Wednesday, February 28, 2007

PAS gesa Ketua Pengarah BPR letak jawatan - Ustaz Nasharudin

Wan Nordin Wan Yaacob Thu Mar 01, 07 06:26:12 AM
KUALA LUMPUR, 1 Feb (Hrkh) - PAS hari ini menggesa Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato' Seri Zulkipli Mat Nor melepaskan jawatan sementara siasatan ke atasnya dilakukan oleh pihak berkuasa memandangkan tuduhan ke atasnya mengakibatkan soal intergriti dan kredibiliti negara dalam pada kerajaan kononnya melaungkan slogan anti rasuah.
Kenyataan itu dibuat Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam satu sidang medianya di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut dekat sini hari ini.Turut serta dalam sidang media itu ialah, Bendahari PAS, Dr Hatta Mohd Ramli dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zulkifli Ahmad.
Timbul persoalan
Mengulas lanjut kes Zulkipli itu Ustaz Nasharudin berkata, isu itu menimbulkan banyak persoalan dan pertanyaan dikalangan rakyat, malah kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musah Hassan yang menyebut bahawa tuduhan ke atas Zulkipli sebenarnya telah dibuat lebih awal dari pendedahan bekas Pegawai Siasatan BPR, Mohammad Ramli Abdul Manan iaitu pada tahun 1997.
Namun meskipun katanya siasatan awam telah dibuat, persoalannya mengapa isu ini dipadamkan dari pengetahuan rakyat sejak tahun 1997 hingga kini, walaupun PAS tidak mengharapkan seluruh siasatan didedahkan, tetapi apabila kes ini membabitkan orang paling tinggi dalam BPR maka ianya perlu dihadapkan kepada pengetahuan umum, kata Ustaz Nasharudin.
"Kalau siasatan telah dibuat kita minta ia didedahkan, dan semua persoalan ini kita berpegang kepada prinsip perundangan Islam yang disebut, 'orang yang buat tuduhan perlu membawa bukti, dan orang yang dituduh kena mempertahankan tuduhan dengan bersumpah bahawa tuduhan ini tak benar'", katanya kepada wartawan.
Bagi PAS, jika Zulkipli mempunyai intergriti sebagai seorang yang amanah dalam menjaga soal intergriti, beliau seharusnya melepaskan jawatan sementara siasatan dilakukan ke atasnya.
Sementara jika siasatan telah dilakukan dan mendapati Zulkipli tidak bersalah, maka pihak yang menuduh juga tidak boleh dilepaskan kerana ia melibatkan intergriti serta maruah negara, katanya.
"Isu ini didedahkan tatkala pemimpin negara kni sedang membincangkan soal intergriti dan kempen anti rasuah dan perkara ini harus diselesaikan cepat, justeru kerajaan sendiri perlu serisu dan bertanggungjawab dalam hal ini."katanya.
Ada yang cuba disembunyi?
Mengulas mengenai pelantikan Zulkipli sebagai Ketua Pengarah BPR dengan beberapa kali kontraknya disambung meskipun ada kes dilaporkan membabitkan Zulkipli, Ustaz Nasharudin menyatakan, kerajaan seharusnya telah mendapat makluman mengenai rekod Zulkipli terhadulu sebelum lantikan.
"Dalam amalan kerajaan saya cukup pasti jika lantikan mana-mana jawatan tinggi dalam rekod dan maklumat dari pegawai cawangan khas (SB) dan sebagainya akan diberi kepada PM sebelum lantikan dibuat".
"Jika maklumat ini tak didedahkan kepada PM maka agensi kerajaan tidak buat kerja, tetapi jika ianya telah didedah kepada PM tetapi PM tidak ambil tindakan maknanya PM tiada intergirti dalam menangangi masalah rasuah dan skandal ini, ini memalukan negara,"katanya lagi.
Sementara itu Dr Zulkifli Ahmad pula menyatakan, tidak wajar dalam jangka masa 10 tahun dan dengan PM sendiri menang dalam Pilihan Raya 2004 dalam situasi dan kempen melawan rasuah tetapi isu membabitkan Zulkipli ini didiamkan begitu sahaja.
Malah beliau melihat soal mendiamkan isu itu hanyalah khabar buruk kepada soal ketelusan dan kempen melawan rasuah yang dijalankan oleh PM sendiri, katanya.
Sementara itu Dr Hatta pula menyatakan, meskipun Malaysia telah memiliki Institut Intergriti dan Pelan Intergiriti negara (PIN) selain debat perdana mengenai intergriti, namun isu Zulkipli ini memperlihatkan kerajaan sebenarnya tidak serius dalam memerangi rasuah.
"Ada usahah pihak tertentu untuk tutup kes kes ini, dan ini memalukan negara,"ujarnya tegas.
Sementara itu, Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor yang dihubungi Harakahdaily hari ini mengecam sikap berdiam diri PM tatkala isu ini sedang hangat diperkatakan, dan tindakan itu menimbulkan kecurigaan memandangkan beberapa laporan yang dibuat Gerak terhadap PM dan Tun Mahathir tentang keterlibatan dua pemimpin ini dalam pengagihan kontrak kepada anak menantu masih tidak disiasat oleh Zulkipli.
Selindung laporan PM dan anak menantu?
"Gerak dan rakyat berhak mencurigai pelantikan Zulkipli yang dikatakan terbabit dengan beberapa laporan 'skandal' 10 tahun lalu dan terbaru oleh bekas Pegawai Siasatan Gred 45 BPR, Mohammad Ramli Abdul Manan.Kita bimbang jika lantikan ini dikatakan berdasarkan 'saringan', bagaimana seorang Ketua Pengarah BPR boleh dilantik di kalangan mereka yang bermasalah," katanya lagi.
Beliau juga melahirkan rasa curiga samada lantikan ini adalah untuk melindungi kes-kes salah laku pemimpin tinggi negara dan individu berkepentingan dalam negara termasuk anak menantu PM atau sebaliknya.
Baginya, lantikan yang dibuat oleh PM dan bekas PM ini boleh dipertikai malah satu siasatan ke atas tindakan itu boleh dibuat setelah ianya mencurigakan, katanya lagi.
Ezam cabar PM
Sehubungan itu Ezam mencabar PM segera menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes-kes salah laku Zulkipli dan kes-kes yang membabitkan laporan rasuah dan kronisme yang dikendalikan Zulkipli termasuk laporan Gerak terhadap PM, dan bekas PM yang didiamkan BPR.
"Jika PM boleh menubuhkan Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis, mengapa tidak dalam kes membabitkan kredibiliti BPR yang kini diragui rakyat dan dunia,"katanya.
Selain itu Gerak juga mendesak PM menggantung sementara khidmat Zulkipli berikutan laporan ini kerana kredibiliti dan intergriti Zulkipli boleh dipertikai berdasarkan laporan terhadapnya, katanya.
Begitupun beliau melahirkan kebimbangan isu yang dimainkan media-media arus perdana ini hanya sementara sahaja, sebaliknya kes ini akan didiamkan kemudian apabila kemungkinan kredibiliti PM turut terheret dengan laporan ini nanti.
Akhbar harian hari ini melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kertas siasatan melibatkan Zulkipli yang dibuka 10 tahun lalu diserahkan semula kepada pejabat Peguam Negara hari ini.
Kes salah laku seks
Musa berkata, kertas siasatan itu berupa laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan wanita pada Julai 1997 di Balai Polis Cheras.
“Dalam laporan polis yang dibuat, wanita berkenaan yang ketika itu berusia 42 tahun mendakwa dipukul oleh Zulkipli ekoran beliau menolak untuk melakukan hubungan seks.
“Polis telah menyoal siasat semua pihak pada waktu itu termasuk pengadu yang mendakwa teman wanita Zulkipli dan beberapa saksi. Kes itu kemudian dianggap telah selesai,” katanya.
Ditanya apa yang dimaksudkan dengan ‘selesai’, Musa berkata: “Itu kena tanya Peguam Negara.
“Disebabkan kes itu ditimbulkan semula maka kita telah mengambil dan menyerahkan kertas siasatan tersebut kepada Peguam Negara untuk diteliti.
“Saya telah berjumpa dengan Peguam Negara pagi ini di pejabatnya bagi menyerahkan semula kertas siasatan itu untuk kegunaan beliau,” jelas beliau.
Isu mengenai dakwaan itu ditimbulkan Ezam melalui Gerak dalam satu idang medianya Isnin lalu di pejabatnya di Kelana Jaya.Ezam memetik satu surat yang dihantar Mohammad Ramli yang merujuk kepada kes salah laku seks dan penyelewengan membabitkan Zulkipli yang diserah kepada PM dan Ketua Polis Negara.
Zulkipli bekas Pegawai Tinggi Polis
Semasa laporan itu dibuat Zulkipli adalah bekas Ketua Polis Johor. Beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah BPR pada 2001. Perkhidmatan beliau disambung secara pinjaman sebanyak tiga kali. Tarikh akhirnya di pejabat, difahamkan, ialah pada akhir Mac ini.
Sebelum menjawat jawatan dalam badan itu beliau adalah Ketua Polis Sarawak.
Menurut ketua polis negara itu lagi, pihaknya kini menunggu arahan selanjutnya daripada Peguam Negara berhubung kes itu.
“Terpulanglah kepada Peguam Negara (untuk tindakan seterusnya),” katanya.
Mengulas lanjut, Musa memberitahu, tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kegiatan rasuah dan jenayah seksual yang dilakukan oleh Zulkipli.
Ditanya mengenai dakwaan bekas Pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Manan bahawa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya selain terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dan aktiviti jenayah, Musa berkata, itu merupakan satu tuduhan baru.
“Jika ada laporan polis, kita akan siasat. Dalam kes ini, polis perlu meneliti sama ada perlu siasatan baru atau tidak,” jelasnya.

Tuesday, February 27, 2007

'Perang' pilihan raya sudah bermula: Kelantan jadi 'mangsa' pertama

Azamin Amin Wed Feb 28, 07 04:58:33 AM
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Semenjak akhir ini, pelbagai isu yang membabitkan Kerajaan PAS Negeri Kelantan sering terpapar dalam media menandakan 'perang' untuk pilihan raya akan datang sudah bermula dan negeri tersebut menjadi 'mangsa' pertama dalam peperangan ini.
Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar berkata 'pengendang-pengendang' Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah mula memainkan peranannya untuk memburuk imej PAS khususnya di Kelantan dalam persiapan mereka untuk menghadapi pilihan raya umum yang dijangka tahun ini.
"Sudah mula kedengaran dendangan dan lagu-lagu lama diputarkan semula demi untuk memusnahkan imej PAS namun saya percaya rakyat khususnya pendudk Kelantan sudah boleh menilai dengan bijaksana dan tidak termakan dengan omongan yang mereka mainkan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Hakikatnya PAS sudah memerintah Kelantan selama 4 penggal semenjak tahun 1990 menandakan sokongan padu rakyat terhadap perjuangan PAS,dan telah membuktikan kemampuannya yang telah dilihat bukan sahaja seluruh masyarakat malah dunia" katanya lagi.
Walaupun katanya dengan pelbagai usaha Umno dan Kerajaan BN untuk melemahkan PAS, memberi tekanan bertubi-tubi termasuk menarik geran kerajaan pusat dan menghentikan bantuan kewangan, namun PAS berjaya menambat hati peenduduk Kelantan dengan mentadbir secara berhemah dan penuh wibawa.
Di samping itu beliau turut menyelar pandangan Menteri Penerangan, Dato' Zainuddin Maidin yang dipetik sebagai berkata bahawa rakyat Kelantan sudah serik dengan pemerintahan PAS dan akan mengundi semula BN pada pilihan raya akan datang.
Bankrap idea
"Zam sudah bankrap idea, ini termasuk BN dan rakyat Kelantan sudah mangli dengan cakap-cakap begini," katanya yang turut diminta untuk mengulas dakwaan Zam dalam laporan akhbar hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa hiburan yang dibenarkan di negari Kelantan adalah hiburan yang mengikuti syarat-syarat dan garis panduan yang teelah dibuat semnjak 1990 dan menepati dari segi hukum syaraknya dan tidak timbul soal mengubah daripada haram menjadi halal seperti yang didakwa Zanuddin.
Malah, katanya Kelantan telah mengambil iniasiatif memperkenalkan hiburan alternatif Islam kepada masyarakat disamping menonjolkan sukan untuk wanita yang dianjurkan oleh Nisa' baru-baru ini yang mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan.
"Sepatutnya kerajaan pusat menyokong usaha murni yang dilakukan oleh Kerajaan Kelantan tetapi yang terjadi adalah sebaliknya," katanya
"Malah Kementerian Penerangan yang paling menonjol usahanya untuk memboikot dan menyekat sebarang usaha tersebut dengan tidak memberi ruang kepada media untuk melaporkan,"katanya
"Yang ada ialah penerangan daripada Zam yang sering memburuk-buruk kerajaan Kelantan," katanya yang turut menjelaskan bahawa tindakan tersebut membuktikan kerisauan dan kekhuatiran BN terhadap sokongan pelbagai lapisan masyarakat terhadap PAS selama ini.
Biarpun dengan pelbagai tekanan dan sekatan namun PAS sedaya upaya berusaha di sebalik kepayahan tersebut untuk membela nasib rakyat dan menangani isu-isu yang dibangkit dengan sebaiknya.
"Dan kita menjangkakan dan menduga 'serangan' lebih dahsyat akan dilakukan BN terhadap PAS tidak lama lagi dan PAS telah bersiap-sedia menghadapinya," katanya. - mks.

PRU-12 : Rasuah, kronisme dan diskriminasi akan tumbangkan Barisan Nasional

Nyza Ayob Tue Feb 27, 07 09:05:51 AM
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Hrkh) - Amalan rasuah, kronisme dan diskriminasi di kalangan pemimpin negara adalah antara faktor yang akan menyebabkan pengundi bukan Melayu tidak akan mengundi Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang, kata Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Haji Mahfuz Omar.
Beliau berkata demikian dalam sidang medianya yang diadakan di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar hari ini.
Beliau merujuk kepada keputusan kajian Merdeka Center tentang sikap orang-orang Cina terhadap pentadbiran awam negara telah menunjukkan satu perkembangan positif dalam pemikiran politik rakyat.
Dasar BN lemah
Kajian tersebut menunjukkan 60 peratus daripada lebih 1000 responden berbangsa Cina telah mengyatakan bahawa mereka akan mengundin pembangkang dalam pilihan raya akan datang kerana membantah kelemahan dasar kerajaan Barisan Nasional.
Walaupun penafian cuba dibuat oleh Presiden Dewan Perniagaan Cina, Dato' David Chua tetapi ternyata hasil kajian ini diakui oleh Pengarah Pusat Kajian Strategik dan Sosial, Dr Denilson Jayasuria.
Hasil kajian tersebut menunjukkan perubahan sikap orang Cina berpunca daripada protes mereka terhadap kegagalan kerajaan menangani isu orang Cina, di samping beberapa faktor lain sebagai pengagihan kekayaan yang tidak adil, ketidak cekapan pentadbiran awam dan peningkatan amalan rasuah.
Kesedaran ini menunjukkan bahawa rakyat mempunyai harga diri dan tahu hak-hak mereka. Perubahan yang positif ini turut menggambarkan bahawa rakyat akan menggunakan hak mereka dalam pilihan raya unutk membela kepentingan rakyat seluruhnya.
Umno gagal, Melayu biarkan
Justeru beliau mempersoalkan bagaimana sikap politik orang Melayu selepas 50 tahun kemerdekaan serta sikap selepas Umno gagal memenuhi hasrat ekuiti 30 peratus yang disasarkan oleh DEB, peningkatan jurang kekayaan antara kaum, termasuk sesama orang Melayu, serta isu pengusiran dari kediaman.
" Orang Melayu tidak sewajarnya membiarkan diri mereka dilabelkan sebagai bangsa yang tidak mempunyai harga diri dan tidak mengenal hak sendiri. Orang Melayu mesti berubah dengan perkembangan politik, ekonomi dan sosial yang berlaku hari ini supaya orang Melayu dilihat lebih matang, terbuka dan progresif dalam mencapai kemajuan hidup. Jadi orang Melayu seharusnya menyertai sikap orang Cina yang bersedia untuk berubah dan mempertahankan hak mereka,"katanya.
Petunjuk ekonomi PM disokong menantu
Sementara itu dalam sidang media yang sama, beliau turut menyentuh penegasan yang terpaksa yang dibuat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi tentang kebenaran angka-angka yang menjadi petunjuk ekonomi masa kini bagi meyakinkan rakyat tentang kesahihan pertumbuhan ekonomi negara.
Penegasan Abdullah mengenai angka-angka tersebut adalah 'genuine' menunjukkan kerajaan menyedari bahawa rakyat langsung tidak percaya kepada data-data ekonomi yang diumumkan MIER serta menggambarkan penipuan angka yang sepatutnya dinikmati rakyat.
Mahfuz juga melahirkan kesangsian kerana kenyataan Abdullah itu hanya disokong oleh Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yaakup dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin. Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak disokong oleh mana-mana pakar ekonomi terkenal serta penegasannya itu tidak disokong oleh menteri-menteri yang lain.
Menteri pun tidak sokong
"Tidak sepatutnya beliau sendiri mempertahankan kenyataannya. Sepatutnya ada menteri yang menyokong kenyataannya selain Nor Mohamed Yaakop. Tetapi kita lihat menteri-menteri berdiam diri apatah lagi pakar ekonomi untuk menyokong kenyataannya itu," katanya.
Tegasnya lagi, perkembangan ini jelas menunjukkan rakyat menyedari bahawa hakikat sebenar pertumbuhan ekonomi adalah ditunjukkan oleh peningkatan kuasa beli rakyat, pertambahan peluang kerja serta pengurangan pengangguran dan penurunan kadar inflasi. Apa yang berlaku hari ini katanya sama sekali bertentangan dengan petunjuk asas ini.
"Jadi, bagaimana kerajaan mendakwa ekonomi negara berkembang pesat. Kerajaan tidak boleh bergantung kepada kelompok kecil. Kesatuan Sekerja Kakitangan Kerajaan(Cuepacs) juga menuntut kenaikan gaji. Ini menunjukkan ekonomi negara kita memang bermasalah.
Ringgit tiada nilai
"Apa berlaku sebenarnya tidak menggambarkan keadaan sebenar ekonomi negara. Kekukuhan ringgit yang didakwa oleh kerajaan sebenarnya bukanlah satu peningkatan nilai, tetapi kelemahan yang dialami oleh dollar US yang menjadi sandaran ringgit. Ini terbukti apabila ringgit tidak mempunyai nilai yang kukuh berbanding pound, euro dan yen walaupun kelihatan semakin baik berbanding dollar, "katanya.
Mahfuz yang juga Pengerusi Institut Pengembelengan dan Perkembangan Komuniti (Impak) menegaskan dakwaan mengatakan berlakunya peningkatan pelaburan besar-besaran sehingga mencecah RM 40 billion juga tidak boleh dijadikan asas kerana daripada jumlah tersebut sebahagian besarnya melibatkan pelaburan domestik.
Tambahnya lagi, keadaan ini bermakna pelabur asing masih belum mempunyai keyakinan, sebaliknya pelaburan yang besar adalah pelaburan kerajaan melalui projek raksasanya. Sedangkan apa yang menjadi petunjuk ialah keyakinan pelabur asing yang melabur di negara ini.
Tegas Mahfuz lagi, dakwaan pertumbuhan mendadak ekonomi negara tidak disertakan dengan keupayaan kerajaan untuk memmberikan keselesaan kepada rakyat sebaliknya apa yang rakyat nikmati adalah kenaikan tol, kenaikan petrol, harga minyak, kadar inflasi serta penigkatan kadar jenayah.
"Inilah hakikat sebenar ekonomi Malaysia yang tidak membawa kebahagiaan kepada rakyat. Maka rakyat tidak boleh disalahkan jika mereka terus tidak mempercayai data-data yang dikemukakan untuk mengabui mata mereka," katanya./wann

Adun BN tidak sokong perlembagaan guna tulisan rumi

Maslan Yusoh Tue Feb 27, 07 09:40:12 AM
KOTA BHARU, 27 Feb (Hrkh) – Pembangkang di Dun Kelantan dianggap bersikap hipokrit apabila enggan memberi sokongan terhadap penggunaan tulisan rumi dalam perlembagaan negeri.
Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim berkata, dalam masa yang sama mereka mendakwa sebagai pejuang Melayu, namun dari tindak tanduk apabila menyentuh isu di Kelantan mereka bersikap di sebaliknya pula.
“Enakmen yang dibentang ini bukan bertujuan politik, sebaliknya bagi kepentingan awam untuk memudahkan orang ramai membuat rujukan. Lagi pun undang-undang sedia ada yang terakhir dicetak pada 1985.
“Tahun ini negara akan menyambut ulangtahun ke-50 kemerdekaan, namun sikap dipamerkan pembangkang tidak menggambarkan sebagai pejuang Melayu sebenar,” katanya di sini.
Hari ini pada persidangan Dun 21 wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) mengambil sikap berkecuali apabila pengundian dibuat terhadap Enakmen Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2007.
Enakmen itu dibentang Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin Hassan dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Hasssan Mohamood.
Ketika Speaker Dun, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menanyakan seorang demi seorang anggota Dewan, sama ada bersetuju atau tidak, Adun BN yang diketuai Dato’ Seri Annuar Musa bangun sambil memberitahu berkecuali dan tidak mengundi.
Berdasarkan catatan dibuat Setiausaha Dewan Negeri, Muhammed Imran Mansoor seramai 23 Adun menyokong, tiada menentang dan 21 berkecuali.
Pindaan tersebut dibuat bagi membolehkan perlembagaan negeri dicetak selepas percetakan milik kerajaan tidak wujud lagi setelah Percetakan Nasional dikorporatkan.
Pindaan itu perlu dibuat berdasar surat dari Pejabat Peguam Negara kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bertarikh 25 Mei 2005 bagi membolehkan pindaan dilakukan.
Ia juga selaras dengan Perkara 160 (A) Perlembagaan Persekutuan.
Manakala pindaan kedua berkaitan Perkara 66 mengenai teks Undang-Undang Negeri ditulis dalam bahasa kebangsaan iaitu bahasa rumi melengkapkan bahasa Inggeris dan tulisan jawi sebelum ini.
Ia juga selaras dengan Peruntukan 160 (B) perlembagaan persekutuan yang menyebut kalau ada percanggahan teks bahasa Inggeris dengan bahasa kebangsaan, maka teks bahasa kebangsaan mengatasi teks bahasa Inggeris.
Takiyuddin berkata, bagi meluluskan sesuatu pindaan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan ia perlu kepada majoriti dua pertiga.
“Di dalam Dewan Kelantan sekarang ada 45 Adun, dan kita hanya dapat 23 undi dan masih lagi kekurangan tujuh undi lagi bagi mendapatkan dua pertiga.
“Jadi enakmen itu tidak dapat diluluskan pada persidangan Dun hari ini kerana tidak mendapat sokongan majoriti,” katanya kepada pemberita selepas itu.
Bagaimanapun tambahnya, kesannya tidak banyak sangat iaitu kerajaan negeri tidak boleh mencetak perlembagaan negeri memandangkan sebelum ini peraturan menyebut pihak yang boleh mencetak perlembagaan hanya pencetak milik kerajaan sahaja.
“Selagi pindaan itu tidak dibuat selagi itulah kita tidak boleh mencetak semula perlembagaan negeri. Sampai bila-bila pun kita tidak boleh cetak semula selagi pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri tidak dibuat,” ujarnya.
Keduanya tujuan pindaan dibuat bagi membolehkan perlembagaan negeri dicetak dalam bahasa kebangsaan iaitu tulisan rumi. Sekarang perlembagaan Kelantan ditulis dalam tulisan jawi dan Inggeris.
Takiyuddin berkata, nampaknya pihak pembangkang tidak begitu prihatin biar pun pindaan itu dibuat atas arahan pejabat Peguam Negara.
“Selain itu kerajaan negeri juga telah mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan, di mana baginda bersetuju supaya pindaan dibuat,” tambahnya.
Beliau juga berkata, penafian majoriti dua pertiga seharusnya tidak melibatkan benda-benda yang tiada berkaitan dengan kepentingan awam.
“Dan kalau mereka menggunakan kelebihan majoriti dua pertiga bagi menggagalkan usaha kerajaan ia adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Kita hendak buat dalam bahasa Melayu yang boleh dibaca seluruh rakyat.
“Ini bermakna mereka merupakan pembangkang yang tidak konstruktif kerana membangkang dalam perkara-perkara yang sepatutnya tidak dibangkang. Kita akan beritahu rakyat terhadap apa yang sebenar berlaku,” katanya.
Beliau juga berkata, pindaan serupa sudah dibuat di negeri-negeri lain kecuali Kelantan.
“Bagaimanapun kali ini adalah kali kedua kita bawa enakmen ini. Pada kali pertama kita bawa tetapi gagal mendapat kerjasama pihak pembangkang.
“Sedangkan secara peribadi saya sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS telah berjumpa dengan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri dua minggu sebelum ini.
“Dan pagi tadi saya berjumpa pula dengan Ketua Pembangkang, selaku Ketua Perhubungan Umno sebagai satu langkah yang sopan kita minta kerjasama mereka. Tetapi apa yang berlaku seperti yang dilihat sendiri tadi,” tambahnya.
Ditanya mengenai kemungkinan akan dibawa kembali enakmen itu katanya, ia perlu mendapat perkenan daripada Sultan terlebih dahulu.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, orang kampung dapat menilai sendiri gelagat wakil-wakil rakyat pembangkang yang tidak mendokong kehendak negara.
“Mungkin sepuluh, dua puluh ringgit sahaja nilai yang ada pada Umno,” kata

Saturday, February 24, 2007

OSA tidak halang aktivis Protes edar risalah di Jalan Masjid India

Wan Nordin Wan Yaacob
Harakahdaily
Meskipun tangkapan demi tangkapan dibuat ke atas aktivis dan pimpinan Protes ketika demonstrasi anti kenaikan harga tol di sekitar Lembah Kelang, namun semangat 'melawan' terus dipamer aktivis dengan meneruskan pengedaran risalah kempen anti kenaikan harga tol di Jalan masjid India sebentar tadi.Tanpa kehadiran orang kuat Protes yang juga Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli yang dilaporkan mempunyai komitmen di Perak, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua bersama aktivsi MTUC, Khairul Anwar Zainuddin (Jonnah) tetap memimpin aktivis Protes mengedar risalah di sepanjang Jalan Masjid India.Cuaca gelap yang menyelubungi Bandaraya Kuala Lumpur tidak mematahkan semangat Tian dan beberapa aktivis yang lain antaranya, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohammad dan Haji Azemi Adnan serta beberapa wakil mahasiswa.Sambutan yang diterima oleh pengunjung di sekitar Jalan Masjid India juga menggalakkkan, meskipun pegawai cawangan khas (SB) tiba seawal sebelum Tian Chua tiba di perkarangan Masjid India.Kempen pengedaran risalah anti tol dimulakan pada jam 3.15 petang dengan Tian Chua memberi sedkit ucapan dan mengumumkan satu perhimpunan dan pengedaran risalah yang sama akan diadakan pada 18 Mac ini di The Summit, Subang Jaya pada jam 3.00 petang.Beban kepada warga kotaTian Chua dalam ucapannya menyatakan kenaikan harga tol di lima jajaran lebuh raya sekitar Lembah Kelang mendapat tentangan dari rakyat, malah kenaikan yang tidak rasional itu mendatangkan beban kepada warga kota terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.Beliau menyeru rakyat agar prihatin dengan kempen yang dijalankan Protes ini dan menuntut agar kerajaan segera mengarahkan pihak syarikat konsesi lebuh raya menurunkan kadar tol kepada yang asal.Baginya perjanjian yang dibuat dengan konsesi tol yang mengakibatkan kenaikan harga tol hari ini adalah satu pengkhianatan yang dibuat kerajaan terhadap rakyat.Bagaimanapun pengkhianatan itu dibuat dengan terancang dan dilindungi dengan akta rahsia rasmi (OSA), dan akibatnya beliau dan tiga lagi aktivsi Protes termasuk Dr Hatta, Bendahari KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan wakil DAP, Ronnie Liu dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan kerana mendedahkan perjanjian konsesi yang dianggap sebagai dokumen OSA.\OSA, Abdullah lebih teruk dari Tun MahathirTerdahulu sebelum ini Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Koruspi (Gerak) pernah menyelar penggunaan OSA dalam pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.Baginya penggunaan OSA di zaman pemerintahanAbdullah Ahmad Badawi dilihat lebih teruk berbanding pemimpin sebelumnya, Tun Dr Mahathir Mohamad."Ini terbukti kerana pada zaman Tun Mahathir, hanya beliau seorang sahaja yang di tahan OSA ketika itu.Tetapi hari ini empat orang aktivis bakal berhadapan dengan OSA ini.Pemerintahan Abdullah tidak ada beza denganTun malah lebih teruk lagi," kata Ezam semasa mengulas isu empat aktivis Protes yang dipanggil ke Bukit Aman bulan lalu untuk memberi kererangan berhubung isu pendedahan Konsesi Tol.Beliau berkata demikian di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ketika mengiringi empat aktivis Protes yang juga pemimpin pembangkang antaranya, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Bendahari KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan Ketua Penerangan DAP, Ronnie Liu.Menurut Ezam, beliau mengecam tindakan pihak kerajaan dan polis yang memanggil empat aktivis tersebut yang antara lain baginya adalah amalan yang menutup ruang demokrasi di negara ini.Yang dedah kena, yang khianat lepasLebih parah lagi katanya, empat aktivis tersebut sebenarnya mendedahkan perkara yang seharusnya tidak menjadi bahan rahsia terutamanya membabitkan kepentingan rakyat.Dalam masa yang sama katanya Abdullah cuba mempamerkan imej bersihnya melawan korupsi dan kronisme tetapi bertindak sebaliknya dengan menutup segala keburukan dan penyelewengan yang berlaku, katanya lagi."Malaysia sebenarnya mempunyai masalah besar dalam kebebasan maklumat, itu yang menyempitkan lagi amalan demokrasi di negara ini," katanya lagi.Sementara itu terdahulu Ketua Pemuda PAS telah melancarkan buku bertajuk "Freedom of Information in Malaysia" hasil tulisan Ezam dan seorang peguam muda, Fadha Nur Ahmad Kamar di hadapan Bukit Aman.OSA sempitkan ruang demokrasiPelancaran buku yang mengupas soal betapa sempitnya ruang kebebasan maklumat di Malaysia itu katanya sinonim dengan tindakan pihak berkuasa memanggil empat aktivis Protes ke Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan berhubung pendedahan Konsesi Tol.Salahuddin dalam ucapan pelancarannya menyokong penuh hasrata Ezam mengeluarkan buku tersebut untuk diagihkan kepada masyarakat umum dan antarabangsa.Baginya Ezam cukup layak untuk menulis buku tersebut memandangkan bekas Ketua AMK itu adalah orang yang pernah ditahan di bawah OSA ketika mendedahkan isu korupsi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Dato' Seri Rafidah Aziz dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik."Apa yang dialami dan ditulis Ezam ialah denyut nadi rakyat yang mahu kebebasan bersuara di negara ini.Tak ada masalah untuk semua rakyat yang berbilang agama untuk bersama-sama mendukung penulisan ini dan falsafahnya untuk menggerakkan keadilan dalam negara kita," katanya lagi.Sementara itu mengulas mengenai tindakan polis memanggil empat aktivis Protes itu ke Bukit Aman beliau menyatakan bahawa tindakan itu adalah bukti betapa kerajaan menyempitkan lagi ruang demokrasi."Yang ditahan dan disoal bukanlah yang bersalah tetapi orang yang mendedahkan kepincangan,Kita dah banyak buat laporan polis tetapi tidak disiasat, tetapi bilamana kita mendedahkan penyelewengan, kita pula yang akan dikenakan tindakan,"katanya lagi.

Arahan kabinet kaedah baca doa resahkan pelbagai pihak

Zaili Muhammad Fri Feb 23, 07 09:39:53 AM
MELAKA, 23 Feb (Hrkh) - Islam Hadhari yang dianuti oleh kepimpinan negara semakin jauh dan tersasar dari ajaran Islam sebenar bahkan seolah-olah sedang wujud satu percubaan untuk meliberalkan Islam atau dengan kata mudah menyesuaikan Islam ke dalam masyarakat berbilang agama di Malaysia ini.
Dalam perkembangan terbaru, kabinet baru-baru ini mengarahkan agar pembacaan doa di majlis-majlis rasmi yang turut dihadiri bukan Islam dilakukan dengan cara yang turut juga menghormati amalan agama mereka jelas amat dikesalkan dan menimbulkan kebimbangan ramai pihak mengenai status Islam sebagai agama rasmi negara.
Menurut Mudir Maahad Ar Rahmah Ayer Molek, Ustaz Kamaruddin Sidek, bahawa tidak timbul orang bukan Islam tersinggung dengan bacaan doa kerana Islam adalah agama rasmi Malaysia dan tiada satu kajian terperinci ataupun laporan rasmi yang menyebut ibu bapa bukan Islam tersinggung.
"Kabinet mesti berpendirian tegas untuk menjaga kesucian agama Islam, jangan mudah menuduh punca perpecahan kaum dari doa dan amalan ini merupakan satu tradisi yang lama di sekolah-sekolah.
"Kalau tidak boleh bahasa Arab kita boleh gunakan bahasa Melayu tapi jangan menghalang doa kerana itu hubungan kita dengan Allah," kata Ustaz Kamaruddin.
"Kabinet perlu merujuk institusi agama yang berwibawa untuk mendapatkan pandangan terlebih dulu sebelum mengeluarkan keputusan, apa guna Jakim, Ikim dan Majlis Fatwa Kebangsaan," tambah beliau lagi.
Sementara itu, seorang bapa, Khairul, 46, melahirkan rasa terkilan dengan arahan kabinet itu kerana selama ini dia begitu gembira melihat anaknya yang bersekolah rendah sudah boleh membaca doa ringkas seperti doa makan dan doa keluar masuk tandas seterusnya membentuk peribadi serta jati diri yang mulia.
"Dengan arahan terbaru kabinet ini akan melahirkan generasi umat Islam yang jahil dan lemah dari segi penguasaan agamanya sendiri," ujarnya lagi. - mks.

Wednesday, February 21, 2007

Jangan ada pihak pandang remeh isu murtad - Ustaz Hadi

Ekmal Yusof Thu Feb 22, 07 04:54:00 AM
TITI GANTUNG, 22 Feb (Hrkh) – Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Abdul Hadi Awang mengingatkan mana-mana pihak, khususnya pemimpin negara untuk tidak memandang remeh isu keruntuhan akidah di kalangan rakyat.
Menurut beliau gejala murtad bukannya perkara kecil, tetapi ia melibatkan maruah umat Islam, kerana itu ia merupakan persoalan pokok bukannya masalah remeh temeh.
“Jangan ada orang yang memandang remeh persoalan murtad kerana perkara ini bukannya boleh `dimain-mainkan”, ujar beliau.
Menurut beliau, gejala murtad mesti dibanteras dengan pengutkuasaan undang-undang dengan membentuk undang-undang murtad kerana Islam perlu dijaga dan dilindunngi agar penganutnya tidak sesuka hati bertindak menukar agama.
“Masuk Islam bukan macam masuk rumah, boleh keluar masuk, kerana itu Islam meletakkan hukuman pancung kepada mereka yang murtad kerana mereka telah mempermainkan Islam,” jelas beliau.
Ustaz Hadi Awang, berkata demikian ketika berucap melancarkan Bulan Penerangan Peringkat negeri Perak di Markaz PAS Kawaasan Parit baru-baru ini.
Menurut beliau, gejala murtad yang melanda negara ini bukanlah perkara baru, malah ianya sudah lama berlaku tanpa ada tindakan daripada pihak berwajib menerusi satu peraturan untuk mencegah ianya berlaku.
“Satu ketika dahulu kita dikejutkan dengan berita anak seorang imam dari Johor, Aishah Bukhari memeluk agama Kristian, begitu juga dengan seorang gadis dari Kampar, Hartina Kamaruddin turut dimurtadkan, tetapi undang-undang murtad tidak juga dibentuk bagi menghalang kejadian sempama itu”.
Tegasnya Undang-undang murtad, bukan bermakna Islam menghalang kebebasan beragama, tetapi ia bertujuan untuk menjaga agama, kerana seseorang itu tidak boleh dipaksa memeluk mana-mana agama tetapi apabila mereka memeluk agama Islam, mereka ditegah keluar agama Islam.
Sehubungan itu beliau meminta kerajaan menggubal undang-undang murtad secepat mungkin bagi menghalang merebaknya gejala murtad di negara ini. -jj/ mr

Tuesday, February 20, 2007

Mursyidul Am ajak rakyat Melaka hayati Islam sepenuhnya

Zaili Muhammad Wed Feb 21, 07 04:42:41 AM
MELAKA, 21 Feb (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat rakyat negeri ini kembali kepada Islam sepenuhnya dan menolak fahaman nasionalis, komunis dan sosialis yang cenderung kepada sekularisme.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengingatkan umat Islam di negeri Hang Tuah itu bahawa, hanya dengan mengamalkan Islam sepenuhnya sebagai 'way of life' masa depan umat Islam akan terjamin.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran bangunan Kompleks PAS Kawasan Jasin (KOMPAJ) bertempat di Dataran HAMAS dekat sini, 18 Februari yang lalu.
Pada majlis yang turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, pimpinan PAS negeri dan kawasan, Tuan Guru Nik Aziz menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di negeri tersebut,bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan.
"Nabi Muhammad s.a.w adalah contoh tauladan terbaik dan Nabi akhir zaman yang dihalau dari kota Mekah oleh kaumnya kerana bercakap benar, mengajak kaumnya meninggalkan amalan jahiliah dan mengabdikan diri kepada Allah.
"Begitulah PAS yang mengingatkan dan mengajak agar kembali kepada Islam tetapi mendapat tentangan hebat dari Umno, pertentangan ini akan berterusan sehingga ke akhir zaman," katanya.
Menurut Menteri Besar Kelantan itu, perkara pertama dilakukan ketika mula memerintah ialah mengeluarkan semua wang kerajaan negeri dari bank yang mengamalkan 'riba' dan akhirnya mereka terpaksa membuka kaunter perbankan Islam.
Sementara itu dalam majlis yang sama, Ustaz Abdul Ghani menempelak pemimpin Umno yang bercakap mengenai projek yang 'dialibabakan', pada hal merekalah sebenarnya pengkhianat yang merompak hak rakyat.
"Demi pembangunan orang Melayu terpinggir, peniaga dihalau serta hak mereka dinafikan contohnya kedai Mara di tebing sungai Melaka telah dirobohkan dan dijadikan tempat meletak kereta, ini menyebabkan para peniaga Melayu itu merempat mencari tempat perniagaan yang baru," katanya.
Bagi kepimpinan PAS Kawasan Jasin pula, mereka amat bersyukur walaupun hujan renyai-renyai dan kadangkala lebat, tetapi orang ramai yang membanjiri dataran tidak berganjak demi untuk menjayakan majlis perasmian bangunan yang bakal menjadi mercu tanda kesinambungan PAS di negeri Melaka.
Pembangunan KOMPAJ diilhamkan seiring dengan tuntutan dan cabaran dakwah dan politik masakini dengan hasrat pimpinan pusat agar organisasi PAS mempertingkatkan mutu keupayaan khususnya dari aspek prasarana.
Sebelum ini Markaz PAS kawasan hanya mempunyai sebuah bangunan mengandungi pejabat, surau dan bilik mesyuarat yang tidak dapat menampung lagi keperluan PAS kawasan yang semakin berkembang pesat.
Menurut Setiausaha PAS Kawasan Jasin, Abdul Karim Kassim, KOMPAJ yang bakal dibina akan menempatkan satu dewan serbaguna, surau, pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat dan dijangka dapat melancarkan lagi pelbagai aktiviti dalaman parti seperti seminar,kursus serta sukan.
Sehubungan dengan itu Abdul Karim menyatakan kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai Skim Lot Wakaf KOMPAJ yang bernilai RM 10 sekaki persegi bolehlah menghubungi Bendahari PAS Kawasan Jasin, Suhaimi Harun di talian 013-6208858. - mr

Kalau PM berani, tetapkan tarikh pilihan raya

Mohd Sabri Said Wed Feb 21, 07 03:32:45 AM
PULAU PINANG, 21 Februari (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Awang mencabar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menetapkan tarikh pilihan raya umum ke 12 sebagaimana yang diamalkan di negara maju.
Berucap sempena 'Bulan Penerangan' peringkat Negeri Pulau Pinang Ahad lepas berkata, cara lama yang diamalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan cara kuno yang tidak sepatutnya diamalkan oleh sebuah negara yang sedang rancak membangun.
"Perdana Menteri kena tetap tarikh pilihanraya umum kepada semua rakyat agar mereka merasai kebebasan yang telus bukan merahsiakan seperti kaedah kuno, " jelasnya.
Tegas beliau, lagipun Perdana Menteri berjanji mahu mengubah persepsi rakyat bahawa cara pemerintahannya berlainan dengan pendekatan yang dilakukan oleh pemimpin sebelumnya.
Menurut beliau, beberapa pendekatan baru seperti memperkasakan beberapa institusi dalam negara, seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kononnya kelihatan telus sehingga melakukan beberapa tangkapan orang kenamaan, tetapi ia masih di tahap rendah dan perlu di pertingkatkan.
"Isu Eric Chia dan Kasitah Gadam boleh diterima sebagai pendekatan telus kerajaan tangani rasuah tetapi masih tidak memadai dan perlu ada penerusan usaha ekoran banyak lagi nama-nama hitam yang tidak ditahan, " ujarnya.
Ustaz Ahmad berkata, isu Permit Impot (AP), rumah mewah Zakaria Deros, pembalakan haram, skandal pemimpin tertinggi atau yang melibatkan wang PPRT dan sebagainya harus ditangani segera agar nama negara dibersihkan dari indek rasuah.
Katanya, jalan terbaik ialah PM mesti memberikan tarikh pilihanraya untuk membuktikan beliau bersungguh mahu melakukan perubahan.
"Sudahlah Malaysia jatuh dari tangga ke 29 ke 34 indek rasuah, sikap kepimpinan yang mengabaikan tanggungjawab rakyat dengan mementingkan kroni juga harus dihukum, " katanya.
Sebelum itu, Ketua Penerangan PAS tersebut bersama Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat, Misbahul Munir, Ketua Penerangan PAS Negeri, Omar Hasan dan Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Negeri, Zahar Zainul mengadakan lawatan ke beberapa lokasi seperti di Balik Pulau, Jelutong dan Nibung Tebal.
Beliau menyaksi sendiri bagaimana pembangunan yang tidak seimbang sepertimana yang dimaksudkan oleh mantan Perdana Menteri lalu ketika mengadakan lawatan ke Tanjung To Kong dan Balik Pulau.
Manakala di Jelutong beliau dibawa melawat beberapa lokasi pembinaan rumah berharga tinggi yang tidak mampu dimiliki oleh golongan bumiputra.
Di Nibung Tebal pula beliau mengadakan dialog dengan kepimpinan dan masyarakat sekitar tentang pendekatan parti melalui bulan penerangan serta mengenal pasti masalah rakyat yang telah lama menyokong kepimpinan Barisan Nasional (BN). - mr

Sunday, February 18, 2007

Nik Aziz yakin pilihan raya tahun ini

KOTA BAHARU 18 Feb. – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin pilihan raya umum akan diadakan tahun ini.
“Sekarang pilihan raya makin dekat sama ada tahun ini atau tahun depan tapi saya tak nampak (ia akan diadakan) tahun depan, katanya ketika diminta mengulas kenyataan seorang pakar ekonomi yang yakin sekarang masa sesuai untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.
Mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Institut Penyeldidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof Emeritus Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem, beliau berkata, jika ekonomi kukuh mengapa orang kampung merungut kerana barangan semakin mahal.
“Mereka yang duduk di menara gading yang mendapat gaji dan elaun besar sahaja yang mengatakan kedudukan ekonomi kukuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sukan Wanita Malaysia di sini malam tadi.
Katanya Pas sudah bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa sama seperti Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
– Bernama

Friday, February 16, 2007

PAS dekati kaum India melalui Kelab Penyokong PAS Kaum India

Nyza Ayob Fri Feb 16, 07 09:47:35 AM
KUALA LUMPUR, 16 Feb (Hrkh) - "Dato' Seri Samy Vellu mungkin membina satu jambatan di Pulau Pinang untuk mengkayakan pemimpin BN. Masyarakat India dalam Kelab Penyokong PAS pula membina 'jambatan untuk ke bulan' yang akan membawa perpaduan antara kaum. Kita berterima kasih kepada PAS kerana memberi peluang ini."
Itulah antara kata-kata penuh semangat yang diluahkan oleh pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India, N. Gobalakrishnan di hadapan kira-kira 600 orang penyokong PAS serta ahli Kelab Penyokong PAS di Dewan Fadzil Noor, Taman Melewar sempena pelancaran penubuhan kelab Penyokong PAS Kaum India, malam tadi.
Jelas Gobalakrishnan, masyarakat India sudah lama ingin bersama dengan PAS dan merasakan sekarang masa yang terbaik dan PAS telah menjadi parti untuk mereka berteduh.
Beliau berharap apa jua bentuk penindasan yang mereka alamai dapat disuarakan melalui kelab ini. Kelab ini juga katanya berfungsi untuk menyedarkan rakyat Malaysia supaya jangan memandang PAS daripada sudut agama sahaja tetapi hendaklah dilihat daripada sudut ekonomi, sosial dan cara hidup.
"Perpaduan dengan ahli parti PAS penting kerana kita tahu parti PAS sejak ditubuhkan 50 tahun dahulu hingga sekarang bergerak lancar tanpa sebarang penindasan terhadap bangsa lain di negara kita walaupun berlaku peristiwa 13 Mei," katanya.
Kelab Penyokong PAS Kaum India dilancarkan oleh Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu. Pada majlis itu juga kira-kira 30 orang kaum India dari Perak, Kelantan, dan Batu Caves, Selangor hadir dalam majlis penuh makna itu. Tidak ketinggalan meraikan majlis tersebut, ahli Kelab Penyokong PAS Kaum Cina serta bekas calon bebas dalam pilihan raya kecil Batu Talam, Ng Chee Pang.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Ustaz Mujahid Yusoff dalam sidang media berkata penyertaan kaum India dalam Kelab Penyokong PAS merupakan mercu tanda baru bagi PAS untuk memecahkan tembok perkauman yang selama ini menjadi alasan bagi Barisan Nasional untuk terus memerintah negara ini dengan memecah belah kaum yang ada. - mns

Emas Dinar: Najib sokong usaha Kelantan

Maslan Yusoh Fri Feb 16, 07 01:36:31 PM
KOTA BHARU, 16 Feb (Hrkh) – Biar pun agak ketinggalan bagi menyokong penggunaan emas dalam urus niaga, namun kenyataan Dato’ Seri Najib Razak semalam bertepatan dengan usaha dilakukan kerajaan Kelantan.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kita merakam ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana baru sedar terhadap kepentingan penggunaan emas.
“Terima kasih diucap kepada Timbalan Perdana Menteri kerana sedar kepentingan untuk kembali menggunakan nilai emas dalam urus niaga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan Najib berkata, urus niaga syariah yang membolehkan emas digunakan sistem kewangan dapat mencegah susut nilai dan nilai mata wang.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, penggunaan dinar emas dan dirham perak boleh menjadi pendekatan alternatif untuk merancang pengurusan kekayaan.
Tahun lepas Kelantan melancarkan Emas Dinar Kelantan bagi kegunaan sebagai mas kahwin, bayaran zakat, hadiah dan simpanan nilai. Sejak dilancarkan ia mendapat sambutan menggalakkan termasuk daripada bukan Islam.
Emas Dinar tersebut diedar melalui rangkaian kedai Ar Rahn yang terdapat di seluruh jajahan. Emas Dinar Kelantan dibuat dalam tiga bentuk iaitu 1.06 gram, 2.12 gram dan 4.25 gram.
Cadangan menggunakan mata wang emas dinar dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) beberapa tahun lalu.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, wang kertas sebenarnya tidak ada nilai kerana ia tidak dibuat daripada emas dan mudah terdedah kepada spekulasi.
“Wang kertas sekarang adalah daripada kertas buruk yang ditulis nilainya sehingga ia digelar sebagai wang,” ujarnya.
Timbalan Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nasuruddin Daud berkata, kerajaan Pusat ketinggalan kerana baru hendak mengiktiraf penggunaan emas dinar dalam urus niaga.
Menurutnya banyak perkara yang telah berjaya dilaksanakan di Kelantan ditiru secara senyap-senyap kerajaan Pusat.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Haji Zakaria Yaakub pula menegaskan sepatutnya semua pihak menyokong gagasan yang dikemukakan Dr Mahathir sebelum ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan menolak penggunaan dinar emas dalam urus niaga di negara ini.

Thursday, February 15, 2007

Muslimat PAS gesa tabung khas bantu ibu tunggal disegerakan

Azamin Amin Thu Feb 15, 07 07:11:27 AM
KUALA LUMPUR, 15 Feb (Hrkh) - Muslimat PAS menyokong penuh cadangan mewujudkan tabung khas bagi meringankan beban kewangan isteri dan anak yang terbabit dalam kes penceraian atau kematian suami bagi membantu membiayai kos sara hidup mereka.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Azizah Khatib Mat mahu pengujudan tabung tersebut disegerakan bagi membantu memulihkan kehidupan isteri ataupun ibu tunggal mengalami kesulitan akibat daripada kedua-dua musibah yang tidak diingini tersebut.
"Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mesti ambil perhatian serius cadangan ini supaya dilihat mampu melindungi wanita terutama golongan yang berada dalam keadaan lemah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Isteri ataupun ibu tunggal yang bercerai mahupun kematian suami lazimnya akan menghadapi masalah kewangan khususnya yang tidak berkerja dan hilang tempat bergantung malah ada yang terpaksa meraih simpati dan mengadu nasib kepada orang ramai demi untuk meneruskan kehidupan mereka dan anak-anak, katanya.
Elak terjerumus perbuatan maksiat
"Setelah bercerai hidup atau mati, sekurang-kurangnya belanja yang diperlukan RM1,000 lebih bagi wanita yang tidak berkerja," katanya.
Bagaimanapun kata beliau, tertakluk kepada kajian kerajaan mengikut spesifikasi latar belakang kemampuan wanita terbabit.
"Lagipun barangan keperluan semuanya naik, kerajaan mesti memberi dana atau wang yang setimpal, tidak cukup sekadar ratusan sahaja.
"Namun jika cadangan ini diterima, kerajaan mesti adil dan tidak pilih kasih dalam soal pembahagian tidak kira apa jua latar belakang wanita itu," katanya lagi.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar cadangan daripada Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Dato' Sheikh Ghazali Abdul Rahman supaya kerajaan menubuhkankan tabung khasuntuk membela dua golongan yang dimaksudkan.
Ghazali dipetik sebagai berkata, dana untuk tabung berkenaan boleh diperolehi menerusi pelbagai sumber antaranya geran kerajaan, wang zakat, sektor korporat dan umat islam yang berkemampuan.
Mengulas lebih lanjut, Ustazah Azizah berharap dengan kewujudkan tabung tersebut,wanita terbabit akan dapat memulakan kehidupan mereka dengan membeli barangan keperluan asas, berniaga dan berkerja.
Langkah itu juga katanya, boleh menghalang mereka daripada terjerumus melakukan perkara-perkara maksiat untuk mendapatkan sumber pendapatan seperti mengedar dadah, menjadi GRO dan melacur.
"Kita tidak mahu mereka menggunakan kaedah darurat dalam mencari rezeki seperti yang pernah dilontarkan oleh Mashitah dahulu," katanya merujuk topik 'melacur dalam keadaan darurat' yang pernah hangat diperbincangankan berikutan respon Ahli Parlimen Baling, Dato' Dr Mashitah Ibrahim berhubung isu tersebut.
"Bagaimana susah sekalipun, wanita jangan sampai membelakangi agama walaupun untuk meneruskan kehidupan harian," katanya.
Ketua Muslimat PAS itu juga berkata adalah tugas pihaknya untuk memperjuangkan nasib kaum wanita dan akan terus mendesak kerajaan segera membantu kaum wanita, khususnya mereka yang dilanda musibah. - mr

Perubahan sokongan kaum Cina, gugat BN dalam pilihan raya umum

Salmiyah Harun Fri Feb 16, 07 02:39:31 AM
KUALA LUMPUR, 16 Feb (Hrkh) - Barisan Nasional (BN) dijangka menghadapi cabaran besar apabila kecenderungan kaum bukan Melayu khususnya Cina jelas semakin cenderung menyokong pembangkang kata penganalisis politik, James Wong Wing On.
Beliau berkata, parti pembangkang yang dijangka mendapat sokongan besar di kalangan orang Cina adalah DAP dan parti Keadilan Rakyat.
Kecenderungan ini juga berpunca daripada sikap 'biadap' pemimpinan Umno semasa perhimpuann agung mereka yang menghunuskan keris, kononnya mahu mempertahankan ketuanan Melayu sebaliknya menghiris perasaan kaum lain.
James Wong yang dihubungi Harakahdaily berkata, keadaan ekonomi yang tidak stabil juga salah satu sebab orang Cina beralih menyokong pembangkang.
Katanya, bagi orang Cina mereka sangat menitikberatkan soal ekonomi memandangkan mereka menetap di bandar dan menjalankan aktiviti perniagaan serta makan gaji.
"Majoriti orang Cina tinggal di bandar dan ini tidak sama dengan orang Melayu yang ada tanah di kampung, kalau tidak ada perniagaan di bandar mereka boleh balik kampung," katanya.
Beliau juga berkata, orang Cina mahukan pembangkang yang kuat dari segi terutama 'check and balance' serta boleh membongkarkan segala skandal-skandal yang berlaku.
James Wong juga berpendapat, pengundi Cina akan terdorong dengan dua parti pembangkang yang dominan di negara ini sama ada DAP ataupun Keadilan.
Ditanya apakah PAS bukan pilihan kaum Cina, James berkata, PAS secara tradisinya tidak bertanding di kawasan majoritinya kaum Cina malahan PAS banyak memberi laluan kepada DAP ataupun Keadilan kerana lebih menumpukan kawasan majoriti Melayu.
Bagaimanapun, katanya kaum Cina juga tidak mustahil akan menyokong Keadilan yang kini memiliki ahli yang pelbagai bangsa.
"Kalau PAS mungkin tidak, sebab aktiviti yang dibuat dalam parti itu terhad kepada majoritinya orang Melayu, kalau ada kaum Cina pun lebih kurang lima peratus sahaja,"jelas beliau.
Beliau juga berterus-terang menjelaskan tidak ramai pengundi Cina yang menyokong PAS tetapi mereka boleh terima PAS menjadi pembangkang yang kuat tetapi belum ke tahap menjadi sebuah kerajaan yang memerintah.
"Jika PAS meminta undi dari kaum Cina untuk menjadikannya sebuah parti pembangkang yang kuat, saya rasa tidak menjadi masalah kepada orang Cina," jelasnya.
Baru-baru ini Malaysiakini.com melaporkan, dua dari setiap tiga orang pemilih kaum Cina dijangka mengundi parti pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang, menurut hasil tinjauan pendapat yang dijalankan oleh firma penyelidikan, Merdeka Centre.
Enam puluh peratus responden kaum Cina yang menyertai tinjauan tersebut – yang dijalankan antara bukan Oktober dan Disember tahun lalu – berkata sudah tiba masanya untuk mengundi pembangkang supaya suara mereka didengar.
Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, beberapa tinjauan lagi perlu dilakukan bagi mengesahkan sama ada pengundi Cina benar-benar akan menyokong pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang.
Bagaimanapun, katanya, pada masa ini, nampaknya besar kemungkinan mereka akan demikian sebagai tanda protes mereka dalam pilihanraya akan datang.
Beliau bagaimanapun berpandangan, parti-parti politik kaum Cina dalam BN mampu menangani sentimen negatif ini sebelum pilihanraya umum akan datang diadakan.
“Banyak langkah yang boleh diambil untuk menangani keadaan ini, seperti dalam sektor pendidikan. Harga minyak dunia yang rendah mungkin mendorong kerajaan untuk menurunkan harga minyak – satu langkah yang boleh memberi kesan besar terhadap para pengundi,” katanya. - mr

Tuesday, February 13, 2007

Birokrasi, rasuah berpunca dari sistem tidak telus - Dr Syed Azman

Ali Bukhari Amir Wed Feb 14, 07 12:18:48 AM
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Hrkh) – Karenah birokrasi yang wujud dalam jabatan pentadbiran seperti yang digembar-gemburkan baru-baru ini ada kaitannya dengan sikap melebihkan dan mendahulukan keperluan golongan VIP berbanding kepentingan umum.
"Apabila wujudnya birokrasi, gejala paling besar wujud sesudah itu ialah gejala rasuah. Rasuah akibat birokrasi wujud apabila tiada sistem yang telus. Ini kerana, ada sikap yang mengutamakan pihak tertentu dan tidak memberikan kebaikan ke atas orang awam.
"Iaitu, keutamaan itu hanya kepada VIP dan VVIP dalam urusan pentadbiran kerajaan," demikian kata Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman dalam temuramah melalui rancangan Hujah di TV9 yang membicarakan isu menangani karenah birokrasi semalam.
Menurut beliau, gejala ini sudah merebak menjadi satu budaya sehingga segala urusan tidak dapat disegerakan tanpa wang yang disifatkan beliau sebagai 'minyak pelincir'.
"Hal birokrasi ini berlaku sejak lama dahulu. Tetapi, tiada sebarang penyelesaian konkrit sehinggakan masalah rasuah dalam negara kita makin meningkat berdasarkan kajian-kajian antarabangsa," tambah beliau.
Dr Syed Azman berkata, hal karenah birokrasi juga wujud dalam menangani masalah banjir di Johor baru-baru ini.
"Daripada apa yang kami perhatian, penduduk banjir sendiri merungut kerana mereka terpaksa mengisi pelbagai borang semata-mata untuk mendapatkan bantuan segera. Mereka terpaksa ke rumah JKKK dan Adun untuk mendapatkan mereka. Hal ini tentunya menyulitkan," tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Malaysian Employee Foundation (MEF), Haji Shamsudin Bardan dalam program yang sama turut mempersoalkan, kenapakah masalah birokrasi dapat dikurangkan di sesetengah jabatan tertentu sahaja?
"Di Jabatan Imigresen sekarang, pasport boleh disiapkan dalam sehari sahaja berbanding dahulu. Dulu, kita terpaksa membawa pelbagai dokumen dan mesti bawa sijil kelahiran. Sekarang makin mudah. Soalnya, kenapa hal ini tidak boleh dilaksanakan ke atas jabatan-jabatan kerajaan yang lain?" soal Haji Shamsudin.
Dalam pada itu, menurut Dr Syed Azman, karenah birokrasi mungkin berpunca daripada etika kerja yang tidak teratur.
“Kesan birokrasi turut menjalar di universiti-universiti. Rakan-rakan saya dalam kalangan pensyarah merungut bahawa mereka amat sukar mendapatkan kelulusan bagi menghadiri seminar antarabangsa di luar negeri.
“Misalnya, mereka perlu memberikan jawapan untuk hadir seminar antarabangsa tersebut dalam tempoh dua minggu. Tapi, mereka perlu menunggu kelulusan itu sehingga sebulan. Malah mereka perlu dapatkan kelulusan hinggalah kepada Menteri Pengajian Tinggi," Dr Syed Azman.

Sikap media tidak sensitif akidah umat Islam dikesali

Johari Jaafar Wed Feb 14, 07 03:19:41 AM
IPOH, 14 Feb (Hrkh) - Naib Dewan Pemuda PAS Perak, Radhi Zainon kesal dengan sikap dan tindakan stesen televisyen yang mempromosikan `Valentine Day' (Hari Kekasih) dengan menyiarkan rancangan-rancangan yang bertemakan romantis dan percintaan pasangan kekasih.
Apa yang dilakukan oleh stesen televisyen tersebut dikhuatiri akan menyemarakkan lagi sambutan `Hari Kekasih' di kalangan rakyat negara ini khususnya di kalangan remaja dan belia Islam.
"Pendakwah-pendakwah termasuk juga Mufti telah menjelaskan bahawa sambutan tersebut bercanggah dengan Islam, mengapa stesen TV tersebut mengadakan promosi ke arah menggalakkan orqng ramai termasuk masyarakat Islam melakukan perkara yang haram?," soal beliau.
Media elektronik khususnya televisyen telah banyak menyiarkan rancangan -rancangan hiburan yang tidak memberikan manfaat dan membina minda penonton dan ini ditambah lagi dengan tindakan mempromosikan sambutan hari kekasih, tambah beliau.
"Apalah gunakan membuat promosi serupa itu kerana ianya akan mendatangkan gejala yang merosakkan aqidah umat Islam," tegasnya lagi.
Menurutnya, sepatutnya pihak media masa elektronik memahami apa yang perkara yang menjadi sensitif kepada iman dan aqidah umat Islam serta menghurmati seruan pendakwah-pendakwah.
"Golongan alim ulama telah menjalankan tugas mereka untuk menerangkan perkara-perkara yang merosakkan iman dan Islam, tetapi dalam masa yang sama pihak lain menghancurkannya dengan mempromosikan sambutan yang tidak langsung kena mengena dengan Islam," ulas beliau.
Sepatutnya semua pihak terutama media elektronik perlu memainkan peranan ke arah menjaga kesucian Islam, bukannya bertindak menggalakkan umat Islam melakukan perbuatan yang haram dan boleh merosakkan aqidah, terang beliau lagi.
Apa yang berlaku sekarang ini jelas menunjukkan betapa berjayanya pihak Barat termasuk orentalis mengenengahkan budaya Barat yang bertentangan dengan Islam, dalam masa yang sama menenggelam hari-hari kebesaran Islam, katanya.
"Remaja-remaja Islam sekarang ini kurang mengetahui hari-hari kebesaran Islam, sebaliknya mereka lebih menyanjung `hari kekasih' , malah mereka beranggapan sambutan itu tidak menjejaskan soal akidah," tambah beliau lagi.
Gejala sosial dan hiburan yang melampau sudah cukup merosokkan imej dan peribadi umat Islam menyebabkan budaya hidup Islam telah ditenggelamklan oleh budaya Barat menerusi pemaparan rancangan-rancangan hiburan yang melalaikan dan merosakkan umat Islam.
Pihak media elektronik khusuisnya stesen televisyen tertentu bertanggungjawab apa yang berlaku, sewajarnya kempen atau promosi seumpama itu dihentikan segera dan rancangan-rancangan yang menjurus ke arah mengiklankan `hari kekasih' itu di berhentikan serta merta, katanya lagi. - mks.

Mangsa banjir kesal ditipu, dinafi bantuan

Salman Hussin Wed Feb 14, 07 03:07:39
SEGAMAT, 14 Feb (Hrkh) – “Tak puas hati, memang kami tak puas hati, rumah saya roboh kenapa tak dapat bantuan, ada orang yang langsung tidak terlibat dengan banjir tetapi dapat bantuan, ini tak adil,” demikian luahan seorang mangsa banjir di Labis, dekat sini, Othman Pardi, yang kecewa dengan penipuan serta ketidakadilan pihak-pihak tertentu terhadap mangsa banjir di sini.
“Pada malam itu saya bersama lebih 50 yang lain telah pergi ke Balai Raya Kampung Sungai Gatom Labis, untuk mengambil bantuan yang dijanjikan, tetapi bila sampai di sana kami dapati balai raya gelap gelita, setelah menunggu sehingga jam 9.00 malam kami semua pulang dengan penuh kekecewaan dan marah sebab ditipu,”katanya.
Othman yang ditemui di rumahnya dekat sini baru-baru ini memberitahu, “sebelum itu kami ada menerima surat jemputan untuk hadir ke majlis penyerahan barang-barang bantuan untuk mangsa-mangsa banjir Kampung Sungai Gatom Labis, yang akan diadakan pada 28 Januari 2007 jam 8.00 malam di balai raya Kampung Sungai Gatom Labis."
Menurutnya, surat jemputan ini diterima daripada Badan Permuafakatan Melayu Labis (BPML), Yayasan Kasih Sayang Malaysia (YKSM) dan juga Gabungan Pengusaha Makanan Bumiputra Malaysia Cawangan Kelantan (GPMBM).
Selain itu menurut Othman lagi, namanya dipotong dari senarai mangsa banjir sebab itu tidak mendapat bantuan wang ihsan sebanyak RM200 dan RM500 yang sepatutnya dapat, sedangkan semasa banjir pertama dan kedua beliau berpindah ke pusat penempatan mangsa banjir.
"Semasa banjir pertama saya berpindah ke Dewan Kampung Sungai Gatom dan pada banjir kedua saya berpindah pula ke Sekolah Agama Labis tetapi kenapa nama saya tidak disenaraikan sebagai mangsa banjir, ini yang menimbulkan persoalan sedangkan ada orang tertentu yang langsung tidak terlibat dengan banjir tetapi mendapat bantuan," katanya lagi.
Seorang lagi mangsa banjir yang turut dinafikan hak mendapat bantuan, Arbaenah Sedek, seorang ibu tunggal, turut kecewa kerana tidak mendapat sebarang bantuan walau pun rumahnya ditenggelami air sedalam paras dada.
Beliau yang kematian suami kira-kira dua bulan lalu ini tidak bekerja dan bergantung hidup kepada ihsan seorang daripada empat anak tirinya yang sudah bekerja, beliau sendiri mempunyai dua anak yang masih kecil.
Beliau yang ditemui baru-baru ini melahirkan rasa kesal di atas sikap tidak adil pihak tertentu dalam pembahagian bantuan kepada mangsa, “pembahagian dibuat secara tidak adil, ada yang dapat dan ada yang tak dapat, hanya sebahagian kecil mangsa banjir yang mendapat bantuan ini.
“Saya sendiri pun sehingga hari ini langsung tidak mendapat sebarang bantuan, termasuklah bantuan wang ihsan dan juga bantuan wang untuk anak saya yang masih bersekolah, katanya dengan linangan air mata penuh kesedihan,"jelasnya.

Monday, February 12, 2007

Nik Aziz kecewa Pusat abai projek universiti

Oleh V. P. SUJATA
PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan belum memohon untuk mendapatkan tanah seluas 80.9 hektar di Bachok bagi membangunkan Universiti Malaysia Kelantan, kata Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Beliau berkata berita tentang hasrat kerajaan pusat memiliki tanah seluas itu hanya diketahuinya melalui laporan akhbar.
Nik Aziz berkata kerajaan negeri bersedia menyediakan tanah untuk projek universiti itu tetapi was-was sama ada Kerajaan Persekutuan benar-benar serius membangunkan tanah di atas tapak tersebut.
"Kita boleh beri tanah tetapi sudah jemu kerana tanah awal seluas 200 hektar di Bachok yang diberikan sejak 40 tahun lepas zaman (pentadbiran bekas Menteri Besar) Datuk Asri Muda untuk dibangunkan sebuah universiti tidak dimanfaatkan," katanya kepada pemberita selepas melawat Kolej Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing di Cyberjaya hari ini.
"Kita tiada bantahan tentang tanah itu, tetapi jangan minta sahaja kemudian biarkan ia kosong sehingga ditumbuhi rumput panjang. Tanah itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan-tujuan lain."
Difahamkan tanah seluas 200 hektar yang dianugerahkan sejak lama dulu gagal dibangunkan kerana terlalu sempit dan mendorong Kementerian Pendidikan Tinggi memohon tambahan 80.9 hektar.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapa Mohamed berkata menyiapkan universiti tersebut menjadi projek berkeutamaan tinggi di Kelantan bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.
Mengulas lawatannya di kolej universiti swasta itu, Nik Aziz berkata kerajaan negeri telah menandatangani perjanjian persefahaman dengannya untuk menyediakan kepakaran dalam beberapa bidang, termasuk reka bentuk, penjenamaan, metodologi inovasi dan pemasaran industri kampung.
Nik Aziz mengundang universiti itu membuka cawangan di Kelantan bagi mendidik pelajar tempatan dengan latihan amali dalam promosi dan pemasaran produk seperti buah-buahan tempatan.
"Jika mereka tahu bagaimana membuat serbuk durian, mereka boleh hantar sampel ke luar negara melalui orang yang pergi haji, misalnya," katanya, sambil menambah produk inovatif seumpama itu bukan sahaja mempromosikan Malaysia tetapi juga Kelantan.

Ezam dilantik penasihat antarabangsa

Wan Nordin Wan Yaacob Tue Feb 13, 07 01:57:42 AM
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Hrkh) - Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Mohamad Ezam Mohd Nor telah dilantik sebagai Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa, di The May 18 Memorial Foundation sebuah pertubuhan demokrasi di Korea.
Pengerusi Gerak itu telah dijemput untuk mesyuarat pertama selaku anggota penasihat antarabangsa bagi badan yang berpusat di Gwangju, Korea itu pada 7 hingga 9 Febuari lalu.
Selain itu Gerak turut dinamakan sebagai pengkalan kepada aktiviti yayasan tersebut di Asia Tenggara, kata Koordinator Gerak, Badrul Hisham Shaharin kepada Harakahdaily hari ini .
"Pelantikan Ezam sebagai panel penasihat merupakan pengiktirafan yang amat bernilai kepada Gerak" kata Badrul Hisham.
"Walaupun sebagai organisasi baru namum usaha serius yang oleh semua warga kerja Gerak yang diterajui Ezam telah mula diberikan perhatian bukan sahaja di peringkat tempatan namun oleh beberapa organisasi di peringkat antarabangsa.
Sementara pada pertengahan Mac ini pula Ezam akan berada di Scotland atas jemputan Amnesty International bagi meneruskan perjuangan demokrasi melalui gerakan antarabangsa, tambah Badrul lagi.
Sebagai menghormati Ezam sebagai keluarga baru panel penasihat antarabangsanya, yayasan tersebut turut mengadakan majlis ringkas melancarkan buku terbaru terbitan Gerak, "Freedom of Information in Malaysia' pada 8 Februari di salah sebuah restoran terkemuka di Gwangju, katanya.
Terdahulu sebelum ini buku yang sama yang mengulas isu sekatan terhadap kebebasan maklumat di Malaysia yang sering terhalang dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) telah dilancarkan di hadapan Balai Polis Bukit Aman oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
Buku itu ditulis Ezam bersama seorang peguam muda, Fadha Nur Ahmad Kamar yang juga bekas pemidato terhebat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pelancaran di hadapan Bukit Aman itu bersempena dengan tindakan Bukit Aman memanggil empat aktivis Protes antaranya, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Bendahari KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan Ahli Majlis Tertinggi DAP, Ronnie Liu.
The May 18 Memorial Foundation merupakan sebuah yayasan yang ditubuhkan hasil dari wang pampasan yang dibayar oleh kerajaan Korea kepada pejuang kebangkitan rakyat yang dizalimi oleh ditaktor suatu ketika dahulu di Korea.
Kini yayasan tersebut selain dari menjaga kebajikan waris pejuang demokrasi di Korea , ia juga menumpukan usaha memperkasakan demokrasi di seluruh Asia. - mks

Sunday, February 11, 2007

Samy Vellu sudah malu, hina bantahan rakyat

Azamin Amin Mon Feb 12, 07 05:01:52 AM
KUALA LUMPUR, 12 Feb (Hrkh) - Akibat malu dengan bantahan rakyat berikutan kenaikan tol dan dituduh sebagai 'orang jahat' oleh sesetengah pihak, Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S. Samy Vellu kini cuba melepaskan tanggungjawab tersebut kepada orang lain.
Dalam laporan akhbar hari ini, beliau dipetik sebagai berkata, setiap kadar tol lebuh raya yang ditetapkan bukan dibuat oleh kementeriannya, sebaliknya diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.
Mengulas kenyataan tersebut Bendahari PAS Dr Hatta Ramli berkata, bantahan serius rakyat telah menyebabkan Sammy Vellu merasa malu dan cuba mengalihkan isu tersebut supaya masalah tol itu dikongsikan bersama dengan rakan kabinet yang lain.
"Wajarkah seorang menteri yang dibayar gaji berbelas ribu hanya ditugaskan sebagai 'annoucer' sahaja, dan langsung tidak ada tanggungjawab untuk memikirkan masalah rakyat?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi bagi mengulas kenyataan Samy di akhbar dan TV yang mengatakan bahawa beliau hanya sekadar 'tukang baca berita TV' berhubung kenaikan tol baru-baru ini.
Malah lucu dan memalukan katanya apabila Samy Vellu memberi contoh tentang kadar baru tol Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) yang mana beliau tidak mengetahui tentang bantahan tersebut tetapi telah membawanya ke Kabinet untuk dibincangkan.
“Saya memberitahu Perdana Menteri bahawa kadar tol baru LDP RM1.60 tidak dapat diterima oleh sebahagian masyarakat," katanya yang dipetik daripada laporan akhbar.
"Beliau kini sudah merasa malu kerana perjanjian konsesi tersebut telah diketahui ramai dan telah mendapat kesan besar akibat bantahan orang ramai dalam beberapa siri demonstrasi tol sejak akhir ini," kata Hatta lagi.
Tambahnya lagi kerana isu tol tersebut, perjanjian konsesi dihebahkan sebagai dokumen OSA, sehinggakan pihak yag mendedahkan untuk pengetahuan rakyat, terpaksa menjalani soal-siasat oleh polis Bukit Aman baru-baru ini.
Dr Hatta merupakan pemimpin pembangkang yang dipanggil ke Bukit Aman, pada 5 Febuari (Isnin) lalu untuk memberi keterangan dalam siasatan di bawah OSA mengenai pendedahan kandungan konsesi tol.Tiga yang lain turut dipanggil ialah Tan Sri Khalid Ibrahim, Tian Chua dari Parti KeADILan Rakyat, serta pemimpin DAP, Ronnie Liu.
Kata Hatta lagi, Samy Vellu perlu menjawab semua persoalan yang dikemukan oleh rakyat dan pembangkang berhubung kenaikan tol yang menghimpit kos kehidupan rakyat selama ini dan bukannya 'baling batu, sembunyi tangan' ataupun 'mencuci tangan' seolah-olah beliau tidak perlu dipertanggunjawabkan dalam hal ini.
Beliau turut mengulas kenyataan Samy Vellu yang cuba menghina perjuangan rakyat dengan melabelkan mereka sebagai kanak-kanak yang sentiasa menbantah setiap keputusan kerajaan.
"Samy Vellu sudah tidak tahan lagi dengan bantahan rakyat sebab itulah dia melabelkan orang lain sebagai kanak-kanak," katanya yang turut memberi amaran supaya tidak menghina perjuangan rakyat yang menuntut keadilan dan melibatkan kepentingan bersama.
"Sedangkan kanak-kanaklah yang selalunya menurut perintah dan tidak membantah.Yang selalu menurut apa sahaja yang diarahkan oleh kerajaan walaupun salah adalah orang bersikap seperti kanak-kanaklah," katanya lagi.
Sekiranya Samy telah mengambil kira pandangan rakyat seperti yang didakwa, sudah pasti rakyat tidak akan membantah kenaikan tol yang ternyata menyulitkan lagi kehidupan dan beban rakyat selama ini.
"Dia kata sudah ambil kira pandangan rakyat? Kaedah apa yang diguna pakai?," katanya dan turut merujuk kata-kata dan 'lagu' yang sering didendangkan oleh Samy Vellu seperti "You mau 'facility', you bayar~" dan "Kerajaan terpaksa bayar pampasan pada syarikat konsesi...," setiap kali menaikkan kadar tol.
Menurut laporan akhbar,Samy menyelar tindakan segelintir pihak terutamanya parti pembangkang yang disifatkan seperti kanak-kanak apabila setiap keputusan kerajaan dibantah oleh mereka.
“ Mereka berkata seperti kanak-kanak kerana tidak memahami mengapa kerajaan membuat keputusan itu dan kerajaan juga mengambil kira pandangan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan,”jelasnya. - mks.

Saturday, February 10, 2007

PAS edar lebih 50,000 Ren Min Shi Shi di seluruh negara

Intan Abdullah Sun Feb 11, 07 05:40:23 AM
KLANG, 11 Feb (Hrkh) - Lebih 50,000 cetakan akhbar berbahasa Mandarin PAS, Ren Min Shi Shi (Berita Semasa Rakyat) telah diedarkan di seluruh negara sempena Perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba bagi memberikan maklumat dan penerangan tentang PAS serta isu-isu semasa yang berkaitan.
Program pengedaran akhbar berkenaan yang dinamakan Ops Sutera telah dilakukan pada pagi tadi di Taman Berkeley, Klang dengan diketuai oleh Ketua Pengarangnya, Dr Halimah Ali.
Menurut Dr Halimah risalah Ren Min Shi Shi yang diedarkan di seluruh negara dimulai dengan edaran di Selangor sebanyak 15,000 naskhah.
Program pagi tadi turut sama dijayakan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dengan kerjasama Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Selangor dan antara yang hadir adalah Naib Yang Dipertua PAS Shah Alam, Haji Rahman Mohamad beserta 30 sukarelawan di samping seorang petugas cilik So Wei Chi,12, yang menarik perhatian ramai.
Dr Halimah yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat berkata, cetakan ini merupakan siri keempat dan ia ditambah jumlahnya sebanyak 10 kali ganda daripada jumlah cetakan sebelum ini berikutan sambutannya yang amat memberangsangkan.
"Menerusi Ren Min Shi Shi masyarakat Tiong Hua akan mendapat maklumat dan penerangan tentang PAS serta isu-isu semasa yang berkaitan dan ia diedarkan secara percuma di beberapa daerah di Selangor juga seluruh negeri lain sebagai suatu cara mendekati kaum ini.
"Istimewanya siri keempat ini selain pertambahan jumlahnya,ia mengandungi perutusan daripada pimpinan PAS sempena perayaan Tahun Baru China. Selain itu, Ren Min Shi Shi siri keempat ini turut memuatkan berita-berita semasa yang mengetengahkan penglibatan PAS dalam membantu masyarakat semasa kejadian banjir di JOhor baru-baru ini. Kami amat mengharapkan masyarakat Tiong Hua akan mendapat maklumat yang tepat tentang PAS dan tidak hanya bergantung kepada akhbar arus perdana semata-mata,"ulasnya secara panjang leb

Rakyat tiada peluang adili kerajaan di negara sendiri

Nyza Ayob Sat Feb 10, 07 05:45:58 AM
KUALA LUMPUR, 10 Feb (Hrkh) - Proses demokrasi seolah tidak wujud di negara ini apabila rakyat tidak mampu untuk mengadili kerajaan yang sedia ada dalam satu sistem pilihan raya yang bersih dan adil.
Perkara ini ditegaskan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang semasa ucapannya dalam 'Sidang Meja Bulat Nasional, Demokrasi dan Pilihan raya', anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Kelab Century Paradise, Melawati hari ini.
Jelas Abdul Hadi, proses demokrasi yang sepatutnya untuk memulihkan kerajaan, tetapi di Malaysia perkara ini tidak wujud seolah-olah Malaysia negara satu parti.
"Untuk memahami apakah pencemaran demokrasi, kita perlu memahami prinsip demokrasi itu sendiri. Adakah proses demokrasi dalam pilihan raya benar-benar berlaku di negara kita?
"Parti-parti yang ada di Malaysia ini seolah-olah hanya sebagai 'kosmetik'. Walaupun kita telah berubah kepada kepimpinan baru, krisis seperti penyelewengan, rasuah dan pencabulan demokrasi masih berlaku. Jika di negara lain masalah seperti setinggan, kenaikan harga barang membantu rakyat membuat perubahan, tetapi ia tidak berlaku di negara kita,"katanya.
Tegas Abdul Hadi, rakyat di negara ini juga tidak diberi peluang untuk menjadi hakim yang adil kepada kerajaan berbanding di negara lain rakyat menjadi 'penasihat' kepada kerajaan.
Turut memberi ucapan dalam sidang tersebut ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat(PKR), Dr Syed Husin Ali dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Sementara itu Abdul Hadi sewaktu sidang media menegaskan pemboikotan pilihan raya kecil Dun Batu Talam bukan bermakna PAS memboikot sistem demokrasi di Malaysia.
"Kita bukan boikot demokrasi sebaliknya kita tetap mendokong dan menghidupkan demokrasi. Boikot yang kita lakukan merupakan satu proses terhadap kerajaan kerana mencemar dan merosakkan demokrasi melalui rasuah serta politik wang.
"Jadi Batu Talam menjadi simbol untuk menyatakan protes terhadap demokrasi yang tercemar. Kita akan menyertai pilihan raya. Selain itu Batu Talam menjadi isyarat kepada kerajaan kerana kebiasaannya dalam pilihan raya kecil, peratus undi lebih tinggi daripada pilihan raya umum tetapi peratusan undi Barisan Nasional (BN) di Batu Talam merosot,"katanya.
Jelas Abdul Hadi, jika dilihat pada peratus penurunan undi BN, parti itu sebenarnya tidak mencapai 'kemenangan' di Batu Talam. Kemerosotan peratus undi juga menunjukkan kempan boikot pilihan raya Batu Talam oleh PAS berjaya.
Katanya dengan mengerahkan tenaga pilihan raya termasuk kempen keluar mengundi untuk menaikkan peratusan mengundi, BN juga 'gagal' dalam pilihan raya tersebut.
Ditanya tentang sama ada PAS optimis akan berlaku perubahan dalam perjalanan pilihan raya, jelas Abdul Hadi, perkembangan terbaru daripada SPR bahawa suruhanjaya tersebut sedang mempertimbangkan penggunaan 'thumb print' dalam pengundian dipercayai kesan daripada tuntutan pembangkang termasuk memboikot pilihan raya. - mks.

Friday, February 9, 2007

Dr Mahathir sifatkan Islam Hadhari mengelirukan

Harakahdaily Fri Feb 09, 07 09:39:46 AM
KUALA LUMPUR, 9 Feb (Hrkh)- Konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak berapa disenangi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam wawancara dengan majalah Off The Edge keluaran Februari, mantan Presiden Umno itu menyifatkan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan pentadbiran Abdullah sebagai 'mengelirukan rakyat'.
Ketika ditanya mengapa beliau begitu kritikal dengan Islam Hadhari sedangkan konsep itu sangat munasabah dan sederhana, Dr Mahathir menjawab bahawa Islam 'tanpa Hadhari' pun adalah agama yang sangat munasabah dan sederhana.
"Jadi apakah alasan untuk kita berkata, 'Kita mesti berubah sekarang, kita mesti melaksanakan keadilan?' Semuanya telah ada di situ sejak dahulu. Dan jika kamu membaca al-Quran, kamu akan dapati panduan di dalamnya bukan sahaja sesuai untuk 1400 tahun lalu, tetapi juga sekarang.
"Jadi kamu tidak perlu memperkenalkan 'Islam baru' yang dinamakan Islam Hadhari; ia mengelirukan rakyat," wawancara dengan majalah itu dipetik.
Ketika ditanya bagaimana beliau membezakan Islam Hadhari dengan program 'penerapan nilai-nilai Islam' yang diperkenalkan sewaktu pentadbirannya, Dr Mahathir yang menerajui pentadbiran negara selama 22 tahun berkata, program itu adalah selaras dengan ajaran fundamental Islam.
"...kamu perlu berlaku jujur, amanah; jika kamu ditugaskan untuk melakukan sesuatu, kamu perlu berpegang kepada janji... ini nilai yang telah ada (dalam Islam) sejak dahulu, ia bukan baru; kamu tidak perlu berkata ini (ajaran) Islam moden...," jelasnya.
Beliau menambah, Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. (1400 tahun lalu) adalah sama seperti mana yang diamalkan sekarang walaupun dalam konteks yang berbeza.
Menyentuh tentang hasrat pentadbiran Abdullah untuk menjadi lebih telus, menganugerahkan tender kerajaan secara teratur dan mewujudkan sistem penyerahan (delivery system) yang lebih baik, Dr Mahathir yang bakal mencapai usia 82 tahun pada 10 Julai akan datang, berpendapat ia adalah janji-janji politik yang belum dibuktikan.
"Hinggakan baru-baru ini ketika penilaian dibuat terhadap tempoh pentadbirannya, orang yang tidak menentangnya (Abdullah) memberi komen bahawa janji-janjinya bagus tetapi tidak dilaksanakan.
"Dan ia tidak dilaksanakan kerana sebenarnya tiada kesungguhan... Kita tahu bahawa beberapa projek telah diberikan (kepada beberapa pihak), tetapi kita tidak melihat tender diiklankan. Sebagai contoh, (projek) jambatan kedua Pulau Pinang yang sepatutnya diberikan kepada UEM, saya fikir... tidak ada tender sebenar (untuk projek itu)," katanya.
Sambil menyifatkan Abdullah sebagai tidak mengkotakan apa yang dikata, Dr Mahathir berkata berjanji adalah suatu yang baik tetapi ujian sebenar adalah melaksanakan apa yang dijanjikan.

Lebih 500 kutuk Yahudi di hadapan kedutaan Amerika

Zaili Muhammad Fri Feb 09, 07 09:10:15 AM
KUALA LUMPUR, 9 Feb (Hrkh) - Laungan 'Hidup Islam!','Hancur Yahudi!' bergema di hadapan kedutaan Amerika Syarikat dalam perhimpunan aman untuk mengutuk tindakan Yahudi laknaktullah yang melakukan kerja-kerja penggalian berdekatan Masjid Al-Aqsa baru-baru ini.
Perhimpunan tersebut dihadiri lebih 500 orang dengan diketuai Ustaz Riduan Mohd Nor bersama beberapa pimpinan PAS di antaranya Dr Hatta Ramli, Ustaz Idris Ahmad, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Hanifa Maidin, Ustaz Ahmad Awang, Ustazah Azizah Khatib Mat, Salahuddin Ayub,Dr Dzulkifli Ahmad dan beberapa badan bukan kerajaan seperti JIM dan ABIM.
Demonstrasi yang bermula pada jam 2.15 petang dari masjid Tabung Haji itu telah berarak ke kedutaan Amerika sambil dikawal ketat oleh lebih 100 anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sambil membawa poster yang mengutuk Yahudi dan Amerika.
Apabila tiba di kedutaan Amerika, Dr Syed Azman dengan diiringi Salahuddin dan Hanifa telah menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil kedutaan berkenaan.
Selain berarak dan menyerahkan memorandum bantahan, beberapa pimpinan PAS telah berucap kepada orang ramai yang menyertai perhimpunan berkenaan.
Menurut Dr Hatta, beliau kecewa dengan sikap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang gagal memainnkan sebarang peranan dan tindakan Israel yang cuba menimbulkan provokasi dengan menggali di sempadan masjid perlu dihentikan dengan serta merta.
"Kita kecewa dengan PBB yang gagal memainkan peranannya,"kata beliau sambil disambut dengan laungan takbir di kalangan peserta perhimpunan.
Perhimpunan itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Awang dan para peserta bersurai pada jam 3.00 petang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Thursday, February 8, 2007

Mohamad Sabu anggap SPR 'mengarut'

Roy Rasul Thu Feb 08, 07 04:57:51 AM
KUALA LUMPUR, 8 Jan (Hrkh) - Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi, Mohamad Sabu menyifatkan maklum balas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap memorandum tuntutan tiga perkara dari badan itu sebagai tidak masuk akal dan 'amat mengarut'.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS melahirkan kekecewaannya dengan jawapan SPR terhadap tuntutan badan yang diwakilinya terutama dalam isu membabitkan penghapusan undi pos dan daftar pemilih secara automatik.
“Nampak sangat SPR mengarut dan jelas mereka takut bahawa tidak ramai orang keluar mengundi sedangkan orang keluar mengundi bergantung kepada suasana, kepercayaan dan keyakinan terhadap sistem demokrasi,” katanya semasa dihubungi Harakah.
Dalam surat jawapan bertarikh 15 Januari, SPR hanya mengambil maklum cadangan untuk menggunakan dakwat/tanda ke atas jari pengundi bagi membuktikan pengundi telah membuang undi.
Cadangan itu dibuat Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi dalam pertemuan dengan SPR, 4 September tahun lalu.
Dua lagi tuntutan supaya rakyat berumur 21 tahun secara automatik menjadi pengundi berdaftar dan penghapusan pengundian secara pos ditolak tanpa sebarang alasan.
Mohamad bagaimanapun mahu SPR mengkaji segera cadangan penggunaan dakwat kepada pengundi.
Mengulas isu berkaitan, Mohamad tidak menolak kemungkinan bahawa PAS dan sekutu politiknya akan terus memboikot pilihan raya selepas berbuat demikian di Batu Talam.
"Dari semasa ke semasa, kita akan bincang dan kemudian buat keputusan. Kita juga akan lihat pada suasana dan kita akan pantau perubahan SPR.
“Ertinya apabila ada pilihan raya kecil kita akan mesyuarat dulu dan sekiranya SPR terus bertindak demikian, mungkin kita mengambil tindakan seperti di Batu Talam,” katanya.
Mengulas gerakan kempen Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dianggotai parti-parti politik dan NGO, satu majlis diskusi akan diadakan ada 10 Februari di Kelab Century Paradise, Taman Malawati, Kuala Lumpur.
Bersih juga, jelas beliau sedang merangka memorandum untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agung.
“Kita mahu sistem pilihan raya yang dijalankan di negara ini benar-benar bersih dan adil," katanya.
Bersih juga, katanya mencadangkan sistem ‘propotional representative’ (perwakilan berkadaran) yang lebih adil dan menggambarkan hasrat pengundi berbanding sistem perwakilan kawasan yang dilaksanakan sekarang.

Dr Mahathir ulangi Rafidah keluarkan ribuan AP

Abdul Aziz Mustafa Thu Feb 08, 07 06:32:41 AM
KUALA LUMPUR, 8 Feb (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali menggambarkan bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Dato' Seri Rafidah Aziz telah mengeluarkan ribuan permit import kereta setelah Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.
Apa yang digambarkan oleh Dr Mahathir itu dijangka akan memburukkan lagi moral kepimpinan Abdullah.
"Di masa saya (menjadi Perdana Menteri), beliau (Rafidah) begitu berhati-hati, tidak memberikan beribu-ribu AP, (tetapi) selepas masa saya, my goodness...." kata bekas Perdana Menteri dalam temubual eksklusif dengan Malaysiakini.
Ketika ditanya adakah Rafidah terlibat dengan rasuah, beliau berkata: "Tidak (terlibat) di masa saya".
Mengenai laporan pembelian sebuah jet eksekutif yang dikatakan bernilai RM200 juta, Dr Mahathir mengulangi ulasan sinisnya bahawa “amat penting” untuk membeli jet mewah tersebut.
“Sesetengah orang mungkin telah terdengar Agong berkata ‘belilah saya kapalterbang yang lain, saya perlukan kapal terbang yang lain,’ Itulah sebab mereka membelinya,” katanya dengan sinis.
Abdullah yang sebelum ini dikatakan membeli pesawat tersebut, telah menjelaskan bahawa kerajaan membeli jet eksekutif itu melalui salah sebuah syarikat miliknya untuk kegunaan rasmi, termasuk oleh Yang di-Pertuan Agung.
Mengenai laporan kononnya Abdullah telah membeli sebuah bot mewah di Turki, Dr Mahathir berkata, beliau diberitahu bahawa jutawan Tan Sri Ananda Krishan yang mahu kapal itu dibina. Abdullah menafikan beliau membeli bot mewah itu.
“Dia (Ananda) sering mengacau saya, bertanya saya mengenai rekabentuknya, (tapi) saya tidak memperdulikannya,” kata Dr Mahathir sambil menambah, beliau telah meminta jutawan itu membawa kapal layarnya ke Pelabuhan Telaga di Langkawi tetapi Ananda keberatan berbuat demikian.
Dr Mahathir juga mengulangi bahawa beliau tetap enggan berdamai dengan timbalan yang dipecatnya, Dato' Seri Anwar Ibrahim".
"Tidak, tidak. Saya tidak nampak sebarang sebab untuk berdamai dengannya," kata beliau.
Malah, beliau mendakwa Anwar bercakap bohong apabila menafikan dakwaan bahawa bekas timbalannya itu telah memaklumkan kepadanya mengenai rasuah yang membabitkan dua pemimpin kerajaan sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
“Karut, dia tidak memberi apa-apa bukti. Anwar cakap bohong...dia tidak pernah cakap benar, dia cakap bohong,” katanya.

Wednesday, February 7, 2007

Pilihan raya ke-12, peluang terbaik hukum SPR

Salmah Mat Husain Wed Feb 07, 07 08:37:41 AM
KOTA BHARU, 7 Feb (Hrkh) – Rakyat sepatutnya menggunakan peluang terbaik pada pilihan raya umum ke-12 ini bagi menghukum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui pembentukan sebuah kerajaan baru.
Naib Presiden PAS, Haji Mohammad Sabu berkata, pengendalian pilihan raya yang benar-benar telus hanya dapat dijalankan oleh kerajaan baru melalui mandat diberi rakyat.
“SPR sekarang hanya memihak kepada kerajaan yang memerintah dan bukannya melaksanakan tanggungjawab secara telus dan adil,” katanya pada pertemuan dengan Dewan Muslimat PAS Kota Bharu, di sini baru-baru ini.
Menurutnya perkara itu tidak mustahil dicapai memandangkan sejarah pilihan raya umum 1999 telah membuktikan kesedaran rakyat yang tinggi sehingga banyak kubu BN berjaya ditembusi termasuk di Selangor dan Pahang.
Kata beliau, ada kawasan Dun dan Parlimen yang dimenangi calon BN hanya dengan majoriti undi antara 800 hingga 1,000 sahaja berbanding berpuluh-puluh ribu sebelum itu.
“Hanya SPR yang menjadi penyelamat kerajaan BN sekarang sehingga parti itu dapat bangkit semula pada pilihan raya umum 2004. Pengkhianatan dilakukan mereka bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada BN,” katanya.
Mohammad juga berkata, zaman gerhana SPR mulai terserlah di zaman Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang lambat laun akan menghancurkan kerajaan sendiri.
Menurutnya, pemboikotan pilihan raya di Batu Talam telah memberi tamparan hebat kepada Perdana Menteri sekarang, memandangkan zaman pemimpin sebelumnya perkara seumpama itu tidak berlaku.
“Pilihan raya umum ke-12 inilah peluang terbaik bagi membuat perubahan tersebut yang mungkin diadakan tahun ini,” katanya.
Kata beliau rakyat mulai sedar banyak kepincangan yang berlaku sekarang di mana ia dibuktikan dengan penurunan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil Dun Batu Talam Januari lalu.
Katanya, pilihan raya umum ini rakyat akan bangkit seperti seekor harimau yang baru keluar dari kandang, tidak lagi sebagaimana berlaku pada pilihan raya umum 2004.

Tuesday, February 6, 2007

Umat Islam mesti dapat kuasa politik kata Nik Aziz

Rizal Tahir
Tue Feb 06, 07 12:36:47 PM
KOTA BHARU, 6 Feb (Hrkh) – Umat Islam perlu berusaha mendapatkan kuasa politik bagi membolehkan undang-undang mengikut kaedah Islam dilaksana untuk melahirkan kesejahteraan hidup manusia.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik berkata, sekiranya umat Islam membiarkan pihak lain menguasai politik sudah tentu undang-undang dan pentadbiran negara digubal mengikut mengikut kehendak mereka.
“Sekarang banyak negara yang diperintah mereka yang tidak memahami hukum-hukum Allah sehingga mengakibatkan rakyat menjadi mangsa kejahilan pemerintah,” katanya pada pertemuan dengan rombongan dari Majlis Perbandaran Yingo, Narathiwat di JKR 10, baru-baru ini.
Rombongan tersebut diketuai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Yingo, Nik Fauziah Nik Idris. Hadir sama 44 ahli majlis perbandarannya dan iman-imam.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, tanpa kuasa politik umat Islam akan terus ditindas oleh undang-undang yang dibuat golongan sekular.
Katanya juga, di peringkat dunia hanya ada dua negeri sahaja yang ditadbir pemimpin yang bertaraf ulama iaitu Iran yang dikuasai golongan Syiah dan Kelantan diperintah PAS.
“Setelah mendapat kuasa politik banyak undang-undang yang telah kami gubal mengikut dasar Islam. Keadaan ini berlaku kerana kesedaran berpolitik penduduk Kelantan sangat tinggi,” ujarnya.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Yingo, Mohamad Shukri Ismail berkata, kunjungan hormat itu bertujuan merapatkan lagi hubungan antara Yingo dengan Kelantan.
Menurutnya juga ramai penduduk Islam di Yingo mengikuti kuliah yang disampaikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz melalui kaset dan buku-buku.
Oleh itu beliau berharap kerajaan Kelantan dapat membekalkan kaset dan buku agama khususnya yang bertulisan jawi untuk dimanfaatkan penduduk di daerah tersebut.
Hadir sama pada pertemuan itu, Setiausaha Sulit Menteri Besar, Nik Azlan Abdul Hadi dan aktivis masyarakat, Haji Abdul Razak Abbas.

Sunday, February 4, 2007

Pilihan raya: PAS sentiasa bersedia, sama ada boikot atau tidak

Ekmal Yusof Mon Feb 05, 07 04:46:19 AM
IPOH, 5 Feb (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Haji Ahmad Awang berharap ceramah 'Roadshow Boikot Pilihan Raya' yang diadakan dengan rancaknya sekarang adalah sebagai satu kayu ukur sama ada hanya memboikot pilihan raya Dun Batu Talam tempohari atau turut meliputi pilihan raya umum akan datang.
"Kedudukannya masih belum dibuat malah sedang membuat 'post mortem' kesan yang telah berlaku ke atas pilihan raya Batu Talam yang baru lalu.
"Setakat ini saya berpuas hati dengan kempen memboikot pilihan raya di seluruh Negara dengan mengadakan ceramah 'Roadshow' tersebut yang dilakukan sendiri oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang di samping AJK-AJK Pusat dan di negeri-negeri yang bertungkus lumus siang dan malam memberi penerangan mendalam kepada seluruh rakyat agar memahami mengapa kita boikot pilihan raya Batu Talam itu," katanya ketika dihubungi di Simpang Empat Semanggol pagi tadi.
Menjawab satu soalan, tegasnya, "sama ada kita hendak memboikot Pilihan Raya Umum yang dijangka dalam masa terdekat ini, pihak parti masih belum memastikan lagi kerana ianya dalam proses kajian dan keputusannya akan diumumkan kelak."
Menurutnya, PAS telah lama membuat persediaan yang rapi sama ada di peringkat negeri dan pusat serta kini bersedia menghadapi pilihan raya umum sama ada ianya secara boikot atau pun tidak.
Ustaz Ahmad Awang yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Perak berkata, rakyat perlu banyak bersabar dan bersedia untuk menerima sebarang keputusannya sama ada untuk memboikot terus ataupun menyertai pilihan raya umum kelak. - mks

Kerajaan perlu tangani segera pelbagai penyelewengan bantuan banjir

Salman Hussin Mon Feb 05, 07 05:00:10 AM
BATU PAHAT, 5 Feb (Hrkh) – Banjir besar yang melanda Johor sejak lebih sebulan lalu telah membuka mata para penduduk terhadap sikap sebenar para pemimpin Umno.
Selama ini masyarakat tidak percaya penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan pemimpin mereka tetapi apabila insiden ini terkena batang hidung sendiri, barulah mereka percaya.
Hikmah di sebalik banjir besar yang dianggap luar biasa yang melanda negeri ini beberapa bulan lalu telah mendedahkan segala-galanya.
Bukan sekadar bantuan yang diharapkan lambat diterima mangsa, malah bila bantuan tiba macam-macam hal pula berlaku. Semua ini tidak boleh disembunyikan lagi dan penghuni di pusat-pusat penempatan mangsa banjir sedia maklum perkara ini.
Boleh dikatakan semua penyelewengan bantuan kepada mangsa banjir ini dilakukan sama ada oleh Ketua Kampung, Penghulu atau bekas penghulu yang umum tahu penyandang jawatan-jawatan ini ‘sahih’ orang Umno bukan PAS.
Untuk pengetahuan semua, sudah menjadi amalan dalam pemerintahan Umno-Barisan Nasional di Johor melantik Ketua Umno Cawangan sebagai Ketua Kampung (majoritinya lulusan darjah enam saja) dan juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid (walaupun tak pernah sekali pun imamkan solat Zohor dan Asar) dan semasa banjir lalu mereka ini serta kroni-kroninya menjadi orang yang paling berkuasa di pusat-pusat penempatan mangsa banjir.
Tetapi malang amanah yang diberi telah diselewengkan, semua insiden yang sempat dicatatkan berhubung isu penyelewengan bantuan banjir ini melibatkan golongan disebutkan tadi.
Kes pertama
Kes pertama Di Seri Medan, antara kawasan paling teruk dilanda banjir di Johor, difahamkan tiga individu termasuk Ketua Kampung dan bekas Penghulu telah ditahan untuk siasatan BPR, mangsa banjir yang mengesyaki berlaku penyelewengan dalam pengagihan bantuan di sebuah penempatan di sini telah bertindak membuat laporan kepada BPR dan tiga individu yang disyaki terbabit dengan penyelewengan ini telah ditahan untuk siasatan BPR.
Difahamkan juga BPR terus memantau pusat penempatan ini bagi mengelak kejadian sama berulang lagi, malah desas-desus juga kedengaran Ketua Audit Negara telah turun ke Seri Medan bagi menyiasat dakwaan berlakunya penyelewengan yang berleluasa di pusat penempatan ini.
Serentak dengan itu juga segala urusan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Orang ramai Seri Medan telah diambilalih sepenuhnya oleh pihak Audit Negara, bukan lagi oleh Ketua Kampung seperti di tempat-tempat lain.
Selain itu sumber juga memberitahu, terdapat nama mangsa yang tercicir dari senarai mangsa banjir di beberapa pusat penempatan di Seri Medan, di Sekolah Menengah Seri Medan, 48 mangsa banjir tercicir dari senarai; Dewan Orang ramai (32) dan Sekolah Agama Seri Medan (18).
Sumbangan lembu untuk korban juga menjadi tanda tanya, difahamkan hanya 30 daripada 70 ekor lembu sumbangan dari Perlis untuk Seri Medan dikorbankan pada Hari Raya Aidil Adha lalu, setelah didesak sembilan ekor lagi disembelih, namun baki 31 ekor lagi lembu ini tidak diketahui ke mana perginya.
Selain itu sumber juga memberitahu, ada sindiket yang menjual bantuan makanan seperti beras dan milo kepada pekedai tertentu dan sindiket ini hanya menjual barang-barang yang mahal saja.
Bagaimanapun polis telah berjaya menahan sebuah lori 5 tan yang membawa barang makanan ini.
Kes kedua dan ketiga
Kes Ke-2, di Yong Peng, seorang lagi Ketua Kampung khabarnya telah digari polis kerana turut disyaki terbabit dengan penyelewengan bantuan kepada mangsa banjir seperti selimut, air mineral dan biskut, sebelum itu difahamkan beliau juga telah dipanggil oleh Pejabat Daerah Batu Pahat, untuk disiasat.
Kes ke-3, di Parit Sulung, seorang Ketua Kampung telah bertindak mengambil semula bantuan makanan yang diberi pihak tentera kepada penduduk yang tidak berpindah ke pusat penempatan mangsa banjir.
Anehnya pada keesokan harinya Ketua Kampung tadi datang ke rumah penduduk untuk mengambil semula bantuan ini dengan alasan ‘tersalah bagi’.
Penduduk kampung terpinga-pinga dibuatnya.
Kes keempat dan kelima
Kes ke-4, di penempatan mangsa banjir Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, pula dilaporkan berlaku amalan pilih kasih dalam pengagihan bantuan kepada mangsa, lucunya, amalan pilih kasih ini bukan antara penyokong pembangkang dengan Umno tetapi antara Umno dengan Umno itu sendiri yang membabitkan dua pemimpin Umno di Seri Gading..
Di penempatan yang sama juga berlaku kejadian menyeludup keluar ‘track suit’ oleh seorang petugas pusat penempatan ini, teman Umno yang mendedahkan kejadian ini memberitahu, “kita berjaya menahan kereta yang disyaki cuba melarikan 'track suit' ini tetapi bila kita periksa kereta ini rupa-rupanya kawan sendiri, saya cukup terkejut dan serba salah apabila kawan sendiri buat kerja yang tak bermoral ini.”
Kes Ke-5, cubaan seorang Ketua Kampung untuk menyeludup keluar biskut dari penempatan mangsa banjir di Sekolah Menengah Munsyi Sulaiman, berjaya digagalkan apabila beliau ditahan Pengawal Keselamatan.
Difahamkan sebelum itu Ketua Kampung ini dipercayai telah melakukan ‘black out’ di penempatan ini, ketika bekalan elektrik terputus beliau telah memunggah biskut ke dalam bonet keretanya.
Bagaimanapun semasa hendak keluar meninggalkan penempatan ini beliau telah ditahan pengawal keselamatan bertugas dan meminta beliau membuka bonet keretanya untuk pemeriksaan, pada awalnya beliau enggan berbuat demikian, bagaimanapun setelah Guru Besar dipanggil beliau terpaksa akur dengan arahan ini, alangkah terkejutnya bila mendapati bonet kereta ketua kampung ini penuh dengan biskut.
Kes keenam
Kes ke-6, di Pontian, sekali lagi Ketua Kampung terbabit mengambil kesempatan di atas penderitaan orang lain, ceritanya mungkin berbeza namun perbuatannya sama saja, tidak bermoral.
Kalau sebelum ini didedahkan perangai buruk mencuri beras, biskut, 'track suit', lembu korban serta amalan pilih kasih sesama mereka, untuk akhirnya ini didedahkan pula gelagat seorang pemimpin masyarakat bergelar ketua kampung yang menghisap darah anak buahnya sendiri.
Beliau mungkin tidak terlibat menyamun atau menyelewengkan bantuan makanan kepada mangsa banjir kerana kerja ini mungkin dianggap agak sukar atau mudah dikesan, lantas beliau mencari kaedah lain bagi mendapat ‘imbuhan’ peribadi.
Beliau telah mengenakan bayaran perkhidmatan sebanyak RM10 daripada 200 mangsa banjir yang menerima wang ihsan RM200 ini, bila dikira semula ketua kampung yang tidak terlibat dengan banjir ini telah mendapat ‘wang ihsan’ jauh lebih banyak daripada mangsa banjir itu sendiri.
Tetapi beliau kurang bernasib baik apabila ada di kalangan anak buahnya mengugut untuk melaporkan perkara ini ke pihak tertentu, disebabkan takut akan kehilangan jawatan dan kedudukan maka dengan muka yang tebal dan malu yang teramat sangat, beliau telah memulangkan semula wang ini kepada yang empunya.
Semua insiden yang memalukan ini jelas membuktikan kepada kita semua kepincangan yang wujud dalam institusi kepimpinan di negara kita, itu baru di peringkat yang paling rendah, bagaimana pula keadaannya di peringkat kepimpinan yang lebih tinggi lagi.
Kes-kes yang dipaparkan tadi hanyalah secebis kisah yang sempat dirakamkan, mungkin terdapat lebih banyak lagi insiden yang terlepas pandang namun inilah hakikat sebenar yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, amalan rasuah dan penyelewengan sudah semacam menjadi perkara biasa.
Justeru kerana itu bagi mengembalikan semula kredibiliti serta kewibawaan kepimpinan masyarakat maka kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dengan penyelewengan serta amalan tidak bermoral ini.
Sebaliknya jika tindakan tegas tidak segera diambil maka amalan tidak sihat ini pasti akan terus berlaku dengan lebih berleluasa lagi. - mks.