Monday, June 16, 2008

PAS sudah lama cadangkan muzakarah dengan Umno - Nik Aziz

Salmah Mat Husain Mon Jun 16, 08 9:17:06 pm MYT
KOTA BHARU, 17 Jun (Hrkh) - PAS sudah lama mencadang diadakan muzakarah dengan Umno bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan yang timbul khususnya berhubung agama Islam dan orang Melayu.
Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bagaimana berkata, cadangan berkenaan tidak pernah dilayan pemimpin parti itu walaupun ia bertujuan untuk kebaikan semua pihak.
Beliau diminta mengulas saranan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mencadangkan pemimpin-pemimpin Melayu tanpa mengira fahaman politik duduk semeja bagi membincangkan masalah yang dihadapi negara sekarang.
Menteri Besar Kelantan itu ditemui pemberita selepas merasmikan majlis perletakan batu asas asrama kedua Maahad Muhammadi Lelaki dan Pelancaran Kelab TaHa (Lembaga Tabung Haji) peringkat negeri di sini, hari ini.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, setelah lima negeri berjaya dirampas pembangkang pada pilihan raya umum lalu, cadangan sedemikian diketengahkan semula.
Menurutnya juga ekoran kuasa mutlak Barisan Nasional (BN) hilang barulah kelihatan pemimpinnya bersikap lebih lembut dengan merangka pelbagai program bagi menambat semula hati rakyat.
Antaranya cadangan mengurangkan kadar bunga pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Sedangkan kami di Kelantan tidak mengenakan kadar bunga satu sen pun daripada pemohon pinjaman Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin). Kerajaan pusat baru nak turunkan kadar bunga.
"Ini semua adalah perkara khianat terhadap agama Allah yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab khasnya pemimpin Umno dan BN," ujarnya.
Katanya juga muzakarah mesti ada asasnya untuk dibincangkan contohnya soal perpaduan, kenapa kita sesama Islam asyik bertengkar sedangkan ia bertentangan dengan prinsip Islam.
Beliau berkata, pertemuan boleh diadakan dengan syarat semua pihak perlu ikhlas.
"Ikhlas ni hanya ada pada PAS yang mengikut kehendak Islam sebenar dan ia tiada pada Umno. Umno tidak akan ikhlas dalam perjuangannya selagi berpegang pada ajaran nasionalis.
"Kecuali parti itu kembali semula pada ajaran Islam, baru mereka faham pengertian ikhlas dari sudut Islam," ujarnya. - mj _

Mahkamah benarkan Anwar cabar kesahihan pemecatannya

Harakahdaily Tue Jun 17, 08 9:16:59 am MYT
KUALA LUMPUR,17 Jun (Hrkh) - Mahkamah Persekutuan di sini semalam memberikan lampu hijau kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar kesahihan dari segi perlembagaan, pemecatannya daripada jawatan Kabinet hampir 10 tahun lalu, oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bernama melaporkan panel tiga anggota itu yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, sebulat suara membenarkan Anwar merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, bahawa pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah sah pelaksanaannya dari segi undang-undang oleh Tun Dr Mahathir.
Berikutan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan menentukan dua persoalan undang-undang - sama ada pemecatan Anwar tidak mengikut perlembagaan, dan sama ada Tun Dr Mahathir boleh memecat timbalannya tanpa terlebih dahulu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.
Mahkamah akan memutuskan, pertama sama ada peruntukan Artikel 43(5) Perlembagaan Persekutuan secara khusus menghendaki Yang di-Pertuan Agong merupakan kuasa yang membatalkan pelantikan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam Kabinet Malaysia dengan berdasarkan prinsip bahawa hanya pihak yang berkuasa yang melantik mempunyak hak untuk membatalkan sebarang pelantikan yang dibuatnya.
Dan kedua, sama ada pemotongan nama Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan penggantian nama perayu (Anwar) dengan nama responden Tun Dr Mahathir sebagai menteri kewangan melalui perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan 1998 dapat membaiki ketidakpatuhan responden pertama terhadap peruntukan jelas dalam perkara tersebut.
Mahkamah masih belum menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan Anwar itu dan beliau diperintah untuk memfailkan rekod rayuan dalam jangka masa 14 hari.
Bersidang bersama Malanjum ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamad.
Pada 23 Dis 1998, Mahkamah Tinggi menolak saman Anwar terhadap Tun Dr Mahathir dan kerajaan, untuk terus membatalkan permohonannya bagi satu perintah mengisytiharkan keputusan Tun Dr Mahathir memecatnya daripada jawatan Kabinet pada 2 Sept 1998 sebagai salah dari segi undang-undang, tidak sah dan batal.
Anwar menegaskan bahawa pembatalan pelantikannya patut dilakukan Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat perdana menteri dan pembatalannya tidak boleh dikuatkuasakan oleh perdana menteri tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.
Anwar juga gagal memansuhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas Mahkamah Rayuan pada 25 April 2007 menolak rayuannya dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Mahkamah Rayuan mengesahkan bahawa pemecatan Anwar daripada jawatan Kabinet dilakukan mengikut undang-undang oleh Tun Dr Mahathir memandangkan kuasa untuk melantik dan memecat menteri terletak pada perdana menteri.
Anwar diwakili peguam Karpal Singh, Ram Karpal Singh, S.N.Nair dan Nicholas Netto. Beliau tidak hadir di mahkamah.
Terdahulu Karpal Singah berhujah bahawa Tun Dr Mahathir merupakan orang yang membuat keputusan untuk memecat Anwar daripada jawatan Kabinet dan menggugurkan beliau berkuat kuasa pukul 5.30 petang 2 Sept 1998 tanpa sebarang penunjuk bahawa Yang di-Pertuan Agong telah dinasihati beliau sebelum beliau (Tun Dr Mahathir) menyediakan dan menyerahkan surat pemecatan kepada Anwar.
Karpal Singh berkata Anwar, yang merupakan pemohon terhadap rayuan itu, bersetuju untuk tidak memohon mendapatkan kembali jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana perkara itu adalah akademik.
Sebaliknya Anwar mahu mahkamah menganugerahkannya ganti rugi.
Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi yang mewakili Tun Dr Mahathir dan kerajaan, membantah permohonan kebenaran itu dengan berkata perkara itu telah menjadi sesuatu yang akademik. - mks. _

Saturday, June 14, 2008

Peraliahn kuasa, PM dan TPM perlu berundur bagi selamatkan negara - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob Sun Jun 15, 08 2:22:17 pm MYT
SEREMBAN 15 Jun (Hrkh) - Formula peralihan kuasa seperti yang dipersetujui Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Najib Tun Razak bukan jalan terbaik bagi menyelematkan negara dan rakyat dari kesengsaraan 'terlampau' mutakhir ini, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.
Sebaliknya, kata beliau kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu perlu melepaskan jawatan masing-masing kerana mereka adalah liabiliti negara.
"Mereka adalah pemimpin yang menjadikan rakyat terus sengsara, negara berada dalam keadaan tidak menentu, pentadbiran cukup lemah dan rakyat terus tertekan dengan pelbagai dasar mereka yang tidak tentu," ujar Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena semasa menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri berhubung formula peralihan kuasa dengan Najib yang disiarkan akhbar arus perdana semalam.
Mengulas lanjut, Mahfuz menyatakan Perdana Menteri seorang pemimpin yang lemah dan tidak mampu mentadbir negara dengan bijaksana.
Sementara Najib adalah seorang yang sangat dikenali dengan dakwaan skandal-skandal tertentu termasuk dalam isu pembelian peralatan ketenteraan, kapal selam dan jet pejuang yang menjadi sebutan ramai.
"Kedua-dua mereka adalah liabiliti kepada negara, justeru kedua-duanya perlu melepaskan jawatan masing-masing bagi menyelamatkan negara,
"Formula yang mungkin berkesan bagi mengatasi masalah negara ini ialah, saya menyeru kepada seluruh ahli parlimen BN termasuk Umno menyertai Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan sekaligus menyelamatkan negara dan rakyat yang kini berada dalam keadaan kritikal," ujar Mahfuz.
Jika perkara ini lambat dilaksanakan, beliau bimbang negara dan rakyat akan terus berada dalam keadaan yang tidak menentu dengan kerana kelemahan pemimpin Umno/BN yang mentadbir negara ini._

Harga minyak 'hadiah' BN pada penyokongnya

Azamin Amin Sun Jun 15, 08 9:55:55 am MYT
KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Seluruh rakyat patut 'berterima kasih' kepada sesiapa yang baru menyertai atau menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana sokongan mereka ini telah menyumbang kepada keyakinan Umno/BN untuk menaikkan harga minyak yang jelas membebankan rakyat Malaysia.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata jika mereka (yang menyertai) tidak menyokong Umno ketika bekas presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad pun menarik diri kemungkinan Umno terpaksa berfikir dua kali untuk menaikkan harga minyak ini.
"Biarlah ia menjadi pengajaran kepada orang yang menyertai Umno/BN atau bekerjasama dengan Umno/BN atau berhasrat untuk menyertai kerajaan BN bagi menindas rakyat melalui kenaikan harga minyak ini," katanya dalam tulisannya di Harakah keluaran terbaru.
Dalam menangani masalah kenaikan tersebut sepatutnya Perdana Menteri mengumumkan beliau dan semua anggota kabinet tidak layak untuk menerima gaji dan elaun kerana mereka tidak bekerja untuk membangunkan negara dan mengeluarkan rakyat daripada bebanan hidup, katanya.
Katanya, kerajaan juga sewajarnya menghapuskan projek-projek membazir dan menghapuskan tender runding reka dan bina kerana ia melibatkan kos yang besar iaitu hampir sekali ganda daripada kos tender terbuka.
Kerajaan juga wajar menghentikan projek-projek membazir yang mengakibatkan rakyat menanggung beban seperti penganjuran Kejohanan Bola Sepak Belia Asia (CYC) yang menelan kos hingga RM17 juta, yang diakui oleh Menteri Belia dan Sukan serta Presiden FAM sebagai tidak bermanfaat untuk Negara dan pembangunan bola sepak, katanya.
"Begitu juga projek seperti Taman Tamadun Islam di Terengganu yang menelan hampir RM1 bilion.
"Petronas sendiri membazirkan wangnya dengan banyak untuk orkestra di KLCC, termasuk membelanja sehingga RM3.5 juta sebulan untuk membayar gaji 105 orang pemuzik orchestra yang majoritinya rakyat asing," kata Mahfuz yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.
Kesan daripada itu beliau membangkit persoalan bagaimana Petronas boleh bersungut tentang peningkatan kos pengurusannya mencecah 200 peratus, sedangkan pembaziran begitu banyak berlaku.
"Jika dikaji Laporan Ketua Audit Negara, kita akan dapati begitu banyak pembaziran dalam perbelanjaan awam. Sepatutnya pembaziran ini telah lama diatasi," katanya yang merujuk soal pembaziran kerajaan mempengaruhi kesan kenaikan harga minyak demi menampung kerugian akbibat salah urus dana negara dan rakyat jelata. - mks. _ -->

Sebuah parti komponen akan keluar BN - Ku Li

Harakahdaily Sun Jun 15, 08 9:53:53 am MYT
KUALA TERENGGANU, 15 Jun (Hrkh) -Meneruskan siri kempennya di Pantai Timur, Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semalam mendakwa sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) akan meninggalkan parti itu sebelum hujung bulan ini.
Buletinonline memetik bekas Menteri Kewangan itu berkata dalam jelajah kempennya selepas mengunjungi Terengganu sejak kelmarin, bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar dari BN itu.
"Saya mendapat berita bahawa satu parti akan keluar daripada BN sebelum hujung bulan ini," dakwanya ketika menghadiri majlis Perhimpunan Cawangan-cawangan Umno Pahang di sini.
Turut hadir pada majlis itu ialah bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sabaruddin Chik.
Sementara itu, dalam program anjuran NGO di Kuala Terengganu, beliau telah menyatakan kesedihannya kerana kesilapan kerajaan telah menyebabkan Pulau Batu Putih diserahkan kepada Singapura baru-baru ini.
Kelemahan persiapan kerajaan menghadapi perbicaraan mahkamah antarabangsa telah menyebabkan Pulau yang sah dari segi sejarah itu berpindah milik kepada Singapura. - mks._

Friday, June 13, 2008

Demo Protes dipercepat 5 Julai

Azamin Amin Sat Jun 14, 08 11:07:49 am MYT
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) - Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) mengumumkan tarikh baru perhimpunan besar-besaran secara aman membantah kenaikan itu di KLCC pada 5 Julai depan iaitu seminggu lebih awal dari tarikh asal 12 Julai.
Penyelaras Protes Dr Hatta Ramli berkata Protes turut mengumumkan sasaran baru sejuta peserta perhimpunan dan ianya dinamakan 'Perhimpunan Aman Protes Sejuta Rakyat' di samping menggunakan warna merah sebagai simbol melambangkan kemarahan orang ramai dan bantahan mereka.
"Logo baru demonstrasi besar-besaran itu akan dilancarkan Rabu depan yang menggambarkan 'simbol kesatuan rakyat'.
"Ianya akan digunakan pada setiap peralatan dan bahan sempena perhimpunan," katanya dalam satu kenyataan media.
Katanya, Protes juga akan memaklumkan dalam tempoh terdekat laluan-laluan dan tempat-tempat letak kenderaan khususnya rombongan peserta yang datang dari luar Kuala Lumpur yang ingin menyertai perhimpunan tersebut.
Beliau juga turut menasihati para peserta yang berada di sekitar Lembah Klang untuk menggunakan pengangkutan awam dari tempat masing-masing untuk ke KLCC dan berharap agar pihak polis akan memberi kerjasama menjayakan perhimpunan aman ini.
"Protes ingin menyatakan kesediaan kami untuk berbincang dengan polis bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang dijangka akan berlaku," katanyanya.
Semalam kira-kira 3,000 penyokong pergerakan Pemuda Pakatan Rakyat menyertai demonstrasi membantah kenaikan minyak yang bermula daripada Masjid Jamek Kampung Baru ke Kompleks Pertama setelah dihalang oleh pihak polis berarak ke Suria KLCC.
Dalam tempoh seminggu kenaikan harga itu, beberapa demonstrasi kecil telah diadakan di beberapa lokasi seluruh negara, antaranya di Kuching, Ipoh, Sungai Petani, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. - mks.
Dah hari ini, dijangkakan rakyat dan penduduk sekitar Negeri sembilan hadir dalam himpunan aman sekitar Terminal One, Seremban. - mks. _

Desak turun harga minyak: Hampir 3,000 tandatangan petisyen

Azamin Amin Sat Jun 14, 08 11:06:11 am MYT
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) - Sejumlah hampir 3,000 orang ramai telah menandatangani petisyen yang mendesak supaya kerajaan menurunkan harga minyak yang disifatkan keseluruhan rakyat sebagai suatu yang begitu membebankan.
Petisyen tersebut telah dilancarkan oleh Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (Geramm) sebagai platform untuk rakyat khususnya anak-anak muda menyatakan bantahan mereka ke atas penindasan dan manipulasi kenaikan harga minyak yang dilakukan oleh kerajaan tanpa memikirkan apa yang telah dibelanjakan secara boros oleh kerajaan.
Geramm dianggotai oleh beberapa organisasi, antaranya Angkatan Muda KeADILan (AMK), Anwar Ibrahim Club (AIC), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Ikatan Kebajikan Rakyat.
Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyatakan komited Geramm untuk terus menggembeleng dan menggerakkan mobilisasi rakyat untuk menyatakan protes secara berterusan.
"Geramm akan terus mendepani rakyat dan generasi muda untuk terus menyatakan protes agar kerajaan menarik balik kenaikan minyak di pasaran dan membincangkan kaedah serta formula terbaik demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau juga turut mengumumkan pelancaran laman web Geramm (www.geramm.org), di mana terdapat jadual program, bahan kempen, dan petisyen online bagi mengumpul pendapat rakyat yang tidak puas hati tentang kenaikan minyak.
Malah Geramm juga menyeru rakyat Malaysia supaya mendesak kerajaan menurunkan harga minyak dengan menurunkan tandatangan di Petition Online (petitiononline.com/geramm/petition). - mks. _