Monday, March 24, 2008

Wan Azizah bersyukur dilantik Ketua Pembangkang Parlimen ke-12

Wan Nordin Wan Yaacob Tue Mar 25, 08 2:12:19 pm MYT
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau berterima kasih kepada parti KeADILan, DAP dan PAS kerana bersetuju melantik beliau sebagai wanita pertama menyandang jawatan Ketua Pembangkang untuk Parlimen ke-12.
"Saya akan memegang amanah dan menggunakan peluang ini untuk menumpukan perhatian kepada lima isu utama yang dihadapi Malaysia dewasa ini.
"Pertama, Ekonomi: Ekonomi Malaysia harus dipupuk untuk memastikan kadar pertumbuhan yang subur, suasana yang meyakinkan untuk pelabur, dan pengagihan adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.
"Dengan terus menyuarakan bantahan terhadap amalan rasuah dan pembaziran, kami akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih mantap dan bebas dari kemiskinan serta kurang ketidaksamaan sosio-ekonomi terlalu lebar, " katanya dalam satu kenyataanya hari ini.
Kedua katanya soal perpaduan, beliau menegaskan hasrat membina perpaduan tulen yang berasaskan kepelbagaian rakyat Malaysia.
Pembangkang akan memastikan kedudukan orang Melayu tidak terancam, dan pada masa yang sama, hak-hak dan akses kepada peluang setara untuk orang Cina, India, Iban, Kadazan dan seluruh rakyat Malaysia akan terus dilindungi dan digalakkan, katanya.
Ketiga katanya soal sistem kehakiman dimana baginya Malaysia harus memulihkan integriti sistem kehakiman.
Baginya penting untuk melihat institusi-institusi kehakiman yang boleh dipercayai dalam memberi keputusan-keputusan adil tanpa berat sebelah merupakan asas terpenting demokrasi tulen.
Seterusnya fokus terhadap media dimana ujar Dr Wan Azizah, media Malaysia mesti diberikan kebebasan yang sewajarnya untuk membuat laporan yang menyeluruh dan adil.
Setiap kerajaan, di peringkat perseketuan atau negeri, mesti diawasi dengan rapi oleh media bebas dan bertanggungjawab bagi memastikan ketiadaan sebarang unsur salahguna kuasa, ujarnya.
"Kelima, Hak Asasi: Kami akan terus mempertahankan hak-hak asasi manusia di Malaysia, di mana undang-undang yang menyekat kebebasan asas rakyat mesti dimansuhkan.
"Kami mendesak semua tahanan ISA, termasuk Adun Kota Alam Shah yang baru, M Manoharan serta empat lagi tahanan politik Hindraf di Kamunting, yang ditahan tanpa bicara mesti didakwa atau dibebaskan dengan segera.
"Sebagai Ketua Pembangkang Parlimen ke-12, saya akan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan harapan baru untuk Malaysia serta mendukung setiap hak rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan," tegasnya.
Sebelum ini pada penggal ke-11, Ketua Pembangkang di Parlimen disandang oleh Lim Kit Siang sementara pada penggal ke-10 pula Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang memegang jawatan Ketua Pembangkang selepas pemergian bekas Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Fadzil Mohd Noor ke Rahmatullah

No comments: