Wednesday, April 18, 2007

Ijok: DAP sokong calon KeADILan

Roy Rasul Wed Apr 18, 07 05:31:49 PM
KUALA LUMPUR, 18 April (Hrkh) – Setelah PAS memberi sokongan padu kepada calon parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim bertanding di dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Ijok, hari ini DAP pula menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada calon KeADILan itu.
Sokongan tersebut diisytiharkan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dalam satu sidang media yang diadakan di Lobi Parlimen hari ini yang turut dihadiri Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Ismail; Tan Sri Khalid dan Ketua Penerangannya, Tian Chua.
“Dalam satu mesyuarat jawatankuasa DAP Pusat baru-baru ini diputuskan bahawa DAP akan menyokong sepenuhnya KeADILan serta calonnya Tan Sri Khalid yang akan bertanding di Dun Ijok nanti,” katanya.
Dengan itu katanya, DAP akan turun berkempen di Ijok dengan menghantar pimpinan tertingginya seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh dan beliau sendiri.
Malah katanya, DAP sedar kerjasama di antara DAP dan PKR di Ijok akan digunakan oleh Barisan Nasional untuk menyokong pembohongan mereka tentang hubungan di antara DAP dan PAS walaupun pada hakikatnya tiada sebarang hubungan yang sedemikian,
“DAP sokong KeADILan sebagai simbol kerjasama di antara kedua-dua parti dan ketuanya terutama Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Datin seri Wan Azizah,” katanya.
Sementara itu, Wan Azizah berkata, PAS juga sebelum ini telah memberi sokongan kepada KeADILan dan calonnya.
Menjawab soalan mengenai jentera Barisan Nasional yang akan turun ke Ijok nanti katanya, pihaknya sedar dalam mana-mana saja pilihan raya kecil bukan hanya Umno mahupun MIC akan turun berkempen bahkan seluruh jentera kerajaan akan dikerah di Ijok nanti.
Namun katanya, masa ini peluang diberikan kepada pengundi Ijok melihat masuk saja dalam gelanggang pilihan raya baru mereka mendapat pembangunan.
“Walaupun mereka sudah memilih MIC selama 40 tahun lalu dan beberapa penggal dan sehingga akhir hayat wakilnya menguasai Ijok, tetapi baru hari ini pembangunan masuk ke Ijok.
“Saya kira baiklah mereka memberi undi kepada KeADIlan,” katanya.
Sementara itu, Tan Sri Khalid yang dipilih sebagai calon KeADILan berkata jika rakyat Ijok mengundinya beliau akan memberi bakti kepada mereka iaitu menentukan Ijok berada di arus utama pembangunan negeri Selangor.
Ini katanya, Selangor yang dianggap negeri maju malangnya Ijok masih lagi tidak menerima pembangunan yang besar seperti tempat lain di Lembah Klang.
Malah katanya, pembangunan di Ijok adalah sama dengan 40 tahun yang lalu iaitu tidak ubah seperti di zaman persekolahnnya di mana berbasikal dari Jeram sampai Bukit Rotan kemudian ke Kampung Kuantan iaitu sebelah Ijok.
“Saya dapati apabila saya datang selepas 40 tahun kemudian, Ijok hampir serupa dengan usia saya melainkan basikal yang tiada,” katanya.
Dakwanya, banyak kawasan di Ijok tiada infrastruktur seperti elektrik dan air sedangkan Selangor dianggap sebuah negeri maju.
Sehubungan itu katanya, kerjasama yang diberikan pengundi Ijok pada 28 April depan dapat memberi satu era baru dalam politik negara yang mana tidak hanya terkongkong di bawah BN.
Pilihan raya kecil Ijok diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dato’ K Sivalingam, 59, pada 4 April lalu dan sebagai gantinya BN mencalonkan K Parthiban, 39, dari MIC. - mks.

No comments: