Sunday, November 16, 2008

Angkasawan akui terima sumbangan, nafi minta bayaran

Azamin Amin
Mon | Nov 17, 08 | 9:02:04 am MYT
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Hrkh) - Angkasawan pertama, Dato' Dr Sheikh Muszaphar Shukor mengaku menerima sumbangan apabila beliau memberikan ceramah namun menafikan meminta bayaran bagi sesi berkenaan.
"Saya telah berjumpa dengan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Fadilah Yusof dan memberikan penjelasan terperinci. Dan beliau berpuas hati dengan penjelasan saya.
"Dan saya harap kami dapat menyelesaikan insiden malang ini kerana kesan negatifnya akan menjejaskan kewibawaan saya untuk terus memberikan ceramah di seluruh negara," katanya yang dipetik daripada agensi berita ketika ditemui Ahad lalu dan memberitahu beliau biasanya memberi ceramah di sekolah-sekolah secara percuma.

Sebelum ini, Menterinya, Dato' Dr. Maximus Ongkili dipetik sebagai berkata jika terbukti dakwaan itu benar, angkasawan terbabit akan dikenakan penalti jika melanggari kontrak dengan Mosti.

Mereka juga dilarang untuk menerima apa-apa ganjaran selain daripada ganjaran yang diberikan oleh kementerian, kata Maximus Ongkili.

Sebelum ini akhbar Harakah dan laman web Harakahdaily.net mendedahkan dakwaan bahawa beliau mengenakan bayaran sejumlah RM8,000.00 untuk satu jam berceramah dan boleh memperolehi kira-kira RM1.2 juta hasil bayaran yang ditetapkan jika diambil secara purata sejumlah 150 badan korporat yang menganjurkan ceramahnya.

Sehingga kini, Sheikh Muszaphar dilaporkan telah menyampaikan ceramah lebih 200 buah sekolah dan ratusan ceramah motivasi bagi jemputan kerajaan, korporat dan swasta.

Menurut satu sumber rapat, bagi ceramah yang dianjurkan oleh sekolah-sekolah, Sheikh Muszaphar tidak mengenakan sebarang bayaran sebaliknya meminta pihak sekolah membeli atau 'mewajibkan' para pelajar membeli buku yang bertajuk 'Reaching For The Stars' sekurang-kurangnya 300 buah yang setiap satunya berharga RM20.00, menjadikan jumlah keseluruhan RM6,000.00

Buku tersebut hasil karya adik beliau, arwah Sheikh Mustapha Shukor yang menulis tentang Sheikh Muszaphar sebelum meninggal dunia akibat kemalangan yang berlaku di salah sebuah restoran di ibu kota.

Ramai yang telah membuat aduan dan dakwaan bahawa angkasawan terbabit tidak sepatutnya meraih keuntungan di sebalik kejayaannya yang ditaja melalui wang rakyat Malaysia sejumlah RM95 juta apatah lagi beliau merupakan seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan dan Mosti.

Satu sumber yang mengendali satu projek pengajian Universiti tempatan yang memerlukan kehadiran dan ceramah angkasawan tersebut turut mengakui membayar sejumlah RM3,000 kepada Sheikh Muszaphar untuk program yang berlangsung selama setengah hari yang turut membabitkan kanak-kanak sekolah rendah.

Sementara itu Harakah turut dihujani puluhan email yang secara purata kesal dengan tindakan angkasawan itu malah ada antaranya yang terpaksa membatalkan jemputan kerana harga bayaran yang dikenakan.

"Kami (juga agensi kerajaan) juga ingin menjemput beliau untuk berkongsi pengalaman dalam satu slot 'person that inspires' untuk 'diplomatic training course' telah dimaklumkan oleh pengurus beliau bayaran yang dikenakan adalah RM3000.00 untuk satu jam.Akhirnya pihak pengurusan mengambil keputusan untuk membatalkan. Saya sokong pendedahan selanjutnya," kata seorang pembaca dikenali sebagai noba6076.

Menurut email daripada Malek Sepang juga mengakui mendapat maklumat angkasawan mengenakan bayaran kepada penganjur dalam lingkungan RM5,000 namun merahsiakan pendedahan terperincinya malah kesal angkasawan negara membuat untung di atas duit titik peluh rakyat yang kepingin melihat dan mengenal ruang angkasa Allah swt.

Terdahulu Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli meminta pihak Mosti memberi penjelasan berhubung isu ceramah angkasawan terbabit kerana ianya akan menjejaskan nama baik kementerian dan negara jika dakwaan itu terbukti benar.

"Beliau adalah duta kecil negara dan utusan Mosti yang mesti memberi peranan yang baik demi membawa manfaat serta kebaikan kepada negara bukannya mencari kekayaan atau pendapatan sampingan sebagai pegawai kerajaan," kata Dr Hatta yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Krai.-az _

No comments: