Tuesday, July 31, 2007

Integriti parah, mahasiswa dan pensyarah dimandulkan oleh 'Akujanji' - Mustafa Ali

Wan Nordin Wan Yaacob Wed Aug 01, 07 06:12:04 AM
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Hrkh) - Mutakhir ini, persoalan mengenai integriti semakin hangat diperkatakan setelah banyak kes membabitkan soal penghakisan nilai integriti itu didedahkan lebih-lebih lagi melibatkan teraju kepimpinan negara dan politik.
Dalam suasana ekonomi ala kapitan ini, perasuah, penyangak ekonomi dan kroni mampu berdiri dengan utuh menggungguli persada kepimpinan negara dengan taburan wang untuk kepentingan mereka.
Hakikatnya, pembahagian kekayaan negara kini berjalan tempang dengan amalan rasuah dan sogokan wang ini yang memangsakan golongan tertindas dan pembayar cukai kepada negara.
Pembolotan projek atas nama kroni, kerenah birokrasi, gejala sosial yang parah dan korporatisasi yang membebankan rakyat semuanya berpunca dari terhakisnya integriti dalam diri individu, rakyat, kakitangan awam serta swasta dan kepimpinan negara atau politik itu sendiri.
Meski pun Pelan Integriti Nasional (PIN) dilancarkan pada tahun 2004 oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, namun pelan ini tidak mampu menilaikan semua integriti rakyat mahupun kepimpinan negara yang tergadai dengan wabak rasuah.
Malah sekalipun kepimpinan kini yang ditunjangi Abdullah dilihat terbuka untuk memerangi isu penghakisan integriti di kalangan kakitangan awam dan rakyat, namun kenyataan itu dilihat hanya omong kosong dari kepimpinan yang tiada 'political will' untuk mengatasinya.
Akhirnya mereka di kalangan pemimpin yang dituduh dengan bukti yang kukuh merasuah, menyebabkan rasuah dan penyelewengan berjuta ringgit terlepas dari tindakan, sementara kakitangan awam yang kecil dihukum kerana rasuah yang dilakukan dengan nilai suapan yang kecil.
Inilah hakikat yang berlaku menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Amalan Rasuah (CPI) semakin buruk dari tangga ke-39 pada tahun 2005 kepada 44 bagi tahun 2006.
Mana tidaknya, hari ini mereka yang membuat laporan berhubung isu rasuah akan ditahan sementara yang dikatakan melakukan rasuah bebas tanpa sebarang siasatan ke atasnya.
Budaya takut menular bukan sahaja di kalangan masyarakat, malah kepada kelompok akademik dan mahasiswa yang dahulunya adalah kelompok yang mampu menjadi pemantau kepada sistem pemerintahan negara.
Mutakhir ini, kelompok mahasiswa dan ahli akademik (Pensyarah) bukan lagi dilihat sebagai suara yang mampu menegur atau memberi pandangan kepada kepimpinan kerajaan setelah diikat dengan segala macam peraturan termasuk 'Akujanji', kata bekas Ketua Pemuda PAS, Dato' Mustafa Ali.
Mustafa yang juga Ahli Institut Integriti Malaysia (IIM) dalam satu forum membincangkan peranan pemuda dalam membantu kepada integriti nasional yang diadakan di Institut Integriti Malaysia di Jalan Duta semalam menyifatkan dunia mahasiswa kini telah 'mandul'; dan dimandulkan oleh 'Akujanji'.
Turut serta sebagai panel dalam forum itu ialah, Naib Presiden KeADILan, Mustaffa Kamil Ayub; Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw (DAP); Pensyarah UKM, Dr Shamsul Amri dan moderator, Dato' N.Sivasubramaniam dan Presiden IIM, Dato' Dr Mohd Tap Salleh.
Mengulas lanjut, Mustafa menyifatkan senario kemandulan itu membawa satu kekurangan kepada proses integriti dalam melahirkan kepimpinan negara masa akan datang.
Katanya, kekurangan itu berlaku setelah lapangan yang melahirkan kepimpinan suatu masa lalu yang disegarkan di setiap universiti kini telah disekat.
Jika dahulu katanya, mahasiswa didedahkan dengan beberapa forum terbuka dan debat yang dianjurkan oleh universiti sementara kakitangan akademik pula bebas memberi pandangan terhadap isu negara.
Malangnya situasi itu kini berbeza sama sekali, katanya.
'Akujanji' diperkenalkan kepada mahasiswa untuk menakut-nakutkan golongan itu yang akhirnya membuatkan mahasiswa tidak memiliki kebolehan atau pengetahuan yang menyebabkan ketidakmampuan untuk bersaing di pasaran pekerjaan, ujar Mustafa yang juga bekas ahli Parlimen Dungun dan Exco Kanan Kerajaan PAS Terengganu pada tahun 1999.
"Bila pergi temuduga, mereka tak tahu nak jawab hatta soalan asas mengenai isu terkini kerana mereka terlalu ditekan dan menyebabkan mereka hanya menelaah buku teks mereka sahaja tanpa mengetahui perkembangan terkini.Banyak benda yang mereka tidak tahu, ini salah satu sistem yang ada kini,"katanya.
Sementara golongan akademik pula disekat dari memberi kenyataan atau pandangan yang berupa kritikan terhadap kerajaan, katanya.
"Hal ini menjadikan kini mahasiswa dan pensyarah sama-sama penakut,"katanya.
Menyentuh mengenai peranan golongan muda dalam memulihkan integriti nasional yang kian pudar Mustafa berkata, golongan pemuda boleh berperanan sebagai penegur kepada kepimpinan di peringkat organisasi mereka mahupun masyarakat umum.
Pemuda perlu ada keberanian menyatakan teguran mereka kepada bukan sahaja soal di luar organisasi, tetapi dalam organisasi mereka sendiri dengan lunas yang ada dan etika organisasi mereka, katanya.
"Ada organisasi yang bila pemudanya tegur banyak-banyak kali, akhirnya yang menegur kena pecat. Ada juga yang toleransi macam PAS, pemudanya boleh menegur kepimpinan.Masa saya memimpin pemuda dulu saya mengkritik pimpinan, kini bila saya dah berumur saya pula ditegur, kita terbuka dalam PAS,"tegasnya.
Justeru itu dalam mengembali dan memulihkan integriti di peringkat kepimpinan negara, organisasi dan sebagainya tatkala persoalan integriti kini menjadi isu utama kerana berlakunya penghakisan integriti, beliau menyeru IIM yang ditubuhkan bagi tujuan memulihara integriti perlu melakukan perubahan.
"Saya rasa perlu IIM memainkan peranan dalam kes ini.Sebut soal kesedaran, kesedaran kepada pemimpin itu sendiri begitu penting dan IIM berfungsi menegur jika ada sahaja perkara yang tidak kena dengan pemimpin itu sendiri yang menghakis integriti.Dengan kebijaksaan IIM, dapatan yang diperolehi dalam forum hari ini perlu dimanfaatkan,"tegasnya. - mks.

Rakyat perlu pilih pemimpin bersih - Raja Nazrin

Nyza Ayob Wed Aug 01, 07 11:15:28 AM
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Hrkh) - Titih Raja Muda Perak, Dr Raja Nazrin Shah bahawa mereka yang mempunyai masa lampau yang tercalar dan bukti jelas tentang moral perlu disekat daripada menjadi pemimpin merupakan satu panduan yang baik untuk digunapakai oleh masyarakat dalam memilih dan menyokong pemimpin.
Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar menjelaskan kenyataan Nazrin ini bererti pemimpin-pemimpin perlu bertanggungjawab bukan sahaja di atas amalan yang lalu sebaliknya amalan pada masa kini.
"Kita tidak harus lupa bahawa kita inginkan pemimpin yang bermoral yang tidak tercalar dengan keburukan seperti rasuah serta jenayah lain.Kita tidak mahu pemimpin yang bersikap lepas tangan dan tidak bertanggung jawab apabila berlaku kecuaian dalam melaksanakan tanggungjawab mereka memikul amanah yang besar dalam masyarakat.
"Contohnya seorang menteri perlu bertanggungjawab menjaga moral tanpa terlibat dengan amalan rasuah serta bersikap berat sebelah yang boleh menganiaya masyarakat," katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily hari ini.
Semalam, Raja Muda Perak, pada pelancaran syarahan baginda bagi memperingati warisan Prof Syed Hussein al-Attas bertajuk "Towards a Decent Social Order for All Malaysians" di Muzium Kesenian Islam menegaskan mereka yang mempunyai latar belakang meragukan perlu disekat dari memegang sebarang jawatan.
Baginda juga memberi peringatan, rasuah yang menjadi penyakit masyarakat paling merbahaya boleh menjejas tadbir urus yang baik, melemahkan institusi yayasan, memutarbelitkan dasar awam, berkompromi dengan peraturan undang-undang dan menggendala ekonomi.
Dalam pada itu, Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Tumpat menegaskan, Ahli Parlimen juga tidak terlepas daripada melaksanakan amanah dan kepercayaan yang diberikan rakyat. Ahli Parlimen yang merupakan pemimpin rakyat seharusnya memperjuangkan hak dan keadilan serta kedudukan rakyat.
Sementara itu, mengambil pandangan Prof Syed Hussin yang meletak pergerakan pandangan awam adalah sebahagian daripada perihal tadbir urus yang baik, jelas Kamarudin oleh kerana Syed Hussin merupakan bekas Naib Canselor Universiti Malaya, sikap Allahyarham ini juga harus dicontohi oleh Naib Canselor Universiti serta ketua IPTA yang lain.
Jelasnya tanggungjawab pentadbir universiti ini ialah untuk meningkatkan pencapaian dalam profesion mereka dan bukan untuk mengikut telunjuk kerajaan hari ini

Sunday, July 29, 2007

Rebut kerusi menjelang pilihan raya, semangat setiakawan BN hanya lakonan

Azamin Amin Mon Jul 30, 07 12:42:31 PM
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Budaya 'berebut' kerusi di saat menjelang pilihan raya sudah menjadi satu tradisi yang tidak asing dalam Barisan Nasional (BN) sehingga dilihat seolah-olah lebih mengutamakan kepentingan peribadi atau parti masing-masing berbanding agenda melindungi nasib rakyat jelata.
Terbukti, kesatuan atau kerjasama yang 'dimomokkan' oleh BN melalui komponennya kepada rakyat selama ini adalah sekadar lakonan dan telah dizahirkan dengan tindakan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Dato' M Kayveas mengugut keluar daripada BN jika tuntutan kerusi tidak dipenuhi.
Kayveas dilaporkan mahukan BN mengembalikan semula empat kerusi Parlimen, 12 kerusi negeri, 79 kerusi majlis dan jawatan Datuk Bandar Ipoh yang pernah dipegang PPP, satu ketika dulu.
Mengulas perkembangan ini, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub berkata gabungan parti komponen BN selama ini adalah berasas kepada sentimen perkauman dan kepentingan peribadi yang tidak langsung merujuk kepada agenda membela nasib rakyat jelata malah 'setiakawan' yang diuar-uarkan sekadar kosmetik untuk mengaburi rakyat selama ini.
"Setelah 50 tahun merdeka, saya tidak yakin wujud persefahaman dan semangat nasional di antara parti komponen BN tetapi mereka bertahan disebabkan wujudnya kuasa,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Tanpa kuasa, ketaatan kepada BN akan berakhir pada bila-bila masa dan kes PPP ini merupakan 'time-bomb' yang akan meledak kepada parti komponen BN," katanya.
Katanya rakyat khususnya para pengundi sewajarnya sedar akan kelemahan dan 'lakonan' yang dimainkan oleh BN selama ini dan beralih kepada parti alternatif seperti Barisan Alternatif (BA) yang lebih telus memperjuangkan nasib rakyat dan benar-benar mahu menuntut sebuah demokrasi tulen di negara ini yang semakin pincang akibat kerakusan salah guna kuasa pemimpin BN selama ini.
"Berbanding BN, BA mempunyai sikap 'mutual respect' saling hormat antara satu sama lain dan PAS sentiasa mengutamakan pendirian ini memandang ianya merupakan tuntutan Islam selama ini, " katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kewujudan berbangsa-bangsa atau berpuak-puak merupakan 'god given' ataupun anugerah Allah yang seharusnya ditangani dengan kaedah yang dianjurkan oleh Islam iaitu 'Litaraffu' atau konsep 'saling kenal-mengenal dan hormat-menghormati' dan bukannya mengutamakan kaum atau etnik masing-masing sehingga mecetuskan perbalahan seperti yang berlaku dalam BN kini.
"Lihat sahaja, Umno perjuangkan agenda Melayu, MCA dengan sentimen Cinanya begitu juga dengan parti-parti lain yang boleh mengakibatkan ketegangan dan suasana yang tidak tenteram dalam negara," katanya lagi.
"Bagi PAS dan BA, perjuangan tidak langsung berlandas kepada kaum tertentu tetapi atas dasar hak bersama untuk menentang kezaliman dan menegakkan keadilan dalam negara yang tercinta," katanya. - mks.

Umno dicabar heret pengendali blog ke mahkamah, jika ada bukti ! - Dato' Kamarudin

Wan Nordin Wan Yaacob Mon Jul 30, 07 10:16:55 AM
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Umno dicabar mengheret pengendali laman blog yang dikatakan menyebarkan fitnah kepada individu dalam parti itu jika mereka mempunyai bukti untuk berbuat demikian, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.
"Bagi saya, saya tidak bersetuju dengan mana-mana pihak yang membuat fitnah ke atas mana-mana pihak sekalipun, tetapi pada pandangan saya jika isu itu hendak ditentukan sahih atrau tidak, dakwa sahaja bloggers itu di mahkamah, bukannya bercakap sahaja dalam televisyen dan akhbar tanpa fakta,"tegasnya.
Beliau berkata kepada Harakahdaily hari ini ketika diminta mengulas isu dakwaan fitnah ke atas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang dilaporkan dalam Malaysia-today.com.
Terdahulu semalam Ketua Penerangan Umno menghentam pengendali blog dan laman web yang dikatakan berdaftar di luar negara tetapi membuat fitnah di negara ini.
Dakwa jika ada bukti kukuh
Mengulas kritikan Muhammad Mohd Taib itu Kamarudin berkata, isunya bukanlah soal pendaftaran di luar negara, kerana baginya jika kerajaan ada bukti kukuh, mereka boleh mengheret pengendali blog itu ke mahkamah dengan beberapa peruntukan dalam undang-undang yang sedia ada.
Seperkara lagi katanya, tuduhan Umno bahawa 'bloggers' ini ditaja oleh pihak luar perlu dibuktikan di mahkamah dan bukan hanya membuat tuduhan di dalam akhbar sahaja.
"Jika benar ia fitnah, mereka boleh buat saman malu ke atas pengendali web itu.Soal pembiayaan dari luar itu saya kira tidak menjadi isu kerana, bagi saya tidak salah untuk menyuburkan industri akhbar di negara ini selagi ia berada dilandasan yang betul,"katanya.
PAS tolak perbuatan fitnah
PAS menolak sama sekali perbuatan fitnah yang dilakukan mana-mana pihak, justeru itu iosu itu boleh ditentukan sahihnya jika ia dibawa ke mahkamah.
Bagaimanapun katanya, individu yang didakwa membuat fitnah perlu dibuktikan tuduhan ke atasnya itu dengan perbicaraan di mahkamah.
Norza bentang kertas kerja web/blog
Sementara itu beliau juga menyatakan mutakhir ini Umno dilihat terdesak dengan kewujudan beberapa laman web hingga katanya dalam satu mesyuarat majlis tertinggi parti itu, ada kertas kerja yang dibentang oleh Dato' Norza Zakaria mengenai kewujudan ribuan laman web ini.
Akibat pembentangan kertas kerja oleh Norza itu, akhirnya Umno dilihat bimbang dan terdesak dengan kemungkinan kewujudan web ini mampu menggugat politik mereka lebih-lebih lagi pilihan raya umu semakin hampir, kata Kamarudin.
Dalam hal berkaitan beliau juga mengecam cadangan yang dibuat beberapa pemimpin Umno untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam menyelesaikan isu fitanh blog ini.
Katanya ISA sama sekali tidak lagi relevan dalam apa juga tindakan untuk menyelesaikan masalah memandangkan ia menafikan hak orang yang dituduh untuk membela diri.
Baginya sudah ada peruntukan undang-undang yang boleh digunakan bagi membuktikan sesuatu kesalahan dan ISA bukanlah jalan penyudah.
Terdahulu semalam, Muhammad Muhd Taib berkata, pengendali dan penulis blog dibiaya organisasi luar negara hingga mencecah RM100,000 sebulan.
Beliau berkata, organisasi berkenaan menaja mereka dan membenarkan laman mereka menyiarkan pelbagai perkara sensitif oleh penulis blog tempatan dan luar negara.
“Kita tidak boleh memandang rendah kerana mereka ini golongan profesional dan kerajaan perlu kaedah khas untuk menangani masalah kemunculan laman blog yang menular seperti wabak penyakit,” katanya.
Muhammad yang juga Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya, bimbang penulisan perkara sensitif di laman blog boleh mempengaruhi pemikiran generasi muda termasuk pelajar Malaysia di luar negara.
Muhammad kata isu lama?
Ditanya mengenai tindakan pengendali laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang membuat serangan peribadi terhadap dirinya, beliau berkata, isu berkenaan adalah cerita lama.
“Biarlah dia (Raja Petra) nak tulis apa pun, itu cerita 15 tahun lalu dan sebenarnya apa yang dia buat terhadap saya menunjukkan tindakan saya (membuat laporan polis) dan mempersoalkan tindakannya sudah berkesan.
“Saya rela diserang dan dihentam demi mempertahankan agama dan tanah air. Saya sudah buat laporan polis dan saya serahkan kepada mereka untuk ambil tindakan,” katanya.

Jangan tipu rakyat dengan istilah 'negara Islam' - Presiden

Ekmal Yusof Mon Jul 30, 07 07:37:30 AM
KUALA KANGSAR,30 Julai (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyatakan beliau tidak terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang mengistiharkan bahawa Malaysia adalah negara Islam.
"Bagus, kita terima dengan baik. Malaysia sebuah negara Islam!"katanya ketika berceramah di hadapan 5,000 orang di Markas PAS Bukit Chandan dekat sini malam tadi.
"Tetapi negara Malaysia ini harus ada acuan dia!Ada dasar dia, ada objektif dia sendiri dan tujuannya sendiri,"tegas beliau.
Dahulu, katanya, Nabi Muhammad s.a.w. mengajar orang-orang Islam mendirikan negara macam mengajar hendak menikah, seperti mengajar jual-beli dan bersembahayang.
Ini kerana semua amalan Islam, tegasnya, adalah berasaskan dari ajaran al-Quran dan hadis Nabi s.a.w.
"Oleh itu PAS melalui Timbalan Presidennya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa di mana kita mengajak umno kerana terlihat benar seperti dia ikhlas benar hendak tegakkan negara Islam, mari kita bermuzakarah.
"Dari itu,mari kita adakan muzakarah antara pemimpin PAS dengan umno. Kerana PAS ada Majlis Syura dan Umno ada Biro Agama. Serta kerajaan Umno ada mufti-mufti. Mari kita adakan muzakarah apa dia bentuk negara Islam yang sebenar seperti yang ditentukan oleh dalam al-Quran dan hadis-hadis,"jelasnya.
Dari itu, katanya, pemimpin Umno janganlah bercakap tentang Islam dan menipu serta menganiaya rakyat.
"Kalau sungguh-sungguh, mari kita bincang. Tapi hingga kini tidak ada jawapan! Macam dulu juga.Kalau tidak ada jawapan itu maknanya menipu,"tegasnya. - mks

Saturday, July 28, 2007

Integriti Peguam Negara kian merudum

M Khaleel Kas Sun Jul 29, 07 10:41:00 AM
KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - Isu penutupan siasatan kes rasuah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan juga bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Zulkifli Mat Noor jelas menggambarkan betapa integriti Jabatan Peguam Negara semakin terhakis dan kian lemah dari masa ke masa.
Menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Fariz Musa, alasan yang diberikan oleh Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa keseluruhan siasatan BPR melalui saksi dan dokumen berkaitan mendapati tiada keterangan yang boleh mengaitkan Musa dengan tohmahan terhadapnya adalah jelas menggambarkan kelemahan prosedur siasatan BPR dalam keadaan imej PDRM semakin terpalit dengan kegiatan gangsterisme yang begitu berleluasa di seluruh negara tanpa kawal selia yang efektif.
"Apakah Gani Patail, dengan penutupan kes Zulkifli, ingin menjelaskan bahawa tuduhan dan fakta-fakta kes yang dibawa oleh bekas Pengarah BPR Sabah Ramli Manan, adalah palsu semata-mata?
"Rakyat tidak akan lupa dengan fakta yang bahawa Zulkifli terlibat dengan jenayah seksual, pemilikan harta yang tidak munasabah dengan pendapatan beliau, dan juga penyalahgunaan harta kerajaan untuk kegunaan peribadi yang dibuktikan dengan penuh fakta oleh Ramli Manan, pun begitu masih terlepas daripada pandangan Peguam Negara,"jelasnya dalam kenyataan yang disampaikan kepada Harakahdaily hari ini.
Tambahnya, AMK melihat ini adalah merupakan satu taktik desperado kerajaan BN untuk menutup kelemahan kedua-dua institusi penting yang dipertanggungjawabkan untuk membasmi rasuah dan jenayah ke akar umbi.
"Malah, jelas kelihatan Peguam Negara terus diperalatkan dan menjadi alat pelaksana nawaitu politik terdesak kerajaan Umno dan Barisan Nasional dengan mengenepikan prinsip-prinsip demokrasi dan perundangan telus.
"Rakyat tidak boleh dihalang untuk terus berasa gusar, dan prejudis dengan kredibiliti kerajaan untuk memerangi rasuah dan jenayah dengan efektif,"tegasnya.
Menurutnya, tindakan terbaru Peguam Negara ini, selepas penutupan kes Johari Baharum jelas menggambarkan kerajaan hanya serius untuk bertindak ke atas insiatif yang menggugat keselesaan mereka, berbanding bertindak serius menyelamatkan Malaysia daripada kemelut penyelewengan demokrasi dan integriti yang kian parah.
"Terbukti, Peguam Negara adalah alat perkakas Barisan Nasional semata-mata,"katanya. - mks.

Thursday, July 26, 2007

'Cyber troppers' Umno, polis dicabar siasat Azalina - KeADILan

Salmiyah Harun Thu Jul 26, 07 04:20:01 PM
KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mendakwa tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Mohamed Nazri Abdul Aziz mempergunakan ISA terhadap bloggers berniat politik dengan tujuan menghalang kritikan dalam Umno dan Barisan Nasional.
Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dalam sidang media mingguan parti itu, berkata, desakan untuk menggunakan ISA kepada bloggers semakin kuat memandangkan pilihan raya umum yang semakin hampir.
Beliau berkata, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib sehingga kini gagal mengenalpasti rencana atau artikel yang ditulis oleh pengendali laman Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin.
"Tuduhan ini dibuat dengan 'the loud talk' atau cakap yang kuat, tetapi bila kita tanya manakah rencana terbabit, mereka masih belum boleh buktikan,"katanya.
Justeru, beliau menganggap ugutan itu tidak bertanggungjawab kerana ia akan mencemarkan imej negara ini di arena antarabangsa.
Ini kerana, katanya ruang internet salah satu ruang istimewa malah pemerintah negara ini juga suatu ketika dahulu memberi jaminan saluran itu tidak akan disekat.
Sementara itu, Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, tindakan pihak polis ke atas Raja Petra untuk disoalsiasat satu intimidasi terhadap pihak-pihak yang tidak menyebelahi parti pemerintah.
Katanya, dalam laporan polisnya, Muhammad tidak menyatakan laporan yang dikatakan tidak menghormati Islam dan Yang Dipertuan Agung namun, Raja Petra tetap dipanggil dan disoalsiasat selama lapan jam.
"Pihak polis sepatutnya turut menyoalsiasat pihak-pihak yang memberi komen dalam berita-berita laman web," katanya.
Khalid juga berkata, komentar-komentar yang berbau perkauman yang diletakkan dalam Malaysia-Today berkemungkinan besar perbuatan sabotaj daripada pegawai-pegawai Cawangan Khas (SB) dan ahli-ahli UMNO sendiri supaya pengendali web diambil tindakan.
"Perbuatan itu juga mungkin salah satu usaha Muhammad dan Umno supaya Malaysia-Today tidak beroperasi lagi dan berhenti mendedahkan kes-kes rasuah menteri dan pemimpin UMNO termasuk beliau sendiri,"katanya.
Justeru, KeADILan mencabar pihak polis untuk memanggil Dato' Norza Zakaria dan Datuk Azalina Othman Said yang ditugaskan menggaji pihak-pihak tertentu sebagai 'cyber-trooper' dalam laman-laman web berita alternatif.
KeADILan juga mencabar Muhammad untuk membuat laporan polis terhadap pertuduhan rasuah yang dilaporkan dalam Malaysia-Today yang melibatkan beliau, menteri-menteri serta para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk Ketua Polis Negara, Musa Hassan dan Ketua Menteri Sabah sekiranya laporan Malaysia-Today selama ini tidak benar.
Pada awal Julai, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua diugut untuk dikenakan tindakan di bawah ISA hanya menyiarkan gambar rekaan beliau yang memaparkan gambar Najib Razak, Razak Baginda dan mendiang Altantuya.
Pada 13 Julai pula, blogger dan pembantu kepada Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Nathaniel Tan ditahan dan disiasat selama empat hari di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana menyiarkan maklumat mengenai tuduhan rasuah yang dilakukan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom. - mks.

Pemimpin khianat punca bukan Melayu lantang cabar Islam

Saidah Hairan Thu Jul 26, 07 02:43:26 PM
KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) – Kegagalan pimpinan Umno melunaskan amanah walaupun sudah bertahun-tahun diberi kuasa, menyebabkan bukan Melayu semakin lantang malah berani mencabar dalam perkara melibatkan kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam.
AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, mendakwa pemimpin Umno yang kononnya berjuang untuk membela nasib bangsa Melayu, gagal menunaikan amanah menyebabkan perjuangan mereka tidak kesampaian.
Berdasarkan perkembangan ini, masyarakat Melayu Islam sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan dibawa Umno, katanya.
Berhubung usul penggunaan bahasa Malaysia bagi menggantikan bahasa Melayu yang diluluskan sebulat suara dalam mesyuarat Perwakilan Umno Ledang, Muar, katanya, ini membuktikan bahawa perjuangan mereka untuk menjaga periuk nasi sendiri bukan untuk menegakkan idealisma perjuangan bangsa dan agama.
Katanya, pimpinan Umno hanya memperalatkan orang Melayu dan agama Islam semata-mata untuk mendapatkan undi bagi memenangkan parti mereka.
Bagaimanapun mereka akan melepaskan diri apabila mendapat tekanan yang menyebabkan kepentingan dunia mereka terpelanting jika melibatkan survival bangsa dan agama.
Idris berkata, desakan penggunaan bahasa Malaysia itu sama dalam isu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di mana terdapat suara ahli Umno yang menentang tetapi apabila ditegur Umno Pusat mereka terus menyokong WPI.
"Perkara ini juga akan berulang dalam usul yang dibangkitkan dalam ucapan ketuanya, Dato' Abdul Ghani Othman yang mendapat sokongan sebulat suara," katanya.
Berhubung isu penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik katanya, PAS kesal kerana perkembangan itu telah mengorbankan masa depan pelajar terutama mereka yang tinggal di luar bandar yang sukar menguasai bahasa Inggeris.
Katanya, PAS bukan menentang penggunaan bahasa Inggeris sebaliknya menyokong usaha untuk meningkatkan penggunaan bahasa itu kerana ia merupakan bahasa antarabangsa.
"PAS tidak menerima alasan kerajaan untuk menguasai bahasa Inggeris ia mesti diajar melalui mata pelajaran Sains dan Matematik," kata beliau.
Beliau berkata, PAS amat berbangga dengan penegasan pimpinan masyarakat Cina melalui Dong Zong Jiong dan parti Gerakan yang menentang secara terbuka penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Katanya, seorang profesor dari UKM yang membentangkan kertas kerja di Kongres Pendidikan Melayu Kedua tidak lama dulu berkata setengah juta pelajar Melayu akan gagal dalam pelajaran akibat penggunaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek itu. – lanh

Wednesday, July 25, 2007

Jika tolak gaji minima, MTUC piket serentak seluruh negara!

Azamin Amin Thu Jul 26, 07 01:14:14 PM
KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan piket pekerja serentak di seluruh negara sekali lagi berikutan tiada respon positif kerajaan terhadap tuntutan gaji minima swasta selama ini.
Presidennya Syed Shahir Syed Mohamud berkata perkara tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Am (General Council) MTUC pada 19 Julai lalu berikutan kenyataan-kenyataan pihak kerajaan yang dilihat menolak tuntutan tersebut.
MTUC memberi tempoh tiga minggu dari tarikh berkenaan untuk kerajaan memberi reaksi berhubung tuntutan Gaji Minimum RM900 dan Elaun Kos Sara Hidup RM300 bagi pekerja-pekerja di sektor swasta.
"Kali ini piket yang akan dilakukan lebih serius dan bakal melibatkan jumlah penyertaan yang lebih besar daripada golongan pekerja," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
"Dan jika kerajaan tidak memberi reaksi positif, dua minggu selepas piket itu kita akan adakan satu himpunan raksaksa para pekerja di Kuala Lumpur pula," katanya.
Tindakan ini katanya supaya memastikan kerajaan memandang serius terhadap nasib golongan pekerja bawahan ini dan tidak meremehkan tuntutan MTUC itu dengan menggunakan pelbagai alasan yang tidak tepat seperti ekonomi yang terjejas, pelaburan yang kurang, pekerja asing dan menyebabkan kos syarikat meningkat merupakan hujah mengaburi rakyat khususnya pekerja swasta ini.
Negara-negara seperti China, India dan Indonesia umpamanya melaksanakan dan mempunyai penyelarasan gaji minima para pekerjanya dan terbukti ianya tidak menjejaskan pelaburan negara masing-masing dan secara tidak langsung menyanggah kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato' Abdul Rahman Bakar yang mengatakan akan memberi kesan kepada pelaburan negara.
"Dan jangan jadikan alasan pekerja asing dan pembantu rumah untuk menafikan hak lebih 4 juta para pekerja yang terhimpit nasib dan kehidupan mereka berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.
Beliau berkata, alasan-alasan remeh ini juga menggambarkan kerajaan membelakangi kebajikan dan keperluan rakyat biasa yang rata-rata berpendapatan rendah.
“Tidak ada ertinya kita berbangga bahawa negara mencapai kemerdekaan sedangkan sebahagian besar rakyat masih berpendapatan rendah ditambah dengan kenaikan harga barang keperluan, tambang dan sebagainya,” katanya.
MTUC juga telah menghantar memorandum tuntutan gaji minimum kepada Perdana Menteri untuk dijadikan syarat dalam Akta Kerja 1955
Dalam hal berkaitan sebelum ini Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim menyelar kenyataan kerajaan yang memberi alasan tidak mahu melaksanakan gaji minimum.
"Dengan meningkatkan kuasa membeli kaum pekerja dan memberi insentif pelaksanaan gaji minima tidak akan membebankan syarikat malah memberi manfaat kepada produktiviti syarikat tersebut," jelasnya dalam kenyataan kepada Harakah.
Dalam pada itu beliau meminta Kementerian Sumber Manusia melakukan lebih banyak penyelidikan dalam melihat kebaikan yang diperolehi menerusi pelaksanaan gaji minima ini menyenaraikan kes di negara-negara maju berkaitan gaji minimum ini supaya dapat dirujuk.
Dalam Kesatuan Eropah (EU), 18 daripada 27 negaranya, misalnya Norway, Sweden, Finland, Denmark, Switzerland, Jerman, Austria, dan Cyprus tidak mempunyai undang-undang gaji minima tetapi bergantung kepada kumpulan-kumpulan majikan dan kesatuan sekerja untuk menetapkan gaji minima menerusi collective bargaining.
Bagi Kanada, perlembagaannya memberi kuasa kepada wilayah-wilayahnya untuk menggubal akta gaji minima mereka sendiri. Kadar terendah dalam Januari 2007 bagi tiga wilayah ialah C$7.00 sejam manakala kadar tertinggi ialah C$8.50 sejam.
Di Amerika Syarikat, mereka mempunyai Akta Gaji Minima 2007 yang menetapkan USD5.85 sejam 60 hari bermula dari tarikh 24 Julai 2007, kepada USD6.55 sejam bagi tempoh 12 bulan selepas 24 Julai 2008, dan akhirnya USD7.25 sejam selepas 24 Julai 2009. Akta tersebut juga membenarkan potongan kadar cukai sehingga USD5 billion bagi perniagaan kecil.
Bagi Australia, tambah Khalid, Suruhanjaya Gaji Adil (Australian Fair Pay Commission) ditubuhkan di bawah Pindaan Akta Perhubungan Tempat Bekerja 2005 yang dbertanggungjawab untuk menetapkan kadar gaji minima bagi pekerja di negara berkenaan. Pada 1 Disember 2006, Australia mengenakan kadar minima AUD$13.47 sejam atau AUD$511.86 seminggu. - mks.

Raja Petra memang jangka akan disiasat polis

Harakahdaily Wed Jul 25, 07 04:41:32 PM
KUALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Raja Petra Kamarudin yang menguruskan laman web Malaysia-today menerima panggilan polis dari Balai Dang Wangi jam 8 pagi tadi untuk disoal siasat pada jam 11 pagi kata isteri beliau, Marina Abdullah.
"Saya tidak risau, hal ini memang sudah saya jangkakan, ini bukan kali pertama dia disoalsiasat," katanya kepada wartawan Anis Nazri dilokasi.
Menurut Marina, Raja Petra sempat membawa bersamanya salasilah keturunan keluarganya dan senaskhah kitab terjemahan al-Quran sebagai persediaan untuk disoal siasat polis.
"Dia akan membuktikan dia tidak sesekali bertujuan menghina YDP Agong kerana beliau sendiri datangnya dari keturunan berdarah raja, khususnya dari Selangor.
"Jika beliau dituduh sebagai menghina Islam, Petra akan bertanya pihak polis, pada ayat mana kesalahan yang dilakukan," tegasnya.
Sebelum ini katanya, Raja Petra pernah ditahan di bawah ISA dan dibebaskan dengan pelbagai syarat yang ketat, antaranya tidak dibenarkan keluar negara tanpa keizinan pihak berkuasa.
Kediaman mereka juga pernah beberapa kali di geledah polis dan beberapa peralatan komputer pernah dirampas pihak berkuasa.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua yang berada dilokasi, membidas polis yang jelas membuktikan mereka adalah alat politik Barisan Nasional.
Katanya, baru dua hari pemimpin BN membuat laporan terhadap Raja Petra, polis terus membuat siasatan.
"Ini jelas sikap tidak adil, berapa banyak laporan yang kami buat terhadap pemimpin BN, termasuk dengan bukti-bukti sekali, pihak polis hanya mendiamkan diri sahaja," bidas beliau.
Turut sama di Balai Polis Dang Wangi ialah Abdul Rahman Othman, berpuluh-puluh aktivis pembangkang dan para wartawan yang menanti sejak pagi tadi.
Sehingga kini Raja Petra masih disoal siasat dan sumber-sumber mengatakan kemungkinan jam 6.30 beliau dijangka dibebaskan. Berita lanjut menyusul.- mr

Laman web bohong dan fitnah, Najib tiada bukti - Teras

Nyza Ayob Wed Jul 25, 07 04:52:05 PM
KUALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Rakyat sudah cukup matang untuk menilai pandangan yang melampaui batas atau tidak dan jika media sedia ada lebih terbuka, tidak akan timbul masalah pandangan blogger dan pengguna internet ini dikatakan melanggar batas undang-undang.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid melahirkan kekesalan di atas amaran Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap pengendali dan penulis laman blog yang dikatakan membangkitkan isu berbau perkauman serta menghina agama.
Jelasnya, kerajaan terlalu banyak membuat sekatan hingga menyebabkan orang ramai tidak dapat melahirkan pandangan melalui media yang ada, yang mana dapat memberi peluang yang seimbang untuk melahirkan pendapat.
Keadaan ini katanya menyebabkan orang ramai mencari saluran lain melalui teknologi maklumat yang ada pada hari ini.
Jelasnya, jika kerajaan mengambil sikap yang tidak adil terhadap media alternatif, ini memberi gambaran kerajaan menggambarkan sikap dan polisi yang autokratik terhadap rakyat ketika rakyat mahu menggunakan media untuk menyalurkan pendapat.
"Kenapa kerajaan tidak memberi peluang kepada rakyat untuk melontarkan pandangan melalui media yang sedia ada? Jadi, segala pandangan yang berbeza dengan pandangan kerajaan semuanya di sekat. Akhbar alternatif dihadkan serta syarat diperketatkan. Ini menyebabkan akhirnya orang melahirkan pandangan yang agak tegas terhadap sikap kerajaan," katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Menangkis dakwaan Najib bahawa terdapat laman web yang membenarkan fitnah, pembohongan serta kata-kata kesat, jelas Azmi, sehingga hari ini belum dapat dibuktikan di sebalik dakwaan tersebut.
Jelasnya, kenyataan seperti itu tidak seharusnya keluar daripada mulut seorang Timbalan Perdana Menteri. Jika benar sebagaimana yang didakwa katanya, beliau harus menunjukkan bukti.
"Sehingga sekarang belum terdapat bukti yang menyatakan terdapat laman web atau blog yang berunsur fitnah atau pembohongan," jelasnya yang menganggap kata-kata Najib itu tersangat lemah dan seolah-olah mengugut pihak yang tidak sependapat dengan kerajaan.
Tambahnya lagi, kerajaan juga menyiarkan pelbagai bentuk bahan untuk memburukkan parti pembangkang.
"Kerajaan pernah melemparkan kata-kata jika pemerintah ditukar Malaysia akan hancur.Apakah tindakan mereka terhadap pembangkang ini bukan fitnah? Mereka menggunakan saluran rasmi RTM. Keadaan ini lebih berat," katanya kesal.
Pada 23 Julai lalu, Umno membuat laporan di Balai Polis Daerah Dang Wangi terhadap laman web Malaysia Today kerana dikatakan menyiarkan komen sensitif berhubung isu kedaulatan Yang di-Pertuan Agong, Islam dan perkauman.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dilaporkan berkata, komen orang ramai yang disiarkan laman web itu pada 11 Julai lalu melanggar undang-undang dan menghina kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, pada sidang Dewan Negara petang semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz, menyatakan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap penulis laman blog terbabit dan akan mengkaji sama ada akan mengenakan tindakan mengikut Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Seksyen 121b Kanun Keseksaan. - mks.

Sunday, July 22, 2007

Matlamat tidak tercapai jika ceramah di markas - Naib Presiden

Basiron Abdul Wahab Mon Jul 23, 07 11:32:22 AM
KUALA LIPIS, 23 Julai (Hrkh) -Semua program parti khususnya ceramah umum sewajarnya dibuat di premis lain dan bukannya di markas bagi memudahkan orang ramai menghadirinya.
Menurut Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, sebarang kegiatan parti perlu mensasarkan kehadiran 30 peratus bukan ahli parti. Ini kerana PAS memerlukan sokongan dan undi daripada orang ramai tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.
"Jika PAS hanya mendapat undi daripada ahlinya sahaja, matlamat untuk menang pilihan raya tidak akan mencapai kerana jumlah ahli yang ada tidak mencukupi, sedangkan kemenangan pilihan raya berasaskan undi terbanyak yang diperolehi oleh sesebuah parti. Parti mana yang memperolehi undi terbanyak parti itulah akan menang," ujarnya ketika hadir dalam majlis makan durian di Kampung Cin, Benta baru-baru ini.
Turut bersama Mohamad Sabu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Zakaria Abdul Hamid.
Menurut beliau, PAS memangnya mempunyai ahli yang kuat dan istiqamah dalam perjuangan tetapi kekuatan itu belum mencukupi untuk menang di dalam pilihan raya tanpa undi dan sokongan daripada orang ramai termasuk daripada bukan Islam serta seperti masyarakat Cina, India dan orang asli.
Selain itu, PAS juga kata Mohamad, berjuang untuk mengembalikan demokrasi di negara ini. Ini kerana rakyat pernah mengecapi demokrasi semasa awal kemerdekaan dahulu.
"Negara kita pernah mengecapi demokrasi tetapi hari ini demokrasi semakin terhakis dan kita tuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memulihkanya namun sehingga SPR belum bersedia membuat perubahan," katanya.
Sementara itu, Ketua Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Pahang, Zakaria Abdul Hamid dalam ucapannya turut menyeru supaya penyokong BA memperhebatkan usaha menarik sokongan semua kepada BA.
"Carilah rakan-rakan dari kaum Cina , India dan lain-lain untuk menjadi pengundi kita, kita memerlukan sokongan mereka," katanya.
Zakaria menyifatkan serangan melampau media terutama dariapada akhbar kumpulan Utusan Melayu terhadap partinya adalah agenda akhbar berkenaan untuk melaga-laga ahli PKR serta melemahkan PKR walaupun keadaan sebenar di dalam PKR tidak sebagaimana dilapor media berkenaan.
Beliau mengalu-alukan usul daripada salah satu bahagian Umno di Pahang yang mengusulkan supaya Umno diharamkan menerima bekas ahli PKR menyertai parti itu.
"Usul itu mungkin baik untuk KeADILan, kerana selepas ini tiada spekulasi anggota KeADILan menyertai Umno," katanya.
Zakaria mencadangkan supaya ahli BA mengambil tindakan tegas terhadap akhbar berkenaan dengan cara memboikot.
"Saya cadangkan ahli –ahli BA memboikot (tidak membeli) akhbar kumpulan Utusan bagi mengajarnya sebagaimana pada tahun 1998 dahulu," katanya.
Zakaria dalam ucapannya membayangkan kemungkinan akan berlaku perubahan nama Barisan Alternatif (BA) kepada 'Barisan Rakyat' kerana ia lebih mengambarkan perjuangan parti-parti pembangkang ini adalah perjuangan rakyat.

Monday, July 16, 2007

Pemimpin Umno dapat untung berganda projek di Kelantan

Oleh Maslan Yusoh, Wajdi Mayusoh Mon Jul 16, 07 02:45:13 PM
KOTA BHARU, 16 Julai (Hrkh) -Bagi rakyat Kelantan tiga projek besar yang akan dilaksanakan di negeri ini sempena lawatan Perdana Menteri awal Ogos depan tentunya menggembirakan mereka.
Projek dimaksudkan iaitu Kolej Matrikulasi di Kok Lanas, pembinaan kampus tetap Universiti Malaysia Kelantan di Bachok dan pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra kedua.
Bagaimanapun projek tersebut difahamkan telah memberi keuntungan berganda kepada pemimpin Umno. Misalnya Kolej Matrikulasi di Kok Lanas dikatakan akan dibina di atas tanah milik pemimpin Umno.
Menurut sumber tanah tersebut sudah lama dibeli menggunakan nama orang lain dan dijual kembali kepada kerajaan Pusat dengan nilaian lebih RM100 juta.
Tidak kurang hebat juga dengan cadangan membina lebuh raya Kuala Krai – Kota Bharu pada nilaian asal kos projek sekitar RM600 juta.
Bagaimanapun selepas ditenderkan projek tersebut dikatakan telah meningkat sehingga RM1.7 bilion.
Bagi seorang peguam, Nordin Noor, inilah kelebihan yang ada pada pemimpin Umno kerana mereka ahli perniagaan yang mengambil kesempatan di atas projek kerajaan.
“Pemimpin Umno rata-rata semua ahli perniagaan. Maka dengan ada projek besar kerajaan tentunya memberi ruang kepada mereka. Malah jarang kita dengar pemimpin Umno bukan ahli perniagaan.
“Ini menyebabkan baru menjadi pemimpin mereka sudah kaya raya,” katanya pada ceramah di Jalan Hamzah dekat sini, baru-baru ini. Hadir sama Senator Mumtaz Mohd Nawi dan ahli majlis tertinggi KeADILan, Dr Badrul Amin Bahrom.
Beliau juga mempertikaikan janji-janji pemimpin Umno pada pilihan raya umum lalu kononnya mahu membina kediaman lebih selesa kepada penghuni rumah panjang di Jalan Hamzah.
Sementara itu di Pasir Mas, Pengarah Strategik KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail mendakwa seorang pemimpin utama Umno Kelantan mendapat manafaat projek pembinaan lebuh raya Kota Bharu - Kuala Krai bernilai RM1.7 bilion.
Begitu juga katanya projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya kedua turut diboloti seorang lagi pemimpin Umno.
“Rakyat sepatutnya sedar pemimpin Umno Kelantan bukannya berjuang untuk rakyat tetapi untuk dapatkan projek. Kerana itu kita lihat pemimpin Umno menjadi kaya raya dan hidup mewah apabila menang jawatan ketua bahagian,” katanya pada satu ceramah di sini.
Dan lebih malang lagi kata beliau rakyat yang susah tidak dihiraukan biar pun mereka bercakap mahu membela nasib rakyat.
Sebaliknya kerajaan Kelantan yang hanya baru berusia 17 tahun mampu memperkenalkan pelbagai program kebajikan kepada rakyat seperti Skim Takaful Kifaalah.
Adun Meranti, Ustaz Nasurudin Daud berkata, Islam meletakkan jihad paling besar ialah menegur dan menyatakan kebenaran kepada pemimpin yang zalim./tajdid

PAS bidas Najib, Jamaludin Jarjis guna universiti untuk persidangan Umno

Intan Abdullah Mon Jul 16, 07 03:04:43 PM
KUALA LUMPUR, 16 Julai(Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man meminta Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) dan Badan Bertindak Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) agar memantau tindakan dan salahlaku Umno dalam pilihan raya umum ke-12 nanti.
Ini adalah berhubung tindakan Umno Rompin yang mengadakan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Rompin yang diadakan di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) pada 14 Julai lalu seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan 15 Julai baru-baru ini.
"PAS Pahang kesal dengan tindakan Umno yang mengadakan program parti yang jelas bersifat politik di dalam sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang mana berlanggaran dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti," katanya ketika dihubungi oleh Harakahdaily.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan ini adalah bukti secara tradisinya sikap Umno yang suka melanggar peraturan yang dibuat oleh kerajaan yang diterajuinya.
Tambahnya, rakyat boleh menilai sendiri sikap yang ditunjukkan oleh Umno yang secara sembrono melanggar apa sahaja undang-undang tanpa rasa bersalah.
"Kalau Umno boleh masuk kampus, ini tidak adil kepada parti politik lain yang selama ini disekat daripada mendekati golongan mahasiswa dan institusinya," ujarnya.
Lebih malang lagi ujarnya, program Umno tersebut mengganggu tugas kakitangan dan mahasiswa kampus terbabit dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.
"Walaupun beliau adalah Timbalan Presiden Umno, sudah tentu pihak kampus tersebut perlu mengadakan persiapan bagi menyambut kedatangan beliau, dan ini secara tidak langsung mengganggu kakitangan dan mahasiswa di samping tugasan asasi yang telah sedia ada," katanya lagi.
Umno jelasnya adalah merupakan satu-satunya parti politik yang merosakkan amalan demokrasi yang telah lama diamalkan dalam negara setelah 50 tahun merdeka.
Sementara itu, Tuan Ibrahim juga memaklumkan bahawa di Terengganu, Umno menjadikan sekolah-sekolah kerajaan sebagai tempat mereka mengadakan program.
"Mesyuarat-mesyuarat Umno kebanyakannya dibuat di sekolah-sekolah tanpa segan silu. Ini salah guna kuasa yang jelas," tegasnya.
Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Rompin dihadiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis yang juga merupakan Ketua Umno bahagian tersebut. - mr

Saturday, July 14, 2007

KPN bertanggungjawab hapuskan rasa malu dan tertekan anggotanya

Abdul Aziz Mustafa Sun Jul 15, 07 07:48:56 AM
KUALA LUMPUR, 15 Jul (Hrkh) - Ramai anggota polis yang mahu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa beliau tidak menerima rasuah dan memberikan kuasa kepada ketua sindiket jenayah terancang untuk menentukan kenaikan pangkat dan pertukaran anggota polis, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.
Menurut beliau, ramai anggota polis yang bertemu dengannya merasa amat malu dan tertekan dengan tuduhan demi tuduhan ke atas Musa yang sebelum ini sangat mereka hormati.
Ketua Polis Negara didakwa menerima rasuah untuk bersubahat dengan sindiket jenayah terancang dan mengatur kenaikan pangkat serta pertukaran anggota polis mengikut kehendak kepala sindiket tersebut.
Tuduhan terhadap Ketua Polis Negara terkandung dalam siri pendedahan Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin bertajuk Malaysia’s organised crime syndicate: all roads lead to Putrajaya, The roaches are scurrying and the rats are hurrying, Please, IGP, explain this!, The latest update on Infohub Sdn Bhd dan The walls come crumbling down.
"Beberapa anggota dan pegawai polis yang saya temui mengadu mereka metrasa tertekan dan rendah diri dan hilang kebanggaan memakai pakaian seragam polis.
"Ada juga yang menyatakan, kenaikan pangkat akan menjadikan mereka lebih tertekan kerana berhadapan dengan risiko dituduh menerima kenaikan pangkat dengan restu dan sokongan ketua sindiket jenayah terancang," katanya.
Mahfuz berkata, sebagai anak seorang 'alim, Ketua Polis Negara tentu tahu cara bersumpah yang diajar oleh Islam.
"Beliau bertanggungjawab untuk menghapuskan perasaan malu dan tertekan anggota bawahannya dengan bersumpah menurut ajaran Islam bahawa beliau tidak terlibat dengan semua tuduhan yang dibangkitkan dalam pendedahan Raja Petra itu," katanya.
Mahfuz juga mengucapklan terima kasih kepada Raja Petra yang sanggup mengambil risiko besar untuk mendedahkan kepincangan dan pengkhiantan yang amat memalukan itu, jika benar ia berlaku.

BN tidak 'tidur lena' dengan manifesto PAS

Johari Jaffar Sat Jul 14, 07 08:34:12 AM
IPOH, 14 Julai (Hrkh) - Manifesto PAS yang bakal digemakan pada pilihan raya umum ke-12 nanti, `Negara Kebajikan dan Negara Keadilan Untuk Semua’, merupakan pendekatan yang sangat relevan dan mampu `menyentuh hati’ rakyat negara ini dan menyebabkan Barisan Nasional (BN) tidak 'tidur lena'.
Demikian dinyatakan oleh Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Haji Masduki, ketika mengulas manifesto tersebut yang dilancarkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Manifesto tersebut yang dicadangkan bersama Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pastinya akan dapat `mencuri’ perasaan rakyat negara ini yang dahagakan keadilan dan mengharapkan kerajaan yang dipilih nanti mampu memberikan kesejahteraaan dan keadilan untuk semua rakyat.
“Semua manusia mahukan keadilan, benci kepada kezaliman dan penindasan, begitu juga semua rakyat mahu kebajikan mereka dipeliharakan , kerana itu apabila kebajikan mereka tidak dihiraukan, umpamanya gaji yang tidak sepadan dengan kerja, rawatan di hospital dikenakan bayaran, rakyat rasa tidak selesa dan menganggap kebajikan mereka telah dinafikan,” kata beliau.
Rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama menuntut kepada keadilan dari segi undang-undang, dari segi hak bersuara, hak mendapatkan pendidikan dan sebagainya.
“Nasib mereka yang tidak terbela dan hidup dalam kemiskinan bukan hanya orang Melayu sahaja, kita jangan lupa orang India dan Cina pun ada yang miskin, tidak terbela, tetapi bila manifesto PAS yang mengungkapkan kebajikan dan keadilan untuk semua, ianya mencakupi seluruh rakyat yang nasib mereka tidak terbela pastinya akan dibela,” ujar beliau.
Beliau mengucapkan syabas kepada PAS Pusat yang turut meletakkan gaji minima sebagai satu daripada matlamat dan akan diperjuangkan, begitu juga pendidikan dan rawatan kesihatan percuma.
Pandangan jauh pimpinan PAS itu pastinya mengembirakan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama kerana PAS yang mereka kenali sekarang turut membela nasib mereka.
“BN pastinya akan mencari hujah lain dan idea baru bagi `meracuni pemikiran bukan Islam agar tidak memberi undi kepada PAS dan KeADILan, namun rakyat yang berfikiran matang pastinya tidak terpengaruhi dengan `kata-kata beracun’ yang dilemparkan oleh BN,” katanya.
Beliau yakin pilihan raya umum kali ini akan memberikan saingan paling sengit kepada BN dan BN pastinya tidak boleh `tidur lena’ dengan pendekatan yang diambil oleh PAS dan PKR pada pilihan raya umum ke-12 kali ini. - mks.

Pimpinan Umno mula diresapi sindrom takut!

Anis Nazri Sat Jul 14, 07 08:54:12 AM
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Rupanya bukan seorang pimpinan Umno yang mengakui parti Melayu terbesar itu takut menyuarakan perkara sensitif, seperti DEB, tetapi ramai lagi yang turut diselubungi kebimbangan tersebut.
Bermula dengan Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakub, yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno, ia disusuli pula beberapa pimpinan dan bekas pimpinan Umno, termasuk bekas Setiausaha Umno, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub; AMT, Dato' Hamzah Zainuddin; dan Ketua Penerangan Kelab Ahli Parlimen BN, Dato' Mohd Alwi Che Mat.
"Kenyataan beberapa orang besar Umno ini yang bersetuju dengan kenyataan Adnan bermaksud mereka bersetuju bahawa Umno penakut. Kesimpulan kepada pandangan pimpinan ini adalah kepimpinan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selama ini penakut dan lemah," tegas Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat kepada Harakahdaily, hari ini.
Sebelum ini, Adnan dalam kenyataannya dalam sebuah akhbar harian berkata Umno belum bersedia membincangkan isu sensitif termasuk DEB secara terbuka kerana ia kononnya boleh menimbulkan salah faham dan isu perkauman.
Ekoran kenyataan Adnan itu, beberapa pimpinan dan bekas pimpinan Umno turut bersetuju dengan kenyataan itu, yang disifatkan sesetengah pihak sebagai penakut.
Dalam pada itu, Suhaizan turut mempersoalkan sama ada mampukah Umno bertindak lebih tegas dalam memperjuangkan isu-isu orang Melayu atau bumiputera jika selama ini mereka yang mengkhianati perjuangan Melayu.
"Mampukah Umno berkokok panjang sedangkan ekornya penuh dengan najis seperti politik wang, kronisme, dendam, dan saling benci-membenci?" soal beliau.
Sebagai contoh, tegasnya isu biasiswa yang berhak diterima orang Melayu atau bumiputera telah ditukar menjadi pinjaman, iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), yang mengakibatkan pelajar lepasan universiti dibebani dengan hutang sebelum mereka mendapat pekerjaan.
Justeru, beliau mencabar Umno membuktikan kepada rakyat ini, khususnya orang Melayu dengan mengembalikan semua tanah-tanah rezab Melayu, mengembalikan pinjaman PTPTN kepada biasiswa, serta mengembalikan dasar-dasar tegas dalam DEB.
"Pemuda Umno jangan hanya berani menghunus keris tidak bersarung dalam Perhimpunan Pemuda Umno untuk membuktikan kesungguhan memperjuangkan nasib orang Melayu. Jika Umno tetap dengan pendirian penakutnya, maka adalah lebih baik mengundur diri dari menjadi pemerintah di negara ini," tegas Suhaizan.

Wednesday, July 11, 2007

Johari lawan KPN: Di mana PM? - Husam

Abdul Aziz Mustafa Thu Jul 12, 07 09:59:56 AM
KUALA LUMPUR, 12 Jul (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mempersoalkan adakah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak tahu laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke atas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dibuat oleh Timbalan Menteri di dalam kementerian yang diterajuinya sendiri sebelum menyambung perkhidmatan Musa.
Beliau juga membangkitkan tanda tanya adakah Johari telah mendapat kebenaran Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri untuk membuat laporan BPR ke atas Musa.
"Polis di bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Johari Timbalan Menterinya. Laporan BPR yang diarahkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri adalah tindakan rasmi.
"Adakah beliau telah mendapat kebenaran Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri untuk membuat laporan berkenaan sedangkan baru beberapa minggu Perdana Menteri melantik Ketua Polis Negara sekali lagi?" beliau mempersoalkan.
Beliau seterusnya mempersoalkan, adakah Musa tidak perlu meletakkan jawatan selepas laporan dibuat oleh pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sendiri?
"Ia adalah usul tidak percaya Kementerian Dalam Negeri terhadap Ketua Polisnya sendiri. Apa kata Abdullah jika laporan yang diarahkan oleh Johari tidak dimaklum kepada Abdullah terlebih dahulu? Bukankah ia juga bermakna Johari hilang kepercayaan terhadap Abdullah?
"(Adakah) ia bermakna Johari sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri tidak menghormati perlantikan yang diibuat oleh Abdullah dan menyanggah perlantikan itu dengan membuat laporan tersebut?" tanya Husam lagi.
Persoalan terbesar sekarang, katanya, bagaimana Abdullah akan meletakkan dirinya dalam pertembungan menentukan siapa salah antara Johari dan Musa?
"Ia memerlukan Abdullah memecat timbalannya itu," katanya.
Bagaimanapun, beliau membangkitkan, jika Abdullah dimaklumkan terlebih dahulu, apa bijaknya Abdullah menyambung kontrak Musa, kemudian laporan BPR dibuat?
"Bukankah lebih baik kontrak itu tidak disambung dan kemudian laporan itu dibuat? Bukankah itu menunjukkan Abdullah tidak teliti, tidak berani dan menyalahi keputusannya sendiri?" Husam mepersoalkan.
Kepada beliau, ia bukan lagi maruah Musa atau Johari tetapi maruah Abdullah dan kerajaan Barisan Nasional seluruhnya.
"Ia adalah satu krisis. Ia memerlukan samada Musa atau Johari dipecat atau meletakkan jawatan," katanya.
Dengan krisis seburuk itu di kalangan para pemimpin tertinggi kerajaan dan diburukkan pula oleh sikap Perdana Menteri, Husam menyifatkan Barisan Nasional hanya bernasib baik kerana media utama dikawal sepenuhnya.
"Human Capital yang dilaungkan Abdullah reput dari atas. Beliau hanya terkebil-kebil, bukan sahaja tidak berbuat apa-apa tetapi tidak berkata apa-apa, melainkan mengiyakan kereputan itu.
"Ketika Timbalan Menteri dihadapkan dengan rasuah RM5 juta kerana melepaskan tiga ketua penjenayah, siasatan dilakukan. Tiada arahan beliau untuk Musa sama disiasat seperti Johari bila isu rasuah Musa beredar di Internet," katanya.
Bahkan, katanya lagi, Perdana Menteri sebaliknya menyambung kontrak Ketua Polis Negara.
"Katanya, kontrak Musa disambung untuk menyempurnakan misi membenteras jenayah. Sama seperti beliau menyambung kontrak dua kali lagi kepada bekas Ketua Pengarah BPR selepas beliau menerima tiga laporan dari Pegawai Tinggi BPR sendiri mengenai dakwaan rasuah ke atas bekas Ketua Pengarah BPR tersebut," katanya.
Husam menyifatkan deria kepekaan Perdana Menteri terhadap isu rasuah ternyata amat lemah.
"Kata-katanya seperti 'Tell me the truth' dan 'Dont be an apple polisher', hilang ditelan angin Monsoon Cup.
"Ketika ditanya tentang laporan 600 muka (mungkin diambil dari lapan kotak besar salah guna kuasa yang pernah disebut oleh Ezam tidak lama dulu) kes salah guna kuasa oleh seorang menteri kanan, Abdullah selamba memberitahu beliau belum membacanya," katanya.
Walaupun isu-isu rasuah yang lain muncul satu demi satu di seluruh negara, berpandukan jawapannya kepada pertanyaan media, Husam menyifatkan Perdana Menteri lebih banyak tak tahu dari tahu.
"Human-human di bawah Abdullah nampaknya telah bertukar memburu capital alias money sepenuhnya. Insan-insan ini telah mengejar untuk mengumpulkan 'modal' - dan ini adalah lambang kegagalan human capital tanpa asas agama dan hitungan akhirat yang melekat dalam jiwa yang diterajui Abdullah dengan Islam Hadharinya," kata beliau lagi.

Tuesday, July 10, 2007

Kerajaan tak cadang selaras gaji swasta, tuntutan MTUC ditolak

Azamin Amin Wed Jul 11, 07 02:32:19 PM
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Hrkh) - Kerajaan tidak bercadang untuk menyelaras gaji swasta seperti yang dituntut kerana bimbang akan mengundang pelbagai masalah khususnya menjejaskan dan mendatangkan kesan tidak baik kepada ekonomi negara.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato' Abdul Rahman Bakar, dengan tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya Gaji Minimum RM900 dan Elaun Kos Sara Hidup RM300 bagi kakitangan swasta diselaraskan oleh kerajaan, akan mengundang pelbagai masalah kepada sebilangan syarikat-syarikat swasta terbabit.
Antara yang berbangkit jika peyelarasan tersebut dilaksanakan ialah akan meningkat kos syarikat, menyebabkan syarikat kecil ditutup, pelabur-pelabur asing tidak yakin untuk melabur kerana kos gaji yang tinggi dan pelabur yang sedia ada akan menutup perniagaan mereka berikutan kenaikan itu yang akhirnya akan menjejaskan ekonomi negara.
Ssecara tidak langsung katanya, ia akan mengakibatkan peluang pekerjaan menjadi terhad kerana kekurangan perniagaan dan syarikat luar negara yang bertapak di Malaysia ini hingga mengakibatkan pengganguran juga bertambah.
Kerajaan katanya, tidak akan melaksanakan sebarang tuntutan daripada pihak-pihak tertentu, sekiranya ia mendatangkan kesan buruk kepada ekonomi atau kestabilan politik negara.
"Sekarang sudah ada sejumlah 335 syarikat gulung tikar, jika dilaksanakan kenaikan ini sudah pasti akan bertambah syarikat yang bermasalah kerana tidak berupaya menanggung kos yang tinggi," katanya dalam sidang Parlimen hari ini.
Katanya, kerajaan masih mengguna pakai Sistem Upah mengikut jenis pekerjaan yang diamalkan di negara-negara tertentu berbanding dengan jenis yang diamalkan di Amerika atau United Kingdom yang membayar gaji pekerja mengikut masa (jam).
"Tidak wajar gaji yang sama dituntut untuk pekerja asing berjumlah 1.2 juta yang ada di Malaysia," katanya.
Malah katanya, bagi kakitangan yang baru masuk ke sesebuah syarikat, tidak patut untuk mendapat gaji minima setinggi itu kerana masih tidak berpengalaman dan beliau juga mempersoalkan kembali bagaimana kesannya kepada majikan kecil yang mengupah amah atau pembantu rumah yang gaji mereka kini sekitar RM500.00.
Atas beberapa alasan yang diberikan adalah wajar untuk kerajaan tidak memenuhi tuntutan MTUC tersebut tetapi katanya masih lagi membuka ruang rundingan kepada MTUC untuk berbincang berhubung perkara itu.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Lee Sing Chooi dan Senator Tan Sri Jin Shamsudin di Dewan Negara, berhubung tuntutan MTUC dan faktor-faktor yang wajar dipertimbangkan Kerajaan dalam membuat keputusan ke atas tuntutan tersebut.
Sebelum ini, MTUC berpiket seluruh negara berhubung tuntutan gaji minimum dan elaun cola bagi pekerja swasta dan difahamkan bahawa permintaan MTUC itu sudah berlarutan sejak lapan tahun lagi, sehingga hari ini mereka masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan. - mr
PM terus lindungi nama Menteri Umno yang gelapkan wang syarikat? - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob Wed Jul 11, 07 10:31:19 AM
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Hrkh) - Sikap tidak mahu mendedahkan nama Menteri di kalangan Umno yang didakwa terbabit dengan skandal menggelapkan wang syarikat seperti yang dilaporkan Gerak kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membayangkan helah PM untuk terus melindungi perasuah yang mampu melindungi skandal pembahagian projek kerajaan babitkan PM dan anak menantunya, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.
Kegagalan PM dalam mendedahkan nama menteri Umno itu mengesahkan lagi dakwaan pembangkang bahawa agenda perang terhadap rasuah yang dilakukan PM gagal sama sekali, kata Mahfuz.
"Malah tindakan melindungi perasuah di kalangan orang berkepentingan termasuk dalam kes bekas Ketua Pengarah Perwaja Steel, Tan Sri Eric Chia membayangkan betapa korupnya kerajaan pimpinan Abdullah,"katanya kepada Harakahdaily semalam.
Mustahil tidak tahu
"Mustahil dalam jangka masa lebih 10 hari beliau tidak meneliti dokumen yang diserah Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor dan beliau tidak tahu siapa menteri yang dimaksudkan.
"Saya rasa beliau bimbang jika mendedahkan nama menteri itu, beliau juga akan terheret sama dalam isu penyelewengan dan rasuah terutamanya membabitkan anak menantunya seperti yang pernah dilapor Ezam pada akhir tahun lalu,"tegas Mahfuz.
Menurutnya, tentunya menteri terbabit yang berpangkat Tan Sri pernah menjalankan arahan PM berhubung pengagihan kontrak yang perlu diberi kepada anak menantunya, dan ia mungkin menjadi satu halangan kepada PM untuk menyiasat menteri terbabit,tegasnya.
Gagal sama sekali
Sementara itu Ketua Pembangkang di Parlimen, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya berhubung kenyataan PM, berkata, kenyataan PM mengesahkan kegagalan perang anti rasuah yang dilakukan orang nombor satu negara itu.
Kenyataan itu memperlihatkan ketidakwibawaan PM dalam kempen memerangi rasuah malah meskipun diberi maklumat tentang kes korupsi membabitkan menterinya selama 10 hari PM gagal untuk mengesan siapa menteri (Umno) terbabit, kata Kit Siang.
Beliau berkata demikian pada 10 Julai lalu ketika mengulas kenyataan PM berhubung isu laporan korupsi yang dibuat Gerak mengenai pembabitan seorang menteri kanan persekutuan dengan tuduhan menggelapkan wang RM30 juta sebuah syarikat bagi melangsaikan hutang peribadinya.
Dokumen setebal 632 nyatakan pembabitan menteri bertaraf Tan Sri
Pada 29 Jun lalu, Ezam menyerahkan dokumen setebal 632 muka surat yang mengandungi bukti-bukti terhadap menteri bertaraf Tan Sri itu kepada Pejabat Perdana Menteri.
Dokumen itu diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Ahmad Yaacob.
Ia termasuk dua laporan polis yang dibuat oleh Pengarah Urusan syarikat terbabit pada tahun 1998, kenyataan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), resit dan invois bayaran membabitkan “ribuan ringgit”. Ia juga mempunyai 13 lampiran.
“Ini adalah satu kes pecah amanah (CBT). Individu atau rakyat Malaysia yang lain akan ditahan jika wujud dengan jelas kes CBT, jadi menteri itu mesti ditahan segera,” katan Ezam sambil menambah, perbuatan itu berlaku sebelum individu dilantik menjadi menteri.
Begitupun Ezam sendiri tidak mendedahkan nama menteri terbabit dengan alasan mahu PM sendiri yang mendedahkannya.
Apa bising? Cabar saja Burmaa tunjukkan gambar Najib-Altantuya

Abdul Aziz Mustafa Tue Jul 10, 07 05:04:05 PM
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar membuktikan Burmaa Oyunchimeg membuktikan dakwaan bahawa beliau pernah bergambar dengan Altantuya Shaariibuu dengan menunjukkan gambar berkenaan.
"Apa bising? ... Silakan! Tak perlu riuh rendah dan hiruk pikuk.
"Najib cabar saja sepupu Altantuya itu tunjukkan gambar berkenaan. Najib perlu membuat cabaran itu. Sepupu Alntatuya itu yang perlu difokuskan, bukan Tian Chua," katanya.
Beliau mengulas kemarahan Najib yang menyifatkan tindakan menyiarkan gambar superimposed beliau dan Altantunya adalah tindakan tidak bermaruah.
"...Sama ada Najib sendiri atau Pemuda Umno yang galak (atau berpura-pura) mempertahankan Najib (hendaklah) mencabar atau memujuk sepupu Altantunya itu mendedahkan gambar berkenaan. Kalau ada, ada. Kalau tidak - dakwaan itu habis disitu sahaja," kata Ahli Exco Kanan Kerajaan Kelantan itu.
Itu adalah cara yang patut dilakukan, katanya, jika Najib atau Pemuda Umno berani.
"Kenapa tidak ada cabaran itu?" beliau mempersoalkan.
Kepada Husam, Umno dan Najiblah yang memikul beban untuk membuktikan cerita pertemuan beliau dengan Altantunya adalah palsu.
"Caranya mudah sahaja. Tubuhkan satu jawatankuasa Ahli-ahli Parlimen, wakil kerajaan dan pembangkang dan berikan kuasa kepada jawatankuasa ini memerikasa dokumen perjalanan Najib keluar negara pada Ogos 2005, tarikh mereka dikatakan bertemu atau mana-mana tarikh yang berhampiran, hotel tempat beliau menginap di luar negara, rekod-rekod perjalanan Altantunya, kerana dikatakan Altantunya bertolak ke Eropah pada tarikh tersebut dari Malaysia, senarai tetamu hotel-hotel berkenaan di luar negara.
"Jika dua insan ini menginap di hotel yang sama, kemungkinan mereka bertemu adalah besar dan apa-apa rekod lain yang berkaitan. Dengan cara ini, rakyat Malaysia boleh memperolehi kebenaran dalam isu ini," kata beliau.
Dengan cara tersebut juga, katanya, maruah Timbalan Perdana Menteri boleh ditentukan dan maruah negara juga terjaga.
"Ada gambar atau tidak, yang penting, penegasan Najib mereka tidak bertemu boleh dibuktikan bukti benar atau tidak. Ayuh!," katanya.
Menurut Husam, Pemuda Umno sendiri tidak sukar melakukan cadangan ini.
"Lagipun, kalau gambar berkenaan memang ada, lambat atau bangat, rakyat Malaysia akan akhirnya dapat melihatnya juga," katanya.
Apa yang penting bagi Husam, jika benar keterangan sepupu Altantunya di mahkamah bahawa beliau pernah melihat gambar Najib bersama Altantunya, ia bermakna Najib mengenali Altantunya yang telah dibunuh dengan kejam.
Menurut beliau, gambar tersebut menjadi isu apabila Najib secara tegas sebelum ini menafikan beliau mengenali Altantunya atau pernah berjumpa atau berhubung dengannya.
"Isu asal adalah samada Najib bercakap benar atau tidak. Samada beliau pemimpin bermaruah atau tidak. Kalau beliau tidak pernah samasekali mengenali dan berjumpa Altantunya adalah benar, beliau bermaruah.
"Kalau beliau kata tak kenal tetapi tiba-tiba bergambar bersama, beliau tidak bermaruah. Bahkan ini akan membawa orang ramai memasang pelbagai imiginasi mengenai hubungan beliau dengan gadis Mongolia itu," katanya.
Timbalan Perdana Menteri sebelum ini dilihat bersungguh-sungguh menafikan bahawa beliau mengenali Altantuya dan berkata, "hanya lihat gambarnya (Altantuya) yang disiarkan oleh akhbar."
Bagaimanapun, kata Husam, mengenali Altantunya tidak semestinya bermakna Najib membunuh Altantunya atau terlibat dengan apa jua cara dalam pembunuhan itu.
"Juga tidaklah menjadi hina semata-mata seseorang mengenali Altantunya, termasuk Najib," katanya.
Untuk memastikan gambar berkenaan wujud atau tidak dan sama ada Najib mengenali Altantunya atau tidak, Husam mengajak semua pihak meneliti keterangan yang diberikan dalam mahkamah dalam perbicaraan pembunuhan Altantuya.
"Pada hari ke 10 perbicaraan baru-baru ini, ketika Burma Oyunchimeg memberi keterangan bahawa beliau pernah melihat gambar Najib bersama Altantunya.
"Jika pasukan pendakwa meluang sedikit masa meminta saksi menunjukkan gambar sedemikian di mahkamah untuk mempastikan samada dakwaan itu benar atau tidak, isu ini dengan sendirinya sudah terjawab," katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, "kita terlepas peluang itu".
Najib perlu disapina ke mahkamah

M Khaleel Kas Tue Jul 10, 07 12:39:26 PM
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) - Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato' Norza Zakaria bahawa Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua wajar dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah kenyataan yang amat biadap dan tidak mencerminkan pemahaman yang mendasar mengenai makna dan aturan demokrasi di Malaysia.
Menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK), Fariz Musa, "isu sebenar bukanlah gambar rekaan Tian Chua, sebaliknya adalah keperluan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk disapina ke mahkamah bagi menjadi saksi untuk menyelesaikan perjalanan kes ini.
"Keperluan beliau dipanggil sebagai saksi adalah penting bagi menjelaskan apakah peranan Altantuya dalam pembelian kapal selam Scorpene dan Agosta dari Perancis oleh kerajaan Malaysia dalam perjanjian bernilai hampir 1 bilion euro ( RM4.6 bilion),"katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Tambahnya, AMK juga mempersoalkan kredibiliti Peguam Negara dan Barisan Pendakwaraya yang gagal untuk mengeluarkan arahan sapina ke atas Najib untuk menjadi saksi dalam perbicaraan ini.
"Kenyataan yang dibuat oleh Burmaa Oyunchimeg jelas membuktikan ada hubungkait di antara Najib dan Altantuya, tidak ada keraguan yang munasabah,"katanya.
Fariz turut mendakwa bahawa, gambar yang didakwa oleh Burmaa Oyunchimeg yang ditunjukkan oleh mendiang Altantuya kepada beliau jelas membuktikan bahawa sumpah Najib di Ijok adalah dusta dan palsu, kononnya beliau tidak mengenali Altantuya.
"AMK berpendirian tegas, bahawa isunya bukan ISA ke atas Tian, sebaliknya AMK mencabar Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Tun Hussien mahupun Najib sendiri membawa kes ini ke mahkamah untuk mendakwa Tian atas tuduhan memfitnah.
"AMK amat kesal dengan sikap pihak Polis yang terus menerus menyiasat Tian apabila ada laporan polis yang dibuat oleh Kongres India Muslim SeMalaysia (Kimma), sebaliknya ratusan laporan polis mengenai pendedahan rasuah dan salahguna kuasa di kalangan elit politik pemerintah yang dibuat oleh pimpinan pembangkang khususnya KeADILan disenyapkan begitu saja,"jelasnya lebih lanjut. - mks

Monday, July 9, 2007

Kontroversi ucapan Abdullah - Forkad seru PM segera bertaubat!

Intan Abdullah Tue Jul 10, 07 01:36:52 PM
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) - Front Bertindak Anti Murtad (Forkad) menyeru kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi agar segera bertaubat ekoran kenyataan beliau dalam Seminar Islam Antarabangsa di Putrajaya yang menyatakan bahawa Malaysia tidak menghalang seseorang keluar daripada Islam.
Hari ini, beberapa media antarabangsa seperti Reuters dan Japan Today dilaporkan sedang menyebarkan kenyataan beliau dengan menyatakan 'Malaysia does not forbid Muslims from converting, PM says'.
Kenyataan PM ini amat mengelirukan dan menyebabkan ramai yang tertanya-tanya dengan pendirian sebenar ketua negara Malaysia yang menjadikan Islam Hadhari sebagai teras utama pemerintahannya.
"Forkad berasa kesal dengan sikap dolak dalih PM yang mempunyai dua sisi yang berbeza apabila bercakap. PM selaku ketua negara diselar kerana bersikap lembut terhadap usaha-usaha memperlekehkan Islam," kata Pengerusi Forkad, Ustaz Ridhuan Mohd Nor.
"Tetapi apabila beliau berada dalam kelompok mereka yang bukan Islam, PM bercakap senada dengan mereka," ujarnya kesal.
Menurutnya, PM mungkin terlupa peristiwa kebangkitan umat Islam terhadap isu murtad dengan mengadakan himpunan di Masjid Wilayah Persekutuan dan selepas itu PM meminta supaya pihak yang tertentu tidak berusaha mempromosi murtad dan tidak mengusik isu umat Islam.
Ridhuan berkata, Forkad akan mengadakan 'roadshow' bagi menjelaskan kemunafikan PM kepada umum bagi memberi maklumat yang tepat terhadap isu agama Islam yang sedang dipandang serong dan rendah ini.
Beliau turut menempelak pandangan PM tersebut yang dilihat terpengaruh dengan Islam Liberal yang semakin berleluasa.
Menerusi media tersebut PM dilaporkan semalam sebagai berkata pihak berkuasa agama seharusnya lebih memahami isu-isu yang membabitkan kes murtad sehingga menyebabkan imej Malaysia sebagai negara yang progresif dan mengamalkan Islam secara sederhana dipersoalkan.
"Saya selalu memberitahu kepada jabatan agama untuk mendengar rungutan mereka yang berhasrat untuk murtad. Kita hendaklah bersedia untuk mendengar dan menyelesaikan masalah mereka," katanya kepada pemberita semasa Seminar Islam Antarabangsa semalam.
"Ini bukan sesuatu yang tidak boleh dibuat (murtad). Ia pernah terjadi sebelum ini. Kepada sesiapa yang tidak mahu lagi menganuti Islam, apa yang boleh anda lakukan ke atas mereka ?" kata Abdullah.
Malaysia baru sahaja menghadapi situasi berkecamuk dan perbahasan yang penuh emosi melibatkan penganut Islam yang gagal untuk mengumu

Sunday, July 8, 2007

Jenayah: Pihak berkuasa disaran adakan sekatan perjalanan
Basiron Abdul Wahab Mon Jul 09, 07 09:58:20 AM
TEMERLOH, 9 Julai (Hrkh) - Pihak berkuasa dicadangkan agar memperkenalkan sekatan perjalanan kepada warga asing yang berkerja di sesuatu lokasi agar mereka tidak bebas bergerak ke mana-mana destinasi di dalam negara dengan mudah demi memastikan kegiatan jenayah di kalangan mereka dapat diatasi.
Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPP) dalam kenyataannya kepada Harakahdaily menyebut, dalam beberapa kes terdapat penglibatan di kalangan warga asing yang menjadi dalang dan terlibat dalam kes-kes jenayah yang berlaku di negara ini.
Terdahulu DPPP mengalu-alukan usaha Ahli Qariah Masjid At Taqwa, Kampung Awah memerangi jenayah dengan menubuhkan Badan Bertindak Anti-Jenayah (BBAJ) di Mukim Bukit Segumpal, Maran.
Timbalan Ketua DPP Pahang, Suhaimi Md Saad berkata, kekecewaan penduduk terutama mereka yang pernah menjadi mangsa jenayah seharusnya dipandang serius pihak berkuasa.
Walaupun tindakan BBAJ tidak disenangi sesetengah pihak tetapi BBAJ telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakub 5 Julai lalu.
Suhaimi berkata, peningkatan kes jenayah sejak kebelakangan ini menolak laporan terdahulu yang diuar-uarkan kononnya keselamatan rakyat terjamin tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Penduduk Mukim Segumpal umpamanya begitu tertekan apabila jenayah berlaku berturut-turut walaupun penduduk telah membuat laporan polis.
Difahamkan enam kes pencerobohan dan pecah rumah berlaku pada 20, 21 Jun dan 2 Julai lalu di kawasan terbabit yang mengakibatkan kerugian harta benda penduduk.
Dalam kejadian tersebut, mangsa diugut dan diikat sebelum penjenayah melarikan harta benda.
Mangsa mengesyaki (berdasarkan loghat pertuturan) penjenayah adalah warga asing.
Pihak berkuasa disyor memperkenalkan sekatan perjalanan kepada warga asing yang berkerja di sesuatu lokasi agar mereka tidak bebas bergerak ke mana-mana destinasi di dalam negara dengan mudah.
"Katakanlah jika permit bekerja di Kuala Lumpur, warga asing terbabit tidak dibenarkan keluar dari kawasan Kuala Lumpur dengan sewenang-wenangnya, jika melangar larangan, hukum berat perlu dikenakan sebelum dihantar pulang ke negara asal," ujarnya.
Ini kerana terbukti daripada beberapa kes yang diselesaikan menunjukkan penjenayah itu tinggal jauh daripada lokasi mangsa dan akan kembali semula selepas melakukan jenayah.
Menurut Suhaimi lagi, apa yang berlaku di Maran itu, juga berlaku di kawasan-kawasan lain.
Ini menuntut pihak berkuasa mempertingkatkan usaha membanterasnya dan dalam hal ini Suhaimi mengucapkan syabas kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut kerana berjaya mengadakan sekatan jalan raya 24 jam di laluan Temerloh-Jerantut.
"Tindakan itu sekurang-kurangnya menakutkan penjenayah untuk melalui laluan terbabit.
"Sepatutnya sekatan serupa diadakan di semua laluan utama di setiap daerah serta laluan terpencil bagi memudahkan operasi mengesan penjenayah dapat dilakukan dengan dengan mudah dan berkesan," katanya.- mks.
Negara kebajikan, negara keadilan prinsip manifesto PAS - Abdul Hadi

Nyza Ayob Sun Jul 08, 07 06:28:04 PM
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Hrkh) - Negara kebajikan dan negara keadilan untuk semua merupakan prinsip utama manifesto bersama PAS dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dalam pilihan raya akan datang.
Antara yang akan diperjuangkan termasuklah gaji minimum, rawatan serta pendidikan percuma. Demikian antara yang disuarakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai persediaan PAS dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat bulanan Jawatankuasa PAS Pusat, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.
Sehingga kini katanya, sebahagian negeri sudah menghantar 60 hingga 80 peratus senarai calon yang dijangka bertanding. Tempoh bagi setiap negeri menghantar senarai calon yang akan bertanding ialah sebelum September ini.
Senarai tersebut katanya akan dihantar kepada Majlis Syura Ulama untuk diluluskan bagi menyelidik latar belakang calon yang mana akan diteliti bukan sahaja kelayakan akademik yang dimiliki, tapi termasuk akhlak calon.
Tambah calon wanita
Sebagaimana pilihan raya 2004, PAS juga katanya tetap akan meletakkan calon wanita. Malahan kerusi untuk calon wanita juga akan bertambah.
Di samping itu setiap negeri diminta membuat persediaan untuk manifesto pilihan raya dengan kerjasama rakan Barisan Alternatif, KeADILan.
Jelasnya lagi, PAS juga telah mengenal pasti kawasan yang dijangka akan ditandingi. Bagaimanapun jumlah kawasan tersebut belum dapat diumumkan kerana belum mendapat persetujuan daripada KeADILan mengenai pembahagian kerusi.
Tambahnya, PAS terlebih dahulu akan melihat sejauh mana pembahagian kerusi dilakukan dengan KeADILan di samping memastikan semua kawasan bertanding termasuk kawasan Parlimen.
Jelas Abdul Hadi, pilihan raya yang bersih, serta media yang adil tanpa sebarang tekanan dan kongkongan merupakan antara harapan PAS menjelang pilihan raya akan datang.
"Sekurang-kurangnya Malaysia mencontohi negara seperti Indonesia dan Thailand yang tidak mengongkong media dalam laporan pilihan raya negara tersebut," katanya
Sementara itu, menjawab soalan wartawan yang menganggap KeADILan kini sudah kehilangan sokongan rakyat, Abdul Hadi menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan parti tersebut masih mendapat sokongan masyarakat.
Sambutan ramai
"KeADILan masih mempunyai penyokongnya. Setiap perhimpunan dan ceramah masih mendapat sambutan serta dihadiri dengan jumlah yang ramai. Mungkin ada penyokong yang menyokong secara terbuka dan ada yang menyokong secara diam. Ini termasuk penyokong yang masih berada dalam Umno," katanya seraya berseloroh.
Selain isu pilihan raya, Abdul Hadi juga dikemukakan soalan mengenai kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh dalam satu sidang akhbarnya hari ini yang mendakwa PAS sudah hilang identiti serta menolak golongan ulama.
Menjawab dakwaan tersebut, jelas Abdul Hadi, Idris sebenarnya tidak layak bercakap mengenai PAS.
"Di mana kedudukan ulama dalam Umno? Sepatutnya dia terlebih dahulu menyuluh kedudukan ulama dalam Umno.
"Alhamdulillah PAS meletakkan kedudukan ulama di tempat yang sewajarnya. Walaupun ada pertandingan, calon-calon adalah dari kalangan ulama," tegasnya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada isu pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibu membawa satu sokongan serta pengaruh politik kepada PAS, jelas Abdul Hadi rakyat boleh menilai sejauh mana isu itu dibawa.
"Kita mengharapkan kes ini dapat diselesaikan oleh mahkamah dengan adil dan telus serta tidak dikuasai oleh mana-mana pihak," katanya. - mns

Saturday, July 7, 2007

Muzakarah Ulama 2007: Wakil rakyat Umno tidak berminat?

Johari Jaafar Sun Jul 08, 07 11:35:03 AM
IPOH, 8 Julai (Hrkh) - Kehadiran hanya seorang ADUN dari Manjoi jelas mencerminkan sikap waki lwakil rakyat Umno yang tidak berminat untuk mendengar Muzakarah Ulama 2007, yang mungkin dianggap oleh mereka tidak begitu penting berbanding dengan seminar-seminar ekonomi dan perniagaan yang mendatangkan keuntungan kepada mereka.
Demikian dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Azli Musa, ketika mengulas kenyataan Mufti Perak, Datuk Seri Haji Harussani Zakaria, yang melahirkan rasa dukacita kerana muzakarah tersebut tidak mendapat sambutan ahli politik di negeri ini
Mufti Perak itu ketika berucap merasmikan Muzakarah Ulama 2007, menegaskan tujuan muzakarah tersebut menjemput semua wakil rakyat yang beragama Islam ialah supaya dapat bersama-sama mengerluarkan idea demi kebaikan ummah.
“Kalau kita (ulama dan umara) dapat bekerjasama sudah pasti akan dapat kesan yang lebih baik hasil daripada muzakarah ini. Kita sudah menjemput semua Ahli Parlimen Perak tetapi mereka tidak hadir, saya sangat dukacita,” ujar Harussani lagi.
“Saya akui memang hanya seorang wakil rakyat Umno yang hadir pada majlis itu, iaitu Adun Manjoi kerana saya sendiri hadir mengikuti Muzakarah Ulama tersebut,” kata Ustaz Azli.
“Ini jelas menunjukkan sikap wakil rakyat Umno yang tidak peka dengan isu-isu agama dan melibatkan diri serta mengerluarkan idea untuk kebaikan ummah, “ ujarnya lagi.
Menurut beliau, sepatutnya wakil-wakil rakyat dari Umno di negeri ini melibatkan diri dengan muzakarah berkenaan kerana segala hasil perbincangan di majlis tersebut boleh diketengahkan di dalam Dewan Undangan Negeri Perak ketika mereka berucap.
Tetapi amat tidak wajar sekali Muzakarah Ulama 2007 tidak mendapat sambutan daripada golongan politik khususnya dari Umno kerana muzakarah tersebut dianjurkan oleh Jabatan Mufti Perak, bukannya oleh parti politik.
“Sepatutnya sebagai wakil rakyat mereka perlu merasa sensitif dengan muzakarah seperti ini, lebih-lebih lagi ianya menyentuh persoalan ulama dan umara, jika muzakarah seumpama ini pun mereka tidak berminat, bagaimana kita hendak harapkan mereka mempertahankan maruah Islam dan kesucian Islam daripada dinodai oleh musuh-musuh Islam,” tegasnya.
Beliau berharap wakil rakyat dan ahli agama dapat duduk semeja dan berbincang mengenai apa juga isu mengenai Islam dan kepentingannya kepada ummat Islam sekali gus mendaulatkan Islam di negara ini. - mns

Wednesday, July 4, 2007

SPR tidak perlu takut kepada sekatan untuk buat perubahan - Khalid Ibrahim

Wan Nordin Wan Yaacob Thu Jul 05, 07 01:20:03 PM
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Hrkh) - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu takut atau merasakan adanya akta yang menghalang badan itu untuk melakukan perubahan ke arah pemberishan perjalanan pilihan raya memandangkan badan itu terletak di bawah kuasa Raja-raja Melayu dan bukannya kuasa eksekutif.
Menurut Abdul Khalid, kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa badan itu terhalang dengan akta-akta tertentu yang bukan di bawah kuasa SPR adalah satu kenyataan yang tidak sepatutnya datang dari sebuah suruhanjaya yang bebas.
"SPR boleh membuat perubahan tertentu seperti celup jari guna dakwat, hapuskan undi pos dan wujudkan peti undi lutsinar yang sebenarnya tidak terikat dengan akta-akta yang dikatakan menghalang SPR dari melakukan perubahan,"tegas Abdul Khalid ketika mengadakan sidang medianya di Ibu Pejabat KeADILan dekat Brickfields hari ini.
Menurut Abdul Khalid, Rashid dalam satu pertemuan dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 3 Julai lalu menyatakan pelaksanaan tugas SPR selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 13, perlembagaan-perlembagaan negeri, Akta Pilihan Raya 1958 (akta 19), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Perjalanan Pilihan Raya 1981, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Daftar Pemilih) dan Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Namun kata Abdul Khalid, Rashid mengakui bahawa pelaksanaan tersebut bercanggah dengan akta-akta lain seperti Akta Polis 1961, Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (akta 301), Akta Rahisa Rasmi 1972 (akta 88), Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588), Kanun Kesiksaan (akta 574), Kanun Tatacara Jenayah (akta 593) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (akta 171).
Katanya akta yang disebutkan oleh Rashid sebagai satu penghalang kepada pelaksanaan proses demokrasi itu bukanlah akta yang terletak di bawah SPR kerana SPR itu sendiri terletak di bawah kuasa Raja-raja Melayu dan bukannya kuasa eksekutif (Perdana Menteri, Menteri atau Kabinet).
Beliau menyifatkan alasan yang diberikan Rashid itu tidak praktikal, tetapi jika benar dakwaan bahawa akta itu mengekang pelaksanaan demokrasi yang ingin dilakukan SPR, kerajaan sendiri sebagai kuasa eksekutif perlu meneliti dan memansuhkan akta yang bercanggah dengan pelaksanaan demokrasi.
Justeru KeADILan menggesa SPR berusaha lebih dalam memastikan demokrasi di negara ini terjamin khususnya dalam memastikan rakyat dapat memilih kerajaan dalam pilihan raya yang bersih dan adil, kata Abdul Khalid.
Bercakap mengenai pertemuan antara Bersih dan SPR, beliau menyatakan dalam pertemuan itu Bersih diwakili oleh pelbagai wakil parti politik termasuk PAS, KeADILan dan DAP selain wakil pelbagai NGO yang bersama Bersih.
Pertemuan itu katanya adalah usaha Bersih bagi mendesak SPR melakukan beberapa perubahan dalam perjalanan pilihan raya di negara ini yang dilihat semakin kotor

Pelajar baru Universiti Malaya dihalang solat Zuhur semasa Minggu Suai Kenal

Intan Abdullah Thu Jul 05, 07 11:13:59 AM
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Hrkh) - Pentadbiran Universiti Malaya(UM) digesa memberi penjelasan para ibu bapa mahasiswa yang baru mendaftar, ekoran banyak rungutan rasa tidak puas hati terhadap perjalanan Minggu Suai Kenal (MSK) di universiti yang dianggap paling tua di Malaysia itu.
Ada rungutan ibu bapa yang diluahkan melalui akhbar hari ini mendedahkan terdapat pelajar senior yang terbabit sebagai fasilitator dalam Minggu Suai Kenal itu, yang bukan sahaja tidak mementingkan hal solat tetapi menghalang pelajar baru menunaikan solat Zuhur.
Anggota Exco Pemuda PAS Pusat, Abdullah Abdul Karim berkata UM perlu memberikan penjelasan terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan sempena Minggu Suai Kenal yang dilihat bercanggah dengan nilai-nilai ketimuran dan mengetepikan tuntutan agama.
"Mereka perlu menjelaskan keadaan sebenar seterusnya membetulkan segala kelemahan berdasarkan laporan yang dibuat oleh ibu bapa yang mengadu," katanya.
Pada masa yang sama, ujarnya, ibu bapa dan penjaga pula perlu tampil ke hadapan bagi membuat aduan serta mendedahkan masalah yang dihadapi anak-anak mereka ketika menjalani aktiviti dalam MSK tersebut.
Ini kerana jika masalah ini terjadi di UM, beliau tidak hairan jika keadaan yang sama turut berlaku di kampus-kampus lain.
Abdullah yang juga merupakan mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia berkongsi pengalaman ketika mana beliau dihalang daripada mengadakan pertemuan dengan mahasiswa baru dalam MSK di kampus tersebut pada tahun 2001.
Jelasnya, budaya yang diterapkan di dalam MSK tersebut, tidak lebih daripada menggalakkan mahasiswa ke arah pergaulan bebas dan gemarkan aktiviti hiburan melampau.
"Maka tidak hairanlah UM mengalami kemerosotan ranking memandangkan situasi kampus tersebut tidak menjurus kepada melahirkan produk yang berkualiti serta cemerlang daripada segala aspek," katanya lagi
Dalam Utusan Malaysia hari ini, seorang bapa yang menggelarkan dirinya "Bapa Mithali" dari Changloon, Kedah menyatakan kekesalan terhadap MSK yang telah dijalankan oleh anaknya yang dianggap keterlaluan.
Menurut aduan tersebut, bapa tersebut melauhkan bahawa tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa universiti paling tua itu mendidik anak-anak buahnya dengan aktiviti yang boleh dianggap biadab terhadap budaya negara kita.
Beliau memetik cerita anaknya bahawa mereka diarahkan menari yang dinamakan cheer yang melampau sehingga lewat pukul 3 pagi dalam keadaan percampuran lelaki dan perempuan seperti situasi dalam sebuah konsert.
Selain itu terdapat fasilitator di kalangan pelajar senior yang tidak menitikberatkan soal ibadah solat, yang menghalang anaknya menunaikan solat Zuhur.
Sebagai pelajar baru, anaknya tidak berani untuk berdepan senior tersebut yang disifatkan garang dan tidak mesra pelajar.
"Cuba bayangkan bagaimana perasaan saya sebagai seorang ayah. Anak yang saya didik selama ini dengan ilmu agama diperlakukan sedemikian rupa oleh fasilitator universiti terkemuka itu.
"Saya yakin dan percaya, kejatuhan ranking UM pada tahun lalu adalah disebabkan minda mahasiswanya yang dicemari dengan budaya hiburan," demikian kata "Bapa Mithali" menerusi surat tersebut.
Beliau berharap kepada pihak yang terlibat agar mengambil perhatian kerana perkara ini melibatkan imej universiti sebagai sebuah pusat akademik yang telah dicemari dengan aktiviti hiburan.
Jika perkara ini diteruskan, maka harapan Perdana Menteri untuk menjadikan mahasiswa negara kita mempunyai minda kelas pertama akan terbantut.
"Semoga pihak yang terlibat perlulah mengambil berat perkara tersebut bagi mengelakkan mahasiswa UM terikut-ikut dengan budaya Barat dalam kehidupan seharian mereka," ujarnya ketika mengakhiri surat tersebut.

Pendedahan tiada prosedur pemeriksaan bahan letupan UTK timbul tanda tanya

Saidah Hairan Thu Jul 05, 07 11:25:44 AM
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Hrkh) - Pengakuan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) bahawa tiada prosedur dalam UTK untuk membuat pemeriksaan bahan letupan, peluru dan senjata api di kuarters atau kediaman peribadi pegawai dan anggotanya, jelas membuktikan bom untuk menghancurkan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu datang dari pihak polis.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar menegaskan, pendedahan itu membuktikan bukan sahaja kelemahan pihak polis Malaysia tetapi menambahkan lagi imej buruk negara dan anggota keselamatan.
Menurut beliau, soal keselamatan dalam PDRM terlalu lemah dan pengakuan itu membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh mengambil lebihan bahan letupan selepas UTK membuat latihan.
Bertambah malang katanya, apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi masih mengekalkan khidmat Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Beliau berkata, sepatutnya perkhidmatan Musa tidak disambung kerana imej beliau selama ini cukup memalukan kerajaan, negara serta rakyat.
Ketika perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, saksi ke-11 pihak pendakwa, Timbalan Komander UTK, Asisten Komisioner Mastor Mohd Ariff, 45, juga mengakui tiada prosedur dalam UTK bagi membuat pemeriksaan bahan letupan, peluru dan senjata api di kuarters atau kediaman peribadi pegawai dan anggotanya.
Mengulas pendedahan itu, Mahfuz berkata, rakyat sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap polis yang tidak boleh memberi jaminan keselamatan rakyat dan negara.
Perbicaraan hari ke-13 kes pembunuhan itu juga diberitahu, anggota UTK dilatih untuk melaksanakan tugas yang diarah pegawai atasan tanpa sebarang soal, seperti robot.
Mastor ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, berkata, mengikut prosedur UTK, bahan letupan yang tidak habis digunakan sepatutnya dipulangkan semula ke stor senjata.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan bahan letupan yang tidak habis digunakan, tidak dipulangkan ke stor senjata kerana tiada catatan mengenai kuantiti yang digunakan sewaktu latihan.
Beliau bersetuju dengan Tun Abdul Majid proses pemulangan lebihan bahan letupan itu hanya berasaskan prinsip kepercayaan.
Mastor yang sudah 25 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkata beliau juga tidak tahu jika ada pegawai atau anggota UTK yang menyimpan peluru, senjata atau bahan letupan di rumah masing-masing.
“Permohonan untuk mengeluarkan bahan ini dari stor UTK dibuat oleh pasukan yang ingin menjalani latihan, biasanya diketuai pegawai berpangkat Deputi Superintendan (DSP).
“Bagaimanapun, bahan itu tidak semestinya diambil oleh pegawai berkenaan. Mana-mana anggota dalam kumpulannya juga boleh mengambilnya dengan syarat membawa bersama surat permohonan atas nama pegawai terbabit,” katanya.
Mastor berkata, setiap bahan letupan yang dibawa keluar dari stor senjata untuk kegunaan latihan perlu dicatat kuantitinya dan mengikut pengalamannya, kawal selia juga dibuat terhadap pegawai dan anggota ketika latihan.
Terdahulu dalam keterangannya, Mastor berkata, lima jenis bahan letupan disimpan dalam stor UTK, iaitu PE (plastic explosives), stun-grenade, detonator cord, detonater thunder flash dan CLC (cutting liner charge).

Monday, July 2, 2007

Sikap kerajaan lepas tangan bantu pelajar dikesali - Salahuddin

Ekmal Yusof Tue Jul 03, 07 09:49:23 AM
KUALA KANGSAR, 3 Julai (Hrkh) –Sikap kerajaan yang lepas tangan dengan tidak membantu rakyat dari segi kewangan untuk melanjutkan pelajaran amatlah dikesali.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dakwaan kerajaan yang menyatakan agensi-agensinya telah memberikan biasiswa kepada rakyat tidak tepat sama sekali.
“Bagaimana dengan majoriti pelajar Melayu lainnya?” tanya Ahli Patlimen Kubang Kerian itu ketika berceramah di Kampung Talang dekat sini malam tadi.
Dalam majlis tersebut, beliau menyeru kepada kerajaan untuk memberikan biasiswa kepada setiap pelajar bagi mendapatkan pendidikan tinggi tanpa mengira asal usul dan latar belakang mereka.
Tegasnya, jika kerajaan boleh membazirkan berjuta-juta ringgit duit rakyat dalam perkara kurang faedah, mengapa tidak digunakan wang tersebut untuk pelaburan ilmu seperti memberikan biasiswa kepada para pelajar yang akan menjadi benteng negara dan kerajaan kelak.
Katanya, walaupun kini ada segelintir agensi kerajaan seperti Petronas, Mara dan Bank Negara memberi biasiswa tetapi persoalannya tidak ramai yang dapat memohon dan berjaya mendapatnya.
“Hanya segelintir sahaja yang dapat. Hanya sebilangan kecil anak-anak Melayu cemerlang dalam pelajarannya yang dapat,” ujarnya.
Soalnya, bagaimana pula dengan ribuan pelajar Melayu lain yang kurang bernasib baik dalam pencapaian akademik dan dari latar keluarga yang susah di kampung-kampung dan di ceruk-ceruk desa?
Akhirnya katanya, atas sebab kemiskinan dan tidak berjaya terpilih mendapatkan biasiswa, maka tanpa pilihan mereka terpaksa mendapat pinjaman daripada Tabung pinjaman PTPTN.
Dan malangnya, apabila para pelajar tidak dapat membayar kembali pinjaman tersebut, mereka akan diugut sehingga dituntut ke mahkamah,katanya lagi. - mks

WPI: Umno Johor hanya 'Pak Angguk'

Salman Hussin Tue Jul 03, 07 07:27:54 AM
JOHOR BAHRU, 3 Julai (Hrkh) – Dakwaan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, kononnya Umno Johor tidak mengalu-alukan pelaburan Singapura di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) disifatkan sebagai tidak benar.
Ini kerana Umno Johor bersifat sebagai ‘pak angguk’ yang sentiasa bersetuju dengan apa saja keputusan kerajaan, apatah lagi keputusan terhadap cadangan WPI ini dibuat oleh kerajaan Pusat, maka Umno Johor bahkan Kerajaan Johor sendiri pun terpaksa akur dengan keputusan ini, walaupun mungkin terdapat bantahan daripada sebahagian pemimpin Umno di negeri ini.
Demikian dinyatakan Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, ketika diminta mengulas kenyataan Lee Kuan Yew baru-baru ini yang mendakwa kononnya pemimpin Umno Johor tidak mengalu-alukan pelaburan republik itu di WPI.
Menurut Mazlan, apa pun isu antara Malaysia dan Singapura ianya diputuskan oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan Umno Johor terpaksa patuh dan angguk saja.
Sebagai contoh pengambilan tanah untuk dijadikan sebagai ‘Wilayah Persekutuan’ di Kuala Lumpur, Labuan dan juga Putrajaya, tidak dapat dielak oleh kerajaan negeri terbabit apabila ianya diminta oleh kerajaan pusat.
Begitu juga yang berlaku terhadap WPI ini, tidak timbul soal sama ada terdapat bantahan oleh kerajaan negeri atau pun pemimpin Umno Johor kerana mereka terpaksa akur dengan kehendak dan kemahuan kerajaan pusat.
Bagaimanapun menurut Mazlan, kita percaya ada tentangan dari segelintir pimpinan Umno Johor terhadap projek WPI ini, jadi sekiranya benar mereka membantah WPI ini maka kita minta mereka tunjukkan sikap secara terbuka.
Mazlan yang juga AJK PAS Pusat berkata, hubungan antara Malaysia dan Singapura khususnya dalam projek WPI ini tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan di dunia.
“Untuk majukan Negara sendiri apa perlunya persetujuan pihak asing, perkara seumpama ini tidak pernah dilakukan mana-mana kerajaan di dunia ini tetapi ianya berlaku di Malaysia, ini sangat menghairankan.
“Penubuhan Jawatankuasa Khas di peringkat Menteri antara kedua-dua Negara telah banyak memberi manfaat kepada Singapura, berbagai insentif menarik telah diberikan kepada pelabur Singapura, bahkan kerajaan sanggup mengetepikan kepentingan orang melayu dan Bumiputra semata-mata untuk menarik pelabur Singapura melabur di WPI,"jelasnya.
Justeru kerana itu kata Mazlan, dakwaan Kuan Yew bahawa pemimpin Umno Johor tidak mengalu-alukan pelaburan Singapura di WPI adalah tidak benar sama sekali. - mks. sekali.

Ezam komited bantu PAS pertahan Kelantan

Wan Nordin Wan Yaacob Tue Jul 03, 07 10:39:09 AM
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Hrkh) - Bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Mohd Ezam Mohd Noor dalam satu sidang medianya di Pejabat Agung PAS semalam berkata, beliau komited akan membantu PAS Kelantan mempertahankan kerajaan tersebut yang disifatkan sebagai kerajaan bersih dalam Pilihan Raya Umum ke-12 akan datang.
Menurutnya, beliau mengkagumi pemerintahan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berjaya memerintah kerajaan negeri dengan telus dan bersih.
Bantuan itu dihulurkan atas nama Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) dan bertegas menyatakan kini beliau tidak menyebelahi mana-mana parti sama ada PAS, KeADILan mahupun Umno.
Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut dekat sini semalam.
Menurutnya lagi, beliau kini memfokuskan soal membanteras rasuah iaitu antara isu yang akan dibawa semasa Pilihan Raya Umum ke-12 atas nama Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak).
Ezam juga menyatakan baru-baru ini beliau ada membuat satu laporan rasuah membabitkan seorang menteri kanan yang terbabit dengan soal perbendaharaan negara.
Beliau telah menyerahkan laporan itu kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melihat sejauhmana PM akan bertindak atau sebaliknya menutup laporan itu.
Bagaimanapun semasa ditanya mengenai siapa menteri berkenaan beliau enggan mendedahkan nama menteri tersebut.
Beliau cuma mendedahkan bahawa beliau menerima banyak SMS dari pegawai-pegawai kanan kerajaan yang bertanyakan sama ada menteri berkenaan adalah menteri yang terbabit dengan kementerian mereka.
Mengulas kenyataan Ezam itu, Mahfuz berkata beliau telah memulakan perbincangan bagi mewujudkan jawatankuasa bersama Ketua Pemuda PAS dan Gerak dalam usaha menggerakkan perjuangan rakyat.
Ujarnya lagi, kesediaan Ezam bersama jawatankuasa ini amat dialukan kerana Ezam mempunyai pengalaman luas dalam perjuangan membanteras rasuah dan isu rakyat.
Beliau seterusnya menolak dakwaan bahawa pertemuan tertutup dengan Ezam itu adalah langkah untuk memujuk Ezam menyertai PAS, sebaliknya memberi kepercayaan penuh kepada Ezam untuk membuat keputusan gelanggang mana yang seharusnya dijadikan tapak beliau berjuang.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS juga senada dengan Mahfuz dalam mengulas kedudukan Ezam yang kini tidak mnyertai mana-mana parti selepas keluar dari Parti KeADILan Rakyat (KeADILan).
"Ezam ada prinsipnya yang tersendiri dan beliau ada intergriti.Bagi saya, saya yakin beliau tahu di mana perlu beliau (Ezam) berjuang,"tegasnya. - mks.