagai sebuah komponen dalam Barisan Alternatif (BA) PAS tetap akan membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diletakkan untuk melawan Barisan Nasional (BN) di situ.
“PAS masuk ke Ijok sebagai BA dan BA itu pula hanya PAS dan PKR,” katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.
Media pro kerajaan semalam dipetik mengkritik Ustaz Nasharudin kerana turut mengkritik pihak berkuasa dalam isu insiden pergaduhan semasa hari penamaan calon di Ijok pada 19 April lepas.
Bagi mereka Ustaz Nasharudin tidak sepatutnya berbuat demikian kerana PAS bukan bertanding di situ
Bagaimanapun bidas Ustaz Nasharudin, jika itu modal media arus perdana untuk menyekat PAS daripada bersuara di Ijok mengapa pula Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menyebut pembangkang dalam kenyataannya mengenai parti lawannya.
Walhal katanya, pembangkang di Malaysia ini banyak termasuklah PAS.
“Kalau macam itu janganlah sebut pembangkang sebutlah nama parti yang lawan dengan BN itu,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata pimpinan PAS akan turun ke Ijok dengan mengikut jadual yag ditetapkan bagi membantu PKR memenangi kerusi Ijok kerana PKR adalah rakan komponennya. - mns

PM bertanggungjawab bertindak jika benar Khairy ketua perusuh

Abdul Halim Mohd Rashid Sat Apr 21, 07 06:06:34 PM
KUALA LUMPUR, Hrkh (21 April) - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti mengambil tindakan terhadap menantunya, Khairy Jamaluddin jika benar beliau menjadi ketua perusuh pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Ijok Khamis lalu, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar.
"Saya tidak tahu sejauh mana benarnya tuduhan yang menyatakan Khairy adalah ketua perusuh dan orang yang bertanggungjawab mencetuskan pergaduhan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Ijok. Tetapi, jika benar tuduhan itu, Perdana Menteri selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri bertanggungjawab untuk mengarahkan pihak polis mengambil tindakan.
"Jangan ulangi lagi apa yang berlaku sebelum ini, di mana Khairy membuat ucapan yang berbau perkauman dan apabila ditanya kepada Perdana Menteri, beliau hanya menyatakan tidak tahu apa sebenarnya yang dikatakan oleh Khairy," kata Mahfuz.
Ketika merasmikan persidangan perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Jerlun, Kedah tahun lalu, Khairy mendakwa kaum Cina akan mengambil kesempatan daripada kelemahan Umno.
Ucapannya itu dikecam hebat dalam perhimpunan Pemuda MCA dan Gerakan.
"Jika bapa mertuanya kaya dengan koleksi pelbagai janji, Khairy pula kaya dengan koleksi tuduhan demi tuduhan bahawa beliau melakukan pelbagai penyelewengan dan tindakan tercela.
"Walaupun kita tidak boleh menganggap semua tuduhan itu benar, tetapi ada yang benar seperti tindakannya berbohong mengenai apa yang sebelum ini dihebohkan sebagai rumah Perdana Menteri di Perth," katanya.
Khairy berbohong dengan menyatakan rumah itu adalah milik anak Perdana Menteri, Datuk Kamaluddin.
Buletin utama TV3 Rabu lalu melaporkan, rumah yang dimaksudkan sebenarnya adalah milik isteri seorang ahli perniagaan dan hartanah, Datuk Patrick Lim.
Mengulas mengenai rumah itu, Mahfuz bertanya: "Kalau rumah itu milik isteri Patrick, mengapa ia kelihatan menjadi rumah Perdana Menteri sehingga rumah itulah menjadi kediaman tetapnya apabila ke Perth, bandaraya yang dilihat menjadi tempat rehat yang paling kerap kepada Perdana Menteri"
Beliau bertanya, apakah hubungan Perdana Menteri dengan Patrick sehingga Patrick kelihatan membeli rumah sebegitu mewah atas nama isterinya untuk kegunaan Perdana Menteri?
"Rakyat berhak bertanya, adakah ini satu bentuk rasuah, persekongkolan atau Patrick

Thursday, April 19, 2007

Pengundi Ijok perlu ajar keceluparan Samy, kezaliman Khir Toyo

Mohd Sabri Said Fri Apr 20, 07 09:39:19 AM
PULAU PINANG, 20 April (Hrkh) - Pengundi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ijok wajar menghukum keceluparan Presiden MIC, Dato' Seri S. Samy Vellu ketika mengumumkan kenaikan harga tol serta kekejaman yang dilakukan oleh Menteri Besar, Dato' Dr. Seri Khir Toyo ketika merobohkan beberapa buah perkampungan Melayu dan surau sekitar Selangor.
Exco Wanita Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KeADILan) Pusat, Aminah Abdullah berkata, masa ini paling sesuai untuk melunaskan kemarahan rakyat sebelum membuat kejutan sekali lagi pada pilihan raya umum ke-12 nanti.
"Keceluparan mulut Samy Vellu dan kekejaman terhadap rakyat Selangor oleh Menteri Besarnya harus dihukum supaya mereka tidak lagi bertindak sesuka hati dengan membelakangkan kehendak rakyat yang telah memberikan mereka kuasa memerintah, " jelasnya dalam kenyataan pada Harakahdaily pagi tadi.
Menurutnya yang juga bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, sikap rakus kedua-dua kepimpinan negara itu menjejaskan slogan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sepatutnya, kenyataan pedas dan sikap zalim dibidas oleh kepimpinan negara yang lain termasuk Perdana Menteri.
"Kenyataan pedas dan tindakan zalim terhadap surau di Kampung Berembang contohnya meninggalkan kenangan yang pahit untuk umat Islam, " tegas beliau lantang.
Untuk itu sambung Aminah, beliau menyeru agar pengundi di Dun tersebut membuat pemilihan tepat kerana keputusan menang atau kalah akan mempengaruhi keputusan pilihan raya umum kelak.
Lagipun, rakyat di Ijok patut sedar penindasan yang berterusan berlaku di negara ini apabila kenaikan harga tol, minyak, barangan keperluan dan sebagainya.
"Sebagai rakyat kita kena prihatin dalam apa jua situasi agar kita tidak lagi diperkudakan oleh Barisan Nasional (BN), " katanya.
Justeru itu, lakukan yang terbaik sebagai contoh kepada rakyat di negeri lain bahawa jangan sekali-kali memperlekehkan rakyat bila mendapat kuasa.
Umno termasuk Perdana Menteri makin takut untuk menegur kepimpinan yang lantang bersuara yang dianggap boleh memburukkan lagi keadaan negara.
Pilihanraya kecil Ijok akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara parti BN dan BA.
Calon BN diwakili oleh, Setiausaha MIC Bahagian Tanjung Karang, K.Parthiban manakala calon BA pula ialah Bendahari Agung KeADILan, Tan Sri Ahmad Khalid Ibrahim.
Penamaan calon berlangsung di Dewan orang ramai Batang Berjuntai pagi semalam dan hari mengundi ditetapkan pada 28 April ini. - mks.

Kecoh di Ijok, Khairy dalangnya!

Saidah Hairan Thu Apr 19, 07 03:53:54 PM
BATANG BERJUNTAI, 19 April (Hrkh) - Provokosi yang dilakukan oleh Pemuda Umno diketuai Naibnya, Khairy Jamaluddin jelas membuktikan bahawa mereka dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan simpati daripada rakyat khususnya di Dun Ijok.
Perarakan penyokong, pimpinan dan calon (BA), KeADILan dan PAS tersekat di hadapan sekolah tempat calon, pimpinan dan penyokong BN berkumpul lebih kurang 500 meter dari dewan orang ramai, Batang Berjuntai.
Penyokong BN yang memenuhi jalan raya bukan sahaja menghalang perarakan calon dan penyokong KeADILan untuk menuju ke dewan orang ramai, tetapi menjadikan lalu lintas sesak selama 20 minit.
Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar kesal dengan peristiwa yang berlaku di sepanjang penamaan calon Dun Ijok yang tidak pernah disaksikan di sepanjang pengalamannya menyertai pilihan raya.
Beliau berkata, kali ini merupakan satu pilihan raya yang paling kucar-kacir di hari penamaan calon yang pernah dialami di sepanjang pengalamannya menghadiri pilihan raya.
Katanya, di awal perarakan calon PKR telah dihalang sama ada dengan kereta atau motorsikal yangt dibenarkan memenuhi jalan.
Begitu juga tambah beliau, penyokong-penyokong BN juga dibenarkan untuk membuat sekatan jalan dan menghalang calon serta penyokong PKR menuju ke dewan orang ramai.
"Tempat penamaan calon dan pembahagian tempat untuk penyokong BA dengan BN tidak diletakkan dengan cara yang jelas, ini adalah suatu kekecohan yang amat membimbangkan," tegasnya.
Beliau menyeru terutama kepada pihak polis supaya lebih bertanggungjawab supaya keselamatan dan kelangsungan perjalangan ceramah dan pilihan raya pengundi nanti akan berlaku dengan baik.
Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali kesal dengan kehadiran Tan Sri Musa Hassan tetapi beliau gagal memberikan arahan supaya tidak berlaku pertembungan di mana kedua-dua parti terpaksa bertembung.
"Jangan salahkan kami sebab itu sahaja laluan yang dibenarkan, saya terkejut saya lihat persiapan kucar-kacir dalam penamaan calon Ijok hari ini," katanya.
Beliau berkata, kerana pemimpin tidak dibenarkan masuk hidangan tidak disiapkan dalam amalan biasa di hari penamaan calon pemimpin BN dan parti yang bertanding dibenarkan masuk sekitar 10 minit.
Menurut beliau, mengikut kebiasaan di hari penamaan calon disediakan jamuan dan dihormati pemimpin di kedua-dua pihak.
Katanya, mengapa hari ini tidak dibenarkan sebab itu penyokong KeADILan berasa kecewa kerana Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail turut dihalang masuk ke dalam kawasan dewan orang ramai.
"Begitu juga dengan isteri calon, Puan Seri Salbiah tidak dibenarkan masuk ini apa punya amalan," katanya.
Beliau kecewa dengan sikap dan tindakan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang cuba mengambil tugas pegawai Polis untuk menyelesaikan pertembungan yang berlaku ketika masuk ke dalam kawasan dewan Orang ramai.
"Saya tegur beliau, kamu Menteri Besar kamu bukan Pegawai Polis. Saya hanya mendengar arahan daripada Pegawai Polis saya tidak mendengar arahan daripada MB kerana dia ada kepentingan di hari penamaan calon hari ini," tegasnya.
Beliau kecewa kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal untuk menguruskan penamaan calon dengan baik manakala pihak polis juga gagal mententeramkan keadaan sehingga berlaku pertembungan dan sedikit kekecohan
"Ini bukan salah kami, kita telah memberi jaminan, saya sendiri telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis supaya keadaan menjadi lebih tenteram, tetapi semuanya ini berpunca daripada kegagalan pihak polis menyediakan laluan yang berasingan bagi kedua-dua parti," katanya.
Beliau yakin ini semua disebabkan kelemahan pentadbiran di bawah Khir Toyo dan bertambah hairan dengan kehadiran Musa Hassan.
"Mengapa beliau berada di hari penamaan calon, apa tanggungjawab beliau berada di hari penamaan calon, saya harap supaya perkara ini tidak berulang," tegasnya ketika ditemui selepas berlaku kekecohan dengan pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Sementara itu, Adun Sungai Pinang, Teng Chang Khim berasa hairan dengan perangai menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin yang berlagak macam samseng.
Beliau dengan berani mengatakan, sikap yang ditunjukkan oleh Khiry amat mendukacita kerana daripada menantu seorang pemimpin di negara ini.
"Saya berharap sebelum Abdullah dapat memimpin negara ini dengan baik, lebih baik beliau mengajar bagaimana harus menantunya menunjukkan sikap yang baik di khalyak," katanya.
Dalam perjalanan menuju ke dewan orang ramai, beliau melihat seorang wakil rakyat BN yang bersalin pakaian di tepi jalan raya.
"Saya sempat mengambil gambarnya dan jika dicabar saya akan tunjukkan gambarnya, bagaimana wakil rakyat BN bersalin pakaian di tepi jalan raya," soal beliau.
Beliau berasa itu merupakan satu tauladan yang amat buruk ditunjukkan oleh wakil rakyat BN dan berharap ia dapat dibetulkan sebelum hendak memenangi apa-apa pilihan raya.
Ketua Wanita KeADIlan Pusat, Fauziah Salleh menjelaskan, sebelum ini pihak Polis telah memaklumkan bahawa laluan daripada pekan Ijok ke dewan orang Ramai hanya untuk calon dan penyokong KeADILan dan pihak Polis akan pastikan BN ada laluan yang lain.
Beliau kesal kerana apa yang berlaku iaitulaluan untuk penyokong dan calon keADILan disekat beberapa kali oleh Pemuda Umno yang dipimpin Naib Ketuanya, Khairi Jamaluddin.
"Pemuda Umno membuat sekatan dengan menolak penyokong keADILan sehingga ramai pimpinan PKR tersepit dan mahu jatuh," jelasnya.
Ketika itu katanya, pihak Polis tidak ada di situ untuk menjaga keselamatan dan itu merupakan suatu tindakan yang tidak adil di mana polis seharusnya bersikap profesional tetapi perkara itu tidak berlaku di hari penamaan calon.
Sementara itu katanya, KeADILan telah membuka bilik gerakan di semua peti undi dan petugas-petugas sudah mula menjalankan peranan masing-masing.
Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Ahmad Shabki Mohd Yusuf kesal dengan sikap Pemuda Umno yang jelas kelihatan ingin mengadakan provokasi dalam kempen pilihan raya Dun Ijok kali ini.
"Kita memberi amaran kepada Pemuda Umno sekiranya mereka tidak dapat mengawal cara mereka berkempen pada kali ini, kita bimbang penyokong-penyokong BA juga tidak dapat mengawal keadaan," tegasnya.
Sehubungan itu beliau berharap supaya semua pihak dapat menjalankan kempen dengan cara terhormat dengan mengikut segala undang-undang yang ditetapkan dalam pilihan raya. - mks.